Thursday, May 15, 2008

Enekdot Politik

Tidak Ada MP Lompat Parti Semalam

SEPERTI yang saya sudah jangkakan bahawa semalam tidak ada apa yang mengejutkan berlaku dalam dunia politik negara. Yang berlaku dan menarik perhatian saya semalam, ialah kucing kesayangan saya, si Putih 1 terlekat di celah pagar. Tersangkut!

Macam mana boleh berlaku tidak tahu. Kalau anak saya tidak menyedarinya mungkin si Putih 1, yang nakal gila itu tersangkut hingga ke malam. Begitulah kalau nakal berlebih akan ada bahannya.

Apa yang ditunggu pengumuman yang mengejutkan kononnya 17 Ahli Parlimen akan menyertai pembangkang seperti diuar-uarkan dan dijaja oleh sebuah blog tidak menjadi. Sampai ke petang orang-orang yang mudah terasuk dengan berita itu menunggu di Parlimen.

Sahlah berita berkenaan satu perang saraf yang ditaburkan oleh pihak Umno kerana rimas dengan dakwaan Anwar Ibrahim itu. Nampaknya strategi itu berjaya! Lepas ini kalau ada kejutan perkara itu orang sudah tidak akan pedulinya lagi.

Semalam saya jumpa dengan Mohd Azmin Ali, Naib Presiden PKR dalam rangka untuk interviu beliau bagi untuk bahan Siasah. Di kesempatan itu saya bertanya hal berkenaan kepadanya. Jawabannya menarik juga. Bahawa dakwaan itu ada asas dan kalau mengikut Azmin pembentukan Kerajaan Persekutuan baru akan dibuat lebih awal.

"Tarikh 16 September yang diumumkan Anwar itu terlalu lewat," ujarnya tersenyum.

Temuramah dan berita lanjut mengenai cerita penubuhan Kerajaan Persekutuan dan cerita ahli Parlimen BN tidak jadi melompat semalam ada dimuatkan dalam temuramah dalam Siasah yang inysAllah akan diterbitkan Sabtu hadapan.

Dalam banyak cerita bersama Azmin semalam, ialah cerita mengenai sahabat dan kembar siamnya Ezam Muhammad Nor yang kini sudah berubah haluan. Saya secara terus terang bertanya Azmin mengenai masalah beliau dengan Ezam.

Azmin nampak keberatan untuk bercerita dan tidak mahu mendedahkan 'budu' di tengah ramai. Cuma beliau mengulas berhubung kenyataan Ezam yang mengkritik Anwar seperti mana disiarkan dalam Siasah dua minggu lalu.

Azmin berkata sesiapa pun boleh memberi pandangan namun mereka tidak boleh memadamkan sejarah dengan perasaan marah dan emosi. Samada Anwar telah mengkhianati Melayu seperti mana kata Ezam, menurut Azmin ianya boleh dinilai kepada apa yang Anwar lakukan selama ini, semasa beliau berada dalam Kerajaan.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut dan hendak menuduh sesiapa, tetapi kaji dan selidiklah sendiri dengan rasional dan adil," katanya tenang dan berhemah.

Tanpa menuduh peranan Ezam hari ini kata Azmin beliau berharap semoga Ezam tidak akan menjadi budak upahan Umno. "Rasionallah pemikiran kita. Apa yang saya bimbang kenyatan-kenyataan itu (memburuk) Anwar menyebabkan orang akan memandang negatif kepada kita," tegasnya. (Benarkah Ezam akan menyertai Umno, akan diceritakan pada kesempatan lain).

Perbualan dengan Azmin terhenti apabila tiba-tiba Zahid Mat Arif bekas orang kuat Keadilan tiba-tiba terjolor dan berjabat tangan dengan Mohd Azmin; "Selamat kembali ke pengakuan Keadilan," begitulah kata Azmin sambil menjabat erat tangan Zahid.

"Masih banyak kekosongan, jawatan menteri pun ada," sambung Azmin berseloroh.

"Menteri tak payah, Setiausaha Politik cukup. Atau diberikan jadi driver pun okey," balas Zahid pula sambil meminta saya merakam gambar mereka berdua.

Saya hanya tersenyum dalam hati sambil memotret gambar aksi mereka berdua. Jauh di lubuk hati terasa benar juga ktaa-kata Zahid, kalau beliau jadi driver pun okey juga. Tetapi apakah orang Keadilan sedia untuk memberi jawatan itu selepas beliau sudah meninggalkan Keadilan! Pada saya mereka yang tidak mempunyai ketahanan diri dan prinsip dalam perjuangan, jawatan driver pun tidak wajar dipertimbangkan. Silap hari bulan nank dikoner kereta ke tempat lain, naas! [wm.kl 9:20 am 15/05.08].

Wednesday, May 14, 2008

Susupan Sore

Mukhriz Jangan Panjangkan Lidah Bapa ke Parlimen!

MSO

AHLI Parlimen baru - yang baru pertama kali melangkah masuk ke Parlimen setelah menang dalam pilihan raya lalu masih kemabukan Parlimen. Setengahnya nak cari kantin atau surau masih belum terjumpa. Begitu juga untuk menggunakan beberapa kemudahan prasarana di sediakan Parlimen seperti wifi perpusatakaan dan sebagainya masih kebingungan.

Masa mana dan macam mana mereka nak menggunakan orderly Parlimen yang berpakaian baju kelabu juga masih tidak tahu. Pasti kalau tandas Parlimen menggunakan pancutan air automatik seperti di PWTC, tentu sewaktu nak membasuh kencing dan najis, mesti ada yang basah seluar atau skirt.

Sementara di dalam Dewan pula terpamir karektor ahli Parlimen dengan berbagai lagak dan aksi. Ada macam kera baru mendapat bunga dan ada yang macam kera mendapat bunga yang sudah lama layu dan busuk. Tersengen-sengen.

Aksi ini boleh dilihat apabila sesekali kamera (CCTV) menghala kepada wajah mereka ada yang mengorek hidung, garut janggut dan juga cungkil gigi kemudian menciumnya! Yang lebih teruk korek lubang hidung atau lubang telinga sampai ternyenyak.

Di dalam dewan pula semuanya cuba menarik perhatian dan nak menunjukkan belang bagi mengsahihkan kehadiran masing-masing.

Paling nyata ialah semasa perbahasan. Masing-masing cuba membangkitkan isu kononnya untuk kepentingan rakyat. Tidak kurang juga cuba mengenengahkan isu yang menjadi perhatian media agar muka mereka keluar surat khabar dan disuluh oleh kamera tv. Sayangnya isu yang dibangkitkan sudah basi dan tidak menggambarkan ketinggian akal budi dan mental politik.

Macam mana mereka nak mendapat man of the year.

Ada yang diberi peluang berucap pula terloncat-loncat macam beruk kena belacan. Dengan tangan dimasukkan ke dalam seluar lagak macam anaku Sazali bercakap dengan kawan-kawannya yang merancang nak pergi menyamun kedai emas. Langsung tidak menunjukkan kesopanan dan adat susila sebagai orang Melayu. Kalau mereka Cina dan India tidak mengapa sebab mereka kurang arif dengan tatabudaya Melayu, tetapi mereka ini orang Melayu!

