Tuesday, February 24, 2009

Menyuluh Kelantan

Pelan Rebut KPK
Rancangan Lagakan Zulkefli Dengan Mohd Amar Gagal

SEKALI tengok tindakan Adun Pulau Chondong, Zulkefli Mamat melepaskan semua jawatan dalam kerajaan seolah-olah Adun berkenaan merajuk. Tindakan itu juga nampak melulu dan bersikap kebudak-budakan. Dalam dunia politik kalau seseorang bertindak begitu ada dua saja sebab; dia diarah berbuat demikian ataupun kerana tidak layak untuk memikul tanggungjawab itu.

Dalam politik jarang orang hendak berhenti apa lagi kalau jawatan itu sedikit sebanyak dapat membantu memberi kesihatan kepada poket baju dan poket seluar!

Selepas laporan mengenai tindakannya itu dipostingkan dalam blog Merah Tinta banyak panggilan masuk ke dalam telefon saya dan juga email dan komen yang ditinggalkan.

Nampaknya tektik saya untuk mendapat maklumat lanjut berhasil. Ada berbagai penjelasan dan maklumat agak mendalam mengenai kenapa Zulkefli meletak jawatan dan bercadang untuk melepaskan jawatan Pengerusi Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn. Bhd. Yang pastinya kalau tidak ada sebab musabab Zulkefli tidak akan berulah demikian.

Saya tidak mahu tokok tambah di sini dan akan menceritakan kronologinya seperti mana yang dimaklumkan kepada saya. Al maklumlah nanti saya akan disalahkan dan akan dihukum pula oleh pengawal-pengawal penyamun terbus yang siap dengan lembing diperbuat dari nibung tunggal itu.

Kedudukan Zulkefli di KPK itu katanya tidak disenangi oleh satu golongan kerana ia menghalang keinginan golongan ini untuk mendapat kawasan balak dalam kawasan jagaan atau seliaan KPK. KPK adalah syarikat yang ditugaskan untuk menjaga hutan dan kayu balak di Kelantan. Sejumlah kawasan balak terpilih dan berkualiti tinggi diserahkan kepada KPK untuk diurus bagi menjana kewangan negeri.

Dengan kedudukan dan kesempatan itu maka KPK sering menjadi perebutan kalangan bernafsu besar dan tidak genap duit di Kelantan. Orang politik, biasanya golongan veteran tergila-gila untuk menjadi pengerusi lantikan politik. Sebab itu kalau dilihat kepada perjalanan syarikat ini ia sering berombak dan pengurusnya sering bertukar ganti mengikut musim yang merubah alam. Kerusi pengerusi dan pengurus besar KPK selalu menjadi panas.

Katanya, orang berkenaan, iaitu menerusi proksinya telah memohon kawasan balak dalam kawasan KPK. Jumlahnya mungkin puluhan juta ringgit! Zulkefli sebagai Pengerusi berkeras tidak mahu meluluskannya. Alasannya, baik KPK sendiri yang mengusahakan kawasan balak berkenaan kerana komisyen untuk kerajaan lebih tinggi. Jika kawasan itu diberikan kepada pihak lain menyebabkan kerajaan mendapat komisyen yang sedikit.

Di sinilah berlaku bermulanya ‘krisis’ dalam KPK sehinggakan Zulkefli perlu disingkirkan bagi membolehkan kawasan berkenaan diluluskan kepada proksi orang berkenaan dan sekaligus menguasai keseluruhan kawasan balak dalam KPK.

Maka satu strategi dan pelan dirancang untuk menyingkirkan Zulkefli. Antaranya, satu memorandum atau taklimat diserah dan diberikan kepada Menteri Besar, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dalam memorandum lisan itu, Nik Aziz diberitahu mengenai rancangan Zulkefli nak pindahkan pejabat operasi KPK dari Jalan Lundang ke Jelawang, Dabong yang menimbulkan bantahan kakitangan KPK. Bantahan itulah yang dijadikan asas untuk mempengaruhi Nik Aziz.

Adapun kenapa Zulkefli bercadang untuk memindahakan pejabat KPP ke Dabong itulah bagi menyenangkan operasi KPK dan juga menjaga kilang papannya yang terletak di Jelawang. Bagi Zulkefli tidak praktikan kalau pejabat operasi berada ratusan batu dari tempat operasinya. Sebenarnya cadangan Zulkefli itu praktikal dan demi kebaikan KPK.

Cadangan itu juga dibuat memandangkan KPK sering kali rugi kerana kurang pemantauan oleh kakitangan sebab lokasinya jauh. KPK sering kali ditipu atau tertipu di mana kayu bernilai tinggi dilebelkan sebagai nilah rendah. Juga difahamkan KPK tidak ada penilai balak (timber grader) yang profesional di mana pengkelasan kayu dilakukan secara wewenang.

Bantahan kakitangan KPK yang tidak mahu berpidah itu mungkin diperbesarkan oleh penyampai taklimat berkenaan. Apa lagi katanya zulkefli memberi kata dua kepada kakitangan yang enggan pindah agar berhenti.

Menerusi memorandum itu juga nama Exco Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Mohd Amar Nik Abdullah dicandangkan untuk menggantikan Zulkefli. Cadangan Mohd Amr itu juga dilihat penuh dengan muslihat politik. Mohd Amar ialah biras kepada Zulkefli. Cadangan itu bukan kerana kemampuan Mohd Amar berbanding Zulkefli tetapi lebih kepada untuk melihat akan timbul perbalahan antara Zulkefli dengan Mohd Amar. Ada tektik untuk memecahkan kekompatan Mohd Amar dengan Zulkefli dalam hal ini.

Bagaimana pun Mohd Amr tidak menerima cadangan itu, mungkin beliau sudah dapat membaca apa yang tersirat atau dapat menangkap kilau dalam kilat. Bulu-bulu ditangan politik ghaib sudah dapat dikenal pasti apa tujuan dan motifnya.

Permainan politik orang berkenaan dalam hal ini jelas. Sikap kepuraan-puraan alias munafiknya juga terang dan bukan perkara baru. Katanya di dalam mesyuarat Dewan Harian orang ini beriya-iya menunjukkan dia simpati dan membela Zulkefli di hadapan Tok Guru.

Begitu juga semasa bertemu dengan kelab penyokong kerajaan (BBC), orang ini menafikan yang dia menjadi punca kepada cadangan menyingkirkan Zulkefli dan menjadi penyebab kepada Zulkefli meletakkan jawatan. Beliau katanya kesal kerana apa-apa yang berlaku sering dilemparkan ke atasnya. Anihnya bila ditanya siapa yang bertanggungjawab orang ini enggan menafikannya. Kalau orang ini tidak bersalah sepatutnya dia menjelaskan siapa yang bertanggungjawab.

Sebenarnya orang ini tidak boleh menafikan lagi peranan dan politik lempar batu sembunyi tangan atau politik kucing timbus tahi yang diamalkan selama ini. Ada bukti menunjukkan beliau terlibat. Sebelum ini sudah ramai orang yang terpijak tahi masamnya yang ditinggalkan di tengah jalan! Keadaan hari ini juga menjelaskan yang beliau tidak mustahil akan terlibat menyingkirkan Zulkefli dan diharap diganti dengan orang lain untuk kepentingan peribadinya.
Ada beberapa bukti dan keadaan yang boleh menampakkan orang ini jelas terlibat atau memainkan peranan agar Zulkefli disingkirkan dari KPK.

Pertama memandangkan keadaan hari ini sumber kewangan oang berkenaan ketika ini begitu lemah. Sudah banyak syarikat-syarikat atau NGO yang ditubuh untuk menyokong dan menjadi pancang kepada pengaruh politiknya terpaksa ditutup atau berkubur kerana tidak ada sumber kewangan yang kukuh. Jadi untuk memastikan ini maka orang ini memerlukan sumber kewangan baru bagi membiayai projek politik peribadinya itu.

Apa lagi Pas akan berhadapan dengan muktamar yang melibatkan pemilihan tidak lama lagi. Wang diperlukan untuk bermuktamar bukan saja untuk belanja minyak kereta tetapi membayar bilik-bilik hotel kepada perwakilan dari Sabah dan Sarawak. Engen orang ini katanya sudah beberapa kali berulang alik ke Sabah dan Sarawak.

Bukti kedua orang yang berjumpa Tok Guru memberi taklimat (memburukkan Zulkefli Mamat) ialah kroninya yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah KPK. Dengan kehadiran orang ini jelas apakah motif disebalik memorandum itu dan siapakah yang mengarahkannya.

