Friday, November 7, 2008

Celoteh Murai 13

Mengapa Muhyiddin Cakap Bahasa Inggeris?

MURAI kurang pasti dan kurang periksa apakah orang lain sedar atau tidak. Tetapi Murai sedar mengenai kejadian ini. Perihal Obama Muhyiddin Yassin tampil dalam siaran berita Buletin Utama TV3 yang bercakap dalam Bahasa Inggeris. Hilang pelek dan telor Jawa bila Muhyiddin speaking.

Apakah ianya disengajakan oleh TV3 menyiarkan kenyataan akhbar Muhyiddin dalam bahasa Inggeris untuk mencemarkan Muhyiddin atau memang Muhyiddin akhir-akhir ini bercakap menggunakan bahasa Inggeris? Selalunya begitulah pemimpin kita termasuk menteri ketika memberi kenyataan akhbar suka menggunakan dua bahasa, Inggeris dan Melayu.

Kalau Anwar Ibrahim dia akan mendahului kenyataan dalam bahasa Inggeris baru bahasa Melayu. Nampak layanan double standard kepada bahasa Melayu. Begitu juga kalau wartawan Mat Salleh nak adakan temujanji cepat-cepat dilayannya.

Mereka berbuat begitu kononnya untuk memberi peluang kepada wartawan Melayu yang tidak berapa faham orang putih. Itu mungkin pandangan Anwar. Ini Murai akui, sebab kadang-kadang wartawan Melayu tidak begitu fasih dengan istilah politik dalam bahasa orang putih.


Misalnya political animal, ada yang menganggap politik itu binatang. Disebabkan politik itu kata nama, maka pemakai kata nama itulah binatang, seperti ar...ar katak misalnya! Jadi orang politik itu bagi mereka ialah binatang. He he... bukan he he... Murai kenapa pakai cip...cip... cip...

Sudah tiga kali Murai menonton Muhyiddin bercakap orang putih dalam TV3. Bukan main lagi bergaya, terangkat-angkat keningnya macam Ziana Zain menyanyi lagu Madah Berhelah. Terkumit kumit mulutnya, macam orang tua terminum air panas! Hebat. Sengau Jawanya hilang langsung. Kalau orang Muar dengar tanpa tengok wajah tentu beranggapan yang bercakap itu George W Bush atau kegilaan baru Obama. Obama Muar!

Kenapa begitu? Kenapa harus bercakap orang putih dalam TV3? Apa buruk sangatkah untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Kurangkah istilah bahasa Melayu. Harap-harap Johan Jaaffar juga orang Muar yang jadi Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) peka mengenai hal ini. Tolong arahkan DBP agar buat istilah politik atau ekonomi banyak mungkin dalam bahasa Melayu.

Apakah kerana Muhyiddin pegang Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri maka dia kena bercakap orang putih kepada wartawan surat khabar Melayu. Inilah yang menyebabkan Murai tidak faham dari dulu sampai sekarang. Kononnya kita ingin daulatkan bahasa Melayu, suruh orang kampung belajar bahasa Melayu, tetapi menteri sendiri tidak mahu menggunakannya. Semacam tidak ada stail kalau menggunakan bahasa Melayu.

Barangkali itulah juga yang berlaku kepada Muhyiddin Yassin. Bahasa Melayu tidak standard, (tidak ada darjah/nilai/mutu), tidak global dan tidak glokal. Apa lagi dalam persiapaan untuk jadi Timbalan Perdana Menteri, timbalan kepada Obama Najib harus kena cair bahasa Inggeris. Kena tahu slig Mat Salleh yang betul. Begitulah mungkin yang beliau fikirkan.

Kalau begitulah fahaman orang politik kita betapa dangkalnya mereka. Selagi mereka meletakkan bahasa ibunda sendiri di kaki dan menjunjung bahasa orang lain sampai bila pun bahasa ibunda akan jadi bahasa kelas dua. Bermaknaya... bermaknanya... apa yang dilakukan oleh pemimpin hari ini adalah satu hipokrasi sahaja. Satu kepuraan-puraan namun hakikatnya mereka tidak serius.

Sebab itulah dasar dan polisi kerajaan termasuk dasar bahasa kebangsaan tidak berjaya walaupun ianya sudah diperjuangkan sejak lebih 50 tahun lalu. Orang yang mengkhianati dan memperlekehkan bahasa Melayu ialah orang seperti Muhiddin Yassin itulah.

Murai: Dari dulu sampai sekarang menggunakan bahasa ibunda walaupun nak menyumpah si Saleintia itu.
[wm.kl. 7:00 pm 07/11/08]

Marah Jumaat

Saya Mahu Cabar Orang Melayu!

SUDAH berdengung telinga kita bila bercakap fasal Melayu. Ketuanan Melayu, politik Melayu, budaya Melayu, Bahasa Melayu dan entah apa-apa saja mengenai Melayu termasuk tahi Melayu. Paling berdengung ialah sikap panas-panas tahi ayam orang Melayu. Sikit-sikit kalau bercakap fasal Melayu maka terbitlah kata peninggalan entah wujud entah tidak kononnya ditinggalkan oleh Hang Tuah; tak akan hilang Melayu di dunia!

Sikit saja timbul mengenai fasal Melayu maka latahnya jadi berkawah-kawah. Masing-masing Melayu melompat dan mengamuk hendak membela kedudukan mereka. Terhunuslah keras di dinding dan keris dalam kain.... Macam-macam sudah kita ada badan atau organisasi membela Melayu. NGO sudah beratus, badan bertindak pula wujud macam cendawan selepas hujan.

Hujan belum turun, berbunyi suara katak saja, NGO atau badan betindak sudah wujud. Semuanya untuk membela, mempertahan, memperkuat, mempersatu, memperkasa dan entah apa-apa mem... lagi untuk Melayu. Walhasil balik asal semuanya nihil kabe nihil...

Jika diperiksa dan dicheck mereka yang duduk dalam NGO atau barisan bertindak itu orang yang sama. Muka tu juga. Cuma mereka tukar nama dan salin baju saja. Kalau diwarung pakai t shit dan jens bila jumpa raja pakai baju cekak musang dan bersamping. Samping itu pun pinjam dari butik!

Hati, pedal dan perut, semuanya sama. Sebab itulah, buatlah berjuta NGO atau badan bertindak natijahnya sama saja. Panas setakat pukul enam petang saja, lepas jam 11 malam, bila jumpa anak bini atau diberikan tea tarik secawan dengan roti kosong mamak yang sudah basi semuanya jadi sejuk dan lemah longlai.

Apa nak jadi dengan Melayu hanya Tuhan saja yang tahu.

