Thursday, May 8, 2008

Enekdot Politik

Kenapa Jamaluddin Marah-Marah?

SEDANG asyik saya bersembang dengan Pegawai Khas, Menteri Penerangan, Roslan Mohd Latif di satu sudut lobi Parlimen tiba-tiba muncul ahli Parlimen Rompin, Jamaluddin Jarjis. Mungkin Roslan ada seuatu hajat dengan Jamaluddin dipanggilnya bekas menteri itu.

Jamaluddin tanpa mengenali (mempedulikan) saya, terus menghampiri ke arah tempat kami bersembang. Kebetulan Setiuasaha Politik PM, Md Alwi Che Amat dan Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Fatmi Che Salleh dan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Hamzah Zainuddin juga berada di situ mereka semua bangun bila melihat Jamaluddin dan bersalaman.

Entah apa puncanya tiba-tiba terkeluar kata-kata dari mulut Jamaluddin, yang beliau ingin lepaskan jawatan Ketua Umno Bahagian Rompin. Bukan itu saja beliau juga nak serahkan segalanya kepada orang bernama Hassan Ariffin?

Siapa dia Hassan Arifin sehingga nampak begitu marah sekali bekas menteri itu.

"Rumah aku pun aku nak serah kepada dia (Hassan), bukan setakat Ketua Bahagian," kata Jamaluddin menyebabkan kami terpinga-pinga dan tersengeh bodoh.

Roslan seperti biasa hanya tersengeh dan ketawa terkekeh-kekeh mengundang Jamaluddin naik angin. Si Roslan ni memang kaki lawak.

Selepas itu Jamaluddin Jarjis berlalu, kemudian datang balik. Bla... bla... kemudian ghaib. Lagak beliau semacam ada sesuatu yang tidak kena dan terlekat di kepalanya. Semacam ada yang tidak beres saja.

Saya terheran-heran dan mencari apakah butiran menyebabkan Jamaluddin menghembur kata-kata itu. Nampaknya dia marah sangat kepada bekas TMB Pahang, Hassan Ariffin. Nanti kalau jumpa Hassan boleh ditanya apakah masalahnya.

Apakah Hassan kini sedang mengaturkan strategi untuk melawan Jamaluddin? Kalau ya kenapa pula si Hassan nak lawan Jamaluddin? Apa sebab dan apa salah si Jamaluddin?

Tentu ada isu besar kalau tidak masakan Hassan nak lawan. Dan berdayakan Hassan nak berhadapan dengan Jamaluddin? Jamaluddin diketahui bukan kecil anak dalam arus politik Pahang. Keterangan foto atas: Tenguklah lagak Jamaluddin dengan tangan terangkat berkata sesuatu yang diarahkan kepada Roslan tiada dalam gambar. Alwi (kanan) Fatmi dan Zainuddin hanya mendengar dengan pandir. [wm.kl 1:45 am 08/05/08]

Wednesday, May 7, 2008

Ulasan Berita

Sombongnya Ketua Umno Bahagian Air Hitam

HARI ini hampir satu hari suntuk sibuk dan tidak sempat mengisi blog. Mungkin pejenguk ingin mengetahui perkembangan Raja Petra Kamaruddin yang terbaru. Nampaknya tidak ada apa-apa perkembangan atau pun isu terbaru mengenainya.

Cuma malam ini, mulai jam 9:00 satu himpunan massa tanda soladariti akan diadakan di hadapan penjara Sungai Buluh. Konvoi beramai-ramai akan bermula di Pejabat Anwar Ibrahim di Petaling Jaya.

Program itu dianjurkan oleh Anwar Ibrahim Club (AIC).

Mungkin saya tidak ikut serta kerana keletihan dan ketidakcukupan masa. Lagipun malam ini ingin menyudahkan penyuntingan buku baru! Cuma di kesempatan ini apa yang ingin saya sebut ialah mengenai sikap angkuh Ketua Umno Bahagian Air Hitam Johor bernama Samsol Bari Jamali yang meminta agar Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tidak menyibuk di Johor dan menumpukan perhatian bagi memulihakn Umno Kelantan.

Wah sombong dan egonya ketua Umno bahagian ini. Kenapa begitu sekali? Apakah kerana Umno dikatakan dilahirkan di Johor maka orang lain tidak boleh masuk ke Johor?

Saya ingin bertanya kepada ketua Umno bahagian itu. Macam mana kalau orng Johor tiba-tiba datang ke Kelantan untuk minta bantuan orang Kelantan? Apakah orang Kelantan harus menghalaunya pulang dan minta jangan menyibuk di Kelantan? Samsol kena ingat Muhyuddin Mohd Yassin adalah orang Johor yang akan mempertahankan jawatannya selaku Naib Presiden.