Ahli lembaga pengarah ini tidak berani berjumpa Tok Guru kalau bukan mendapat jampi dan membawa azimat orang ini yang menjadi taukehnya. Siapalah dia? Hubungan ahli lembaga pengarah dengan orang berkenaan adalah jelas. Ahli lembaga pengarah ini adalah prokasinya dalam perniagaan dan juga bertindak menjadi peguam kepada beberapa syarikat. Beberapa kawasan balak juga diluluskan kepada orang ini.

Barangkali adalah elok kalau Tok Guru menyiasat perkara ini dan menerima pandangan daripada pihak lain juga dan tidak terlalu mempercayai seratus peratus atas apa yang dimaklumkan kepadanya. Sudah banyak kes-kes seperti ini dimana Tok Guru ditipu hidup-hidup, diberi maklumat tidak betul sehingga sesetengah keputusan dan penghukuman Tok Guru tidak adil dan menyebabkan ada yang teraniaya.

Dan keputusan Tok Guru untuk tidak menerima perletakan jawatan oleh Zulkefli Mamat itu dan meminta Zulkefli terus memegang jawatan pengerusi KPP patut dihormati oleh semua. Zulkefli juga hendaknya tidak lekas merajuk kerana dengan rajukan itu akan menguntungkan orang lain. [wm.kl. 11:00 am 24/02/09]

Monday, February 23, 2009

Susupan Petang

Alwi Harus Mengawal Mulut

BERNAMA dari Kota Bharu melaporkan, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Alwi Che Amat mengatakan Umno Kelantan sedia menerima semula ahli Parlimen bebas Pasir Mas (Salentia) sekiranya dia ingin kembali ke pangkuan parti itu. Saya merasa lega kalau ini menjadi kenyataan kerana selepas ini Salentia akan ada kandang dan tidak akan merayau dan bertempik melolong di serata tempat lagi.

Persoalannya apakah semudah itu bagi Umno hendak menerima Salentia? Apakah Umno tidak jijik untuk menerimanya? Jika dilihat kepada amalan politik Umno tidak mustahil ia boleh menerima semula Salentia.

Di sini saya ingin menyinggung sedikit mengenai kapasiti Alwi untuk memberi jaminan itu. Bagi saya cara Alwi bercakap itu melampaui batas dari bidang kuasa yang beliau miliki.

Mengikut perlembagaan Umno mana-mana ahli partinya yang bertanding melawan calon BN ia secara automatik akan dipecat. Salentia tiga kali bertanding menentang calon BN, sekali dalam pilihan raya umum 2004, sekali dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir dan terakhir dalam pilihan raya umum 2008. Dalam pilihan raya lalu Salentia pakai tikit Pas lagi.

Mungkin kerana Salentia seorang hero dan pahlawan Melayu Umno boleh memaafi dan menerimanya. Elok bagi Umno mengambil semula Salentia walaupun terpaksa melanggar peraturan dan perlembagaan parti. Bukankah politik Umno itu sendiri rubbish.

Bagaimana pun saya tidak fikir kalau Umno jadi semudah itu. Kenyataan Alwi itu adalah pandangan peribainya. Bukan ini saja Alwi bercakap mengatasi kuasa orang lain, sebelum ini juga beliau pernah mengkritik Naib Presidenya, Muhyiddin Yassin.

Pada saya, lebih baik Alwi menyelesaikan masalah Umno bahagian Ketereh dulu daripada cuba menyelesaikan masalah Salentia. Umno Ketereh masih belum selesai hingga hari ini. Misalnya kedudukan Sabre Shafei (foto) masih lagi terkontang kanting. Tidak sepatutnya Sabre dibiarkan kerana suatu hari nanti dia juga akan menjadi hantu raya. Masalah dihadapi Sabre dan kedudukannya dalam Umno Ketereh perlu diberi perhatian oleh Alwi.

Dalam pemilihan lalu Sabre tidak boleh bertanding sebagai Naib Ketua disebabkan hal-hal kurang cakap dan strategi yang dikatakan diatur oleh pihak tertentu. Hak ahli Umno Ketereh ditolak awal-awal sebelum tiba ke bilik perwakilan dan ini diaanggap tidak adil oleh Sabre menyebabkan Sabre ada menyimpan dendam tersendiri.

Alwi tidak boleh menggunakan kedudukannya sebagai Setiausa Politik Perdana Menteri untuk bertindak dan bercakap mengikut sedap mulut sahaja. Saya bimbang kalau beliau tidak menjaga mulutnya, kesan buruk akan menimpa dirinya satu hari nanti. Reputasi politiknya juga akan terjejas.

Alwi kena ingat di Ketereh selepas Annuar Musa, beliaulah pemimpin paling tinggi. Seharusnya dengan kedudukan itu beliau lebih berdiplomasi, jaga mulut dan bercakap tidak mengatasi pemimpin di atas dan lebih profesional. Disebabkan kedudukan Annuar semakin menurun seharusnya diguna sebaik mungkin Alwi untuk menunjukkan kemampuannya sebagai pemimpin masa depan.
Pandangan Alwi ke atas Salentia itu satu pandangan songsang dengan perlembagaan Umno. Jangan hanya kerana ingin mencipta rekod beliau sanggup dilihat sebagai tidak memahami hakikat perlembagaan.
Mungkin orang Ketereh bersetuju dengan cadangan itu tetapi bagaimana dengan Umno Pasir Mas? Sepatutnya sebelum mengulas mengenai kedudukan Salentia, Alwi kena pulangkan dulu masalah itu kepada Umno Pasir Mas. Cara Alwi bercakap itu telah merampas kuasa Umno Pasir Mas dan tentunya menyinggung ketua Umno Pasir Mas, Hanafi Mamat. [wm.kl 7:30 pm 23/02/09]

Jejaki Rasuah

Gerak Juga Perlu Siasat Bekas MB Selangor

RAKYAT negeri Selangor mungkin merasa bangga dengan peranan dimainkan oleh Gerakan Anti Korupsi (Gerak) sebuah NGO yang diasaskan oleh Ezam Mohamad Noor kemudian diwariskan kepada Mohd Nazree Mohd Yunus anak buahnya yang telah membuat laporan terhadap MB Selangor, Khalid Ibrahim yang didakwa melakukan salah gunakan kuasa, guna kereta peribadi untuk urusan rasmi dan juga membahagikan lembu korban untuk rakyat.

Gara-gara laporan yang dibuat oleh Gerak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, menyebabkan kedudukan Khalid sehari dua ini kurang selesa dan sikit terganggu.

Imej Khalid sebagai MB juga turut tercemar apabila SPRM bertindak lebih kuah dari sudu apabila ketuanya, Ahmad Said Hamdan telah 'menghukum' Khalid sebagai bersalah dengan ulasan media mengenai siasatan ke atas Khalid.

Cara Ahmad Said menimbulkan isu mengenai Khalid Ibrahim seolah-olah beliau sedang mempromosikan dirinya untuk dicalonkan oleh UBN di Bukit Gantang saja. Apakah beliau berminat untuk menjadi ahli Parlimen?

Apakah ada pakatan antara Ezam, Gerak dan PSRM bagi mengugat kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor?

Khalid nampaknya bersedia menghadapi tindakan PSRM dengan menegaskan dia bukan boleh digertak. Bagi Khalid cara isu itu dibangkit seolah-olah mahu menggugahkan emosinya saja. Bagaimana pun sama-samalah kita tunggu perkembangan itu dan bagaimana kesudahannya nanti. Cuma sekiranya pihak Peguam Negara tidak membawa kes Khalid ke mahkamah, Ahmad Said Hamdan hendaklah mengambil tangungjawab atas apa yang beliau lafazkan sebelum ini.

Tidak molek kalau seorang ketua kepada suruhanjaya bebas tidak mempunyai intergriti, bersikap ‘jongkang jongkit’ dan tidak mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang beliau lakukan. Sikap begitu ia akan menyamakan Ahmad Said dengan perangai seorang ahli Parlimen bebas di Parlimen yang mengaku profesional, bijak, cerdik dan ikhlas namun moralnya hampas!
Menyentuh mengenai laporan Gerak terhadap Khalid Ibrahim yang membahagikan lembu korban pada hari raya Aidi-adha lalu ia timbul kehairanan saya kepada pihak yang melaporkan perkara itu. Apakah Gerak semata-mata melihat kepada apa yang dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa itu tanpa melihat kebajikan di sebalik apa yang dilakukan Khalid?