Bagaimana pun yang menarik dalam ramai-ramai MP baru itu ialah wakil dari Jerlun Kedah, Mukhriz Mahathir. Wakil ini memang nampak berhemah dan bersopan santun. Cakap pun teratur baris dengan baik. Tetapi sayangnya isu yang dibangkitkan isu yang sudah basi dan berbau peribadi dan dendam.

Mukhriz semasa berucap semalam menimbulkan lagi soal hubungan bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan bekas Timbalan Setiausaha Pertahahan Amerika Syarikat, Wolfoweitz. Mukhriz mempersoalkan itu kerana Wolforweitz terlibat dalam mengarahkan tentera Amerika menceroboh Iraq.

Apakah apabila Anwar berkawan dengan seseorang maka beliau harus menjadi seperti itu? Anwar rasanya tidak semudah yang disangka akan terpengaruh dengan perangai dan juga pegangan politik orang dikawaninya itu apa lagi kalau ianya Yahudi atau Isreil.

Isu hubungan Anwar dengan Wolfowitz itu sudah lama berlalu. Anwar sendiri sudah menjelaskan bahawa perhubungan mereka tidak sampai mempengaruhi pemikiran politik masing-masing.

Seperti mana kata Azmin Ali, walaupun Anwar baik dengan Wolfowitz namun tidak bermakna Anwa mengikut telunjuk Yahudi itu? Bahkan kata Azmin, Anwarlah satu-satu pemimpin Malaysia yang berani untuk memberi kata dua kepada Wolfowitz agar sesekali tidak mempertikaikan prinsipnya.

Misalnya Anwar secara berhadapan menyatakan kekesalannya berhubung tindakan AS yang menceroboh Iraq dan satu masa mendesak Wolforwitz agar membantu rakyat Aceh yang dilanda Tsunami dan membantu sekolah agama di Aceh.

Bagi Mukhriz apakah kepentingan dan keperluan beliau mempersoalkan perkara yang sudah diketahui umum itu dengan senario politik hari ini? Hari ini bukankah Umno membicara soal parti itu sudah dibuang rakyat? Soal Melayu sudah menolak Umno? Kenapa tidak membicangkan perkara itu?

Apabila Mukhriz masih mengheret lagi soal itu maka jelas beliau tidak mempunyai modal secukupnya untuk berucap di dalam Parlimen. Jelas sangat beliau bercakap bagi pihak bapanya yang membenci dan dendam dengan Anwar. Adalah tidak adil Mukhriz membangkitkan isu itu sedangkan Anwar berada di luar atau tidak memberi ruang untuk rakan-rakan Anwar menjelaskannya.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat Jelrun, Mukhriz sepatutnya bercakap soal-soal isu local yang ada kena menenga dengan rakyat Jerlun umpama beras dan padi. Beliau tidak perlu menjadi jurucakap bapanya di Parlimen, untuk menghentam Anwar. Bukankah Mukhriz nak bertanding ketua Pemuda sewajarnya beliau menunjuk kehebatan dan idealisme sendiri atau bakatnya sebagai pemimpin pelapis. Melihat gelagat Mukhriz itu maka tidak menyesalkah orang-orang Pas di Kedah yang memberi laluan secara senyap kepada Mukhriz di Jerlun?

Dalam hal ini setidak-tidak walaupun Khairy Jamaluddin dianggap buruk, tetapi Mukhriz boleh meniru perangai Naib Ketua Pemuda Umno itu. Khairy tidak bercakap untuk kepentingan mana-mana individu bila menyebut soal Anwar. Tidak nampak sangat beliau menjadi "jubir" (juru bicara) kepada mana-mana orang. Berlainan dengan Mukhriz yang bersikap memanjangkan lidah bapanya.

Kita bimbang kalau setiap kalau Mukhriz masuk ke Parlimen beliau membawa mulut dan kepala bapanya, apabila bapanya tidak berfungsi lagi suatu hari menyebabkan beliau juga tidak akan berfungsi. Kalau bermain politik jangan berlindung di balik bayang bapak atau emak, tetapi keluarlah ke gelanggang dengan kejantaan sendiri![wm.kl. 4:10 pm 14/05/08].

Monday, May 12, 2008

Bicara Untuk Ibu

Ibu dan Pohon Ladanya

SEMPENA hari ibu semalam (11 Mei) saya tidak mencatat apa-apa untuk mengenang dan menzahirkan kasih dan sayang kepada ibu. Bukan bermakna tidak ada sayang dan kasih lagi di telaga batin ini buat ibu, ada... tetapi saya tidak mahu dilihat mengenang ibu hanya bila ada hari khusus untuk berbuat demikian.

Sesungguhnya terasa tidak ada ruang lagi untuk menghimpun kasih dan sayang kepada ibu dalam usia sebegini!

Ibu perlu dikenang dan dingat sepanjang masa. Bagaimana ibu mengenang dan mendoakan diri kita, anak-anak dan isteri kita, begitulah juga kita kepadanya. Jangan lepaskan oang-orang yang kita sayang dan cintai serta banyak berjasa itu dari belitan tali doa kita.

Kasih dan pengorbanan si ibu adalah cukup mahal. Dulu saya kurang memahami kata-kata betapa 'kasih ibu membawa ke syurga'. Hari ini setelah menjadi bapa mempunyai anak, usia sudah hampir setengah abad baru memahami dan menyedari betapa tingginya nilai kasih dan sayang seorang ibu dan ayah.

Betapa kalau kita tidak dilahirkan olehnya, nescaya kita tidak ada di alam maya ini. Masih beruntung dan bertuah kita cambah dan dilahirkan dari rahim seorang ibu yang ada pegangan dan benar pula agamanya. Apa kata kalau kita lahir dari rahim ibu yang tidak beragama atau agamanya bathil?

Berbicara fasal ibu sepekara yang saya tidak ingin berlaku ialah sampai ibu terkedu hati dengan saya. Saya cukup bimbang apa-apa perbuatan, kata-kata atau gurau senda boleh menyebabkan ibu terasa hati. Betapa kalau ibu sudah terkilan dan sampai menitiskan air mata, seolah dunia tidak ada gunanya lagi. Kalau ibu sudah tidak merestui seolah apa yang dilakukan tidak memberi apa-apa makna persis dunia ini kehilangan warna dan muziknya.

Mengirim kasih

Dalam menyatakan kasih dan sayang kepada ibu berbagai cara orang mengirimkan rasa sayang dan kasih kepada ibu masing-masing. Ada yang memeluk dan mencium ibu. Mengajak membawa mengerjakan umrah, makan di restoran besar atau membeli pakaian dan sebagainya.

Mungkin berlainan sedikit dengan saya. Petang semalam saya hanya sempat berbicara dengan ibu menerusi telefon. Bertanya keadaan diri, anak dan cucu-cucunya yang lain. Tidak terlupa juga menanyai binatang peliharaannya kucing, ayam, itik, lembu (kambing tak ada), dan lain-lain. Apabila mendengar suara ibu segar dan ceria bermakna ibu sihat betapa lapang dan senangnya dada.

