Thursday, February 19, 2009

Derita Setinggan

Menanti Lenyapnya Kampung Puah Seberang

SATU demi satu perkampungan setinggan orang Melayu di Kuala Lumpur lenyap atau menjadi mangsa urbanisasi. Kampung yang diduduki puluh-puluh tahun yang dibangunkan dengan titik peluh dan kudrat empat kerat itu ghaib dalam sekelip mata saja angkara pembangunan dan permodenan.

Kehilangan kampung-kampung setinggan ini yang dulu menjadi mercu tanda penempatan dan pemilikan bangsa Melayu di ibu kota Kuala Lumpur sesuatu yang mentrajiskan.
Bila mengenangkan soal setinggan ini bukan bermakna rancangan pembangunan dan permodenan yang hendak dilaksanakan ditolak. Tetapi apa yang sering dilupakan dengan berlakunya pembangunan itu menyebabkan orang Melayu kehilangan sebahagian lagi kawasan mereka di kawasan berprofil tinggi.

Tidak boleh dinafikan sesiapapun merindui kehidupan yang selesa, selamat dan tersedia segala kemudahan prasarana baru.
Namun nasib yang dialami para setinggan – sebenarnya lebih tepat dikenali dengan peneroka bandar sangat dikesali dan tidak adil kerana pengorbanan mereka tidak dinilai sewajarnya. Seolah-olah titik peluh mereka tidak dibayar setimpalnya.

Satu hakikat yang tidak boleh ditolak tanpa peneroka bandar ini mungkin jumlah orang Melayu di Kuala Lumpur tidak seberapa. Disebabkan keberanian dan kegigihan mereka berjuanglah menyebabkan wujud orang Melayu di Kuala Lumpur yang boleh dijadikan cenderamata bahawa orang Melayu juga ada di Kuala Lumpur yang memberi makna kepada kemerdekaan dan kemakmuran negara ini!

Bagaimana pun pembangunan kejam satu demi satu telah meratah mereka dan melenyapkan kawasan yang sudah berpuluh tahun diduduki itu dan diganti dengan kawasan atau penempatan baru yang kemudian dihunimilik oleh orang-orang baru bukan Melayu. Walaupun ada tawaran diberikan kepada orang Melayu tetapi disebabkan harganya tinggi, menyebabkan Melayu tidak mampu memiliknya melainkan hanya dapat melihat keindahannya dengan memandang dari jauh. Kawasan asal termasuk tempat tumpah darah itu terlepas ke tangan orang lain.

Fenomena ini memperlihatkan pembangunan moden di sekitar Kuala Lumpur adalah proses menghalaukan orang Melayu dari Kuala Lumpur secara diplomasi! Apakah situasi ini disedari oleh para teknokrat dan perancang bandar yang sebahagiannya dikuasai oleh Melayu sendiri.

Sebuah lagi perkampungan Melayu tradisi yang bakal lenyap di bumi ini ialah Kampung Puah Seberang yang terletak di Setapak Kuala Lumpur. Notis akhir untuk merombak dan membongkarkan kampung ini telahpun ditampal pada 7 Februari dan diberi tahu dua minggu akan merobohnya.

Kampung ini mempunyai sejarah tersendiri. Kampung ini diterokai selepas perang Jepun sekitar tahun 1942. Ianya diasaskan oleh Johari Manan yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera. Nama Puah itu diambil sempena dengan nama kampung Puah di Bukit Tinggi.

Beliaulah yang mula-mula menempat di sini membina surau dan membentuk komuniti peneroka yang semuanya dari Indonesia. Johari juga seorang aktivis parti politik Umno dan telah menggunakan saluran itu bagi membawa kemajuan di perkampungan berkenaan. Kehebatannya dalam memperjuangkan Umno satu masa beliau dinobatkan sebagai wara bangsa dan gambarnya dengan pembesar Umno masih tergantung dirumahnya yang akan diroboh itu. Beliau meninggal dunia tahun 1977.

Minggu lepas saya meninjau ke kampung berkenaan atas permintaan seorang penduduk, Abdul Rahman Mahat yang juga merupakan menantu Johari, yang meminta datang melihat perkampungan mereka yang akan hilang dan lenyap.

Harapan yang diluahkan begitu tinggi menyebabkan saya tergerak hati untuk melihat suasana kampung itu. Sebaik menjejak kaki di kampung itu saya merasa sebak melihat suasana kampung berkenaan, di mana rumah-rumah terbiar kosong dan ada yang di rombak. Keadaanya kini tidak ubah seperti kawasan gempa bumi.

Mana-mana penduduk yang mengambil keputusan berpindah telah merombak dan memecahkan rumah mereka mengambil mana-mana komponen yang diperlukan. Setengahnya masih membiarkan dan diberi sewa sementara. Dan yang tidak manisnya ada rumah-rumah itu dijadikan tempat berlindungnya para penagih dadah.

Menurut Abdul Rahman berbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan kampung berkenan termasuk menyampaikan hasrat mereka kepada pemimpin kerajaan dan Umno. Namun semuanya tidak memberi hasil. Usaha mereka itu ada kalanya tidak pernah dipandang walaupun sebelah mata.

“Kami sudah puas berusaha namun ianya semua sia-sia saja,” begitulah keluh Abdul Rahman. Bagaimana pun Abdul Rahman menjelaskan antara sebab kenapa usaha mereka gagal kerana tidak ada persepakatan antara penduduk kampung itu sendiri untuk mempertahankan tanah air mereka itu.