Bukankah lembu-lembu korban itu diberikan kepada umat Islam dan sebagai usaha Khalid meraikan umat Islam pada hari raya? Apakah Gerak melihat kesalahan sebegini lebih besar daripada kesalahan dan rasuah lain yang melibatkan jutaan ringgit seperti penyelewengan dalam pembelian kapal selam dan sebagai?

Aktiviti dilakukan Khalid yang berunsur rasuah begitu banyak dilakukan oleh pemimpin lain. Ia bukan saja berlaku sehari dua ini tetapi sejak 51 tahun dulu.

Secara peribadi saya ingin mencabar Gerak agar turut menyelongkarkan pemberian lembu-lembu korban oleh bekas MB Selangor, Mohamad Khir Toyo pada tahun 2007 dulu dan juga sebelum ini. Diharap Gerak menyiasat syarikat manakah yang membekalkan lembu-lembu yang diangihkan oleh Khir Toyo pada setiap tahun?

Pada tahun 2007 sebanyak 400 ekor lembu dibahagikan oleh bekas MB itu kepada ketua-ketua cawangan atau wakilnya di satu majlis di Shah Alam, Selangor.

Jelas yang dilakukan Khir Toyo itu sama saja nilai dan darjatnya dengan apa dilakukan Khalid Ibrahim. Gerak kena siasat syarikat mana yang membekalkan lembu-lembu berkenaan dan apakah pula ganjaran yang diberikan kepada syarikat berkenaan? Kadang tempat lembu-lembu itu disimpan masih ada hari ini terletak di Batang Berjuntai. Gerak jangan hanya rajin mencari kesalahan Khalid tetapi buta kepada apa yang pernah dilakulkan Khir Toyo.

Gerak jangan hanya bertindak melaporkan salah guna Khalid Ibrahim atau pemimpin Pakatan Rakyat tetapi terlepas pandang terhadap pemimpin UBN dan juga bekas MB Selangor.

Kalau Gerak mesti ingat sewaktu Khir Toyo menjadi MB Selangor satu laporan rasuah berhubung pemberian tanah kepada seorang perempuan yang telah dibuat oleh Ahmad Lutfi Othman (kini pengarang Harakah). Gerak boleh menyemak kes ini dan cuba bawa semula kepada PSRM. Apakah fail berkenaan telah ditutup?

Setahu saya kes ini tidak disiasat dan sikap PSRM ketika itu BPR tidak selancang Ahmad Said dalam mengulas isu yang membabitkan Khalid Ibrahim.

Sebagai NGO bebas Gerak kena buktikan yang ianya liberal dan bebas. Kalau Gerak hanya bertindak dengan memilih bulu sama seperti SPRM dalam membuat siasat dan pendakwaan memilih bulu, maka Gerak juga lebih kurang SPRM sahaja. Apa yang menyedihkan lagi kalau Gerak sampai akan dituduh sebagai alat kepada mana-mana pihak dan individu yang berdendam kepada individu lain.

Kita tidak mahu nanti Gerak akan dituduh sebagai komponen baru BN seperti mana dilemparkan kepada PSRM yang kini sedang 'memohon' untuk menjadi komponen rasmi UBN. [wm.kl. 10:30 am 23/02/09]

Sunday, February 22, 2009

Pergolakan Kecil

Kenapa Zulkefli Lepas Semua Jawatan Kerajaan?

MAKLUMAT dari Kota Bharu mengatakan Adun Pulau Chondong, Zulkefli Mamat (foto) telah melepas semua jawatan yang dipegangnya dalam kerajaan. Jawatan-jawatan itu ialah selaku Timbalan Pengerusi Kira-kira Awam (PAC), ahli jawatankuasa Perlancungan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, ahli jawatankuasa Pertanian dan Indsutri Desa dan beberapa jawatan yang lain.

Katanya, Zulkefli telah melepaskan jawatan itu dua minggu lalu. Bagaimana pun Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan tidak menerima perletakan jawatan berkenaan.

Punca kenapa Zulkfeli dikatakan melepaskan semua jawatan itu ialah ekoran ura-ura beliau akan digugurkan sebagai Pengerusi Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) Sdn. Bhd.

KPK merupakan sebuah syarikat yang bergiat cergas mengeluarkan produk kayu yang berkualiti yang diperolehi dari hutan yang diurus secara terancang dan sistematik berdasarkan sistem "Pengurusan Hutan Berkekalan".

Selain itu KPK juga melaksanakan aktiviti pemeliharaan hutan untuk kepentingan dan faedah bagi generasi akan datang.

Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1970 dengan modal berbayar sebanyak RM20 juta. KPK juga menguruskan beberapa buah kilang papan dan yang terbesar terletak di Dabong.

Alasan untuk mengugurkan Zulkefli ialah dikatakan kerana tindakannya memindahkan pejabat KPK dari Kota Bharu ke Jelawang atas alasan untuk memudahkan urusan pentadbiran kilang papan yang terdapat di situ. Langkah proaktif beliau itu katanya kurang disenangi oleh pihak tertentu yang berminat untuk mengawal syarikat berkenaan yang merupakan slaah satu sumber kewangan negeri Kelantan.

Exco Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Mohd Amar Nik Abdullah disebut-sebut akan diletakkan di tempat Zulkefli itu.

Perkembangan ini satu berita menarik dari Kota Bharu ia merupakan isu dalaman terbaru yang ada kaitan dengan perebutan kuasa dalam kerajaan Kelantan ketika ini. Isu ini masih lagi belum terdedah kepada umum dan usaha telah dilakukan pihak tertentu untuk memujuk Zulkfeli agar terus memegang jawatan berkenaan.

Siasatan terperinci sedang dijalankan dan ianya akan didedahkan dalam blog ini sebaik perkembangan selanjutnya diperoelehi. [wm.kl 10:00 pm 22/02/09]

Hikayat Salentia

Beranikah Salentia Kosongkan Kerusi Pasir Mas?

IANYA tidak mungkin tetapi tidak mustahil kalau tiba-tiba Salentia mengambil keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas yang beliau menang atas tikit bulan purnama pada 8 Mac tahun lalu.

Manalah tahu kalau Allah s.w.t. menitikkan sedikit sir dan hidayah di lubuk hatinya – hasil daripada doa orang-orang Pas, menyebabkan ahli parlimen itu ada rasa malu dan sisa maruah dia bertindak mengosongkan kerusi berkenaan.

Jika ini berlaku maknanya satu pilhan raya kecil bagi kerusi Parlimen Pasir Mas juga akan diadakan. Beliau boleh mengirimkan proksinya untuk menyertai pilihan raya itu bagi membuktikan dakwaan bahawa dia berpengaruh di Pasir Mas. Mahathir juga boleh dipanggil untuk berkempen membantu proksinya.

Hari ini desakan demi desakan telah dilemparkan kepadanya agar mengosongkan kerusi berkenaan. Walaupun desakan itu tidak melata, namun dalam setiap hati pengundi di Pasir Mas sedang menyumpahnya. Bahkan ada yang berdoa agar Tuhan melaknatkannya atas kemunafikan yang dilakukan.

Pergilah ke mana saja di Pasir Mas, setsen keretapi, dalam market, pejabat tanah, pejabat pos, hatta dalam jamban tidak ada cerita lain yang dibual dan diomelkan melainkan fasal Salentia.

Sepanduk dan poster mengutuknya juga sudah pun mula disiap untuk dinaikkan.

Kata-kata dan ucapan yang menjadi pemanis mulut Salentia sekian lama, seperti babi, anjing, kera, monyet, biawak dan sebagainya kini digunapakai oleh pengundi Pasir Mas untuk mencerca wakil rakyat berkenaan.

Kehidupan Salentia kini tidak ubahlah seperti Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu, Yit Hee Fong yang sedang dikutuk oleh pengundi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. Malahan dirinya lebih teruk daripada Karpal Singh yang sedang menghadapi kemarahan dan kegeraman orang-orang Umno.

Diri Salentia di Pasir Mas kini tidak ubah seperti anjing buruk telinga yang diludahi. Jijik dan dibenci oleh semua orang. Salentia menjadi makhluk yang dirasakan perlu diasingkan seperti penyakit kusta. Rasa malu dan aib gara-gara sikap Salentia itu bukan saja diterimanya tetapi turut terpalit kepada penyokongnya setianya.

Apa yang berlaku kini beliau tidak boleh salahkan orang lain. Semuanya bermula daripada dirinya sendiri juga. Salentia tidak boleh kesal dan sedih atas apa yang berlaku. Kalau beliau tidak mula dulu orang lain tidak akan mengkhainati dan menghinanya.