Jarak dan waktu memisahkan saya dengan ibu. Tidak sempat untuk pulang selalu dan ibu pula liat untuk datang ke Kuala Lumpur. Ibu lebih suka dan bahagia tinggal di kampung halaman. Kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat ibu memupuk kasih dan membangun mahligai bersama ayah untuk kami anak beranak. Walaupun ayah sudah tiada 13 tahun lalu namun bayangan dan jiwa dan cinta ayah masih tetap wangi di seluruh pancaindra ibu.

Jadi dalam keriduan dan keterbatasan itu apa yang boleh saya lalukan ialah dengan membelai dan memuluk pohon lada yang ibu tanam di halaman rumah. Semasa saya dan isteri ke Makkah akhir tahun lalu ibu datang ke rumah untuk menjaga rumah dan melihat cucu-cucunya. Saya kira itulah kedatangan ibu paling lama di Kuala Lumpur, hampir dua bulan.

Sepeninggalan saya itulah ibu menanam pohon lada di halaman. Pasti kerja itu dilakukan kerana ingin menghambat sepi dan rimasnya kerana lama berada di sini. Begitulah ibu kalau di kampung tidak pernah diam dari melakukan kerja-kerja harian di sekeliling rumah. Anihnya pula tangan ibu sejuk, lambat meletakkan apa-apa benih ke bumi akan berbuah.

Pokok lada ibu itu sudah besar dan merimbun serta sudah mula berbuah. Meyedari ladanya berbuah saya menyuruh isteri menelefon dan mengkhabarkan kepadanya. Betapa ibu suka dengan berita itu. Katanya, kenapa susah-susah telefon hanya setakat nak bagi tahu lada dah berbuah!

Hampir setip hari semasa hendak keluar rumah saya akan memerhati dan menjamah pohon lada berkenaan. Semacam tidak sempurna pula kalau tidak membelainya dan membelek-beleknya. Anihnya satu perasaan menyelinap perlahan ketika membelai pokok lada itu terasa seperti memegan lengan ibu yang sejuk dan jari jemarinya yang lembut mesra.

Ah ibu semoga Allah memberi kesihatan, keceriaan dan kebahagiaan kepadamu ibu! Itulah doa khusus saya untuk ibu. [wm.kl 1:00 12/05/08].

Ucapan Parlimen

Petanda-Petanda MP Sabah Akan Berhijrah Makin Jelas

MSO

UCAPAN Ahli Parlimen Kalabakan, Abdul Ghafur Salleh di Parlimen pagi tadi sungguh sentimental dan emosional. Ada maksud yang tesirat di sebaik ucapan berterus terang ahli Parlimen berkenaan.

Seperti mana katanya, apa yang diungkapkan bukan kerana beliau kecewa atau sengaja berbuat demikian tetapi ianya lahir dari lubuk hati sebenarnya yang perlu diberikan perhatian serius.

Jika diamati secara menghalusi nada ucapan Abdul Ghafur ada kesenimbungan dengan apa yang diucapkan oleh rakannya ahli Parlimen Kiamanis, Anifah Aman minggu lalu. Bahkan, Abdul Ghafur mengakui bukan sahaja beliau, tetapi (Ahli Parlimen Sabah) sanggup untuk tinggal bukan saja di rumah teras bahkan di rumah kampung sekali pun mereka sanggup.

Maknanya mereka bersedia untuk meninggalkan kemewahan yang dijanji oleh kerajaan BN dan bersedia untuk bersusah payah dengan pembangkang.

Abdul Gharuf berkata demikian apabila merujuk kepada ucapan Anifah Aman yang minggu lalu yang menngatakan kemungkinan ahli Parlimen Sabah akan berhijrah kepada pembangkang sekiranya perlu dan tidak merasa sayang untuk meningalkan BN yang baginya menyakitkan hati.
Anifah ketika menjawab pertanyaan dibangkitkan Ahmad Zahid Hamidi, yang ingin tahu apakah beliau (ahli Parlimen Sabah) sanggup meninggalkan rumah banglow (BN) untuk tinggal di rumah teres (Pakatan Rakyat), sambil menempelak balik Zahid mengatakan apa guna berada di dalam banglow kalau diletakkan di tepi tandas.

Ucapan Hanifah itu jelas mengenai pendirian wakil rakyat Sabah dan ianya ditafsirkan bahawa ahli Parlimen Sabah kini dalam bersiap sedia untuk bersama Pakatan Rakyat sekiranya mereka terus dianaktirikan.
Abdul Ghafur dalam ucapan semasa menyokong titih ucapan Yang di-Pertua Agong itu memberi reaksi yang sama menjelaskan ahli Parlimen Sabah akan melakukan jika perlu untuk berbuat begitu. Namun beliau lebih apologitik bila mana meminta kerajaan Persekutuan meneliti dan mengkaji apa yang dibangkitkan.
Abdul Ghafur mengungkit soal Sabah dianaktirikan, layanan double standard dalam membawa pembangunan infrastruktur dan pendidikan. Begitu juga peruntukan tiga kerusi menteri kepada ahli Parlimen Sabah yang merupakan kerusi tidak penting sebagai penghinaan kepada rakyat Sabah.

Ia katanya berbeza dengan layan ke atas sebuah negeri di Semenanjung di mana tujuh peruntukan menteri penting diberikan. Adalah dipercayai beliau merujuk kepada Johor.
Abdul Ghafur ternyata kecewa dengan tindakan itu lantas mencabar PM agar merombak semula Kabinet dan memperuntukkan jawatan menteri penting kepada Sabah. "Kita cabar agar Kabinet dirombak dan disusun semula,” ujarnya disambut dengan tepukan meja ahli Parlimen.
Selain daripada membangkitkan isu tersebut ahli Parlimen Kalabakan itu juga meminta agar royalti minya untuk Sabah dinaikan 20 persatus daripada kadar sekarang hanya 5 peratus dan wang itu dimasukkan terus ke dalam tabung pembangunan Sabah. Cadangan itu sejajar dengan tawaran pembangkang sekiranya ahli Parlimen Sabah menyokong Pakatan Rakyat royalti minyak sebanyak 20 peratus akan diserahkan kepada Sabah.
Dalam nada mengancam Abdul Ghafur berkata tidak mustahil kalau segala permintaan dan tuntutan-tuntutan itu tidak dipenuhi, ahli Parlimen BN Sabah akan berhijrah kepada pembangkang. Dalam hubungan ini jelas beliau, mereka tidak perlu menyertai pembangkang sebaliknya boleh mencari makenisme lain misalnya menubuhkan parti baru kemudian bergabung dengan Pakatan Rakyat.

Apakah ucapan Abdul Ghafur yang tidak ada non stop meluahkan perasaan rakyat Sabah itu berupa amaran dan isyarat jelas dan terakhir kepada kerajaan BN bahawa mereka sesungguhnya sudah hiulang sabar dan sedang bersiap sedia dan memerhati perluang untuk berhijrah kepada pembangkang?
Dan apakah isyarat itu menandakan dakwaan Anwar Ibrahim kononnya ada 30 ahli MP Sabah akan menyertai Pakatan Rakyat sudah hampir tiba, dan antara mereka ialah ahli Parlimen Kalabakan (Abdul Ghafur) dan Kimanis (Hanifah Aman)?