Tahun 1982 kalau tidak silap saya sewaktu berlaku pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Umno antara Musa Hitam (orang Johor) dengan Ku Li (orang Kelantan). Musa bebas datang berkempen di Kelantan, malah Hussein Ahmad ketika itu timbalan menteri besar dan Muhammad Yaacob, menteri besar pun menyokong Musa. Mereka rela menolak Ku Li.

Ketika itu tidak ada seroang pun ketua bahagian di Kelantan yang sakit hati dengan Musa dan menghalau Musa pulang ke Johor. Orang Kelantan menerima demokrasi dan gentelman. Mereka tidak kata Musa datang ke Kelantan nak menyibuk.

Walhal orang yang Musa tentang itu orang Kelantan bernama Tengku Razaleigh Hamzah. Kalau hendak dikira orang Kelantan patut menghalau Musa pulang ke Segamat dan jangan menyibuk atau minta bantuan orang Kelantan.

Saya bukan hendak puji cara orang Kelntan berpolitik. Tetapi yang jelasnya cara orang Kelantan lebih terbuka, lebih jantan dan lebih rasional. Mereka menerima konsep Umno itu relevan untuk semua negeri. Umno bukan kepunyaan satu-satu negeri sahaja.

Saya harap sikap dan pendirian ketua Umno bahagian Air Hitam itu tidak menjadi pegangan ketua-ketua Umno bahagian lain di negeri Johor. Biarlah apa yang berlaku di Air Hitam itu sebagai kes terpencil sahaja di mana ketua bahagiannya belum matang tamadun!

Umno harus bebas, rasional dan demonkratik. Jangan cuba menjadikan Umno hak sesuatu negeri sahaja. Hari ini mungkin orang Johor khasnya Umno Bahagian Air Hitam merasakan Umno hak mereka. Hak orang Johor. Tetapi bagaimana 10 atau 20 tahun lagi. Mungkin senarionya berubah.

Kini pun Pas sudah mula dapat merobohkan kubu Umno Johor. Pas sudah ada dua Adun di Johor hasil pilihan raya lalu. Kemenangan calon Pas itu menunjukkan sikap terbuka orang Melayu Johor (bukan Melayu berbangsa Umno) yang tidak rigid dan berpegang kemas kepada Umno. Mungkin kalau masih kerabat kepada Umno macam kera kerabat pokok takutkan air dan menganggap Umno keramat macam busut jantan ialah ketua Umno Air Hitam itu sahaja. Sebab itu beliau merasa gerun dengan kemasukan Ku Li ke Johor.

Hendaknya ketua bahagian lain tidak terikut-ikut pandangan assobiah dan sifat kedaerahan orang bernama Samsol Bari Jantan itu. Syabas dan tahniah kepada cawangan Umno dan bahagian Umno yang berani memanggil dan mengundang Ku Li untuk berceramah. Tidak mengapa kalau tindakan mereka itu dianggap sebagai silap, tetapi lama kelamaan mereka akan menerima juga apabila kebenaran sudah mula singgah kepada mereka.

Selalunya orang buta tidak mengaku dirinya buta sehinggalah ia terlanggar batu dan tergolek ke dalam parit busuk! [wm.kl 6:45 pm 07/05/08]

Tuesday, May 6, 2008

Berita Lewat

Raja Petra Memilih Untuk 'Berihat' di Penjara Sungai Buloh

HARI ini dunia blogger mencatat sejarah tersendiri apa bila 'raja blog' Raja Petra Kamarudin memilih untuk 'berihat' di penjara Sungai Buloh daripada membayar ikat jaminan sebanyak RM5,000.

Mungkin Raja Petra ada mesej dan maksud tersendiri kenapa beliau memilih atau berkorban untuk berada kira-kira lima bulan di penjara daripada membayar wang jaminan sementara menunggu hari perbicaraan!

Raja Petra didakwa di Mahkamah Seksyen Pentaling Jaya menjelang tengah hari ini di bawah Akta Hasutan. Beliau di dakwa di bawah Seksyen 4(1(c) Akta Hasutan, berhubung sebuah artikel yang beliau paparkan dalam laman blognya (Malaysia today) berjudl Let's Send Murderes Altantuya to Hell beberapa hari lalu yang dikatakan ada kaitan dengan Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Beliau diperintah ikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu hari perbicaraan yang ditetapkan pada 6 hingga 10 Oktober hadapan. Pendakwaan telah dilakukan oleh Timbalan Pendakwa, Nordin Hassan menakala Raja Petra dibela oleh enam orang peguam bela yang diketuai oleh Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP.

Berhubung apa yang berlaku ke atas Raja Petra ini jauh sekali untuk dikatakan beliau tidak mampu menyediakan wang jaminan sebanyak itu. Atau rakan-rakan blogger tentu sekali bersedia untuk mencari wang bagi 'membebaskan' Raja Petra.