Ungkap yang digunakan oleh Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Takiyuddin Hassan adalah tepat dan jitu namun masih ringan. Salentia seorang manusia yang tidak mengenang budi. Betapalah kalau perkataan itu diungkapnya ia sungguh memilukan. Jenis yang tidak mengenang budi ini dalam bidalan Melayu hanya ada dua saja, iaitu anjing yang terjempit dan kacang yang melupakan kulit.

Betapa tidak Pas merasa kecewa di atas apa yang beliau lakukan, terutamanya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Pas telah memberi laluan kepadanya di Pasir Mas dan dibenarkan bertanding atas lambangnya. Pas sanggup mengorbankan seorang ulama, Ismail Nuh semata-mata untuk diberikan kepadanya. Jika diukur dari sudut apa sekali pun, Ismail Nuh sejuta kali baik berbanding dengan Salentia. Namun kerana kesian, terpesona puju rayu dan rengetnya Pas korbankan dan berikan kerusi itu kepadanya.

Pas berikan itu kerana merasakan telah timbul keinsafan di hati Salentia untuk kembali kepada Islam. Namun itu hanyalah hipokrasi yang ditunjukkan walhal ia ingin memakan diri Pas. Jadi, apakah jenis manusia kalau diberi bunga, tahi yang dibalasnya?

Betapa ketika masa proses membodek Nik Aziz, Salentia lakukan apa saja, termasuk memanggil Nik Aziz ke rumahnya untuk makan laksa dan merasmikan sebuah surau. Malahan Nik Aziz sanggup melupa maki hamun dan sumpah seranah Salentia ke atasnya pada tahun 1995 sewaktu Salentia nak meninggalkan Semangat 46 dan "memlommmmmmmpatttttttt...." ke Umno.

Apa yang tidak dikatakan kepada Nik Aziz pada masa itu, tok guru biawak, tok guru kera, tok guru tanah ka (tanah keras), ualam babi dan macam-macam lagi. (Sebahagian besar keset ucapan itu ada dalam simpanan saya). Salentia menghina Nik Aziz sehina-hina seperti mana dilakukan oleh Mahathir Mohamad. Namun begitu kerana mengharapkan timbul hidayah di hatinya Nik Aziz bersedia memaafinya dan memberi kerusi Pasir Mas.

Saya percaya bagi Pas, Pas tidak kesal kalau Salentia tidak membela Pas dalam Parlimen atau di mana-mana saja. Pas menghormati semangat Melayu dan berjiwa besarnya dalam apa juga kerja yang dilakukan. Tetapi yang Pas harapkan janganlah menghentam Pas, memperlecahkan Pas serta menghina pemimpinnya. Kalau tidak suka kepada Islam tetapi janganlah keji orang yang hendak menegakkannya. Dan sebagai orang Melayu sepatutnya pejuang Melayu ini penuh dan sarap dengan budi pekerti. Semoleknya sebelum menuduh orang lain cerminkan diri sendiri dulu. Kalau badan penuh dengan panau jangan sesekali cuba menjual ubat penau nanti buruk padahnya.

Salentia ada mendakwa beliau juga berjasa dan berbudi kepada Pas. Bukan Pas saja berbudi dan berjasa kepadanya! Budi apa? Jasa apa? Apakah kerana beliau telah memberi RM5,000 seorang RM10,000 seorang, RM15,000 seorang, RM20,000 seorang dan RM40,000 seorang itu jasanya?

Itu bukan jasa tetapi itu adalah baksis kepada pemimpin-pemimpin Pas tertentu yang lapar duit dan pelahap untuk dijadikan umpan membolehkan beliau diterima oleh penyokong Pas. Mereka yang menerima umpan Salentia inilah yang berusaha menolak dari belakang dan mengecek dan memberi jaminan kepada Nik Aziz agar memberi ruang bernafas kepada Salentia. Anihnya orang ini hari ini diam membisu bila Salentia membuang tahi di hadapan rumah Pas.

Salentia tidak ada sehabuk budi pun kepada Pas sebaliknya memiliki berbakul dosa dan kejahatan kepada Pas. (Kisah ini kita bercerita di lain kali). Salentia boleh dikatakan ada budi kalau dia bertindak sebagai ahli Parlimen benar-benar profesional dalam Parlimen. Wang ringgit yang beliau berikan kepada sang pelahap Pas itu, itu bukan budi kepada Pas, tetapi itu adalah rasuah politik kepada pemimpin-pemimpin berkenaan. Rasuah!

(Di sini saya mencabar kepada pemimpin Pas yang pernah makan dan menelan duit daripada Salentia agar pulangkan semula kepada Salentia, atau pun mengakui secara jujur kalau tidak bagi saya mereka itu juga sama dengan Salentia).

Jadi risiko hari ini Salentia kena terima dengan seadil-adilnya. Beliau tidak perlu merasa kesal dan bersedih atas apa yang berlaku. Beliau jangan cuba hendak berlindung dan bersedih di sebalik dirinya sebagai anak yatim piatu. Salentia menjadi yatim piatu bukan salah orang tetapi kerana salah dirinya yang tidak beradab dan berhati perut membunuh kedua orang tuanya.

Beliau dipecat daripada Umno kerana menderhaka kepada parti itu. Dia lawan Umno dalam pilihan raya umum tahun 2004 dan pilihan raya kecil 2006. Manakala dia disingkir dari rumah bapa angkatanya, Pas, pula kerana dia masih berperangai buruk seperti dulu. Dia tinggal dirumah Pas bukan saja untuk menumpang tidur dan memakan mana-mana yang ada tetapi turut sama memaki hamun kepada tuan rumah yang lewat menghidangkan makan minum untuknya. Beliau juga turut kencing dan lumur tahi di dinding rumah Pas.

Tuan rumah mana yang tidak marah dan boleh tahan dengan telatahnya?

Salentia kena ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Sebagai seorang yang suka mendabik dada bermoral, profesional, inilah masanya. Tuhan telah menguji anda untuk mengotakan apa yang anda katanya. Tuhan telah gerakan takdir hari ini bagi anda tunjukkan kehebatan anda yang diuar-uarkan selama ini.

Sanggupkah Salentia untuk berbuat demikian, mengosongkan kerusi dan bertanding dalam pilihan raya kecil? Mungkin Salentia akan menggunakan alasan peraturan pilihan raya yang menghalangnya bertanding selepas letak jawatan sebagai alasan untuk tidak mengosongkannya.

Kalau kita benar orang hebat dan benar bijak, carilah cara lain bagaimana untuk menguji kehebatan kita, seperti dikatakan tadi letakkan proksi.

Atau pun mungkin tidak menerusi pilihan raya, tetapi lakukan referendum (pungutan suara) dari kalangan rakyat di Pasir Mas bagi menetukan apakan diri kita masih diterima atau sebaliknya. Salentia kenakan buktikan dan saya rasa Pas juga bersedia untuk berbuat demikian.

Apabila Tok Guru mengatakan Pas tidak bimbang kalau diadakan pilihan raya kecil walaupun Salentia mengaku mempunyai sokongan kuat, isyarat itu sangat jelas akan kebencian Tok Guru kepadanya. Kena fahami sebagai ulama, apa yang diisyaratkan itu menandakan hatinya cukup remuk dengan perbuatan Salentia.

Tok Guru Nik Aziz tidak babuk seperti Salantia. Dia masih menggunakan frasa-frasa diplomasi bagi menerbitkan kemarahannya. Signal yang diberikan itu adalah kemuncak kesalannya terhadap perilaku Salentia.

Mulanya beliau enggan memberi ulasan (kecek) soal Salentia menunjukkan betapa bencinya dia. Tetapi akhirnya bila beliau bercakap demikian menunjukkan dia teramat marah.

Eloklah kalau Salentia mengambil tindakan atas apa yang dianjurkan Tok Guru itu, melepaskan jawatan sebelum Tok Guru atau Pas menganjurkan sembahyang hajat khas untuk memohon Allah memberi keampuan dan meminta Allah membuka pintu hatinya.

Seseorang yang didoakan menerui sembahyang hajat darjat sungguh hina sekali. Jika sudah sampai Pas mengadakan sembahyang hajat ini bermakna keutukan ke atas Saletia samalah dengan kutukan yang diterima Firaun, Haman dan Namrud.