Memerhati kepada suhu politik kini yang semakin panas dan perkembangan politik akhir-akhir ini yang sukar untuk diteka, ia memberi bayangan seolah-olah apa yang didakwa Anwar Ibrahim itu sudah hampir sangat ketibaanya? [wm.kl 7:00 am 12/05/08].

Dari Parlimen

Khairy Jadi Diktator di Parlimen!

SEKALI lagi Parlimen menjadi seperti pasar ikan pagi ini. Kelam kabut dan keriuhan itu meletus semasa Ahli Parlimen Rambau, Khairy Jamaluddin berucap membahas usul terima kasih atas titiah ucapan Yang di-Pertua Agong.

Sikap Khairy yang ego, sambong dan tidak memberi peluang kepada ahli Parlimen untuk mencelah menyebabkan ahli Parlimen pembangkang naik angin sehingga ada yang menjerit-jerit sambil mencemuh menantu Perdana Menteri itu.

Tuduhan dan sindiran Khairy, ke atas pembangkang dengan membuat perumpaan yang dianggap cemar, menjadikan ahli Parlimen pembangkang berang dan seorang demi seorang bangun untuk mendapat penjelasan, tetapi tidak diberikan laluan oleh Khairy atas alasan beliau ketidakcukupan masa.

Suatu masa Khairy semasa mengulas berhubung kenaikan harga minyak petrol turut menyentuh batang tubuh Penasihat PKR Awnar Ibrahim dengan menempelakan bekas TPM itu sebagai lidah bercabang. Katanya selama enam tahun Anwar menjadi Menteri Kewangan tetapi tidak pernah berfiki runtuk menurunkan harga minyak petrol.

Tuduhan ini menyebabkan ahli pembangkang khasnya dari PKR makin bertambah panas hati dan sengkak dengan Khairy. Beberapa orang ahli Parlimen PKR bangun serentak untuk minta penjelasan tetapi tidak dibenarkan Khairy.

Khairy seolah sengaja mahu menimbulkan kemarahan pembangkang dengan memperli dan memperlecehkan kewibawaan dan projek dilaksanakan oleh Kerajaan PKR. Beliau turut membuat akronim PKR sebagai Projek Khinzir Raksa, menyebabkan beberapa orang ahli Parlimen PKR bangun membantah dan menyuruh beliau menarik balik perkataan itu.

Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkefli Nordin bangun meminta Khairy menarik balik kata-kata itu namun tidak diendahkan oleh Khairy. Kegilaan Khairy ini menyebabkan keadaan menjadi riuh randah dan membingkitkan telinga sehingga ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar bangun membuat akronim balas dengan mengatakan PBN, Projek Babi Negara.

Kenapa menyebabkan ahli Parlimen menjadi bengang dengan Khairy ialah beliau langsung tidak memberi peluang ahli Parlimen lain mencelah untuk mendapat penjelasan seperti kebiasaan dalam perbahasan dan ini dianggap sebagai tidak adil. Dengan menggunakan peraturan Dewan 37(3) beliau bertindak sebagai diktator dan tidak mengendahkan permintaan ahli Parlimen lain.

Ahli Parlimen pembangkang juga kehabisan ikhitar untuk meminta Khairy memberi penjelasan atau menarik balik kata-kata yang dianggap cemar dengan menggunakan beberapa peraturan Dewan tetapi tidak berjaya. Peraturan yang digunakan ialah termasuk, Perkara 31(B), 36(4) 36(10) dan 36 (12).

Apa yang dapat disimpulkan daripada sikap dan fiil Khairy bersama berucap tadi menjelaskan betapa beliau seorang yang angkuh, sombong dan tidak mempunyai toleransi terhadap sesama ahli MP seperti mana diamalkan. Sikap itu juga menggambarkan ahli Parlimen Rembau itu tidak gentlemen.

Memerhati kepada gelagat Khairy semasa bercuap tadi dapat dirasakan sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti beliau akan memerintah dan mentadbir secara diktator di mana hanya beliau sahaja yang benar dan orang lain perlu mengikutinya. Sesiapa yang menegurnya akan dibunuh! [wm.kl 1:15 pm 12/05/08].

Sunday, May 11, 2008

Peringatan

Awas Jangan Terperangkap Dengan Teori Hantu

SEMUA pihak menanti peristiwa bersejarah dalam negara iaitu penghijrahan beramai-ramai ahli Parlimen BN untuk menyertai pembangkang. Apa yang dibayangkan Anwar Ibahim tidak mustahil berlaku; iaitu terdapat 30 ahli Parlimen menyatakan kesediaan untuk bersama Pakatan Rakyat dan membentuk kerajaan Malaysia baru.

Tengku Razaleigh Hamzah dan Mahathir Mohamad juga tidak mudah menolak dakwaan itu. Mereka berdua tidak merasakan dakwaan itu sebagai karut melainkan ia perlu dibimbangi oleh BN dan Umno.

Terbaru Mohd Najib Razak juga sudah terkena sindrom takutkan kepada peristiwa itu. Dalam satu majlis beliau memberi ingatan kepada ahli-ahli Parlimen BN agar jangan khianat parti. Apa dan kenapa Najib berkata demikian? Apakah beliau juga sudha terhidu beberapa pertemuan sulit antara beberapa MP dengan Anwar atau wakilnya beberapa hari lalu?

Bagaimana pun dalam menanti saat bersejarah itu orang ramai perlu berhati-hati dan tidak payah gopoh menerima apa juga berita mengenainya. Mereka jangan pula sampai terperangkap dengan berbagai teori hantu mengenai kemungkinan perisitiwa itu berlaku. Bermacam-macam teori kini dibentagkan kepada umum berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu pihak BN juga dikatakan sedang membuat berbagai persiapan bagi menghalangnya kemungkinan ada MPnya akan berhijrah. Langkah ini termasuklah menyebarkan khabar angin bertujuan untuk menghilangkan keyakinan orang ramai mengenai kemungkinan itu. Salah satu tektik ialah dengan memberi tarikh-tarikh tertentu mengenai perhijrahan itu.

Terbaru heboh disebarkan kononnya pada Rabu hadapan, 17 ahli Parlimen akan menyertai Pakatan Rakyat. Seorang bergelar Tan Sri dipetik sebagai sumber khabar berkenaan. Jelas berita ini hanya rekaan semata-mata dan satu strategi untuk menghilangkan keyakinan orang ramai berhubung dakwana berkenaan.

Adalah dipercayai selepas Rabu ini akan adalah pula tarikh-tarikh baru yang akan disebarkan kepada umum. Matlamat mereka ialah untuk memberi gambaran kepada umum bahawa berita atau kemungkian berlakunya dakwaan Anwar itu hanya bohong semata-mata. Mengenang teori ini teringat kita kepada teori bagaimana Ku Li akan menjadi PM. Ianya dicanang sejak bertahun lalu dengan penun suspen, sistemetik bagaimana pun berakhir ianya berakhir dengan putih mata.