Bagaimana pun tindakan itu mungkin pilihan terbaik beliau untuk memberi mesej kepada pihak-pihak tertentu bahawa beliau bertanggungjawab atas apa yang dilakukan dan yakin bahawa beliau berada di pihak benar.

Mungkin juga beliau ingin memberi mesej kepada blogger lain bahawa perjuangan ini penuh liku dan risiko yang besar. Ia bukan bermakna perlu berhati-hati sebaliknya seorang penulis yang sejati itu tidak takut kepada penjara dan bila-bila masa untuk menghuni tembok batu demi agama, bangsa dan tanahair.

Sebelum Raja Petra, sebelum seorang blogger Akhiruddin Atan (Rocy Bru) telah didakwa di mahkamah atas tuduhan fitnah tahun lalu.

Sementara itu pagi tadi kira-kira 100 orang teman blogger, pemimpin politik dan NGO hadir ke mahkamah di Jalan Duta memberi sokongan moral kepada Raja Petra. Tutut sama hadir ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallehhuddin Ayub, Ahli Exco Kerajaan Selangor Ronnie Lieu, Ahli Parlimen Teluk Kemang, Kamarul Baharin Abbas dan lain-lain.

Mulanya Raja Petra dijangka didakwa di mahakamah Jalan Duta bagaimana pun menjelang tengah hari beliau dimaklumkan menerusi telefon oleh polis kesnya akan disebut di Petaling Jaya. Teman blogger dan peminat Raja Petra berhimpun di perkarangan mahkamah sejak dari jam 8:30 pagi lagi. [wm.kl 3:20 pm 06/05/08].

Monday, May 5, 2008

Berita Panas

Raja Petra Di Hadap Ke Mahkamah Esok

BARU sekejap tadi saya menerima pesanan ringkasan (SMS) daripada Raja Petra Kamarudin yang memaklumkan beliau telah diarahkan hadir ke Mahkamah Majistret di Jalan Ipoh jam 9:30 pagi esok untuk menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Dua hari lalu Raja Petra telah disoalsiasat selama dua jam di Ibu Pejabat Bahagian Jenayah Siber di Bukit Aman berhubung dengan sebuah artikel yang beliau tulis yang dikatakan ada kena mengena dengan Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak.

Sebelum itu rumahnya di gelidah oleh sepasukan polis seramai tujuh anggota. Polis juga turut sama merampas dua buah komputer bimbit milik raja bloger berkenaan. [wm.kl 9: 50 pm 05/05/08]

Sunday, May 4, 2008

Catatan Pagi

Antara Punca Kelemahan Melayu: Tidak Yakin Kepada Diri dan Agama

MEREKA yang bimbang dengan nasib dan masa depan Melayu tidak pernah merasa letih mengajak dan menyeru agar orang Melayu bersatu. Berbagai persidangan, perjumpaan, perbincangan, seminar dan kongres ke arah itu juga telah, sedang dan akan dilangsungkan.

Kalau hendak dikira telah berjela-jela resolusi dan keputusan diambil mengenai perpaduan Melayu. Alasan dan hujah menekankan perlunya Melayu bersatu serta kebimbangan nasibnya di masa depan yang diberikan sudah cukup dan jelas kenapa Melayu perlu bersatu. Namun itu tidak membuahkan hasil lumaya dan seolah-olah bangsa Melayu ketika ini sedang berada di era sebelum terwujudnya Malay Union - berpecah dan bodoh untuk bersatu!

Kenapa desakan ke arah perpaudan Melayu bergema ialah kerana kedudukan dan kepentingan Melayu kian terancam. Dari masa ke semasa kekuasaan Melayu terhakis dan jaminan dalam perlembagaan juga longgar. Siapa yang merenggangkannya? Orang Melayu juga.

Maka oleh mereka yang prihatin dan bimbang kepada nasib Melayu menghimpun berbagai data dan fakta menunjukkan kelemahan Melayu untuk disedari. Dari data ekonomi kepada sosial dan berakhir kepada data politik. Data-data dan fakta itu semua menunjukkan mengenai keruncingan masa depan dan nasib bangsa Melayu.

Serentak dengan itu juga segala sendi dan baji yang boleh mengukuhkan kedudukan dan kuasa Melayu diketuk dan dibelek semula. Dalam pada itu tidak kurang juga berberapa kesalan dilepaskan dengan helaan nafas yang tidak puas dan semput. Seolah-olah kedudukan Melayu kini amat sukar untuk dipulihkan.

Kita tidak menolak dan menafikan akan kelemahan dan ketidaktentuan nasib Melayu 10 atau 30 tahun akan datang. Saya sendiri cukup yakin status quo yang ada kini akan berubah! Melayu pasti akan menghadapi perang besar di negaranya sendiri. Melayu akan jadi dagang di tanah airnya sendiri. Fitrah atau gejala semula jadi ini tidak terelak. Apa yang termampu dilakukan (kalau boleh) hanya melambatkan putaran atau ketibaan tarikh dan saat itu saja.