Sikap menjaga kepentingan diri masing-masing menyebabkan mereka mudah diperkotak katikkan oleh pihak berkuasa dan berhajat untuk memiliki tanah yang bernilaian ratusan juta itu.
Hari ini katanya ada antara 40 atau 50 keluarga sahaja yang masih belum berpindah. Sementara setengah sudah lama mengambil keputusan meninggalkan kampung kerana terpesona dengan tawaran tidak seberapa dan ada juga yang membuat penyelesaian secara senyap tanpa diberitahu kepada yang lain.

“Bagi saya inilah sebab kenapa kampung ini gagal dipertahankan, kerana komunitinya tidak bersatu tenaga” tekannya perlahan kesal.

Bagaimana pun bagi dirinya, Abdul Rahman yang tinggal bersama isteri dan anak-anak tidak akan berpindah dan mahu melihat sendiri bagaimana rumah pusakanya itu dirobohkan di hadapan mata. “Saya mahu lihat sendiri baru saya puas hati. Selagi ada masa dan ruang boleh pertahan saya akan pertahankan kampung ini,” tukasnya kesal.

“Encik kalau dia roboh, surau ini juga akan dirobohkah?” tiba terpantul pertanyaan yang sungguh menyenakkan jiwa itu dari isterinya Noorasmawati kepada saya. Saya merenung lama ke sebuah surau yang terletak di sebelah dengan rumah pusaka ditinggalkan Johari itu.
Surau itu juga ada kenangan tersendiri dan seolah ia satu kebetulan pula, ia akan roboh dan lenyap bersama akan berakhirnya kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Surau itu dirasmikan oleh Abdullah pada November tahun 1980.

Bagi isterinya, Noorasmawati dia ada alasan tersendiri kenapa enggan berpindah kerana tempat itu adalah tempat lahirnya. Beliau dilahir di kampung berkenaan dan kampung itu merupakan satu sentimental value buatnya. ”Saya di lahirkan di sini dan arwah ayah telah berpesan jangan tinggal kampung halaman, tempat ini sangat nostalgik buat saya,” begitulah ujarnya.

Mengimbau mengenai keadaan kampung itu menurut Noorasmawati ia sebuah kampung yang indah dan permai. Sungai Gombak yang merentangi di dada kampung berkenaan memisahkan kampung Puah Seberang dengan Kampung Puah sungguh indah dan menenangkan.

Landskap semulajadi itulah yang masih menggamit perasaanya menyebabkan adakalanya air jernih melerai di birai matanya.

“Di sungai itulah tempat kami mandi manda, membasuh dan juga mencari ikan. Hari ini sungai itu sudah tertimbus dan dipenuhi dengan semak samun,” kata Noorasmati lagi.

Bagaimana pun semua keindahan itu akan hilang terus sedikit hari lagi. Apa yang tinggal kelak hanya nama Kampung Puah Seberang dalam pusara kenangan para penduduk kampung itu yang kini berselerakkan membawa kehidupan masing-masing. [wm.kl. 10:00 am 18/02/09]

2 comments:

Anonymous said...

mungkin sudah sampai masanya mengimarahkan kuasa rakyat..
mungkin dengan kuasa rakyat ini ia tidak akan lagi melihat kepada sesuatu bangsa sama ada dia melayu india cina dan sebagaiya...
mungkin dengan ditiadakan lagi konsep ketuanan melayu dan diganti dgn konsep kuasa rakyat orang melayu akan dapat diselamatkan akhirnya....


firdaus,
k.kangsar

ambo,kl said...

en mso, tahniah!!!
anda telah mengetengahkan isu yang patut diambil berat oleh semua pihak.bukannya dok bercakap pasal politik 365 hari setahun.masalah rakyat diketengahkan.sy sudah boring mengikut perkembangan politik tanah air akhir2 ini.semua wakil2 rakyat sudah gila.dah x de mslh lain ke nk buat.dah x de ke mslh rakyat yg perlu diselesaikan.hr2 dok bincang pasal politik terutamanya di perak.yb diperak dah gila ke?rakyat yang sekarang susah cr makan itu yang perlu dibela.daripada duit dihabiskan untuk bayar peguam, baik bg kat rakyat di masa ekonomi meleset.
menteri2 pun dah jd buta dan tuli.semuanya utk kepentingan masing2.masalah rakyat tidak terbela.
sy cukup meluat dengan telatah org politik skrg.kami rakyat yang menerima akibat.semakin hari semakin susah nk sekolahkan anak.diaorang senang2 je sebut angka juta2.
sebab itu BN kalah di kelantan.org2 umno sdri yang merosakkan umno.bukan disebabkan orang pas.
lps satu cerita, keluar satu cerita.semuanya mengenai politik kotor.x de satu pun yg baik dalam berpolitik.semua wakil rakyat jahat.jahat nk rebut kuasa.jahat nk tambah harta.
Sy dah benci dengan org politik.sy nk berkempen plk jgn keluar mengundi.biar semua yg berangan2 nk jd YB tahu susahnya kami nk cr makan.
Sy dr kelantan dtg cr makan di KL.sedih tgk kawan2 kena buang kerja.orang politik senang2 je saman menyaman sampai juta2.PTUIIII..........