Saya yakin dengan jasa dan pengorbanan dilakukan itu Umno akan memandang baik langkah itu. Manalah tahu atas tanggungjawab itu juga Umno akan menerima semula anda untuk kembali bercepuah didalam parti berkenaan.

Umno yang bersemak samun dengan segala macam rasuah, tidak ada moral, bobrok dan sebaganya itu adalah jelumun terbaik bagi Salentia. Catatan: Sehingga ini saya tidak akan mendedahkan lagi siapakah yang bertanggungjawab merekmen Salentia bertanding atas tikit Pas. [wm.kl. 11:00 pm 22/02/09]

Saturday, February 21, 2009

Ulasan Isu

Ahmad Said Tidak Berdiri Digaris Tengah?

HASRAT Abdullah Ahmad Badawi untuk meninggalkan satu legasi sebagai PM kepada negara mungkin tidak mencapai sasaran. Sebelum ini Abdullah beriya-iya mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibentangkan sebelum beliau berundur. Beliau mahu meninggalkan satu kenangan bermakna kepada negara.

Rakyat pun menaruh harapan tinggi atas hasrat murni Abdullah itu dan pembentangan SPRM di parlimen dialu-alukan. Harapan rakyat selepas ini SPRM benar-benar menjadi telus dan dapat membenteraskan gejala rasuah.

Tetapi dengan sikap berat sebelah dan amat tidak profesional Ketua Pesuruhjayanya, Ahmad Said Hamdan yang membuat ulasan berhubung kes membabitkan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim semalam, segala harapan murni rakyat itu musnah sama sekali. Harapan rakyat hancur berkecai.

Kenyataan Ahmad semalam mencerminkan bahawa SPRM terang-terangan campur tangan untuk membantu pihak lain dan melayak pihak lain.

Semalam Ahmad memberi ulasan bahawa SPRM mempunyai bukti kukuh yang Khalid telah melakukan kesalahan dan perlu didakwa. Dari segi teknik katanya ia sudah jelas. Apakah maksud dan tujuan beliau membuat kenyataan berkenaan?

Apakah wajar sebagai sebuah suruhanjaya bebas beliau membuat kenyataan seperti itu. Apa yang dijelaskan oleh Ahmad Said semalam seolah-olah Kahlid terlah pun bersalah.

SPRM hanya membuat siasatan sahaja. Soal ianya ada bukti atau tidak itu bergantung atas pertimbangan peguam negara. Cara Ahmad Said mengulas isu Khalid semalam seolah-olah beliau cuba mempengaruhi pihak peguam negara supaya mendakwa Khalid. Dari persepsi umum kenyataan Ahmad Said itu telah menunjukkan Khalid telah pun bersalah.

Dengan tindakan tidak prtofesional dan berpihak itu ia tetap memberi impak. Kalaupun Khalid didapati benar menyalahgunakan kuasa berhubung dengan penggunaan kereta peribadi untuk urusan rasmi kerajaan dan pemberian lembu-lembu untuk dikorbankan itu ia akan dilihat sebagai satu hukuman yang dirancang lebih awal. Ini kerana belum apa-apa lagi SPRM sudah membuat kenyataan memberi gambaran yang Khalid bersalah. Cara itu juga sebagai prejudis.

Dalam pada itu Ahmad Said juga cuba hendak menunjukkan SPRM adil dalam mengambil tindakan. Beliau tidak boloeh berselindung dalam hal ini kerana semua orang tahu apa yang berlaku terhadap kes-kes yang melibatkan SPRM sebelum ini. Rasanya masih banyak kes yang lebih teruk dan kejam daripada didakwa ke atas Khalid itu masih belum diselesaikan ataupun dibuang begitu saja.

Apa atau bagaimanakah pandangan Ahmad Said terhadap kes ini. Kenapa beliau tidak mendesak dan meminta pihak pendakwa menyegerakan pendakwaan ke atas kes-kes ini?

Apakah Ahmad Said berani bersumpah "muhabalah" mengakui yang SPRM benar-benar telus, bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu berkuasa?

Pada saya lebih baik Ahamd Said lain kali diamkan saja dan tidak membuat ulasan-ulasan berhubung kes-kes yang ditangani oleh SPRM. Tugas SPRM hanya menangkap dan menyiasat dan membentangkan segala bukti di mahkamah, bukannya membuat ulasan yang memihak kepada mana-mana pihak. Beliau patut jaga dan pelihara integriti suruhanjaya berkenaan. Kalau SPRM juga hendak bertindak jadi pendakwa dan hakim ia adalah tidak professional lagi dan hilang ketelusannya.

Apapun rakyat jelata menanti apakah tindakan SPRM ke atas kes-kes yang lain yang melibatkan vvip yang berstatus berprofail tinggi yang pernah disebut bekas Menteri di-Jabatan Persana Menteri, Rais Yatim sebelum ini. Sudah dihumban ke luatkah fail-fail itu semua? Atau dibakar?

Kenapa Ahmad Said tidak berminat mengulas kes-kes berkenaan dan lebih ghairah untuk menyiasat kes melibatkan pihak pembangkang atau kerajaan Pakatan saja? Kes melibatlkan dua bekas Exco Perak Jamaluddin dan Mohd Osman itu sedang dinanti-nantikan oleh seluruh dunia. Saya yakin malaikat juga sedang menunggu penuh minat terhadap perkembangan kes ini. Ahmad Said kena sedar yang membayar gajinya bukan UBN, tetapi perbendaharaan negara.

Sekali lagi kegagalan SPRM menangani kes ini yang juga telah disebutkan sebagai mempunyai bukti kukuh menyebabkan orang tidak akan mempercayai kepada SPRM lagi dan akan menganggapnya tidak lebih sebagai tugasan seseorang pengawas di sekolah rendah kebangsaan saja.

Kalau jaminan kebebasan tidak boleh dilakukan, dan Ahmad Said sebagai ketua suruhanjaya itu tidak berani berlaku adil, maka diharap tutup dan bubarkan saja SPRM kerana ia menghabiskan wang rakyat jelata saja. Tindakan yang tidak profesional dan berintegrtitinya pula menjadikan orang yang sihat menjadi sakit akal.

Rakyat sebagi pembayar cukai tidak mahu wang mereka diberikan kepada mereka yang akan mengisi perut anak beranak mereka dengan bangkai! [jln ipoh kl 1: 40 pm 22/02/09]

Friday, February 20, 2009

Khulub Jumaat

Abdullah Perlu Timbang Cadangan Hadi

SELAIN daripada Mohd Najib Razak, Muhyiddin Yassinlah orang yang tidak senang dengan cadangan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang agar Abdullah Ahmad Badawi terus mentadbir negara ini dengan memegang jawatan PM. Abdullah boleh teruskan walaupun pelan peralihan kuasa sudah dimaktubkan. Pelan itu cuma ciptaan manusia yang desprate dan bukannya Quran, ia boleh diubah dan dialih hatta dilupuskan sekalipun.

Muhyiddin yang kini berangan-angan untuk menjadi timbalan presiden Umno (kemudian timbalan PM) marah kepada Hadi atas cadangan itu. Beliau minta Hadi supaya tidak mencampuri urusan Umno dan elok selesaikan masalah Pas yang masih berserabut.

Dari sisi lain benar juga kata-kata Muhyiddin itu, Pas tidak patut campur tangan mengenai apa-apa urusan dalaman Umno, itu privancy Umno. Tetapi di sini adalah sedikit kelainan, apa yang Hadi katakan itu bukan soal Umno tetapi soal negara ini. Permintaan Hadi itu bukan dari konteks presiden Umno tetapi Abdullah sebagai PM.

Atas kapasiti PM, Abdullah adalah hak semua rakyat negara. Samalah dengan raja-raja Melayu ia bukan saja hak orang Melayu tetapi hak semua rakyat tidak kira bangsawan atau marhaen. Abdul Hadi tentu ada alasan dan hujah tersendiri kenapa beliau membuat rayuan itu.

Perkembangan politik, dan aksi-aksi politik hari ini mungkin membimbangkan beliau. Situasi yang berlaku kini, termasuk rampasan kuasa menerusi perlembagaan dan istana di Perak, masalah ekonomi, masalah perkauman memerlukan mungkin itu menyebabkan Hadi rasakan Abdullah berada di tempatnya kini.