Jika orang Melayu tidak bingkas dan berusah nescaya tarikh itu akan menjadi lebih cepat daripada tempoh sepatutnya.

Persoalannya kini dan jarang orang Melayu cuba memahaminya, kenapa berlaku masalah itu semua? Kenapa Melayu berpecah dan lemah? Sepatutnya lagi matang kemerdekaan negara itu lagi kukuh persaudaraan dan silaturahim bangsa tonggaknya. Kalau persoalan ini terjawab saya kira Melayu tidak payah susah dan gaduh.

Dari dulu lagi saya telah mengutarakan kelemahan orng Melayu sehingga memungkinkan akan kehilangan segala hak dan kepentingannya suatu hari nanti kerana orang Melayu tidak yakin kepada diri sendiri. Mereka tidak percaya kepada sesama sendiri. Mereka lebih bersedia mendengar janji dan mudah terpesona dengan sandiwara orang lain berbanding saudara sendiri.

Orang Melayu juga bersikap tidak apa... dan terlalu tolenrasi; tidak mempercayai bahawa musuh Melayu ialah kaum lain dan menerima hasutan lain bahawa musuh satu pihak Melayu itu ialah Melayu juga. Kita lebih banyak membela tetamu daripada memberi makan dan peduli kepdaa anggota keluarga sendiri!

Dalam konteks ini ialah Melayu berbangsa Umno sangat percaya kepada rakan kongsi mereka dan apa yang dirangkakan oleh penjajah menjadi pegangan yang tidak boleh dilepas dan dirombak. Walhal dalam masa sama orang lain sudah berkali-kali mahu merombak kerangka itu untuk kepentingan mereka. Manakala kerangka bikinan penjajah itu adalah bom jangka yang dikira akan meletus bila tiba masanya.

Bangsa Melayu Umno tidak percaya kepada bangsanya sendiri. Lantas mereka lebih mempercayai dan senang berfikir dan berbincang dengan bangsa lain. Bangsa Melayu Umno melihat bangsa Melayu lain seperti Pas dan PKR sebagai musuhnya yang akan merampas kuasa politik mereka tanpa mereka mencongak bahawa rakannya itu juga berfikiran sama seperti Pas dan PKR.

Tanpa disedari oleh bangsa Melayu Umno hubungan dan kepercayaan yang mereka berikan itu perlahan-lahan diambil kesempatan oleh rakan mereka untuk mengukuhkan kedudukannya. Mereka tidak sedar dan tidak mahu belajar untuk sedar. Perpaduan nasional, tragedi 13 Mei terus dijadikan pesaka dan azimat untuk terus mempercayai dan melindungi rakan-rakannya itu.

Sedangkan si rakan itu menggunakan kebaikan Umno ini untuk meletakakan mereka sama taraf dengan Melayu. Perlahan-lahan desakan dibuat agar segala yang menghalang dan mengikat mereka daripada duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum Melayu dibuang dan dihapuskan.

Malangnya lagi, bangsa Melayu Pas yang kecewa dengan tindakan bangsa Umno itu mula mencari formula sendiri. Bahayanya mereka juga terikut dengan cara Umno mendekati bangsa lain dan menjadi rakan kongsi dalam perdagangan politik. Pas bersedia mengadaikan maruah dan prinsip perjuangannya.

Apabila Pas juga sudah mengikut rentak politik Umno maka orang Melayu sudah tidak ada pilihan dan alternatif lain lagi. Keadaan ini menjadikan bangsa Melayu semakin cemas dan
kabur. Sebenarnya pembaharuan politik inilah yang akan menumbang dan melemahkan Melayu.

Selain itu ketidakyakinan bangsa Melayu kepada agamanya sendiri juga menjadi faktor melemahkan Melayu. Mereka tidak yakin agama memberi mereka kekuatan - hasanah. Perpaudan dan ukhwah menerusi agama menjamin keselamaatan di dunia dan akhirat tidak diyakini dan beranggapan itu sebagai ritual agama (omongan kosong kaum spritual) saja dan menjadi penghalaang besar kepada kerja mendapat kuasa politik duniawi.

Kepada Pas mungkin mereka perlu meralat tindakan atau polisi politik mereka ke belakangan ini yang agak terpesong. Kononnya ia dilakukan atas nama pembaharuan dan berpijak di bumi nyata, sedangkan bumi yang bakal dipijak adalah atas tanah lembut dan tanah jerlus! Apakah yang mereka kejarkan dalam perjuangan, apakah pangkat ataupun kelangsungan perjuangan menegakkan agama? Nampaknya Pas juga terkeliru dan berada dalam debu kekaburan mengenai hal ini.