Terbaru, sekumpulan Melayu, saya yakin separuhnya orang Umno dan bekas Umno telah menghadap Duli Yang Maha Sultan Perak menyerahkan memorandum menyokong pernyataan khas yang dikeluarkan oleh Raja-Raja Melayu di Terengganu baru-baru ini.

Memorandum itu menyatakan sokongan kepada kenyataan Raja-Raja Melayu. Bagi saya kerja itu membuang masa sahaja. Tidak payah serah memorandum lagi kerana kerja dan tanggungjawab menjaga Melayu itu adalah tanggungjabwab bersama. Raja Melayu sudah pasti akan bertanggungjawab menjaga Melayu. Kalau tidak masakan ianya di namakan Raja-Raja Melayu. Kalau tidak mahu jaga Melayu namakah saja Raja-Raja Malaysia.

Hairannya kenapa pula Raja dan Sultan pun perlu diberi ingatan? Apakah kesemua Raja-raja Melayu pelupa tersampuk penyakit nyanyuk?. Menjadi bangsa yang mudah lupa seperti mana kata Mahathir Mohamad?

Sebenarnya tidak payah berarak menyatakan sokongan. Secara automatik sesiapa sahaja orang Melayu atau merasakan darahnya Melayu kena sokong dan kena pertahankan Melayu. Apabila kita tiba-tiba jadi sibuk macam kucing jatuh anak setiap kali orang perkatakan dan ungkitkan soal Melayu, seolah kita tidak tahu selama ini apakah peranan dan kewajiban kita. Kita tidak tahu apakah yang harus kita lakukan.

Pada masa ini berarak dan meluahkan kemarahan bukan caranya lagi. Apa yang patut dilakukan ialah tindakan dan perbuatan. Ini yang penting. Kita ada kuasa, gunakan kuasa. Dalam era manusia jadi gila dan mabuk, budibicara dan lemah lembut, nasihat sudah tidak diperlukan lagi. Manusia hari ini boleh dilentur dengan undang-undang (hukuman) bukan lagi nasihat!

Kalau dikatakan Melayu bodoh, marah! Dikataknya kita kurang garam dan tidak beradab. Kalau agak keras dan lantang dibilangnya kita perkauman dan dicas di bawah akta hasutan! Kalau dikatakan tidak cerdik, kuranglah marahnya. Begitulah Melayu boleh disejukan dengan bahasa dan kiasan. Sebenarnya Melayu ini bodoh dan tidak cerdik. Kurang akal dan banyak beretorik. Sama-samalah kita menerima hakikat ini tanpa rasa segan dan kesal.

Kerja-kerja mempertahankan Melayu itu dibuat secara bermusim dan bukan istiqamah. Tindakan juga lebih kepada untuk mencari political milaege sahaja. Untuk dapatkan modal politik. Apa lagi di saat-saat hendak bertanding merebut jawatan tetinggi dalam Umno ini semuanya nak tunjukkan diri sebagai hero dan pahlawan Melayu. Semua kononnya keturunan Hang Tuah, Datuk Lela, Datuk Sago, Mat Kilau, Tok Janggut dan lain-lain.

Mereka yang mempertahankan Melayu bukan suci dan ikhlas niatnya. Tetapi mereka mahu menjadikan modal politik. Inilah orang Melayu yang oportunis dan munafik kepada dirinya sendiri dan bangsanya sekali.

Semua itu karut belaka. Begitu juga sebahagian yang menghadap Sultan Perak menyatakan sokongan itu pun karut dan munafik. Merekalah munafik Melayu! Bukan semua sesetengah sahaja, muka mereka boleh dicamkan. Semangat Melayu bukan main lagi tetapi perangai lebih teruk macam orang tidak tamadun. Usah ambil banyak contoh ambil saja dalam gelanggang politik.

Politik wang dan rasuah itu bukan budaya Melayu. Melayu sangat benci kepada perbuatan tumbuk rusuk. Tapi tengok apa yang berlaku dalam politik Umno hari ini. Hari-hari orang cakap fasal rasuah. Pemimpin Umno pula sampai ada yang bergadai bergolak kerana nak dapatkan wang untuk menjamin dipilih dalam mesyuarat cawangan dan bahagian. Malah ada yang bawa wang dengan kapal terabng. Kalau tak hulur wang sesen dua belum tentu akan dicalonkan, menang masih jauh lagi.

Bagi saya formulanya senang saja kalau Melayu benar-benar nak jaga Melayu. Pertama, Melayu kena berpakat jangan bercakar macam anjing dengan kucing. Buang perangai anjing dan kucing. Kalau kucing dan anjing sudah lama membuang tabii mereka kenapa tidak dengan manusia Melayu Pas dan Melayu Umno.

Politik orang Melayu kena satu jangan ada dua atau tiga. Cadangan untuk bubarkan Pas dan Umno, seperti mana kata Tok Guru di Kelantan itu adalah tepat; bubar Umno, bubar Pas dan wujudkan satu parti. Tambak Berlin sudah lama dirobohkan untuk menyatukan Jerman.

Dulu saya mengira baik kalau orang Melayu ada banyak parti macam orang Cina; ada DAP, MCA, Gerakan dan lain-lain. Tetapi kerana kebodohan akal orang Melayu, cara itu nampak tidak boleh dan menjamin keuntuhan orang Melayu. Lagi banyak parti lagi banyak celaru dan harunya. Bertambah-tambah politikingnya.

Orang Melayu tidak sebijak orang Cina dalam berpolitik. Mereka (Melayu) akan mempertahankan parti mereka macam mempertahankan agama. Bila masing-masing mempertahankan parti sebagai agama inilah yang mencelarukan. Sebab itu satu masa dulu ada orang Melayu menganggap kalau memilih parti lain dari parti mereka orang itu dituduh kafir atau pun disifatkan sebagai menderhaka.

Bila sudah jadi satu barulah boleh sepakat. Tetapi ini tidak mungkin berlaku. Orang Pas dan Umno masing-masing degil dan keras kepala. Masing-maisng yang Melayu berusaha nak menegakkan tenaga batin yang lemah. Sebab itulah bangsa paling suka mencari penawar dan herba bagi menguatkan semangat ialah Melayu. Walhal penyatuan kedua parti ini penting. Sebab apa-apa pun keduan parti inilah yang menjadi ikon orang Melayu. Kalau mereka bersatu maka akan bersatulah Melayu dan kedudukan Melayu akan jadi kuat.

Saya tidak pastikan apakah Melayu berbangsa Umno dan Melayu berbangsa Pas menyedari akan kerugian disebabkan tindak tanduk mereka itu. Kenapa bangsa lain jadi besar kepala menuntut itu dan ini kerana Melayu berpecah. Kalau Melayu kuat, bersatu, tidak ada ruang untuk apa-apa anasir masuk mencelah kemudian membelah seterusnya memerintah.

