Showing posts with label Siasah. Show all posts
Showing posts with label Siasah. Show all posts

Wednesday, July 4, 2012

Siasah Tidak Lagi Milik Saya...

Lukisan Rasa 


Hari ini 15 Syaaban 1433 saya tidak membuat apa-apa posting atau catatan kerana agak sibuk sedikit. Sibuk jiwa! Hari ini pagi-pagi lagi saya ke ke pejabat Siasah di Taman Tun Dr Ismail bagi menghadiri majlis khas yang dibuat untuk saya oleh kakitangan pejabat akhbar Siasah, iaini perpisahan saya dengan Siasah secara rasmi.

Menerima cenderamata dari Siasah Sdn Bhd.
Beberapa bulan sebelum ini kedudukan saya dan juga Siasah menjadi teka teki. Boleh dikatakan setiap hari ada-ada saja pertanyaan dan persoalan mengenai Siasah, baik oleh pembaca dan rakan-rakan seprofesyen bertanya saya mengenai dengan Siasah. Begitu juga bila saya turun ke mana-mana saya akan disapa dengan pertanyaan apa jadi dengan Siasah. Rupanya pembaca Siasah berada di mana-mana. Mereka mengenali Siasah sinonim dengan mengenali saya.

Dalam pada itu ada juga yang cengeng dengan saya kerana tidak dapat menerima tabloid kesayangan mereka itu berubah 'perangai' secara mendadak. Kritikan atau pun sapaan menerusi SMS dan email ada yang lebih dahsyat dari itu. Tetapi semua itu saya tidak peduli kerana HANYA KITA MEMAHAMI DIRI KITA. Yang baik hati dan memahami tidak membuka mulut untuk bertanya mengenai nasib Siasah kerana mereka mungkin tahu kekok untuk saya menjawabnya. Mereka yang pernah terlibat dengan dunia penerbitan (akhbar) lagi arif akan suka dukanya menerbit sebuah surat khabar yang bermodalkan air liur, semangat dan bakat semata-mata.

Hari ini memberi peluang kepada saya untuk memberi sedikit penjelasan mengenai Siasah dan kedudukan saya atau kaitan dengannya. Semoga dengan penjelasan ini pembaca Siasah yang berada dalam keadaan kelu, sedih dan geram akan dapat membuat konklusi sendiri, apa sudah berlaku. Mereka yang pelik, 'terkejut beruk' melihat Siasah kini juga akan dapat membuat penilaian dan menjawab sendiri dengan penjelasan ringkas ini.

Saya sebenarnya tidak bertanggungjawab ke atas Siasah sejak Novermber 2011 lagi. Tepatnya selepas bermulanya isu Bersih 2.0 saya tidak lagi berkarya dan berjihad di dalam Siasah. Saya tidak mentalaqkan Siasah tetapi saya mufarakah darinya. Isu mengenai ulasan mengenai Bersih 2.0 itu adalah isu terakhir ia dibawah tangan saya. Selepas itu Siasah juga dihentikan penerbitan sehinggalah ia menjelma kembali selepas enam bulan kemudian dengan wajah dan kandungan yang ada hari ini.

Tetapi disebabkan orang melihat Siasah itu Sayuti, dan Sayuti itu Siasah ia terus dikaitkan dengan saya. Tidak boleh tidak kerana Siasah itu adalah milik saya (permitnya).  Saya diajukan berbagai persoalan dan pertanyaan apakah saya masih bertanggungjawab terhadap Siasah. Mereka bertanya kerana persembahan Siasah bukan dari citarasa, laras atau aspirasi perjuangan saya selama mereka mengenali saya. Siasah bukan lagi Bebas Berwibawa tetapi terkongkong hilang wibawa. Itu yang mereka rasa.

Mereka yang serasi dengan Siasah terdahulu yang kritikal dan pro pembangkang marah dan murih kepada saya dengan apa yang berlaku. Pelbagai tohmahan tersebar termasuk dalam media maya. Itu hak kepada sesiapa untuk berbuat demikian. Tidak perlu untuk saya menjelaskan semua itu, atau kenapa berlaku demikian kerana ia tidak mudah untuk diterima dan difahami apa juga alasan dan jawaban. Ada kalanya persepsi mengatasi realiti. Dalam hal ini bagi saya Tuhan tidak marah atas apa yang kita lakukan kerana Tuhan lebih baik daripada hambanya.