Kesimpulannya apa yang menjadi penyebabkan kepada kelemahan dan kehancuran Melayu ialah pertama kerana sikap tidak yakin Melayu kepada diri sendiri - sesama Melayu iaini Umno kepada Pas, dan kedua ketidakyakinan mereka kepada kesejahteraan yang dijamin oleh agama. Kalau mereka dapat memulihkan situasi ini kedudukan Melayu dan kuasanya pasti akan terjamin dan tidak perlu dibimbangi seperti hari ini. [wm.kl 9:00 am 04/05/08].

Saturday, May 3, 2008

Ulasan Kejadian

Para Mufti Perlu Contohi Dr Mohd Asri
TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin di atas sikap tanggungjawab dan ketegasannya berhubung dengan gejala negatif dan maksiat yang sedang melingkungi kehidupan umat ketika ini.

Tindakan Jabatan Mufti Perlis melarang penampilan seorang penyanyi bernama Faizal Tahir dalam konsert Jom Heboh yang kini berlangsung di negeri Perlis dialu-alukan dan satu langkah yang tepat dan wajar dipuji. Dipercayai larangan ke atas penyanyi itu ekoran sikap penyanyi itu melampau dan tidak mencerminkan sebagai orang mukmim sejati ketika membuat persembahan.

Seperti mana kata Mohd Asri beliau bukan anti manusia bernama penyanyi itu ataupun anti muzik, tetapi yang beliau mahukan konsert itu hendaklah berdisiplin dan bermatlamat baik. Memang tidak ada gunanya konsert seperti Jom Heboh itu kalau ianya berlandaskan kepada nafsu dan hiburan jahiliah seratus peratus tanpa membangun diri manusia.

Pandangan dan pendirian tegas dan jelas Mohd Asri bukan saja dalam hal konsert, tetapi projek Islam Hadhari juga banyak sudut yang dalam pengamatannya tidak dimenepati kehendak Islam dan ia perlu direformkan. Menurutnya Islam Hadhari satu slogan politik yang sedap didengari tetapi kosong dan tidak membawa apa-apa erti kepada pembangunan Islam. Justeru katanya ia perlu dirombok sebelum keadaan parah.

Kalaulah projek Islam Hadhari bikinan Perdana Menteri sendiri yang dianggapnya (ada kalanya) membazir dan tidak memberi manfaat kepada pembangunan kerohanian dan jasmani umat itu ditegur apa lagi dengan konsert Jom Hebuh yang jelas sifat-sfat kesyaitannya di dalam konsert berkenaan. Paling wajar beliau bercakap mengenainya!

Sudah banyak laporan negatif dilaporkan berhubung konsert tajaan TV3 itu. Suatu ketika dulu pernah dilaporkan berlambak kondom terpakai ditemui di tapak majlis itu kalau tidak silap berlangsung di Ipoh Perak. Apakah erti dan makna semua itu?

Lantaran itu satu kajian menyeluruh berhubung konsert itu dari segi negatif dan positif perlu dijalankan. Para sarjana dan ilmuan Islam patut sepakat untuk membuat kajian mengenainya kemudian persembahkan kepada pihak TV3. Jangan hanya menerima pandangan dan sogokan kebendaan pihak TV3 sahaja yang merasakan ia baik kerana memberi keuntungan kepada stesen tv berkenaan.

Berbalik kepada tindakan Mohd Asri itu, nampaknya beliau memainkan peranan yang sewajarnya selaku Mufti. Apa yang dilakukan itu membuat teguran tidak kira ke atas siapa itulah yang dikehendaki dan dinanti-natikan selama ini. Mohd Asri tidak memilih bulu dan inilah Mufti yang patut dicontohi.

Sekiranya seluruh 14 Mufti di negara ini mencontohi dan bersikap berani, tegas dan berkhidmat kerana Allah seperti Mohd Asri, saya yakin beberapa masalah akan dapat diatasi. Malangnya sesetengah Mufti seolah terasing daripada masyarakat dan berbicara hanya dalam majlis-jamlis agama dan istana sahaja.

Jarang mereka tururn - lontar pendapat dalam khalayak dan menyentuh mengenai isu-isu yang selama ini asing oleh mereka. Seolah-olah Mufti tidak mempunyai ilmu dan wibawa untuk becakap. Setenganya pula tidak ubah seperti opoturnis politik yang bersikap menjadi tikus jatuh ke genak - beras. Mufti yang tidak mengambil hirau hal-hal sosial samalah dengan pegawai kerajaan lain yang makan gaji buta.

Sekali lagi syabas dan tahniah kepada Mohd Asri. Atas keberanian, ketegasan dan obses Tuan untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemunkaran dipohon mendapat keredhaan Allah s.w.t. [wm.kl 2:00 03/05/08].