Dengan ada dua puak, Umno dan Pas maka mereka mencari ruang dan mengambil kesempatan. Merekalah menjadi syaitan, sepuak menghasut Pas dan sepuak lagi meghasut Umno. Tujuan mereka mahu melihat Umno dan Pas bergaduh dan bila keduanya berkekah, (bergaduh) senanglah untuk mereka menguasai keadaan atau bermain tarik tali. Unsur ini tidak disedari kerana orang Pas dan Umno tidak mengamalkan membaca surah al-Ikhlas!

Apakah Melayu Pas dan Melayu Umno sedar hakikat ini? Saya tidak nampak kalau hanya setakat NGO yang keahliannya berapa kerat saja itu menuntut kepada penyatuan Melayu ia akan membawa kejayaan. Buatlah berapa banyak NGO dan badan bertindak ia tidak membawa kejayaan. Selagi Umno dan Pas tidak bersatu maka selama itulah perpecahan akan berlaku.

Mungkin pada perkiraan saya orang Melayu suka kepada perpecahan kerana hasil perpecahan itu beberapa kerat dari mereka mendapat keuntungan. Mereka yang untung itulah keturunan Mandaliar, Patih Karma Wijaya dan sejenis dengannya manakala yang bakal menanggung kerugian adalah anak cucu cicit sang Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kadok dan bangsa sejenis dengannya. [wm.kl 11:45 am 07/11/08]

Berita Jumaat

Mahkamah Bebas Raja Petra Kamarudin

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan Raja blogger Malaysia, Raja Petra Kamarudin daripada terus ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Raja Petra yang tidak berpuas hati dengan penbebasan itu telah mengemukakan habeas corpus di mahkamah. Pembebasan itu menjelaskan bahawa penahanan Raja Petra 12 September lalu tidak sah dan tidak mengikut undang-undang.

Sebuah laporan dipetik Raja Petra akan dibawah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam lewat petang ini untuk pembebasan. [wm.kl 11:00 am 07/11/08]

Thursday, November 6, 2008

Ulasan Semasa

Mencari Obama Malaysia

BARACK Obama sudah boleh duduk selesa dan tidur nyenyak. Beliau telah pun menang sebagai presiden Amerika Syarikat ke-44 mengalahkan calon parti Republikan, John McCain. Dalam uisa 48 tahun jantan kulit hitam itu mencipta sejarah sebagai orang kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika. Syabas!

Ramai orang tumpang gembira dengan kemenangan Obama. Orang ramai dari seluruh dunia seolah turut membuat perubahan ke atas Presiden Amerika kerana terlalu benci kepada dasar luar dan tindakan ganas George W Bush.

Nampaknya semua pemimpin negara dunai dan Malaysia memberi pengharapan tinggi kepada Obama. Mudah-mudahan Obama akan dan mampu melakukan semua yang dijanjikan dalam manifesto kempennya.

Dua perkara besar yang ditunggu oleh dunia untuk diperhatikan oleh Obama. Pertama mengenai permukiman tentera Amerika di bumi Iraq dan Afghinstan. Dan kedua usaha untuk memulihkan ekonomi / kewangan Amerika yang dalam keadaan tenat kini.

Obama berjanji dalam tempoh 16 bulan beliau menjadi Presiden Amerika beliau akan menarik balik tentera Amerika di Iraq. Bagaimana pun beliau akan mengukuhkan kedudukan tentera Amerika di Afghanistan. Tentunya tindakan kedua Obama itu berbau pengkhinatan dan kegagasanan yang dimulai oleh George W Bush.

Sudah pasti sekiranya Obama tidak melaksanakan janji atau komitmen ini dan terus mengekalkan memperkuatkan kedudukan tentera Amerika di Afghanistan lama kelamaan pemujaan umum kepada beliau akan pudar. Apa lagi kalau beliau memungkir janiji ini Obama boleh dibenci dunia dalam sekelip mata sahaja.

Bagaimana pun Amerika Syarkat sudah pun selesai membuat pemilihan pemimpin baru mereka. Tetapi bagaimana dengan Malaysia. Malaysia juga sedang mencari dan menunggu kehadiran Obama baru mereka selepas Obama tua akan berundur dan mengaku kalah pada Mac depan!.

Mohd Najib Razak dikala ini dianggap akan menjadi Obama Malaysia apabila dijangka mengangkat sumpah sebagai PM pada Mac depan. Hari ini dalam proses pemilihan presiden ala Umno penuh dengan tipu daya dan rasuah Najib sudah mengenepikan Obama bernama Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimana pun sambutan dan pengalu-aluan ke atas kemenangan tidak bertanding Najib itu tidak sehebat dan semeriah sambutan ke atas kejayaan Obama Amerika. Ramai yang sangsi kemurinian dengan kemenangan Najib itu.

Lantaran kelesuan itu menyebabkan ada pendapat mengatakan Najb tidak akan sempat menjadi Obama Malaysia. Kalau Babark Obama sudah pasti akan mengangkat sumpah dan memasuki Rumah Putih 1 Januari depan, Najib belum tentu lagi akan mengangkat sumpah dan memasuki Putrajaya pada Mac depan.

Perkembangan terakhir ini ada tanda-tanda dalaman Umno ingin menyingkir Najib. Sejauh mana ia benar tetapi itulah bisik-bisik yang sedang dilakukan. Obama tua, Abdullah Ahmad Badawi dikatakan akan membuat beberapa kejutan terhadap Najib sehingga orang ramai hilang kepercayaan dan keyakinan Najib akan jadi PM.

Obama Abdullah juga dikatakan akan membuat rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat untuk mengganti beberapa orang pemimpin MCA yang kalah dalam pertandingan merebut jawatan dalam pucuk pimpinan parti berkenaan. Di kesempatan itu khabaranya Abdullah akan turut sama membuat rombakan ke atas jemaah menteri Umno. Obama Muhyiddin disebt-sebut akan bertukar porfolio! Untuk apa?

Dalam riuh randah Obama Abdullah kononnya akan membuar rombakan Kabinet itu, Obama Razaleigh Hamzah dikatakan dibawa masuk semula? Usaha dan rundingan dengan Tengku Razaleigh sedang dilakukan. Bagaimanapun ikemungkinan ini bukan mudah untuk berlaku. Masakan Obama Razaleigh yang dihancur dan dimalukan itu bersedia untuk diajak berunding.

Bagaimana pula dengan Obama bernama Anwar Ibrahim? Tangap 16 September yang sepatutnya Anwar angkat sumpah jadi PM sudah pun berlalu. Anwar tidak sempat menjadi Obama pada tarikh itu sebab tidak ada Obama-Obama kecil yang sedia dan sanggup menjadi katak dan kanggaroo ataupun Obama ala 40 penyamun dengan Ali Baba.

