Monday, February 16, 2009

Ulasan Isu

Gesaan Abdullah kekal PM
Saya harap Tok Guru Nik Aziz tidak ikhlas


SAYA berharap gesaan Tuan Guru Haji Nik AbdulAziz Nik Mat supaya Abdullah Ahmad Badawi terus memegang jawatan Perdana Menteri bukan terbit dari dhamir atau kalbun yang ikhlas. Saya berharap gesaan itu hanya bersifat politik (hipokrit) yang mana sekiranya Abdullah terdengar gesaan itu Pas akan menangguk sedikit keuntungan daripadanya kelak.

Kenapa saya berharap begitu? Kerana seruan yang dibuat oleh Nik Aziz itu dalam keadaan Abdullah sudah terlalu semput. Jika boleh diibaratkan keadaan Abdullah saat ini samalah dengan nasib si Jamil dalam filem Madu Tiga yang dikejar oleh isterinya.

Jamil tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana ketiga isterinya sudah menjejakinya dan akan menggomolkannya. Nah begitulah nasib Abdullah hari ini masanya sudah terdesak benar. Abdullah sudah pun bersiap sedia untuk pindah dan sebahagian barangan peribadinya sudah pun dikemaskan.

Yang di-Pertuan Agong juga semasa bertitah merasmi sidang Parlimen pagi tadi telah merakam ucapan penghargaan kepada memanda Perdana Menterinya. Jadi kitab Abbullah sebagai PM akan ditutup tepat pada waktunya, Mac depan.

Nik Aziz dilaporkan membuat gesaan itu di lapangan terbang Sultan Ismail Pengkalan Chepa, Kelantan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur semalam. Gesaan Nik Aziz itu agak ganjil sedikit dan ianya seakan mengiringi apa yang dilakukan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Jarang kedengaran kenyataan Nik Aziz menuruti kenyataan Abdul Hadi. Selalunya Abdul Hadi menuruti pandangan Nik Aziz.

Nik Aziz memberi alasan dan hujah sendiri kenapa Abdullah perlu kekal. Antaranya keperluan itu kerana politik masa kini kalut. Jadi untuk meredakan kekalutan ini Abdullah perlu terus jadi PM. Padanya beliau yakin kekalutan hari ini disebabkan oleh Mohd Najib Razak. Peristiwa penculikan dua Adun di Perak baru-baru ini sangat-sangat mengesal dan membimbangkan Menteri Besar itu.

Saya setuju dengan pandangan itu. Tetapi yang menarik dan menjadi saya terfikir ialah kenapa tiba-tiba Nik Aziz membuat gesaan itu. Apakah beliau tidak pernah nampak apa-apa kebaikan kepada Pas sebelum ini sekiranya Abdullah terus menjadi PM. Dan apa yang tidak nampak itu cuma dapat dilihat kini setelah saat Abdullah hendak melepaskan jawatan itu. Kalau benar begitu sungguh malang sekali.

Perubahan sikap dan pandangan politik MB Kelantan ini menarik dan mengejutkan juga. Jika dilihat kepada sikap dan pandangan politiknya sebelum ini mengenai Abdullah ia agak kontras. Apakah berlaku perubahan besar dalam poltik Nik Aziz dalam sehari dua ini. Ataupun beliau sudah memperbetulkan semula panduan politik yang diberikan oleh beberapa orang penasihatnya selama ini? Bahawa teori politik yang diterima sebelum ini silap?

Pada saya kalau Nik Aziz ikhlas dengan gesaan itu, beliau patut membuatnya lama sebelum ini. Sebelum meletusnya pelan peralihan kuasa dalam Umno. Mungkin kalau beliau membuat gesaan ketika itu ia mampu menggamit hati Abdullah. Sudah tentu gesaan dan sokongan itu akan menjadi sokongan kepada Abdullah.