Friday, May 2, 2008

Laporan Terkini

Raja Petra Kini Sedang Disoalsiasat

(kemaskini) Raja Petra Kamaruddin pemilik web Malaysia-today kini sedang disoal siasat oleh Polis cawangan Jenayah Siber di Bukit Aman. Menurut isterinya, Marina yang kini berada di perkarangan balai polis berkenaan, Raja Petra dibawa ke balai polis jam 4:00 petang tadi.

Mulanya beliau dikehendaki menghadirkan diri jam 11:00 pagi esok.

Sepasukan polis yang mengandungi tujuh atau lapan orang telah menyerbu rumah Raja Petra di Sungai Buloh dan merampas dua uni komputer bimbitnya kira-kira jam 9:00 pagi tadi.

Beliau disoal siasat di bawah Akta Hasutan ekoran sebuah tulisannya di dalam Malaysia-today berjudul "Let's send Altantuya murderers to Hell", yang dipostingkan beberapa hari lalu.

Untuk makluman saya sekarang ke Bukit Aman untuk melihat perkembangan selanjutnya. [wm.kl 5:24 pm 02/05/08].

(kemaskini) Sewaktu saya tiba diperkarangan Ibu Pejabat Polis Bahagian Jenayah Siber di Bukit Aman, kira-kira jam: 6:40 petang Raja Putera sudah keluar. Sewaktu mencari parking beliau sudah berlalu dengan sebuah kereta berwarna hitam.

Beliau yang dihubungi menerusi telefon memaklumkan sedang menuju ke rumahnya dan mengucapkan terima kasih. Dari maklumat yang dikutip dari beberapa reporter beliau tidak membuat apa-apa kenyataan berhubung dengan soalsiasat yang dijalankan kira-kira dua jam.

"Beliau serahkan kepada polis samada hendak dakwa beliau di bawah Akta Hasutan atau tidak," jelas serorang rakan blogger sebelum menaiki keretanya dan berlalu. [wm.kl 11:24 pm 02/05/08].

Penjelasan

Jangan Libatkan Saya Dengan Pengedaran Buku Hentam Zahid

DI PARLIMEN selain daripada hebuh cerita Dewan kelam kabut dan macam pasar ayam, ada dicelah-celahnya cerita mengenai pengedaran sebuah buku yang menghentam Menteri Jabatan Di Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamid. Buku berkaitan pendedahan duda yang kena pukul, Amir Bazli Abdullah berjudul: "Pendedahan Jenayah Ahmad Zahid Hamidi", lihat (foto).

Kamaruzaman Yaacob abang kepada Ismail Sabri Yaacob, Menteri Belia dan Sukan, begitu berjumpa saya di kantin Rabu lalu melontarkan pertanyaan, kamu ke buat buku hentam Zahid? Ada semeja Syed Hussein Alattas dan beberapa rakan lain. Dia tidak komen apa-apa dan buat dengar tidak dengar saja pertanyaan Kamaruzaman itu.

"Itulah, aku pun ada dengar, dan orang dah mula tunding jari kepada aku.!' balas saya.

Sebenarnya sebelum Kamaruzaman menanyai soalan itu sudah ada orang lain lebih awal telefon saya memberi tahu mengenai hal buku itu.

Ketika di majlis sambutan hari jadi isteri Ibrahim Ali malam Selasa, Jak Jadawi telah mengertak saya. Katanya, Zahid Hamidi sedang cari kau? Untuk apa, tanya saya memahmi maksudnya. "Bukan aku buatlah Jad, kalau aku, mesti ada nama aku sebagai penulisnya. Balas saya. Tetapi dalam buku itu khabarnya disebut nama aku, sambung saya lagi.

Beberapa teman yang telefon juga mempertikaikan mengenai buku berkenaan dan secara tidak langsung mereka menejalaskan berhubung buku berkenaan. Buku bekenaan bukan kerja saya. Tidak pernah dalam hidup saya menulis buku menyembunyikan nama.
Kalau buku hentam Sultan Kelantan pun saya bertanggungjawab inikan pula Zahid hanya setakat keturunan ningrat Jawa, sikitpun saya tidak hean. Mereka yang melontar batu sembunyi tangan adalah manusia pengecut dan tidak bertanggungjawab. Selamanya saya benci manusia seperti itu tidak kira siapa.

"Jadi bukan kau?" soal Kamaruzaman lagi.

Seorang teman ketika beliau bertemu Zahid sudah menjelaskan prihal buku berkenaan. Katanya Zahid sendiri tidak percaya buku itu adalah kerja saya. Terima kasih! Bagaimana pun saya mengakui peringkat awal memang saya ada cuba menyelsaikan isu duda yang kena pukul itu. Melalui beberapa konteks saya suruh dia beri tahu Zahid dan minta diselesaikan dengan baik.

Malangnya usaha itu sia-sia bila mana Zahid tidak setuju dan beranggapan kes itu tidak akan menjejaskan riputasinya sebagai ahli politik. Menerusi seorang konteks memberitahu, Zahid tidak hairan dengan gertakan si duda itu. Tidak menjejaskan kedudukannya, katanya.