Sesiapa pun bakal menjadi Obama Malaysia dia hendaklah seperti Babark Obama Amerika itu. Seorang yang optimis, bersemangat dan dapat membaca kehendak semua lapisan masyarakat. Babark Obama mempunyai kelebihan ini. Meskipun beliau kulit hitam namun politiknya berjaya meyakinkan orang kulit putih menyokongnya. Obama Amerika berjaya menyisihkan pandangan hina orang kulit putih kepada kulit hitam. Obama itu berjaya menghapuskan diskriminasi kaum.

Itulah pemimpin sebenar namanya. Mempunyai kemampuan, kekuatan dan rahsia untuk mengubah hati dan jiwa manusia. Dalam perhatian saya Obama Malaysia yang mampu berbuat demikian ialah Anwar Ibrahim menerusi pendekatan politik barunya. Walaupun usianya tua, namun poltik Anawar tetapi berjiwa muda.

Obama Najib, usianya muda tetapi politiknya terikat dengan konservetif dan nasionalis Umno. Najib tidak akan berjaya memudakan politik Malaysia selagi beliau tidak merombak paradigma lama dalam Umno. Saya yakin sekiranya dalam pilihan raya akan datang Umno diketuai Najib Umno akan ditolak oleh pengundi muda.

Walaupun Najib sudah berusaha ke arah itu awal-awal lagi beliau sudah ditentang. Tengok percakapannya untuk menghapuskan DEB secara perlahan-lahan, beliau sudah ditentang. Sudah ada perakan mini membantah langkah Najib.

Jadi siapakah Obama Malaysia? [wm.kl 3:00 pm 06/11/08]

Tuesday, November 4, 2008

Cerita Rasuah

Wang Rasuah RM750 Juta Dibawa Dengan Jet Persendirian

SEBAIK Parlimen berhenti rihat tengah hari tadi, seorang kawan ajak untuk makan tengah hari di luar. Pekena kepala ikan kari. Mula janji nak makan dengan seorang ahli Parlimen Pas, kebetulan YB itu kena uruskan bininya, temujanji itu dibatalkan.

Tempat kepala ikan bukan jauh sangat. Tetapi kerana jam, perjalanan memakan masa hampir satu jam. Dalam tempoh satu jam, macam-macam yang sempat dibualkan.

Kawan itu bertanya apa yang saya postkan dalam blog hari ini (semalam). Rupanya kawan ini belum lagi jenguk blog saya. Dia adalah antara penjenguk setia blog saya. Begitulah dakwanya.

"Belum baca lagi?" tanya saya dan terus memberi tahu bahan yang dipostkan pagi tadi sebelum turun rumah menuju Parlimen. "Umno sebuah universiti rasuah," kata saya.

Kawan itu ketawa besar. Ketawa ala orang Umno, kaya, berkuasa dan tidak hairan kepada sesiapa. Kalau nak dengar gaya orang Umno ketawa silalah ke coffee house. Dia ahli Umno yang tegar dan tebal dengan cauvinis Melayu. Dua lagi kawan hanya diam membisu. Kawan di sebelah tersenyum, dia sudah membaca catatan saya pagi ini. "Betul yang kau tulis, Umno sudah teruk," balas kawan di sebelah mengiyakan apa yang saya luahkan dalam tulisan.

"Memang Umno sudah berada di peringkat paling (dia menekankan suaranya) palinggggg....parah.! Parah... Ti..." katanya terus memandu di celah-celah kesesakan lalulintas. "You tahu berapa wang yang digunakan pada setiap persidangan Umno bahagian," kata kawan itu. Semua telinga tertumpu kepada cerita kawan ini.

"Ha berapa?' tanya kawan yang berada hadapan penuh minat.

"Banyak... *** **, banyak. Untuk satu kawasan di Kelantan dia orang minta RM150.00 untuk seorang perwakilan. Cuba kali dengan 500 perwakilan, sudah jadi RM75,000. Kalaulah semua bahagian meminta jumlah itu berapa yang harus kena bayar?," katanya.

"Itu harga paling rendah, tetapi ada sesetengah perwakilan dibayar hingga RM500 sampai RM1,000 seorang. Bayangkanlah..." katanya kawan itu lagi kesal.

"Iya ke...!?" tanya kawan itu hairan.

"Iya... I tahu I terlibat. Dalam satu bahagian I berjumpa dengan orang bahagian, setiausaha ada, ahli jawatakan kuasa PUN ada. Mereka berterusn terang kalau bagi sekian-sekian baru mereka akan calonkan... kalau tak dak... maka tak daklah," jelas kawan itu lagi yang mengakui telah turun ke 80 bahagian Umno sejak dua tiga bulan Lepas kagi. Apa yang dicakapnya mungkin betul sebab dia adalah pengurus kempen kepada seorang calon jawatan tertinggi.

"Kalau macam ni teruklah Umno," tekan kawan di hadapan bimbang.

"Memang sudah teruk. Umno sudah punah jahanam," kata kawan itu lagi. Saya dan kawan di belakang hanya jadi tukang dengar.

"Dari mana dia orang dapat duit begitu banyak?" tanya kawan di hadapan buat-buat tidak tahu.

"Inilah *** **, kerja Umno. Umno sudah nak menjual negara ini. Semua pakai duit..." dia berhenti kerana sebuah kereta melintas liar di hadapannya. "Cis.... ha ini orang Umnolah ni... kalau orang Pas dia tak bawa kereta macam ni...," sumpah kawan itu marahkan kereta yang tidak beradat.

"Macam mana you cam orang Umno," tanya saya.

"Hai... Ustaz.... takkan tak kenaL!" kawan itu memperli saya dan terus bercerita.

"*** ** tahu macam mana dia orang bawa balik duit dari luar negera? RM750 juta....duit dari Switzerland dibawa balik.... " Kawan itu terngangga dan saya juga terkejut. Percaya dengan tidak bercampur gaul.

"Macam mana tu? Mana boleh bawa begitu saja?" tanya kawan di sebelah saya yang hanya diam membisu. Sejak tadi asyik menggaru-garu gatal dibetisnya.

"Dia orang ada kemudahan *** **. Duit itu diangkut ke Singapura. Semua duit dalam not Singapura. Dibawa masuk dengan menggunakan jet tentera!"

"Ha..." kawan itu terkejut beruk sekali lagi.

"Jet tenteraaaa....*** **. Kalau dah masuk dengan jet tentera.... sapa nak ganggu? Begitu juga orang yang ke Switzerland tu pakai jet persendirian..... Ini Umno... bukan Pas!" jelasnya lagi.

Saya tidak terbayangkan dengan apa yang diceritakan kawan itu. Dalam hati berdoa semoga ianya tidak benar. Kalaulah begitu lagak Umno tidak ada apa yang boleh diharapkan lagi. Suara untuk menghapuskan politik wang hanya sia-sia sahaja. Ia hanya sebuah retorik yang panjang saja.