Sebenrnya bila penghijrahan itu akan berlaku tidak siapa ketahui. Cuma kalau pun kini ada ialah rundingan dengan beberapa pihak tertentu dari pihak Anwar dan juga dengan beberapa ahli Parlimen. Itu sahaja dan ia masih dalam peringkat embargo.

Kepada mereka yang ingin melihat terbentuknya kerajaan baru bersabar dan jangan mudah terpanggil dengan berbagai sebaran dan teori-teori hantu. Yang penting, kerajaan hari ini akan bertukar tangan pada tahun ini juga kerana keinginan rakyat terhadap perkara itu sudah mendesak. Perlu diingat digit-digit empat, enam dan lapan adalah digit yang memberi tuah kepada Anwar. [wm.kl. 7:20 pm 11/05/08]

Rencana Umno

Catatan Sempena Hari Jadi Umno
Mencari Wadah Sebenar Melayu

MSO

KELAMRIN saya menerima satu set kertas kerja yang dibentangkan pada Kongres Permaufakatan Melayu yang berlangsung di Johor Bahru pada 2 - 4 Mei yang lalu. Seorang sahabat lama dari Kota Bharu, Nik Hadijah Nik Mahmood mengirimkan kepada saya. Ingatan kawan ini terhadap saya amat tinggi sehingga mengirimkan kertas-kertas bahasan berguna itu.

Saya percaya tujuannya mengirimkan ialah untuk berkongsi beberapa pandangan dan rumusan yang dibuat oleh pembentang kertas kerja berkenaan berhubung isu ketuanan Melayu yang hangat diperkatakan pada masa ini. Mungkin beliau juga mengharapkan saya tumpang sama mengulas dan mengupas menerusi tulisan kecil ini atau dimanfaatkan pada mana-mana kesempatan!

Kata kawan itu dia mencari saya pada kongres berkenaan. Apabila saya tidak ditemui beliau mengambil inisiatif menghubungi saya dan lantas mengirimkan kertas kerja berkenaan. Terima kasih dan saya mendoakan Allah s.w.t. memberi ganjaran yang layaknya!

Melayu terancam

Terasa rugi kerana tidak hadir pada kongres berkenaan. Khabarnya kongres berkenana hebat dan berjaya. Kehebatan itu mungkin disebabkan ia diadakan dalam suasana Melayu dikatakan terancam dan parti yang mendominasi Melayu selama 62 tahun (Umno) pula dalam kesakitan selepas dibelasah teruk dalam pilihan raya ke-12 lalu.

Kerana kesibukan menyusun buku baru, saya tidak sempat untuk menantapnya semalam. Baru sekejap tadi sambil bersiap untuk tidur saya menjamahnya. Selepas membaca kertas kerja Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (bekas Pengerusi MAS) berjudul 'Kedaulatan Perlembagaan Malaysia' saya menjamah dan menatap pula kertas kerja Prof Madya Muhammad Agus Yusuff, Pensyarah Program Sains Politik, UKM, berjudul 'Kedaulatan Politik Melayu'.

Pemikiran atau pandangan pensyarah sains politik ini berbeza, berani dan agak vokal berbanding dengan pensyarah lain yang begitu ceramat menjaga hati Kerajaan dan periuk nasi sendiri. Beliau bercakap secara terus terang dan mewakiliki jiwa orang Melayu sebenarnya, saya fikir begitu.

Ada beberapa hujah atau pandangan menarik yang dilontarkan Muhammad Agus dalam kertas kerja berkenaan berhubung penyakti dialami Umno yang patut menjadi perhatian orang Melayu dan telah mengundang saya untuk terus menatapinya.

Paling menarik bagi saya ialah mengenai penegasannya, tentang status Umno mengenai kedaulatan Melayu. Menurut Muhammad Agus kedaulatan Melayu bukan mutlak ditentukan oleh Umno tetapi ianya diteguhkan oleh elemen lain. Maknanya di sini bukan bermakna kalau Umno kuat kedaulatan Melayu menjadi kuat. Umno menurut Muhammad Agus bukan elemen menjadi kedaulatan Melayu. Ertinya kehilangan Umno bukan secara automatik Melayu roboh!

Keupayaan kita

Menurut Muhammad Agus ada dua elemen yang memperkuat dan mendaulatkan Melayu; Pertama, kedaulatan politik Melayu adalah ditentukan oleh keupayaan kita (orang Melayu) biarpun apa yang berlaku, teras pemerintahannya mestilah Melayu. Kedua, kesediaan kita untuk mempertahankan raja Melayu kerana itulah simbol kerajaan Melayu yang kita ada.

Dalam erti kata lain kedaulatan Melayu akan terjamin kalau Melayu dapat menjamin dua elemen itu. Di sini jelas bahawa kekuatan Umno dalam keadaan hari ini, (punah kepimpinan, korupsi, ego, dll) belum menjamin Umno kuat. Maknanya di sini orang Melayu tidak perlu merasa bimbang mengenai kedualatan Melayu kalau sekalipun Umno sudah hilang.

Meterjemah pandangan Muhammad Agus itu Umno bukan menjadi penentu kepada kedaulatan Melayu. Di sini boleh difahamkan bahawa Umno tidak mempunyai hak dan boleh mendabit dada mengatakan parti itu sebagai penjaga maruah Melayu. Umno tidak boleh mengatakan dialah pembela dan pejuang Melayu. Mungkin dulu ia, semasa mencapai kemerdekaan namun bukan hari ini lagi.

Pun begitu ada pendapat para sarjana bertentangan mengenai peranan dan perjuangan Umno dalam mencapai kemerdekaaan - membebaskan orang Melayu. Ada yang mengatakan ada puak lain yang lebih tulen dan ikhlas memperjuangkan kemerdekaan Melayu tetapi disengaja dilindungkan kerana kepentingan politik peribadi dan kerana sifat sejak azali orang Melayu, iaitu dengki dan khianat.

Kumpulan subversif

Golongan itu seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Beostaman, Ishak Haji Mohammad dan lain-lain di mana mereka ini dicopkan sebagai golongan kiri oleh Nasionalis Melayu, Umno. Lebih dahsyat lagi mereka ini dikelirukan sebagai kumpulan subversif yang tarafnya sama dengan gerakan Komunis!

Penegasan yang diajukan oleh Muhammad Agus itu seharusnya membuka mata dan minda Umno untuk melihat ke dalam diri mengenai masa depan Melayu ditangan mereka. Umno kena menginsafi kedaulatan Melayu tidak mampu lagi ditangani secara sendirian berhad.

Persoalan sekarang ini sekiranya pandangan Muhamamd Agus itu tepat dan benar dan boleh dikira ia menafikan keupayaan Umno dalam soal medaulatkan Melayu, jadi siapakah yang diharap akan membela Melayu?

Realitinya kesemua orang Melayu harus mengambil bahagian dalam memperkasa rumpunnya, namun mereka perlu berada dalam sebuah wadah atau organisasi bagi menjananya. Tidak mungkin semua orang Melayu mampu melaksanakan tanggungjawab itu secara bersendirian, berjuang dari atas tangga rumah masing-masing. Mereka harus diletak atau berada dalam sebuah bekas yang sama bagi mengerakkan jihad itu.