Kucahan politik dan masalah itu besar bagi pandangan Hadi. Sekiranya ia tidak ditangani dengan sempurna oleh orang yang boleh dipercayai dan bersih dirinya, tidak terlibat dengan jenayah – rasuah dan bunuh ia akan memberi kesan kepada negara. Keadaan keselamatan negara juga boleh terancam. Selama ini kita berusaha dan bermadah untuk mengelakkan berlakunya ketegangan kaum. Peristiwa 13 Mei cukup menakutkan dan meninggal fobia dalam setiap rakyat negara ini. Kebimbangan itu tidak berguna langsung sekiranya usaha menghindarinya tidak dilakukan.

Semakin hari dengan cara politik oleh mereka yang gila kuasa dan berfahaman sempit (racialisme) masalah kaum sudah mula berbibit semula. Ucapan-ucapan di Parlimen oleh ahli parlimen menjelaskan perkara itu. Sesetengah ahli Parlimen memperlihatkan bahawa negara ini seperti di zaman sebelum merdeka, di mana atau lebih tepat sebelum kedatangan kaum Cina dan India masuk ke negara ini. Mereka merasakan semua yang ada di negara ini adalah hak mereka.

Sifat bongkak dan ego yang membenci kaum lain sudah dicerminkan dalam parlimen. Perkataan bangsa asing, kaum pendatang serta menafikan hak-hak warga negara lain makin lantang dan tidak dibendung sewajarnya dan adakalan ia seperti sengaja dilepaskan speaker.

Mungkin senario itulah membimbangkan Abdul Hadi maka beliau merasakan orang sedarhana seperti Abdullah diperlukan meneruskan pentadbiran. Masa dan ketika ini tidak sesuai untuk diserahkan kepada orang lain yang mempunyai genetik daripada tokoh politik yang sanggup bertindak diluar batas-batas pelembagaan dan adat susila kerana kuasa.

Apakah untungnya orang Melayu dan Muhyiddin sendiri sekiranya berlaku ketegangan kaum? Kemungkinan-kemungkinan ini tidak boleh diselindungkan di sebalik impian dan cita-cita tinggi kita kerana ia boleh meletup seperti bom jangka.

Jadi janganlah Muhyiddin sombong dan bongkok dalam melihat saranan dan cadangan Abdul Hadi itu. Jangan kita memikirkan kedudukan dan kekuasan, kita membelakangkan kepenting lain lebih besar. Saya percaya ahli Umno sedia mengenepikan impian Muhyiddin dan lebih untuk melihat kepentingan bersama!

Muhyiddin menempelak Hadi itu keran beliau bimbang dengan kedudukannya. Beliau takut kalau Abdullah terus menjadi PM dia akan hilang jawatan dan hilang peluang untuk naik. Saya rasa Abdullah bukan begitu orangnya. Walaupun Muhyiddin tidak habis mengodam dan berusaha agar Abdullah disingkir, namun Abdullah masih tidak melakukan apa-apa. Muhyiddin masih juga dikekalkan di kerusi Kabinet.

Kata Muhyiddin politing terlalu banyak kini. Beliau tidak sedar bahawa apa yang beliau cakap dan lalukan untuk jatuhkan Abdullah itu juga politiking. Sebenarnya kebimbangan Hadi itu bermula daripada apa yang Muhyiddin ilhamkan itu.

Elok kalau Abdullah rasa terpanggil dengan cadangan Hadi yang kemudian disokong oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat itu. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim juga pernah memberi jaminan bersedia untuk menyokong apa juga tindakan Abdullah yang memerlukan sokongan di parlimen. Walaupun Anwar tidak langsung menyebut yang beliau mahukan Abdullah terus kekal menjadi PM, jaminan itu menggambarkan kerelaan Anwar untuk lebih melihat Abdullah jadi PM daripada orang lain.

Krisis politik yang berlaku di Perak sekarang ini adalah masa paling sesuai untuk Abdullah mengadjustkan keadaanya – merombak pelan atau menghapuskan pelan berkenaan. Pergolakan di Perak itu boleh dijadikan alasan untuk Abdullah tidak berundur dulu. Apa lagi ketengangan di Perak itu telah dikaitkan secara langsung dengan orang yang bakal mengambil alih jawatan.
Pastinya kalau orang lain menggantikan Abdullah suhu dan iklim politik di Perak yang kini belum reda akan bertambah hangat dan kesannya bukan saja di Perak tetapi di seluruh negara. Jika ini berlaku negara akan jadi huru hara.

Mungkin untuk merealisasikan perkara ini Abdullah tidak perlu sampai mengistyharkan Perak dalam keadaan darurat seperti mana dilakukan Hussein Onn di Kelantan tahun 1978 lalu. Beliau masih ada kuasa tersisa dan beliau boleh menggunakan itu. Dalam hal ini Abdullah tidak perlu merasa takut kepada tekanan dalaman kerana sokongan di luar boleh mengimbanginya. Abdullah juga perlu memikirkan soal masa depan negara yang bakal ditinggalkan.

Sedikit sebanyak kalau berlaku kekacauan selepas ini Abdullah juga tetap akan dituduh sebagai tidak bijak meninggalkan penggantinya, tidak seperti mana Dr Mahathir Mohamad lakukan, beliau pergi dengan menggantikan Abdullah yang boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno. [wm.kl. 10:00 am 20/02/09]

Thursday, February 19, 2009

Menjenguk Perak

Tempoyak Berbau Lagi

TEMPOYAK yang hampir kering dan meleket dipinggan dan mangkuk tiba-tiba berbau kembali. Rupanya baunya masih belum terhapus, pantang kena air atau cecair ia meruap semula. Begitulah anologi yang boleh diberikan kepada apa yang berlaku dalam kancah politik di Perak kini.

Pergolakan politik di negeri itu terkuak semula ekoran tindakan speaker DUN Perak V Sivakumar telah bertindak menggantungkan Menteri Besar dan enam Exco baru selama 18 bulan daripada menghadiri sidang Dewan.

Kalau penggantungan itu berkuatkuasa dan sah ini bermakna kedudukan MB, Zambry Abdul Kadir dan Exconya itu tidak berfungsi, mereka tidak dapat menghadiri persidangan dewan. Keputusan-keputusan berhubung pentadbiran negeri yang dibawah bidang kuasa masing-masing juga tidak boleh dilakukan dan tidak akan bergerak. Bermakna kerajaan yang dibentuk 6 Februari itu adalah kerajaan boneka.

Tindakan Sivakumar itu dipertikaikan oleh banyak pihak. Para-pakar perlembagaan dan undang-undang sekali lagi terpaksa bergegas ke perpustakaan membelek semula perlembagaan dan mencari jurnal undang-undang untuk memastikan apakah keputusan Sivakumar itu betul atau sebaliknya.

Seperti biasa berlaku pro kontra. Ada pakar yang mengatakan boleh dan yang mengatakan Sivakumar tidak ada kuasa. Yang jelas vokalnya ialah di pihak UBN mencari apa saja alasan untuk menghentam dan membantah tindakan speaker itu.

Para pendekar UBN pun lompat ke pentas-pentas media cepat-cepat mengaitkan tindakan Sivakumar itu sebagai melanggar perlembagan, menghina sultan dan menderhaka. Perkataan derhaka menjadi perkataan paling banyak disebut di negeri Perak Darul Ridzuan tahun ini.

UBN sekali lagi berselindung di sebalikm istana dan meneruskan rancangan membodek raja dan istana. Tindakan UBN itu tidak memperlihatkan mereka tidak ada kekuatan sendiri untuk berhadapan dengan pihak Pakatan dan terpaksa menggunakan nama raja dan istana.

Sepatutnya UBN tidak mengaitkan nama raja dan istana. Raja dan istana bukan pisau tumpul yang boleh diacu-acukan kepada orang lain. Sikap bermainan dengan pisau tumpul adalah perangai budak kecil yang penakut dan tidak cerdik.

Sepatutnya pemimpin UBN membawa kes itu ke mahkamah. Kalau Nizar Jamaluddin boleh bawa ke mahkamah bagi menentukan kedudukannya dan keabsahan Zambry sebagai MB kenapa tidak dengan UBN. Manja sangat UBN dengan raja.

Zambry dilaporkan akan membawa soal penggantungan beliau dan Exco itu ke mahkamah. Mahu mahkamah menentukannya. Itulah cara sebaik-baiknya, bertengkar dengan menggunakan kain dan berlindung di sebalik belakang raja dan istana itu orang pengejut dan tidak dapat menyelesaikan isu itu dengan fikiran sendiri. Selagi UBN menggunakan raja selagi itu rakyat tidak akan merasa puas dan adil. Tempoyak juga akan terus berbau di negeri itu.