Kalau dengar cerita para taukeh judi melambakkan duit kepada tokoh-tokoh tertentu yang hendak bertanding dalam pilihan raya memang biasa dan pernah nampak dengan mata sendiri. Kerja angkut duit dalam karung guni macam penyamun memang dibuat oleh Umno pun.

Sesampai di restoran kepala ikan kami baham dua ketul kepala ikan sebesar buah kelapa muda. Kelazatan dan kesedapan kari kepala ikan menyebabkan cerita tentang bagaimana wang sebanyak RM750 juta dikatakan dibawa masuk itu sudah tidak ingat lagi. Sambil makan terbetik dalam hati saya, jangan-jangan wang yang hendak dibayar kepala ikan itu nanti juga termasuk wang RM750 juta itu. Jangan! [wm.kl. 10:00 pm 04/11/08]

Lapor Terus Parlimen

Giliran Pembangkang Pula Keluar Dewan

KESEMUA ahli Parlimen dari pembangkang bertindak keluar Dewan semasa Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak membentang pelan pemulihan ekonomi yang bernilai RM7 billion.

Pembangkang mengambil tindakan itu apabila Najib enggan memberi laluan kepada mana-mana ahli Parlimen untuk mencelah semasa beliau membentangkan pelan berkenaan. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan beberapa ahli Parlimen lain cuba membantah dengan mengemukakan peraturan Dewan tetapi tidak dilayani oleh Speaker.

Satu ketika keadaan menjadi riuh randah sehingga Spekaer, Pandekar Amin Mulia mengancamkan untuk memerintahkan mana-mana ahli Parlimen yang terus membantah arahannya agar keluar dewan.

Menurut Anwar peraturan yang dikenakan Speaker tidak membenarkan ahli Parlimen mencelah semasa Najib membentangkan pelan itu adalah satu keganjilan dan tidak pernah berlaku dalam Parlimen sejak 50 tahun lalu.

"Sepanjang 50 tahun lalu tidak pernah Parlimen tidak membenarkan ahli Parlimen mencelah,"ujar Anwar dengan nada kecewa.

Walaupun Najib bersedia untuk menjawab sebarang persoalan dibangkitkan selepas beliau selesai membetangkan pelan berkenaan, namun ahli Parlimen tetap tidak berpuas hati kemudian bertindak keluar Dewan.

Semasa Najib membentangkan pelan berkenaan calon Bebas dari Pasir Mas mengikutinya dan turut membangkitkan persoalan sebaik Najib seesai membentang pelan berkenaan.

Kedengaran jeritan semasa ahli Parlimen Bebas itu mengemukakan pandangan itu meminta agar beliau kembali ke dalam Umno.... "balik jadi ketua bahagian..." Ahli Parlimen itu adalah bekas ahli Umno bahagian Pasir Mas. Keahliannya dipecat pada tahun 2004.

Pada pilihan raya lalu beliauy bertanding menggunakan lambang Pas bulan purnama penuh dan menang dengan majoriti yang mewah.

Tindakan pembangkang memulau ucapan Najib itu dikira adil dan sebagai membalas tindakan ahli Parlimen Kerajaan semasa Ketua Pembangkang itu bahas Bajet 2009 lalu di mana hampir kesemua menteri, timbalan menteri tidak berada di dewan termasuk Menteri Kewanagan, timbalannya.

Hanya beberapa ahli Parlimen BN saja yang berada di Dewan untuk menggangu dan mengacau perbahasan Anwar yang memakan masa selama lima jam. [parlimen. 6:50 pm 04/11/08]

Lepas Rasa

Umno Sebuah Universiti Rasuah

RASUAH dalam Umno diperkatakan dimana-mana saja. Fenomena ini memburuk dan menghanyirkan parti Melayu itu. Saking kuat dan hebatnya percakapan mengenai rasuah menyebabkan seolah-olah Umno sebuah parti rasuah, bukan parti Melayu lagi. Umno jadi institusi rasuah, bukan lagi bertaraf sekolah atau kolej tetapi sudah sampai ke taraf universiti. Umno sebuah universiti rasuah!

Akar umbi rasuah dalam Umno berlaku pada atau ketika pemilihan pemimpin di semua peringkat. Kerana ingin tempat dan kedudukan ahli Umno sanggup melakukan rasuah, beri dan terima. Rasuah berlaku dari sekecil-kecil perebutan jawatan hinggalah ke peringkat tertinggi.

Bezanya di cawangan nilai rasuah kecil berbanding diperingkat kebangsaan. Di cawangan rasuahnya berupa pemberian material kain atau makanan seperti pelikat, batik jawa, gula, biskut atau membelanja makan mee di restoran atau teh tarik dikedai mamak atau warung wak Jawa.

Ahli mesyuarat tingkat peringkat cawangan akan dirasuahkan dengan cara begitu. Manakala diperingkat bahagian pula nilai meningkat sedikit. Perwakilan akan diberikan wang seratus dua menjelang pemilihan peringkat bahagian. Sebelum itu perwakilan dirasuahkan dengan lawatan sambil belajar, atau melancung (termasuk melacur sekali) ke luar negeri, Phuket, Medan, Bantam atau paling jauh di Jakarta.

Tahap rasuah itu menjadih lebih besar dan grand lagi bila sampai di peringkat nasional, dalam pemilihan pucuk pimpinan parti. Perwakilan bukan lagi diukur setakat seratus dua tetapi ribuan ringgit. Tempat dibawa untuk lawatan bukan lagi di Indonesia atau Thailand, tetapi sampai ke London, Australia dan Makkah. Tidak hairanlah kalau ahli Umno menjadikan musim pemilihan sebagai musim untuk mencari rezeki tersepak serta melancung ke luar negeri atau kawasan.

Pernah seorang perwakilan memperolehi pendapatan sehingga RM50,000 pada satu musim pemilihan peringkat kebangsaan. Bayangkan betapa lumayan dan senangnya perwakilan berkenaan, boleh memiliki Proton baru secara bayaran tunai. Cerita dan pengakuan ini bukan dongengan tetapi realiti dalam parti bernama Umno yang dulu ianya ditubuh dengan menggunakan wang dan titis peluh rakyat marhaen.

Sekali dengar tidak logik bagaimana perwakilan mendapat sebanyak itu! Macam dibuat-buat hendak burukkan parti Melayu itu saja. Formula bagi perwakilan itu mendapat sebanyak itu senang saja dan ini dipraktikkan oleh kebanyakan perwakilan yang celit huruf dan celit komputer.

Misalnya kalau ada pertandingan untuk sesuatu jawatan itu melibatkan lima calon (Naib Presiden misalnya) senang-senang perwakilan berkenan akan memperolehi RM5,000 dari setiap calon. Kalau lima calon jumlahnya RM25,000. Mereka bukan ambil dari satu calon saja tetapi dari semua calon.