Dalam asepk politik jika diperhatikan selain Umno ada dua buah wadah yang dilihat sebagai kepunyaan orang Melayu dan menjadikan Melayu sebagai agenda perjuangan, iaitu Pas dan PKR. Apakah setelah Umno sakit orang Melayu boleh menyandarkan harapan dan masa depan mereka kepada kedua parti ini?

Pas adalah sebuah parti ditubuhkan untuk memperjuangkan Islam atau atas semangat dan kesedaran Islam. Secara automatik bila disebut Islam ianya difahamkan memperjuangkan Melayu. Perbezaan Pas dengan Umno hanya dari segi mentafsirkan perjuangan masing-masing. Umno memperjuangkan Melayu yang automatik memperjuangkan Islam, manakala Pas pula memperjuangkan Islam yang automatik memperjuangkan Melayu.

Istilah Islam

Yang membezakan mereka ialah pendekatan ataupun makenisme, taktik dan strategi perjuangan saja. Pas lebih mirip menggunakan wajah-wajah atau istilah Islam (Arab), manakala Umno berwajah Barat dan taktik-taktik sekular atau politik Machiavellisme. Kiblat pemikiran Pas kepada Timur Tengah manakala kiblat pemikiran Umno kepada Barat.

Orang memahami perjuangan Pas apabila parti itu kuat maka Melayu juga akan turut kuat. Tetapi apa yang menjadi masalah kini ialah Pas sendiri sudah mulai perlahan-lahan meredakan semangat Islamnya dan melupai agenda asalnya. Pas tidak lagi bersikap konservertif tetapi cenderung berubah menjadi sebuah parti pragamtis. Perubahan ini sejajar dengan kerencaman ideologi dan latar belakang pendidikan para pemimpinnya kini.

Jika diperhatikan beberapa pendekatan dan tindak tanduk pemimpin Pas saling tidak tumpah dengan Umno. Semua perangai ini akhirnya akan menatijahkan Pas sama seperti Umno. Peranan ulama di dalam Pas walaupun masih berfungsi namun tidak berapa ditonjolkan. Ada kepercayaan kehadiran ulama dan ustaz boleh menganggu jihad Pas.

Pekara paling kecil yang dapat diperhatikan dalam Pas ialah pemakaian imej Pas iaitu kupiah. Pengenaan imej ini tidak lagi konsisten tetapi terpilih pada tempat-tempat tertentu sahaja!

Dalam keadan ini apakah Pas relevan untuk mengambil alih peranan dan harapan yang disangkutkan kepada Umno untuk mendaulatkan Melayu? Kalau Pas diserahkan mandat tetapi fiil sama dengan Umno ia tidak membawa apa-apa erti.

Bersifat majmuk

Sebuah lagi parti Melayu ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kewujduana PKR yang pada mulanya diharap menjadi alternatif kepada Umno sangat besar sekali. Orang memberi tumpuan kepada PKR. Walaupun parti itu bersifat majmuk (multiracial) namun diharap ianya berpaksikan kepada Melayu. Tetapi sekali lagi ketulenan PKR sebagai sebuah parti Melayu nampaknya diragui umum. Politik baru Malaysia yang dibawa PKR seakan tidak meletakkan Melayu di hadapan.

Jadi kini kepada siapa yang boleh disandarkan oleh orang Melayu bagi mendaulatkan Melayu. Nampaknya kesemua ketiga-tiga parti Melayu dan dominan Melayu itu tidak menampakkan perjuangan Melayu yang jelas dan tulen. Kepentingan Melayu yang disuarakan dalam parti berkenaan hanya sebagai tempelan sahaja. Keadaan inilah membimbangan orang Melayu.

Ketegasan yang diperkatakan Muhammad Agus tadi, bahawa kedaulatan politik Melayu tidak ditentukan oleh Umno tetapi elemen lain; mempertahankan kontrek sosial dan juga menjaga simbol iaini raja-raja, (budaya dan adat Melayu- P) perkara benar dan perlu difikirkan bukan setakat direnungi. Kerana tugas itu dapat dibuat oleh oragan yang mewakili Melayu dan bukan secara individu oleh orang Melayu. Masalahnya pula organ Melayu itu kini semuanya rosak atau menghadapi musim kemandulan!

Justeru jalan keluar dari masalah ini hanya ada dua sahaja. Pertama badan siasah Melayu baik Pas, Umno dan PKR kena kembalikan kepada asal penubuhan dan mempraktikan politik seperti mana termuat dalam perlembagaan masing-masing. Sebaiknya untuk mempercepatkan proses ini ketiga parti berkenaan perlu bersatu dan bergabung.

Dan keduanya; apakah mungkin orang Melayu perlu mengagaskan sebuah pertubuhan baru yang terhidar daripada memiliki elemen politik yang diamalkan oleh Umno, Pas dan PKR hari ini? [wm.kl 1:00 pagi 11/05/08]

Friday, May 9, 2008

Ulasan Peristiwa

Antara Raja Petra dan Siti Fatimah

MSO

PENDAKWAAN penulis blog dan pengendali laman Malaysia-today Raja Petra Kamarudin, 58 tahun di bawah Akta Hasutan minggu lalu dan keengganan beliau membayar jaminan sebanyak RM5,000 dan bersedia untuk berihat di penjara Sungai Buloh menjadi berita panas dan bahan bulan hangat.

Semua pihak memberi perhatian dan fokus kepada berita berkenaan – mengenai keberanian Raja Petra mempertahankan hak dan dakwaanya. Sikap Raja Petra itu disokong kerana beliau dilihat menjadi ikon kebebasan media maya di negara ini. Raja Petra dianggap sebagai pejuang kebebasan mutlak mahu meruntuh segala sempadan dan halangan adat dan agama.

Apa yang dicari Raja Petra adalah kebebasan bersuara, kebebasan bertindak, kebebasan berhimpun, kebebasan mendedah dan kebebasan mengkritik tidak kira siapa. Dalam kebebasan itu dipercayai ada keadilan yang diukur dari kaca mata manusia, maknanya pintu ijtihad untuk mentafsirkan apa-apa sahaja dibenarkan.

Mengirimkan semangat

Semua media memberi liputan meluas kepada berita Raja Petra. Baik media pro reformasi, pembangkang dan juga kroni kerajaan. Cuma media kroni hanya melapor sahaja. Laman-laman web, blog juga turut sama menyorot memberi ulasan dan mengirimkan semangat kepada Raja Petra dan keluarganya.

Hanya dua tiga laman web yang menjadi kroni senyap kepada kerajaan sahaja menyiarkan berita Raja Petra dalam sinis dan nada lelucon. Itu pun laman yang tidak sebulu dan ada kes personal dengan Raja Petra.

Saya sendiri ikut sama hadir ke kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Isnin lalu untuk memberi sokongan kepada raja blog itu dan juga melihat suasana dihari pendakwaan itu. Kehadiran saya adalah atas dasar satu profesyen dan sebangsa dengan beliau (bukan ningrat) tetapi sebagai penulis blog bebas yang juga hauskan kebebasan!