Biarlah mahkamah menentukannya. Selepas mahkamah membuat keputusan hendaklah diterima dan jangan pula ada yang tidak berpuas hati dan menuduh mahkamah berat sebelah dan sebagainya. Dan mahkamah dalam hal ini biarlah adil, saksama dan berjalan betul jangan pula jadi macam mahkamah beruk. Hakim jangan pakai tali macam beruk yang boleh disenjah oleh tuannya dari bawah!

Saya percaya Sivakumar tahu sejauh manakah kuasa beliau sebagai speaker. Rasanya Sivakumar bukan bodoh sangat. Kenapa beliau lakukan begitu ialah untuk mengacau kerajaan yang ada saja. Kalau orang kacau kerajaan dia, kenapa dia tidak boleh usik kerajaan orang? Sebenarnya tindakan Sivakumar itu untuk menguji sejauh mana kebijaksanaan kerajaan baru Perak itu.

Sivakumar dan Pakatan Rakyat ingin melihat bagaimana UBN menyelesaikan masalah itu dan merasai apa yang mereka rasakan kini. Maka bagi saya apa-apa tindakan bakal diambil selepas ini, adalah wajar. Biarlah pergolakan politik Perak terus bergolak dan tempoyak merebak ke mana-mana saja. Sebab semua orang di Perak nampaknya mahu orang luar tahu rahsia rahsia makanan kegemaran mereka itu. [wm.kl. 8:45 pm 19/02/09]

Celoteh Murai 33

Sakit Salentia Semakin Menjadi

Seorang peguam, seorang peniaga dan dua orang ahli Parlimen menghubungi Murai selepas Asar tadi. Kesemua pemanggil itu bertanyakan soalan sama, apakah Murai mengikuti sidang parlimen hari ini. Murai kata Murai tidak ikut dan tidak pun ke parlimen. Menjadi kebiasaan Murai jam 3:00 hingga 4: 00 petang Murai beradun - meminjam bahasa bangsawan!

"Khabarnya Salentia mengamuk dalam parlimen hari ini, cuba Murai check," kata peguam itu kepada Murai. Manakala peniaga itu pula memberi tahu hal-hal yang sama mengenai Salentia mengamuk dan dan meminta Murai mengulas dalam ruangan ini. "Murai kena ulas sikit!," katanya.

Selepas itu baru dua ahli parlimen pula menghubungi Murai menjelaskan keadaan. Kata ahli parlimen yang seorang itu, hari ini Salentia mendedahkan betapa rendahnya moral beliau seorang ahli parlimen. "Sebelum ini orang dah tahu perangai buruknya tetapi hari ini sangat teruk, memalukan. Malu! " kata ahli parlimen itu kesal.

Menurutnya juga semua bahasa dan perkataan yang un-parliamentarian dikeluarkan oleh Salentia. Antaranya, hitungnya ialah, kurang ajar, anjing, babi, dan sebagainya. Pendeknya semua perbendahraan kotor dan jelek diungkapnya.

"Teruklah, kita sebagai ahli parlimen Melayu ini merasa turut terpalit dengan sikapnya itu. Kita malu kepada bukan Melayu. Dulu kita ingat dia akan menjadi seorang ahli MP bebas yang profesional, yang bebas bercakap soal-soal yang kita tidak boleh cakap, tetapi nampaknya mengecewakan. Terus terang saya kata saya hilang hormat kepadanya," keluhnya panjang lebar dan penuh kekesalan.

Manakala seorang lagi hali parlimen yang selalu kena sindir dan sinis oleh Salentia selamba sahaja memberi tahu. "Biasalah, dia mengaku kononnya dialah pejuang Melayu nombor satu, paling profesional, paling baik, itu paling ikhlas dan paling itu dan paling ini...," katanya ahli parlimen itu sambil tergelak mengenangkan kebodohan Salentia.

Menurutnya semasa Salentia mengamuk itu semua ahli parlimen PKR keluar dewan. Bukan apa mereka tidak mahu memberi semangat kepadanya kerana sikap Salentia ini katanya macam budak kecil menangis makin dipujuk makin menjadi. Jadi untuk tidak terlalu menghiburkan dia ahli Parlimen Pakatan ramai-ramai keluar.

Manakala menurut seorang pemerhati yang Murai hubungi memberitahu semasa ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad nak keluar dan melewati dekat Salentia hampir-hampir tercetus perbalahan fizikal. Nasib baik ada yang menghalangnya. Sebenarnya baik juga kalau berlaku pergocohan kerana Murai tahu Salentia ni jenis pengecut, hanya mulut saja besar.

Sebenarnya Murai sudah malas untuk mengulas si Salentia ini kerana mencemarkan tangan saja. Seorang penjenguk blog tempat Murai berteduh ini juga ada memesan jangan disebut fasal Salentia lagi kerana orang semua sudah tahu. Murai faham perasaan penjenguk itu yang tidak dapat menahan mual dan loya bila setiap kali menyebut nama si Salentia itu.

Tetapi kerana Murai sudah berjanji, bahkan Murai memesan kepadanya, Murai akan mengulas dan menulis mengenai Salentia selagi dia masih lagi bercakap menghina orang lain. Nampaknya dia masih dengan kerenahnya maka (maaflah) Murai kena catat dan ulas juga apa yang berlaku hari ini.

Bagi Murai, Murai tidak sikitpun hairan dengan apa yang berlaku. Tidak pelik dan tidak ganjil pun. Kerana dari dulu hingga kini itulah perangai si Salentia ini. Tidak ada mana-mana doktor yang boleh merawatnya. Kalau apa yang dihadapinya itu sejenis penyakit, maka sakitnya terlalu parah dan melibatkan saraf dibahagian otak. Jelas penyakit ini tidak boleh tahan dengan hanya diberi penadol saja.

Jadi orang yang sakit saraf ini tidak dapat boleh dibuat apa-apa lagi. Sebab itulah Murai tengok Anwar Ibrahim sudah tidak pedulikan lagi kepada Salentia ini dan membiarkan saja ia merapu dan merepek. Murai percaya kalau berselisih pun Anwar tidak akan menengurnya.

Apa yang dilakukan hari ini menyerang dan menghina Pakatan Rakyat adalah dalam agendanya menjual dirinya kepada Umno. Kalau tidak menyerang ahli palrimen pembangkang dan dalam masa sampai masuk ke dalam bakul dan angkat sendiri dengan modal apa lagi dia nak jual dirinya kepada Umno? Salentia terpaksa membasuhkan najisnya di khalayak ramai bagi membuktikan dia tidak kotor!

Itu sajalah yang boleh diperlakukan. Nampaknya walaupun dia sudah melalak dan melolong menjual diri, Umno masih juga belum terliur untuk membelinya. Sudah berbueh dia melolongkan dirinya sendiri, menjaja ke hulur dan ke hilir tetapi Umno tetap juga tidak sudi membelinya.

Sukacitalah Murai nak nasihatkan kepada Salentia kalau nak suruh cepat laku, beliau kena berjumpa dengan Hussein Lampong, sebab Hussein Lampong ini pakar dalam jual menjual orang. Sebelum dijual Salentia hendaklah menjadi tukang urut kepada Hussein Lampong terlebih dahulu. Dan Murai percaya Salentia sanggup melakukan lebih daripada itu asalkan dirinya terjual membolehkan beliau keluar dalam penjara minda yang beliau cipta sendiri itu.

Dan khabarnya Salentia juga menyentuh soal moral dalam parlimen hari ini dan membelasah muslimah Pas yang memeluk Elizabeth Wong, sekali lagi Salentia melupai dirinya. Sepatutnya sebelum dia merasa geli dengan perbuatan muslimah Pas itu dia juga kena geli dengan kemurahan hati Nik Azzi yang sanggup menjabat salam dengannya dan memberikan dia bulan untuk bertanding. Kalau Salentia ingat apa yang dikatakan kepada Tok Guru dia tidak tergamak untuk menjamah tangan Nik Aziz. Barang kali sebelum turun rumah untuk ke parlimen Salentia terlupa untuk menilik cermin.

Akhirukalan... seperti Murai katakan, Saleintia sebenarnya sudah sakit, jadi ada bahaya juga kalau orang sakit jenis ini diusik. Mungkin kerana memahami itulah maka Ketua Pembangkang, tidak pun mempedulikan nyanyian sonsang Salentia dan meninggalkan dewan selepas beliau menyampaikan perbahasan ucapan di raja.

Salentia... Salentia.....!