Itu untuk Naib Presiden, belum dicampur dengan Majlis Tertinggi Umno. MT ada 25 jawatan, yang bertanding melebihi 50 orang. Bayangkan kalau daripada satu calon mereka memperolehi RM1,000 ini bermakna sudah RM50,000. Jumlah itu tidak termasuk rasuah untuk jawatan-jawatan lain Ketua Pemuda, Ketua Wanita atau Ketua Puteri dan juga pendapatan rasuah di peringkat cawangan dan bahagian!

Jadi pendapatan sebanyak RMN50,000 tadi adalah perkara yang tidak mustahil bahkan satu pendapatn dikira sedarhana bagi seseorang perwakilan yang licit dan tahu mengeksploitasikan keadaan.

Sebab itu bagi ahli Umno mereka suka kalau tiba musim pemilihan. Sudah terlekat dalam kepala (menjadi mind set) mereka musim pemilihan musim mencari rezeki dan pendapatan tambahan. Ahli Umno sudah menjadikan musim pemilihan sebagai masa untuk mereka mengorbankan pemimpin parti. Seolah-olah mereka menyertai Umno hanya untuk mendapatkan manfaat berkenaan.

Seorang bekas ahli Umno dalam sebuah bukunya menyenaraikan harga untuk merebut ketua cawangan ialah antara RM2,000 hingga RM3,000. Nilai ahli jawatankuasa bahagian pula RM5,000 hingga RM10,000. Manakala nilai untuk jadi Ketua Bahagian ialah RM30,000 hingga RMN50,000 ribut. Angka ini adalah dipraktik dan dilalui sendiri oleh bekas ahli Umno berkenaan.

Kalau diperingkat terendah sudah berjumlah ribuan ringgit bayangkan bagaimana kalau di peringkat kebangsaan tentu angkanya menelan jutaan ringgit. Berdasarkan kepada pengalaman itu jadi tidak mustahil perwakilan akan memperolehi sehingga RM50,000.

Pendedahan yang dibuat oleh calon Presiden Umno 2008, Tengku Razaleigh Hamzah yang mana ada bahagian meminta RM1 hingga RM2 juta sebagai jaminan untuk mencalonkannya menunjukkan keadaan rasuah dalam Umno sudah parah. Itu setakat untuk mencalonkan saja belum lagi upah atau rasuah untuk undi.

Permintaan rasuah sudah tidak sembunyi-sembunyi lagi tetapi ia dilakukan secara terus terang. Kerana itulah benar bagaimana kata Rais Yatim, jawatan tertinggi dalam Umno wajar dibuka tender. Sesiapa yang mempunyai banyak wang boleh memiliki jawatan menerusi bidalan. Siapa yang membidal dengan cara tertinggi dialah akan memilik jawatan.

Mengambil kira pendedahan Tengku Razaleigh tadi cubalah kira berapa banyak dibelanjakan oleh Mohd Najib Razak untuk mendapat 143 pencalonan. Berapa banyak digunakan oleh Muhyiddin Yassin. Berapa banyak pula digunakan oleh Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo. Yang pastinya pencalonan itu tidak datang percuma melainkan setelah dibeli ataupun dirasuahkan.

Apakah ahli Umno suka-suka dan mencalon Najib dan yang lain-lain itu percuma begitu saja? Mustahil.... mustahil.... dan mustahil... Yang pastinya setiap bahagian yang mencalonkan mereka tentu mendapat imbuhannya atau pun dijanjikan imbuhan. Manakala mereka yang tidak dicalon atau tidak cukup pencalonan bukan tidak merasuah, tetapi nilai rasuah mereka tersangatlah kecil.

Untuk membuang penyakit rasuah dalam Umno ini bukan mudah lagi. Rasuah sudah jadi kenser dalam Umno, tidak ada penawar. Hanya satu cara sahaja bagi memperbaiki Umno ialah dengan memusnahkannya. Umno sudah jadi lembu yang terkena penykit kuku dan mulut, di mana ia tidak boleh dipulihkan melainkan kena musnahkannya. Bawa ke tepi lubang dan tembak!

Orang Melayu termasuk ahli Umno yang sayangkan Umno kena berusaha memusnahkan Umno. Biarkan parti itu kalah, hilang kuasa untuk sesuatu tempoh. Selepas itu berusahlah membangunkannya dengan titik peluk seperti takala ia wujud di dunia ini. Itu saja cara, cara lain sudah tidak ada. Tanpa pemusnahan cara begitu Umno akan terus hilang dan lenyap dari muka bumi ini. Kehilangan Umno tidak bermakna Melayu akan hilang itu hanya mitos orang-orang yang bebal saja! [wm.kl 7:00 am 04/11/08]

Monday, November 3, 2008

Tahniah

Tahniah Najib Anda Bakal Perdana Menteri

SEPERTI mana yang dijangka kehendak akar umbi, kelemahan Abdullah Ahmad Badawi, sistem kouta dan Mahathir Mohamad, telah membantu Mohd Najib Razak untuk menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden Umno 2008. Keempat-empat unsur berkenaan merupakan kombinasi menjadikan Najib menang mudah.

Sekiranya Abdullah tidak lemah dan mengaku kalah awal, belum tentu Najib dapat meraih kemenangan begitu cepat dan mudah. Pengunduran Abdullah disebabkan kerana bimbang takut menanggung malu seperti dialami Ghafar Baba yang dikerjakan Anwar Ibrahim memberi laluan mudah kepada Najib.

Sistem kouta yang diperkenalkan juga turut membantu Najib. Kerana ingin meraih pencalonan sampai 58 bahagian menyebabkan Tengku Razaleigh tersengih gosi dan menjilat jari untuk beradu kekuatan bagi merebut jawatan itu.

Tengku Razaleigh hanya mendapat satu pencalonan saja dari bahagianya sendiri, Gua Musang.

Selebihnya yang turut membantu Najib menang dan berjaya ialah bekas PM, Mahathir Mohamad. Dalam diam Mahathir memainkan peranan dan menanam jarum susuk untuk melihat Najib jadi PM. Bagi Mahathir beliau ada motif tersendiri kenapa Najib perlu ke atas.

Bukan saja untuk membalas budibaik bapak Najib, Tun Razak yang menerimanya kembali ke dalam Umno selepas dipecat oleh Tunku Abdul Rahman selepas beliau menimbulkan kekaluatan kepada Tunku Abdul Rahman sampai PM itu melepas jawatan, tetapi Mahathir juga berharap Najib selepas ini akan mengenang budinya dan membalas dengan melantik Mukhriz menjadi Menteri dan seterusnya mengilap Mukhriz untuk menjadi PM pula selepas ini.