Selepas Zahid memberi penjelasan dan pendiriannya itu kerja saya selesai. Saya terus berdiri dan bersikap sebagai orang media dan penulis bebas yang tidak berpihak kepada mana-mana. Sebab itu bila akhbar Siasah menyairkannya saya tidak mencegahnya.

Saya tahu bila Siasah menyiarkannya serta beberapa tulisan dalam blog, menyebabkan Zahid kesal dan kecewa dengan saya. Jadi kalau ada apa-apa isu berhubung kes itu dengan mudah beliau akan menunding jari kepada saya. Realiti ini saya tidak kesal kerana itu hak Zahid.

Demikian bila ada seoran penulis tua menghentam saya, saya setakat menjawab sekali dan tidak terikut dengan polemik yang cuba hendak ditimbulkan. Dan saya tidak juga peduli kalau orang yang hentam saya itu dikayakan diupah oleh Zahid. Sekali lagi itu adalah haknya!

Selepas selesai tugasan saya, Amir Bazli ada menhunbungi saya untuk meneruskan tindakan. Saya tidak melayaninya dan menyerahkan kepadanya budibiacaranya sendiri. Saya kira tugas saya sudah selesai apabila berusaha mencari penyelesaian dan membuat pendedahan kepada publik mengenai kesnya itu.

Kini buku berkenaan dikeluarkan. Berhubung terselit nama saya dan kononnya saya mengetahui berhubung dengan tawaran Zahid kepada Amir Badzi sebanyak RM250.000 sebagai penyelesaian, saya ingin sahkan bahawa Ahmad Zahid Hamidi dalam pengetehuan saya tidak pernah membuat tawaran seumapama itu.

Di sini timbul kekeliuruan mungkin dibuat oleh Amir Bazli. Saya bukan hendak mmbela Zahid, tetapi kebenaran tetap kebenaran dan ianya toleh boleh disembunyikan.

Saya rasa dengan penjelasan ini, cerita dan persoalan mengeni buku berkenaan tidak akan diajukan kepada saya lagi. Tetapi kalau saya terus ditanya dan Zahid Hamidi mengesyaki saya, saya harap beliau boleh menemui saya bila-bila masa bagi mendapatkan penjelasan secara tuntas mengenai beberapa hal yang perlu diketahui olehnya mengenai buku berkenaan! [wm.kl 2:40 pm 02/03/08]

Berita Panas

Polis Serbu Rumah Raja Putra dan Rampas Komputer

KIRA-KIRA jam 9:00 pagi tadi sepasukan polis telah mendatangi rumah 'raja blogger', Raja Petra Kamaruddin di Sungai Buloh dan telah mengambil dua unit komputer.

Menurut isteri Raja Petra, Marina dihubungi sekejap tadi memberi tahu tujuh atau lapan orang anggota polis, tiga bermotorsikal dan dua buah kereta tiba di rumhanya kira-kira jam 9:00 pagi dan mengambil dua buah unit komputer.

Ditanya apakan alasan atau sebabnya Marina menjelaskan, ia ada sangkut paut dengan Akta Hasutan.

Menurutnya, suaminya itu diminta hadir ke pejabat Jenayah Siber Bukit Aman berhampir Bank Negara jam 10: 00 esok. Raja Petra tidak dapat dihubungi kerana sibuk! Kejadian seumpama ini pernah menimpa Raja Petra sebelum ini. Beliau juga pernah disoalsiasat oleh polis dibawah Akta Hasutan ekoran penyiaran satu komen liar dalam blognya tahun lalu.

Kenyataan Marina mengesahkan berberapa SMS yang masuk ke telefon saya sejak jam 10:00 pagi tadi yang memaklumkan rumah Raja Petra digelidah polis. Berita seterusnya akan menyusul. [wm.kl 12:30 am 02/05/08]

Thursday, May 1, 2008

Luahan Rasa

Nostalgiaku di Hotel Perdana Turut Terjual

SAYU juga hati saya apabila membaca berita hotel tempat saya sering menginap di Kota Bharu telah dijual dan kini bukan lagi menjadi milik Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim. Hotel Perdana yang terletak di Jalan Mahmod, Kota Bharu telah dijual kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan harga RM26 juta.

Laporan dipetik turut sama dijual ialah kompleks sukannya dengan harga RM4 juta.

Setiap kali saya pulang ke Kota Bharu, hotel itulah menjadi tempat penginapan atau melarikan diri dari kesibukan untuk menulis ataupun bertemu dengan para informa politik saya hingga jam 4:00 pagi.

Di hotel ini juga menjadi bilik gerakan dan kamar analisa persendirian saya setiap kali tiba pilihan raya umum. Biasanya saya akan membawa anak-anak dan isteri sebagai teman pembacuh air atau berkongsi kedukaan bila parti kalah.