Tetapi sayangnya sebelum ini Nik Aziz seakan suka kalau Abdullah tidak terlalu menjadi Perdana Menteri. Beberapa kenyataan dan sindiran beliau kepada Abdullah menjelaskan rasa kurang senang beliau kepada Abdullah. Misalnya sindiran di hadapan mata sewaktu Abdullah merasmikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akhir tahun 2007 menjelaskan sikap Nik Aziz kepada Abdullah. Pada majlis itu beliau terang-terangan mengkritik Abdullah di hadapan ribuan tetamu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh beliau sebagai tok guru.

Begitu juga semasa beberapa pimpinan Pas mengadakan pendekatan dengan Umno – pertemuan dengan Abdullah, Nik Aziz melahirkan rasa kurang senangnya. Beliau lebih menyokong pihak yang menentang ura-ura untuk bermuzakarah bagi mencari persefahaman itu. Beliau sendiri menukar muzakarah kepada muqabalah, di mana pertukaran itu menunjukkan Nik Aziz tidak bersetuju dan senang hati dengan pendekatan yang diambil itu.

Daripada tindak tanduk politik Mursyidul Am Pas itu jelas memberi gambaran beliau tidak seronok dengan Abdullah. Seolah-olah Nik Aziz tidak yakin Abdullah boleh membawa pendekatan politik terbuka serta membawa dimensi baru politik orang Melayu.

Justeru bila hari ini beliau menggesa Abdullah agar terus pegang jawatan PM ia sungguh ganjil. Walhal dalam situasi sekarang ini beliau patut meminta Abdullah menyegerakan tempoh pengunduran itu. Apakah Nik Aziz sudah dapat menghidu bahawa Pas akan berhadapan dengan kesulitan apabila UBN dipimpin leh Mohd Najib Razak maka beliau perlu membuat gesaaan yang boleh dianggap anih dan kontras dengan pendiriannya sebelum ini itu?

Apapun pada saya gesaan itu sudah terlewat. Sekiranya Nik Aziz merasai masa depan Pas khasnya dan Pakatan Rakyat lebih sulit selepas ini, terimalah dengan penuh ketebukaan. Meminta Abdullah kekal di kerusinya dengan harapan ia meredahkan kekalutan poltik dan memberi keuntungan kepada Pas umapama seperti ingin mabalikkan sebuah bukit yang besar dengan kudrat yang tidak seberapa.

Samada selepas ini Pas akan berhadapan dengan ujian paling hebat dan pengkhiantan politik paling dahsyat dari pengganti Abdullah itulah hakiki politik yang kena diterima oleh kerana kurang bijaskana Pas dalam mengambil peluang dan mencuri ruang politik yang ada.

Sekali lagi saya berharap gesaan Nik Aziz itu tidak ikhlas dan bermotifkan politik kerana kalau ianya ikhlas ia semacam memperlihatkan kekecewaan Nik Aziz di atas apa yang berlaku sebelum ini. [wm.kl. 8:20 pm 16/02/09]

2 comments:

rubah said...

Saya dapat merasakan tulisan saudara Sayuti tidak begitu memihak mana2 pihak. Saudara berani menegur pimpinan PAS & UMNO walhal bagi penyokong2 kedua2 parti ini segala tutur kata pucuk pimpinan mereka seolah2 satu fatwa yg tidak boleh disanggah.

Al Fakirah said...

salam Tuan Haji MSO,

InsyaAllah saya faham apa yang tersirat di hati TGNA. Kalau ditafsirkan dari segi strategi politik masa kini, ianya amat tepat.

Pada saya tidak timbul isu 'siapa ikut siapa' sebagaimana yang Tuan Haji coretkan iaitu "Gesaan Nik Aziz itu agak ganjil sedikit dan ianya seakan mengiringi apa yang dilakukan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Jarang kedengaran kenyataan Nik Aziz menuruti kenyataan Abdul Hadi. Selalunya Abdul Hadi menuruti pandangan Nik Aziz". Pada saya, TGNA dan TG Hadi dok satu kapal mestilah pandangan seiring dan sejalan. Tidak kiralah siapa yang keluarkan kenyataan.

Just my 2 cents :)