Kemenangan Najib disahkan malam tadi apabila beliau mendapat 141 pencalonan. Adalah dijangka Najib akan memperolehi kesemua pencalonan dari 191 bahagian kecuali Gua Musang.

Kemenangan mudah dicapai Najib itu adalah penerusan kepada kejayaaan demi kejayaan yang dicatatnya sebelum ini. Dalam sejarah politiknya Najib mendapat jawatan dan kedudukan dalam keadaan tanpa susah atau perlu berpeluh berpelai seperti kebanyakan ahli politik. Jawatan dan kedudukan seolah dihulurkan dalam dulang emas kepadanya.

Banyak sejarah yang dicatat dan bakal dicatat oleh beliau. Dalam usia 25 tahun beliau telah dilantik menjadi Timbalan Menteri. Dalam usia 29 tahun dilantik menjadi MB Pahang, dari tahun 1982 hingga 1986. Perlantikan menjadi MB Pahang itu adalah menteri besar paling muda.

Pada usia itu juga beliau menang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno. Tahun 1987 apabila Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Ketua Pemuda memperbaiki kedudukannya dengan bertanding jawatan Naib Presiden, jawatan itu diisi oleh Najib selaku pemangkunya. Dengan tertubuhnya Umno baru ciptaan Mahathir, 1987 beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda.

Tahun 1987 beliau menajak setangga lagi sebagai Naib Presiden Umno. Jawatan dan kedudukan itu kekal sehingga tahun 2000.

Ekoran pemecatan Anwar Ibrahim oleh Mahathir Mohamad memberi peluang keemasan kepada Najib untuk menunju puncak dengan selamat. Apabila Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri 2004, Abdullah melantik beliau menjadi timbalan perdana menteri.

Dengan penglibatan dirinya dalam politik sejak dari remaja lagi, Najib memang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia politik. Beberapa jawatan yang pernah dipegang atau diserahkan kepadanya menjadikan Najib kaya dengan pengalaman itu.

Jawatan politik dalam kerajaan yang dipegang ialah, Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Timbalan Menteri Pendidikan, Timbalan Menteri Kewangan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertahanan dan Menteri Pendidikan.

Kesimpulannya Najib seorang bernasib baik dan bintangnya bersinar banar. Sebelum ini segala cita-cita dan kehendaknya tercapai. Beliau juga berjaya membina empayar dalam politik. Kalau satu yang boleh disifatkan kegagalan bagi Najib dalam hidupnya ialah apabila rumah tangga pertamanya dengan Tengku Puteri Zainah (Ku Yie) yang terpaksa diruntuhkan untuk membina rumahtangga baru bersama Rosmah.

Pun begitu jika dibandingkan rumahtanga mana yang membawa kejayaan dan memberi rezeki banyak kepada Najib ialah rumah tangga dengan Tengku Puteri, kerana dengan Ku Yie Najib mendapat tiga orang anak; Puteri Norlisa, Nizar dan Nazifuddin. Manakala dengan Rosmah beliau dianugerahkan hanya dua orang anak saja; Norashman dan Nooryana di samping beberapa anak tiri. [wm.kl. 7:30 am 03/11/08]

Sunday, November 2, 2008

Silang Pagi

Zulkifli Nordin Serah Surat Tanpa Tarikh Kosongkan Kerusi Kulim- Bandar?

BAGAIKAN yang terang lagi bersuluh itulah yang dapat dikatakan mengenai tindak tanduk ahli Parlimen (yang diselamatkan) Zulkifli Nordin. Beliau hanya menanti masa saja untuk bertindak keluar daripada PKR dan menyertai Umno. Apa yang yang berbangkit mengenai dirinya akan dijadikan peluang bagi menghalalkan niatnya itu.

Saya nasihatkan kepada beliau tidak payah berdendang dengan berbagai lagu dan irama untuk menyertai Umno. Sertai saja, habis cerita.

Apabila Anwar Ibrahim mempertikaikan mengenai kenyataan beliau dalam interviu dengan Utusan Malaysia, Zulkifili terus memberi reaksi dengan 'melawan' cakap Anwar. Tidak berdosa kalau nak lawan cakap ketua yang pada anggapannya tidak betul, tetapi biarlah cara atau niat berlawan itu ikhlas dan tidak menampakkan melawannya kerana ada undang di sebalik batu.

Kita nampak cara Zulkifli Nordin melawan itu kerana ingin mencari gaduh bagi menghalalkan tindakan beliau untuk menyertai Umno. Zulkifli sangat suka kalau PKR mengambil tindakan ke atasnya, apa lagi kalau membuangnya dari keahlian parti berkenaan!

Cerita Zulkifli nak masuk Umno tidak boleh diselindungkan lagi. Sesiapa yang kenal lawyernya, Md Radzi Mustafa, silalah berjumpa dan tanya lawyer berkenaan. Radzi tahu dari awal hingga akhir dan kosong hingga 10 mengenai Zulkifli. Kalau nak telefon Radzi saya boleh sertakan di sini?

Kepada mereka yang menyokong beliau, selamat menyokong. Kalaupun beliau berada dalam Umno nanti, sokonglah dia kalau benar dia memperjaungkan Islam dan Melayu. Tetapi apakah orang boleh yakin (kalau beliau ikhlas) nak perjuangkan Islam dalam parti yang menolak Islam?

Satu pertanyaan ringkas untuk Zulkifli; beliau adalah antara lawyer yang tampil membela umat Islam yang dimurtadkan? Kenapakah kejadian murtad mudah berlaku? Bukankah kerana kelonggaran hukum Islam (hukum murtad) di negara ini? Dan siapakah kini bertanggungjawab ke atas semua itu? Bukankah kerajaan yang ditulangi Umno?

Kalau beliau mahu kembali ke parti asalnya kita tidak boleh mencegahnya. Kerana itu adalah hak asasi seseorang. Penyokong dan pentaksubnya mempunyai hak asasi untuk menyokong Zulkifli. Bagi orang yang tidak kenal dan rapat dengan Zulkifli akan menerima apa sahaja yang dituturkan. Tetapi bagi yang kenal jejak dan lawaknya, hanya mampu tersenyum saja apabila mendengar gebang Zulkifli.

Ini nak diceritakan bagaimana maklumat yang saya perolehi tentang beliau. Katanya Zulkifli telah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Kulim - Bandar Baru kepada Najib Razak. Surat perletakan jawatan itu tanpa tarikh. Ia dijadikan cagaran sekiranya beliau tidak berbuat demikian (umum masuk Umno), pihak Umno akan serah surat itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Surat itu diminta oleh Najib sebagai jaminan sebelum Abdul Aziz Sheikh Fadzil menarik balik petisyen kerusi Parlimen berkenaan. Di mana menurut persetujuan sekiranya Zulkifli tidak mematuhi syarat, mengumumkan keluar PKR dan menyertai Umno, maka surat itu akan valid dan diserahkan kepada Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR). Berdasarkan surat itu SPR akan mengistyharkan kerusi Kulim - Bandar Baru akan kosong.