Murai: Sangat kesian atas penderitaan batin yang dialami Salentia. Ingatkan selepas menang sebagai wakil rakyat beliau sudah sembuh tapi nampaknya makin teruk.

Derita Setinggan

Menanti Lenyapnya Kampung Puah Seberang

SATU demi satu perkampungan setinggan orang Melayu di Kuala Lumpur lenyap atau menjadi mangsa urbanisasi. Kampung yang diduduki puluh-puluh tahun yang dibangunkan dengan titik peluh dan kudrat empat kerat itu ghaib dalam sekelip mata saja angkara pembangunan dan permodenan.

Kehilangan kampung-kampung setinggan ini yang dulu menjadi mercu tanda penempatan dan pemilikan bangsa Melayu di ibu kota Kuala Lumpur sesuatu yang mentrajiskan.
Bila mengenangkan soal setinggan ini bukan bermakna rancangan pembangunan dan permodenan yang hendak dilaksanakan ditolak. Tetapi apa yang sering dilupakan dengan berlakunya pembangunan itu menyebabkan orang Melayu kehilangan sebahagian lagi kawasan mereka di kawasan berprofil tinggi.

Tidak boleh dinafikan sesiapapun merindui kehidupan yang selesa, selamat dan tersedia segala kemudahan prasarana baru.
Namun nasib yang dialami para setinggan – sebenarnya lebih tepat dikenali dengan peneroka bandar sangat dikesali dan tidak adil kerana pengorbanan mereka tidak dinilai sewajarnya. Seolah-olah titik peluh mereka tidak dibayar setimpalnya.

Satu hakikat yang tidak boleh ditolak tanpa peneroka bandar ini mungkin jumlah orang Melayu di Kuala Lumpur tidak seberapa. Disebabkan keberanian dan kegigihan mereka berjuanglah menyebabkan wujud orang Melayu di Kuala Lumpur yang boleh dijadikan cenderamata bahawa orang Melayu juga ada di Kuala Lumpur yang memberi makna kepada kemerdekaan dan kemakmuran negara ini!

Bagaimana pun pembangunan kejam satu demi satu telah meratah mereka dan melenyapkan kawasan yang sudah berpuluh tahun diduduki itu dan diganti dengan kawasan atau penempatan baru yang kemudian dihunimilik oleh orang-orang baru bukan Melayu. Walaupun ada tawaran diberikan kepada orang Melayu tetapi disebabkan harganya tinggi, menyebabkan Melayu tidak mampu memiliknya melainkan hanya dapat melihat keindahannya dengan memandang dari jauh. Kawasan asal termasuk tempat tumpah darah itu terlepas ke tangan orang lain.

Fenomena ini memperlihatkan pembangunan moden di sekitar Kuala Lumpur adalah proses menghalaukan orang Melayu dari Kuala Lumpur secara diplomasi! Apakah situasi ini disedari oleh para teknokrat dan perancang bandar yang sebahagiannya dikuasai oleh Melayu sendiri.

Sebuah lagi perkampungan Melayu tradisi yang bakal lenyap di bumi ini ialah Kampung Puah Seberang yang terletak di Setapak Kuala Lumpur. Notis akhir untuk merombak dan membongkarkan kampung ini telahpun ditampal pada 7 Februari dan diberi tahu dua minggu akan merobohnya.

Kampung ini mempunyai sejarah tersendiri. Kampung ini diterokai selepas perang Jepun sekitar tahun 1942. Ianya diasaskan oleh Johari Manan yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera. Nama Puah itu diambil sempena dengan nama kampung Puah di Bukit Tinggi.

Beliaulah yang mula-mula menempat di sini membina surau dan membentuk komuniti peneroka yang semuanya dari Indonesia. Johari juga seorang aktivis parti politik Umno dan telah menggunakan saluran itu bagi membawa kemajuan di perkampungan berkenaan. Kehebatannya dalam memperjuangkan Umno satu masa beliau dinobatkan sebagai wara bangsa dan gambarnya dengan pembesar Umno masih tergantung dirumahnya yang akan diroboh itu. Beliau meninggal dunia tahun 1977.

Minggu lepas saya meninjau ke kampung berkenaan atas permintaan seorang penduduk, Abdul Rahman Mahat yang juga merupakan menantu Johari, yang meminta datang melihat perkampungan mereka yang akan hilang dan lenyap.

Harapan yang diluahkan begitu tinggi menyebabkan saya tergerak hati untuk melihat suasana kampung itu. Sebaik menjejak kaki di kampung itu saya merasa sebak melihat suasana kampung berkenaan, di mana rumah-rumah terbiar kosong dan ada yang di rombak. Keadaanya kini tidak ubah seperti kawasan gempa bumi.

Mana-mana penduduk yang mengambil keputusan berpindah telah merombak dan memecahkan rumah mereka mengambil mana-mana komponen yang diperlukan. Setengahnya masih membiarkan dan diberi sewa sementara. Dan yang tidak manisnya ada rumah-rumah itu dijadikan tempat berlindungnya para penagih dadah.

Menurut Abdul Rahman berbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan kampung berkenan termasuk menyampaikan hasrat mereka kepada pemimpin kerajaan dan Umno. Namun semuanya tidak memberi hasil. Usaha mereka itu ada kalanya tidak pernah dipandang walaupun sebelah mata.

“Kami sudah puas berusaha namun ianya semua sia-sia saja,” begitulah keluh Abdul Rahman. Bagaimana pun Abdul Rahman menjelaskan antara sebab kenapa usaha mereka gagal kerana tidak ada persepakatan antara penduduk kampung itu sendiri untuk mempertahankan tanah air mereka itu.

Sikap menjaga kepentingan diri masing-masing menyebabkan mereka mudah diperkotak katikkan oleh pihak berkuasa dan berhajat untuk memiliki tanah yang bernilaian ratusan juta itu.
Hari ini katanya ada antara 40 atau 50 keluarga sahaja yang masih belum berpindah. Sementara setengah sudah lama mengambil keputusan meninggalkan kampung kerana terpesona dengan tawaran tidak seberapa dan ada juga yang membuat penyelesaian secara senyap tanpa diberitahu kepada yang lain.

“Bagi saya inilah sebab kenapa kampung ini gagal dipertahankan, kerana komunitinya tidak bersatu tenaga” tekannya perlahan kesal.

Bagaimana pun bagi dirinya, Abdul Rahman yang tinggal bersama isteri dan anak-anak tidak akan berpindah dan mahu melihat sendiri bagaimana rumah pusakanya itu dirobohkan di hadapan mata. “Saya mahu lihat sendiri baru saya puas hati. Selagi ada masa dan ruang boleh pertahan saya akan pertahankan kampung ini,” tukasnya kesal.

“Encik kalau dia roboh, surau ini juga akan dirobohkah?” tiba terpantul pertanyaan yang sungguh menyenakkan jiwa itu dari isterinya Noorasmawati kepada saya. Saya merenung lama ke sebuah surau yang terletak di sebelah dengan rumah pusaka ditinggalkan Johari itu.
Surau itu juga ada kenangan tersendiri dan seolah ia satu kebetulan pula, ia akan roboh dan lenyap bersama akan berakhirnya kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Surau itu dirasmikan oleh Abdullah pada November tahun 1980.

Bagi isterinya, Noorasmawati dia ada alasan tersendiri kenapa enggan berpindah kerana tempat itu adalah tempat lahirnya. Beliau dilahir di kampung berkenaan dan kampung itu merupakan satu sentimental value buatnya. ”Saya di lahirkan di sini dan arwah ayah telah berpesan jangan tinggal kampung halaman, tempat ini sangat nostalgik buat saya,” begitulah ujarnya.

Mengimbau mengenai keadaan kampung itu menurut Noorasmawati ia sebuah kampung yang indah dan permai. Sungai Gombak yang merentangi di dada kampung berkenaan memisahkan kampung Puah Seberang dengan Kampung Puah sungguh indah dan menenangkan.

Landskap semulajadi itulah yang masih menggamit perasaanya menyebabkan adakalanya air jernih melerai di birai matanya.

“Di sungai itulah tempat kami mandi manda, membasuh dan juga mencari ikan. Hari ini sungai itu sudah tertimbus dan dipenuhi dengan semak samun,” kata Noorasmati lagi.

Bagaimana pun semua keindahan itu akan hilang terus sedikit hari lagi. Apa yang tinggal kelak hanya nama Kampung Puah Seberang dalam pusara kenangan para penduduk kampung itu yang kini berselerakkan membawa kehidupan masing-masing. [wm.kl. 10:00 am 18/02/09]