Dalam penjelasan ini juga saya tidak mahu memberi alasan untuk mereka yang minat kepada Siasah dulu dapat menerima apa yang diucapkan ini. Cukup kalau saya katakan begini, berat mata memadang, berat lagi bahu memikul. Kalau anda menangis dengan nasib dialami Siasah saya pula sudah ketiadaan air mata untuk menyedihinya. Dalam hal ini saya bukan sahaja memikul tetapi melahir dan membesarkan Siasah sehingganya ia diterliuri oleh orang untuk meminangnya ia setelah ia besar tentulah lebih emosi mengenai Siasah.

Sesiapa tidak puas hati boleh berjumpa dengan saya secara baik berdepanan. Bukan niat saya di sini untuk menulis dan mencatat salah sesiapa dalam hal ini ...kerana betapa pun saya menjelaskan semua itu akhirnya kesalahan akan dipulangkan juga ke atas batu jemala saya kerana saya tuan punya asalnya yang bertanggungjawab dan berkuasa memutuskan apa-apa mengenai.

Jadi hari ini sukacita saya jelasnya bahawa "Sayuti" tidak ada kena mengena lagi dengan Siasah. Sayuti telah melepaskan segala kepentingannya di dalam Siasah sama ada sebagai pekerja tuan punya atau apa-apa. Yang akan dipunyai Sayuti hanyalah kenangan dan kenangan.

Kenapa saya berbuat begitu, rasanya tidak perlu dinyatakan kerana pembaca yang bijaksana dan arifillah serta menjejaki perjuangan saya selama ini (berpuluh tahun lalu) mengetahuinya di mana saya sebenarnya. Kepada mereka yang mengirimkan salam; "saya tak beli Siasah lagi", saya tidak terasa hati kerana saya juga tidak menyentuh Siasah sejak saya melepaskan tanggungjawab editorialnya.

Bergambar kenangan bersama staaf Siasah.
Jadi majlis perpisahan tengah hari tadi adalah inisiatif staf Siasah yang ikhlas dan sabar sama-sama berjuang dengan saya di periode kedua itu. Terima kasih kepada semua staf Siasah kerana mengadakan majlis itu yang secara tidak langsung memberikan ruang dan 'cerlak' untuk saya membuat posting ini.

Tidak pernah terlupa sekelumit waktu jua ialah kepada pembaca Siasah dari awal hingga akhir khasnya di era saya dan Ahmad Lutfi Othman serta Zulkifli Sulong menjadi Pengarangnya. Sokongan anda itulah yang meletakan kami (saya) di atas tanah juang ini. Bagaimana tentang saya, tentang saya tidak perlu dirisaukan sebab saya berjuang menerusi pena ini lama sebelum wujudnya Siasah. InsyaAllah... Allah akan membuka thariq buat saya selagi saya yakin dengan-Nya. [wm.kl.9:38 pm 04/07/12]

Wednesday, May 25, 2011

Ada Sesuatu Yang Perlu Anda Ketahui Dalam Siasah

Seperti mana yang telah diduga awal-awal, Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengesahkan akan turut merebut jawatan Timbalan Presiden Pas. Nampaknya selain Mohamad Sabu yang lebih awal menunjukkan minat untuk mencabar Nasharudin Mat Isa, Pesuruhjaya Pas Pahang juga terliur berbuat demikian.

Gambaran awal bagaimana kedudukan jawatan dan siapakah bakal memenanginya ada dilakar dalam Siasah terbaru. Juga turut sebuah rencana yang mengulas atau mengupas sifat-sifat atau keperibadian yang harus ada kepada seseorang yang menjadi pemimpin Pas.

Turut sama termuat dalam Siasah kali ini ialah interviu eksklusif dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang telah melontarkan pandangan bahawa orang Melayu tidak akan dapat disatukan menerusi panji-panji politik? Menurut Tengku Razaleigh juga orang Melau masih belum terancam.

Untuk mengetahui kupasan lanjutan boleh baca dalam Siasah yang akan mula berada di pasaran esok. [wm.kl.7:41 pm 25/05/11]

Wednesday, May 11, 2011

Maklumat Pagi

Cubaan Bunuh Anwar Eksklusif Dari Siasah

Semalam pemandu Anwar Ibrahim, Abdullah Sani Said, 51 telah membuat laporan polis mengenai kemalangan dihadapinya kerana keroskan pada brek kereta Mercedez yang dipandunya.

Beliau membuat laporan polis kerana mengsyaki ada perbuatan khianat ke atas kereta berkenaan setelah menyedari kerosakan itu agak pelik dari biasa.

Kereta itu sering digunakan untuk membawa Anwar Ibrahim dan Wan Azizah. Kemungkinan perbuatan itu cubaan untuk membunuh bosnya, Anwar Ibrahim.