Sokongan dari semua pihak termasuk pembangkang menyebabkan Raja Petra terbela.

Lantaran itu hukuman atau pendakwaan itu tidak memberi apa-apa kesan sebaliknya memberi modal dan menaikkan harga dirinya sebagai penulis maya hebat yang tidak memperdulikan sesiapa.

Derma yang dikutip menerusi kempen seringgit seorang untuk Raja Petra yang berjaya dipunggut hampir RM50,000 menunjukkan sokongan kepada Raja Petra dan juga golongan blogger. Kutipan dan sokongan kepada Raja Petra memberi semangat kepada blogger lain untuk meneruskan perjuangan dan jangan gentar dengan ancaman.

Reaksi dan bingkasan bersepadu yang ditunjukkan oleh para blogger dan sokongan umum terhadap apa yang yang menimpa Raja Petra itu sedikit sebanyak pihak berkuasa ataupun orang yang berada di sebalik pendakwaan itu (seperti mana didakwa) merasa cemas. Kalau niat mereka mengambil tindakan itu bertujuan menakut dan untuk menggertak blogger ia adalah silap.

Berbezaa dengan berita mengenai keputusan Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang memberi kebenaran kepada seorang mualaf Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang yang memohon untuk kembali ke agama asalnya, Buddha. Berita berkenaan diterima seadanya dan tidak mendapat liputan meluas dan diberikan reaksi beremosi oleh umat Islam.

Seakan ada usaha agar berita berkenaan disenyapkan saja. Hakikat ini dapat dilihat kepada sikap media massa baik yang didokong kerajaan ataupun pembangkang. Berita itu dilaporkan secara profesional dan tidak beremosi seperti mana berita pendakwaan terhadap Raja Petra.

Mengapa? Jika dilihat kepada media massa yang dimiliki oleh bukan Islam, berita keputusan mahkamah itu disambut penuh kegirangan. Akhbar-akhbar Cina hari ini telah memberi liputan meluas dan di muka hadapan dan seolah-olah mereka meraikan sebuah pesta!

Bukan akhbar sahaja yang bersikap dingin dan persis berwaspada untuk melaporkan berita berkenaan, orang politik juga nampak tidak ghairah mengulasnya. Di pihak kerajaan hanya Ahmad Zahid Hamidi sahaja yang bercakap mengenainya yang meminta umat Islam menerima keputusan itu. Lain-lain pemimpin masih membisu atau mungkin kehilangan idea!

Sebarang ulasan

Exco Agama, Mufti, ketua-ketua Gerakan-Gerakan Islam seperti Abim, Peguam Muslim dan sebagainya tidak kedengaran memberi sebarang ulasan dan pandangan berhubung keputusan berkenaan. Mungkin mereka tidak mahu terjebak perbuatan contempt of court (menghina mahkamah), menyebabkan mereka mendiamkan diri dan seolah berita itu tidak menerobosi lubang pendengaran mereka.

Memang sesiapa pun kena menghormati keputusan mahkamah. Namun dalam isu ini Mufti, pemimpin gerakan Islam insitusi dan individu yang arif mengenai Islam masih boleh bercakap dan mengulas dalam memberi tafsiran mereka berhubung apa yang berlaku. Mereka perlu mengeluarkan pendapat bagi membela kesucian Islam dengan apa yang berlaku itu. Sebab menurut Quran jelas tindakan murtad mencemarkan Islam dan apa yang berlaku itu merupakan satu kekalahan dan keiban kepada Islam.

Tidak hairan kalau pemimpin Umno yang ‘bermazhab’ Islam Hadhari enggan membuat ulasan dan menerima keputusan itu seperti keputusan mengenai hak penjagaan anak saja atau kes penerimaan lafaz cerai saja. Sebab umum sudah tahu mengenai sikap dan penerimaan mereka terhadap Islam.

Namun apabila pemimpin Pas, para ustaz, ulama dan mualimnya juga turut mendiamkan diri dalam isu ini ia sudah menjadi sutu perkembangan yang anih. Puas saya membelek surat khabar dan melayari blog dan laman-laman portal berita di internet yang pro pembangkang, atau galak menyokong pemimpin tertentu dalam Pas namun tidak ada pun ulasan dan komentar mereka berhubung apa yang berlaku di Pulau Pinang semalam.

Kalau ada pun ulasan daripada Timbalan Presdien Pas, Nasharudin Mat Isa yang membuat ulasan secara umum mengenai kedudukan dan peranan seseorang penganut Islam. Itu saja. Belum kedengaran pandangan dan ulasan daripada para hero atau wira Pas yang begitu mesra media selama ini, yang bercakap setiap hari di akhbar atau pun di hadapan laptop. Mengapa dalam isu murtad ini mereka membisu?

Sepatutnya ustaz dan ulama serta pemimpin Paslah tampil memberi pandangan dan nasihat berhubung perkara ini. Mereka harus mendahului orang lain. Sebab perjuangan mereka dilihat komited dengan Islam. Apakah Pas juga merasakan isu murtad dan isu-isu panas mengenai Islam tidak menguntungkan politik mereka maka ianya perlu direda atau pun tidak ditonjolkan?
Atau pun kalau boleh jangan sentuh langsung sebab ia menyentuh rakan politik lain di mana ia menjejaskan kerjasama politik? Begitukah?

Kesimpulannya isu Raja Petra dan Siti Fatimah diberi layanan berbeza oleh manusia dan kumpulan yang sama walaupun keduanya bertolak daripada mahu mencari kebebasan. Orang politik khasnya beragama Islam perlu meneliti dan mengkaji apakah kebebasan yang dicari menerusi kedua isu itu memberi kebaikan atau sebaliknya! [wm.kl. 8:45 pm 09/05/08].

Sebelum Tidur

Undang-Undang Syariah Malaysia Tidak Menjaga Umat Islam?

KEPUTUSAN Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang (foto) untuk kembali ke agama asalnya satu keputusan yang amat pahit bagi umat Islam. Keputusan itu satu tragedi dan kekalahan kepada Islam yang perlu dipertanggungjawabkan kepada semua umat Islam.

Dengan kembalinya Siti Fatimah kepada agama asalnya, (Buddha) mungkin ia perkara biasa bagi mereka yang mengamalkan kebebasan berfikir dan beragama, namun bagi kita yang yakin Islam sebagai dinul hayat sungguh mengecewakan.

Meskipun begitu itulah keputusan telah dibuat oleh Ketua Hakim Mahkamah Syariah Perlis Othman Ibrahim yang mendengar kes murtad melibatkan Siti Fatimah itu.

Othman membuat keputusan itu berdasarkan peruntukan dan ruang undang-undang yang digubalkan. Beliau tidak ada pilihan lain selain daripada berbuat demikian dengan keadaan dan hujah-hujah yang disampaikan kepadanya. Bahawa itulah keputusan terbaik? Mungkin Hakim berkenaan sudah memikir dari berbagai sudut sebelum membuat keputusan itu termasuk (mungkin) berbincang dan mengambil pendapat orang tertentu alim dan pakar dalam perundangan Islam.