Seribu kenangan

Bukan saja kepada saya, hotel ini juga meninggalkan seribu kenangan kepada Naib Presiden Pas, Muhammad Sabu. Cuma kenangan itu mungkin berbeza!


Bertempat di Dewan Bunga Emas di hotel itulah perlancaran buku saya berjudul; Tuanku Ismail Petra: Idealisme dan Keprihatin an Kepada Agama, Bangsa dan Negara (foto bawah) dilancarkan. Ia disempurnakan oleh Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra. Turut sama berangkat Raja Perempuan Kelantan.

Pelancaran itu turut sama dihadiri Menteri Besar, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ahli-ahli Exco dan pegawai kanan Kerajaan Kelantan.

Peristiwa perlancaran buku itu kemudian diikuti dengan majlis makan malam yang juga dihadiri sama oleh Sultan Ismail, Raja Perempuan dan dua anakanda baginda Tengku Temenggong dan Tengku Amalin Ai'shah Puteri, memberi seribu kenangan dan nostalgia kepada saya. Saya rasa sayalah penulis kerdil yang mendapat keistimewaan seperti itu. Bahkan di Malaysia, saya kira sayalah satu-satunya penulis politik yang mendapat keraian begitu besar dan hebat.
Turut tergadai

Majlis itulah menjadikan saya tidak akan dapat melupai Hotel Perdana sampai kapan pun. Jadi apabila hari ini ianya sudah dijual, saya merasakan kenangan manis dan nostalgia saya di Dewan Bunga Emas kira-kira 14 tahun lalu itu juga turut sama tergadai. Ah...Sudin.. Sudin...!

Suatu yang tidak mungkin saya lupa bermula di hotel berkenaan juga; majlis pelancaran buku itu muncul satu lagi peristiwa yang tidak akan terlupa. Gara-gara buku berkenaanlah menyebabkan saya kemudian disaman oleh bekas Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud, menuntut saya membayar ganti rugi sebanyak RM20 juta.

Ekoran berlaku ketidak telusan mengenai kutipan majlis makan malam pelancaran buku itu juga menyebabkan saya disoal siasat oleh polis dan flat kediaman saya digeledah polis. Sepasukan polis lengkap dengan trak datang ke rumah saya, apabila saya telah menulis buku mengkritik pihak tertentu menerusi buku berjudul; Siapa Laga MB Dengan Sultan.

Banyak kenangan dan perisitwa bermula di hotel berkenaan.

Memanglah Hotel Perdana berada dalam keadaan menanggung kerugian sejak ke belakangan ini. Ura-ura ianya hendak dijual sudah lama kedengaran. Kalau kerana ianya tidak dibantah oleh Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) mungkin urusan penjualannya sudah lama berlaku.

Memang hotel berkenaan tidak menguntungkan. Makin lama disimpan ia menjadikan bebanan kepada PKINK badan yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbirnya. Hutang lapoknya berlonggok dan makin banyak.

Hairan juga bagaimana hotel berkenaan boleh rugi? Kebanyakan majlis atau function Kerajaan negeri diadakan di hotel berkenaan. Ataupun pengurusan tidak profesional atau terlalu banyak potong harga diberikan kepada agensi dan individu kerajaan menyebabkan ia rugi?

Selalunya begitulah berlaku ke atas aset-aset kerajaan. Ia diambil kesempatan oleh orang tertentu untuk mendapat servis percuma.

Pelanggan Hotel Perdana juga makin hari makin berkurangan. Pelanggan mula melarikan diri kerana tidak ada perubahan dan suasana hotel berkenaan masih stail lama. Bukan itu saja karpet tidak berganti, peralatan eksesori lama, tv tidak berfungsi, plug rosak dan menyedihkan paip juga kadang-kadang meleleh macam budak kencing dedas. Bukan itu saja air yang keluar juga kekuningan bercampur karat.

Tidak mahu mandi

Anak lelaki bongsu saya pernah merungut dan tidak mahu mandi selama menginap di situ. Katanya hotel apa macam ni mak, busuk!

Disebabkan kekurangan dan kelemahan itu makin hari pelanggan mula meninggalkan Hotel Perdana dan mencari hotel baru yang lebih selesa dan menyediakan banyak kemudahan. Nasib hotel itu macamlah orang politik yang sudah tua, sudah tidak berpengaruh dan gagah lagi, di mana ia akan ditinggal dan dibiarkan bersendirian.

Apapun tindakan kerajaan Kelantan menjual hotel itu diharap langkah yang positif. Selepas ini semoga akan ada sebuah hotel baru yang dimiliki kerajaan negeri sebagai mengganti hotel berusia 28 tahun itu. Berapa banyak komisyen orang yang menguruskan penjualan itu jangan ditanya, nanti ada yang melenting macam kambing gila betina! [wm.kl 9:00 am 01/05/08]