Setengah orang melihat kejadian ini sebagai rekaan semata-mata untuk meletakkan Anwar sebagai seorang penting.

Iya, mereka boleh ketawa dan boleh bergurau, kerana kejadian merbahaya itu berlaku kepada diri orang lain. Cuba bayangkan kalau kemungkinan itu terjadi kepada diri sendiri.

Jika jika dilihat kepada usaha berterusan untuk menghapuskan kerjaya politik Anwar, namun ia juga tidak berhasil, tidak mustahil kalau ada pula usaha untuk menghapuskan nyawanya. Sebelum berlaku kita merasakan mustahil, tetapi sudah terjadi baru kita menyedari ianya satu hakikat yang tidak pernah diramalkan.

Siasah menjadikan laporan Abdull Sani itu sebagai story muka depan minggu ini. Rasanya kalau anda ingin mengetahui lanjut di sebalik apa yang berlaku, ikutlah dalam Siasah yang akan berada di pasaran pagi esok. [wm.kl.8:26 am 11/05/11]

Thursday, January 6, 2011

Susupan Pagi

Kenapa Takut Bila Nik Aziz Jumpa Najib?

BILA Siasah keluaran minggi lepas Bil: 246 melaporkan ada pertemuan berlaku di antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak berserta timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang DiPertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, ramai yang terkejut.

Mulanya ada yang menganggap ia hanya gimik politik Siasah saja untuk menonjolkan semula namanya selepas beberapa minggu tidak keluar. Tidak kurang juga yang terus jadi nanar dan sasar memikirkan peristiwa berkenaan kerana menyakini laporan Siasah itu adalah benar dan sahih.

Laporan Siasah itu terus menjadi teka teki kerana sebelum ini tidak ada riak risik pun mengenai pertemuan itu. Tidak ada mana-mana blog atau portal berita yang menghidu kejadian itu melainkan blog, Merah Tinta yang juga berkebetulan pemiliknya adalah Ketua Pengarang Siasah.

Baca laporan lanjut mengenai hal ini dalam Siasah terbaru. [ttdi kl 11:20 am 06/01/11]

Wednesday, December 22, 2010

Pemakluman Senja

Siasah Baru Sudah Selamat Dicetak

HARI ini sehari suntuk berada di kilang percetakan untuk menunggu kelahiran pertama Siasah di bawah pengurusan baru. Penat tidak usah ceritalah. Menanti kelahiran Siasah sulung lebih perit daripada menanti anak sulung. Bukan saja debaran, tetapi cemas. Kalau anak pertama hanya akan dilihat oleh keluarga terdekat saja, tetapi Siasah akan dibelek dan dinilai oleh pembaca seluruhnya.

Berlainan dengan kehaliran seorang bayi akan dipuji dan diucapkan tahniah. Siasah pula akan dinilai dan ditilik dari setiap jerung dan sudut. Apa lagi Siasah pernah berada dipasaran sebelum ini selama lima tahun. Tentu ia akan dibanding dan dinilai.

Saya tidak akan berkecil hati apakah bentuk kritikan yang bakal datang. Yang penting Siasah keluar juga dengan seadanya. Kritikan akan diterima dengan penuh hormati dan dijadikan penawar buat saya dan juga karyawan lainnya. Kritikan adalah cabaran bukan satu pelemah semangat.

Atas kelahiran hari ini diucapkan terima kasih banyak kepada semua pihak yang memberi semangat. Sebagai sesuatu yang baru tentulah banyak cacat celanya. Saya sendiri tidak berpuas hati dengan apa yang ada, tetapi cukup bersyukur kerana apa yang ada itulah kurniaan dan keizinan Allah.

Kepada pembaca dan mereka yang senantiasa menunggu kehadirannya, juga yang ragu-ragu mengenai status Siasah selamat membaca dan menilai dengan mata terbuka dan penuh keikhlasan. Mungkin buat awal waktu ini pengedaran Siasah tidak menyeluruh kerana sebab-sebab teknikal dan juga pertukaran pengedar.

Manakala kepada seluruh karyawan Siasah diucapkan terima kasih dan tahniah atas serba kedaifan kita akhirnya Siasah lahir juga.

Kepada pengedar yang sukar mendapat Siasah bolehlah menghubungi bahagian pemasaran di nombor telefon: 03-7724 1649.

Dan kepada penjenguk blong Merah Tinta maaflah kerana sehari dua ini tidak kerap membuat posting kerana kesibukan untuk menanti kelahiran Siasah ini. [wm.kl.6:40 pm 22/12/10]