Zulkifli katanya tidak mahu mengumumkan kemasukan dalam waktu terdekat dan akan mencari masa sesuai. Masa yang ditunjukkan kepada beliau dan dipersetujui ialah selepas Najib menjadi Perdana Menteri. Najib pula mahu Zulkifli berbuat demikian sebagai menandakan beliau mendapat kepercayaan dan sokongan.

Mungkin cerita ini menimbulkan kemarahan kalangan mereka yang terpesona dengan kepetahaan dan pembohongan Zulkifi Nordin selama ini. Saya tidak boleh berkata lebih daripaada apa yang sayang katakan. Cuma sama-sama tunggulah kemungkinan ini dengan penuh sabar.

Bagaimana pun, saya yakin 100 persatu mengenai kemungkinan ini. Sebaik saja Najib angkat sumpah jadi PM, semua permainan dan sandiwara ini akan terjawab. Bagi Zulkifli pula beliau perlu menyertai Umno bagi menyelamatkan kerusi itu untuk mengekalkan elaun sebanyak RM12,000 sebulan dan juga pencen sebagai MP. Jelas perjuangan Zulkifli bukan untuk membela agama tetapi menjaga perut!

Kepada Anwar usahlah pujuk dan rayu Zulkifli lagi. Biarlah beliau pergi membawa cita-cita Islamnya dalam Umno. Makin dirayu dan diungkit makin menjadi dia. Orang yang sudah terperangkap dan terjerat serta hilang prinsip macam Zulkifli tidak perlu ditahan-tahan lagi, buat sakitkan hati sahaja. Biarlah dia cepat-cepat masuk Umno! [wm.kl 10:00 am 02/11/08]

Saturday, November 1, 2008

Analisa Isu

Seribu Persoalan Disebalik Pembebasan Razak Baginda

SEHARIAN ini sibuk kerana menyiapkan sebuah buku baru. InsyaAllah minggu depan siap. Jadi tidak dapatlah saya membuat analisa atau ulasan selamba berhubung pembebasan orang yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya Shariibuu, iaini Abdul Razak Baginda.

Seperti mana telah diketahui dan dijangka sejak awal-awal lagi Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi semalam dari tuduhan bersubahat membunuh. Hakim Mohd Zaki Md Yassin mengatakan tidak ada prime facie untuk menuduh Razak bersubahat dan dipanggil membela diri. Bagaimana dua tertuduh induk Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umur diminta membela diri. Mereka akan mula memberi keterangan pada 10 November ini.

Keputusan hakim adalah muktamad dan tidak ada sesiapa yang boleh mengungkitkannya. Silap hari bulan kalau diungkit ia akan dikenakan tindakan menghina mahkamah dan boleh di penjara. Termasuk juga Dr Mahathir Mohmad orang yang sukar mengulas apa saja isu, mungkin tidak berani untuk berbuat demikain!

Beberapa penjenguk menelefon dan mengirim SMS sejak dari selepas Subuh tadi bertanya kenapa tidak ada ulasan dalam blog. Mereka mahu pandangan saya berhubung kes itu. Seperti juga bapa Altantuya, Setev Shaariibuu juga tidak berpuas hati kerana Razak dibebaskan.

Apa nak 'dikato', mahkamah telah memutuskan begitu maka kena semua terima. Hakim tentu ada budicara, pertimbangan mengikut ilmu, pratikal dan segala-galanya untuk membuat penghakiman demikian.

Seorang pemanggil terang-terang mempertikaikan berhubung pembebasan Razak Baginda itu. Antara persoalannya yang membebani kepala pemanggil itu ialah;

1. Siapa yang membunuh Altantuya antara ketiga mereka itu? Razak mungkin tidak bunuh sebab tidak ada bukti atau pun pendakwaan gagal mengemukakan bukti melampau untuk menuduhnya. Jadi siapa?

2. Kalaulah Sirul Azhar Umur dan Azilah Hadri, untuk apa mereka membunuh Altantuya. Apakah salah Altantuya kepada mereka? Sedangkan mereka baru mengenali Altantuya berbanding dengan Razak. Masalah yang berlaku di sekitar Altantuya juga berkaitan langsung dengan Razak.

3. Dalam hal ini kemungkinan Sirul dan Azilah hanya menjalankan arahan yang diberikan kepadanya. Kalau tertakdir beliau melakukan pembunuhan itu mereka memerlukan jaminan keselamatan dan upah? Adalah bodoh kalau mereka melakukan perbuatan itu begitu saja tanpa mengharapkan apa-apa? Kalau jaminan daripada siapa? Tentulah orang yang berkuasa. Begitu juga kalau kewangan (upah) daripada siapa, tentulah daripada orang yang mempunyai wang.

4. Kalau mereka diupah, siapa yang mengupahnya? Mungkin Razak tidak berbuat begitu. Seperti mana afiditnya, untuk menghalau Altantuya keluar Malaysia pun beliau tidak benarkan, masakan tergamak untuk beliau mengubah atau menyuruh sesiapa membunuhnya? Razak tidak melakukan itu!

5. Apakah akuan berkanun yang dikeluarkan oleh Raja Petra Kamaruddin yang menuduh Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri berada ditempat kejadian (letupan mayat Altantuya) boleh diterima pakai dan satu kebenaran? Raja Petra Kamaruddin boleh dipanggil untuk menjawab dan menjelaskan maklumat yang beliau perolehi. Hanya Raja Petra yang mampu menghuraikan permasalahan ini. Apakah Raja Petra ditahakan di bawah ISA kerana ada kaitan dengan kes ini?

Banyak lagi yang dipersoalkan yang dilontarkan oleh penjenguk berkenaan yang kritis dan bijakbistari. Beliau serahkan kepada saya untuk menjawab satu persatu bagi meleraikan kekusutan di sebalik kejadian itu. Dan di sini saya serahkan kepada anda sekali untuk menghurai atau membuat analisa di sebalik pembebasan Razak Baginda. Mana-mana pandangan, huraian dan analisa yang munasabah dan tidak melampau akan disiarkan sebagai tambahan bagi menjawab persoalan ini.

Kepada wartawan kalau boleh tanyalah persoalan ini kepada bekas Perdana Menteri yang juga orang yang menentang jenayah perang nombor satu negara ini iaitu, Mahathir Mohamad. Ingin sekali kita mendengar komentaranya mengenai hal ini. Ataupun beliau akan membisu kerana kes ini membabitkan orang yang disayanginya. [wm.kl 10:45 pm 01/11/08]