Beliau juga tentu mengira implikasi dan juga kesan kepada umat Islam di negara ini ekoran keputusan itu. Baik buruknya juga sudah difikir semasak-masaknya. Hakim itu juga pasti menggeletar untuk memutuskan demikian, kerana sebagai hakim beliau bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

Di sini ada perbezaannya antara hakim sebagai manusia dan hakim itu sebagai penganut agama Islam dan pelaksana keadilan!

Betapa kita sedih atas apa yang berlaku namun ia sudah berlaku.

Hujah atau alasan Hakim yang membuat keputuan menerima permohonan Siti Fatimah itu nampaknya mudah, iaitu Siti Fatimah sudah tidak lagi mengamalkan agama Islam sejak dikatakan memeluk Islam sebaliknya mengamalkan pegangan agama asalnya, Buddha. Kita percaya hakim berhadapn dengan konflit dalam memutuskan ini.

Adapun kenapa Siti Fatimah jadi demikian kerana kegagalan suaminya warga Iran bernama Ferdoun Ashanian mendidik dan membimbing Siti Fatimah. Kesalahan dan tangungjawab juga diletakkan atas bahu Majlis Agama Islam Pulau Pinang, kerana gagal menjaga amanah dan menjalankan tanggungjawabnya.

Justeru kita ingin tanya apakah ada peruntukan dalam undang-undang syariah untuk menghukumkan si suami dan juga institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Pulau Pinang itu?

Persoalan sekarang ini apakah semudah itu untuk membuat keputusan yang tentunya rumit dan menimbul berbagai-bagai implikasi itu. Apakah Hakim tidak ada budibicara ataupun kuasanya selaku Hakim (Islam) untuk mempertahankan Siti Fatimah itu daripada meninggalkan Islam. Apakah dengan melihat atau bukti bahawa beliau telah mengamalkan agama asalnya maka beliau dibenarkan pulang ke agama asalnya? Begitukah?

Barang kali tidak wajar di sini kalau kita bertanya apakah peranan dan tanggujawab hakim dan mahkamah dalam menjaga penganut Islam. Apakah hakim dan mahkamah tidak mempunyai peranan langsung bagi menjamin penganut agama Islam selamat dan terbela selain daripada melaksanakan proses keadilan!

Keputusan yang dibuat itu tentulah berdasarkan undang-undang dan peraturan. Maka atas dasar kepentingan Islam ia jelas ianya nampak longgar. Undang-undang syariah seolah tidak mempertahankan penganutnya daripada murtad.

Walhal kita tahu undang-undang Islam berhubung dengan murtad amat tegas dan jelas sekali. Mengikut Mazhab Syafie seseorang murtad hukumnya bunuh. Justeru undang-undang atau lompongan yang memberi ruang itu perlulah diperbetulkan bagi menjamin kesucian Islam dan maruah umatnya.

Kita tidak menyuruh Islam membunuh mana-mana penganutnya yang murtad. Tetapi natijah dan ketegasan daripada undang-undang itu seharusnya dihormati dan digalangganti dengan ketegasan, keberanian dan kebijaksanaan hakim dalam menjaga seseorang yang telah memeluk Islam itu agar kekal di dalam agama Islam selama-lamanya.

Kita bimbang dengan adanya kes contoh begitu ia akan menjadi ikutan. Selepas ini mahkamah syariah yang mendengar kes yang sama akan mengikut atau menjadikan keputusan Mahkamah Syariah Pulau Pinang sebagai panduannya. Kalau ini berlaku betapalah kedudukan Islam, kedudukan umatnya tidak terkawal dan terjamin lagi.

Kalau kesilapan dan kenaifan ini tidak diperbetulkan saya yakin selepas ini akan ramai lagi 'Siti Fatimah' berbuat demikian. Keluar dan masuk Islam akan jadi seperti keluar dan masuk tandas sahaja! [wm.kl 1:10 am 09/05/08].

Thursday, May 8, 2008

Susupan Pagi

Mencungkil Maksud Mahathir

APAKAH maksud dan tujuan Mahathir Mohamad menyebabkan beliau bermadah mengatakan situasi BN sekarang ini berbahaya? Apakah beliau mahu agar Umno melakukan sesuatu bagi menyelamatkan kerajaan BN? Bahawa beliau ada motif di sebalik kata-katanya itu.

Menurut Mahathir keadaan kerajaan hari ini merbahaya dan beliau merasakan dakwaan Anwar Ibrahim yang membayangkan ada ahli Parimen BN akan lompat parti sebagai serius dan jangan diabaikan.

Justeru Umno harus bertindak. Apakah tindakan itu beliau maksudkan dengan melakukan peralihan kausa dengan segera, daripada Abdullah Badawi kepda Mohd Najib Razak? Begitukah.
Dan selamatkah kerajaan hari ini kalau ianya ditukar kepada Najib?

Ataupun kata-kata itu jujur dan iklas. Bahawa Mahathir sudah dapat menghidu apa yang sedang berlaku dalam kerajaan dan Umno hari ini. Kalau Mahathir sudah dapat menghidunya, ini bermakna pertukaran kerajaan akan benar-benar berlaku dalam masa terdekat. Apakah 16 September tarikh yang digimikkan Anwar menjadi kenyataan.

Di Parlimen semalam, wakil Kimanis Anifah Aman sudah bercakap macam nada pembangkang. Beliau secara teang-terang menyebut secara bersimbolik tidak ada guna berada dalam Kerajaan kalau hanya setakat menumpang. "Tidak guna berada di dalam banglow kalau duduk dalam tandas," katanya.

Hanifah Aman disebut-sebut antara ahli Parlimen yang akan bersama pembangkang.

Yang menjadi tanda tanya kenapa Mahathir bersusah payah menasihati Umno agar berwaspada. Apakah beliau takut sekiranya berlaku pertukaran kerajaan nanti beliau akan menerima padahnya? Takut didakwa dan diseret ke mahkamah? Begitukah.

Isu mengenai ini menjadi menarik apabila Mahathir juga turut bercakap mengenainya. Sebelum ini Tengku Razaleigh Hamzah juga menyatakan yang sama. Menurut Ku Li beliau merasakan dakwaan Anwar itu ada asasnya. Tetapi tidak ramai peduli kepada kata-kata Ku Li itu. Ia lebih dilihat sebagai ancaman kerana Ku Li ada kepentingan, nak bertanding merebut jawatan Presien.

Pandangan kedua tokoh politik itu (Mahathir dan Ku Li) berbeza dengan pandangan orang muda. Orang muda dalam Umno dan BN masing-masing mengatakan ianya gimik saja. Hishmuddin Hussein mendakwa kenyataan Anwar itu tidak berasas.

Jelas di sinilah yang dapat membaca makrifat politik adalah orang tua. Orang muda dalam Umno asyik syok sendiri dan masih beranggapan Anwar sudah tidak berguna lagi. Satu perkembangan yang menarik dan masih lagi belum terdedah umum ialah mengenai hubungan dalaman antara Anwar dengan Abdullah. Apakah Mahathir sudah mengetahui hal ini? Bersambung... [wm.kl 9:10 am 08/05/08]