Sunday, February 1, 2009

Silau Sejarah

Lompat Parti
Apakah Akan Ada Kerajaan Negeri Yang Runtuh?


NAMPAKNYA suasana politik negara kita sehari dua ini jadi gegak gempita. Suhunya juga naik mendadak. Semua ahli-ahli politik tidak dapat nyenyak tidur. Semua memikirkan apa akan berlaku kepada parti dan kerajaan negeri masing-masing. Keadaan panas dan hangat ini bermula dengan tindakan Adun Bota, Perak, Nasarudin Hashim yang meninggalkan Umno dan menyertai PKR minggu lalu.

Ternyata tindakan Nasarudin itu mengoncangkan Umno Perak. Ia membawa kepada perletakkan jawatan pengerusi Umno Perak, Mohd Tajol Rosli Ghazali. Tajol yang pada mulanya cuba melindungi keaiban dan kegoncangan Umno Perak dengan mengatakan Umno Perak stabil.
Tetapi ternyata tindakan Nasarudin yang diikuti dengan tekanan dalaman ke atasnya (Tajol) menyebabkan bukan saja Umno tidak setabil tetapi beliau sendiri turut tumbang, hulang jawatan pengerusi Umno Perak dan juga bakal hilang jawatan ketua Umno Bahagian Gerik.

Kesan kemasukan Nasarudin menyebabkan Umno Perak dan Umno Malaysia mengambil sikap berjaga-jaga. Mereka tidak mahu tindakan itu diikuti oleh beberap Adun yang lain. Terdapat sekurang-kurang dua atau tiga orang dikatakan akan mengambil langkah sama dengan Nasarudin. Maka dalam memperkemaskan Umno itu, dalam masa sama pemimpin Umno cuba memancing wakil rakyat Pakatan Rakyat agar menyertai mereka sebagai serang balas.

Kebetulan dua Exco Perak dari PKR, Kapt (B) Mohamad Othman Jailu dan Jamaludin Mohd Radzi sedang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah. Kes mereka akan dibicarakan minggu depan. Umno nampaknya menggunakan peluang ini untuk memancing dua angota Exco berkenaan. Apa yang dilakukan Umno itu adalah lumrah dalam politik. Dan sekiranya dua Exco itu menyertai Umno ia juga bukan sesuatu yang mustahil dan ganjil.

Beliau kini dalam keadaan terjempit dengan dakwaan rasuah. Sekiranya Umno ada jalan untuk mengelakkan mereka ke mahkamah, mungkin mereka sanggup membayar dengan apa juga caranya termasuk meningalkan PKR dan menyertai Umno. Soal Umno menggunakan kaedah betul atau sebaliknya itu soal lain.

Satu laporan semalam mengatakan dua Exco itu kini berada dalam kawalan Mohd Najib Razak. Mereka juga dikatakan bila-bila masa saja akan membuat kenyataan keluar dari PKR dan menyertai Umno.

Hari ini MB Perak Mohamad Nizar Jamaluddin telah membuat laporan polis atas kedua Exco itu. Exco berkenana dikatakan hilang dan tidak dapat dihubungi sejak 48 jam lalu.

Apakah dua Exco itu diculik atau benar-benar berada dalam kawalan Umno? Politik boleh berlaku apa saja dan jangan rasa mustahil dengan apa yang bakal terjadi. Ahli dan penyokong Pakatan Rakyat jangan mudah menganggap cerita yang ditabur itu sebagai gimik. Namun mereka harus bersedia menerimanya sebagai satu realiti.

Sebagai parti yang tertekan kini Umno akan melakukan apa sahaja. Apa peluang dan senjata yang ada mereka akan gunakan asalnya maruah dan kerajaan mereka dapat dijaga.

Untuk tidak mengejutkan apa yang mungkin berlaku saya ingin membawa pemerhatian penjenguk blog ini kembali ke tahun 1960 dan 1961 melihat peristiwa politik yang menimpa parti Pas Terengganu ketika itu. Pada tahun itu telah berlaku lompat melompat parti yang akhirnya menyebabkan kerajaan Pas Terengganu yang dibentuk selepas pilihan raya umum 1959 tumbang.

Dalam pilihan raya itu Pas menang 13 kerusi DUN Terengganu dan menubuh kerajaan dengan majoriti mudah. Umno menang tujuh kerusi manakala Parti Negara tiga dan satu MCA.
Perisitwa melompat parti bermula dengan seorang Adun Parti Negara, Ismail Abbas telah menyertai Pas. Beliau kemudian dilantik menjadi Exco Kerajaan Terengganu.

Selepas itu keadaan jadi terbalik dua orang ahli Pas, Wan Said dan Wan Abdul Kadir telah berpaling tadah dan menyertai Umno. Kedudukanya menjadikan Perikatan bertambah dua kerusi menjadi sembilan kerusi manakala Pas 12 kerusi - tidak termasuk speaker.

Pada tahun 1960 Perikatan telah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kerajaan Pas tetapi tidak berjaya. Walaupun dua Adun Pas menyertai Umno tetapi semasa mengundi dua Adun Parti Negara mengambil sikap tidak mengundi.

Bagaimana pun percubaan kedua Perikatan tahun 1961 membuahkan hasil bilamana dua ahli Parti Negara itu telah menyertai Umno. Semasa dijalankan undian dua orang ahli Pas, Ahmad Azan dan Wan Ismail dari Jertih juga telah mengundi Umno. Keadaan ini menyebabkan jadi kelam kabut kerana kedudukannya 12 – 12.

Bagaimana pun akhirnya Pas terpaksa mengaku kalah juga apabila speaker dari Pas telah diam-diam menyertai Umno. Maka tumbanglah kerajaan Pas Terengganu hasil politik katak itu.

Apa yang berlaku di Terengganu 48 tahun itu satu realiti politik dan dicatat dalam sejarah politik negara ini. Sebagai sejarah peristiwa itu tidak mustahil akan berulang sekali lagi atau untuk beberapa kali lagi dari masa ke semasa.

Apabila parti-parti mendapat kemenangan kecil dan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di peringkat DUN apa lagi dengan bergabung dengan parti lain keadaan itulah yang membimbang parti-parti politik. Apa lagi sekiranya wakil rakyat pula kebetulan berpenyakit dan ada masalah peribadi membabitkan undang-undang menyebabkan peristiwa lompat melompat itu senang berlaku.

Jadi kepada penjenguk blog ini yang berat kepala memikirkan mengenai kedudukan beberapa buah kerajaan negeri yang membentuk kerajaan dengan majoriti mudah cubalah hayati peristiwa di Terengganu itu sebaik mungkin. Janganlah emosional dan terlalu berfikir fanatik tanpa meletakkan kemungkinan itu tidak akan berlaku di zaman ini. [d'kota kl 01/02/09]

5 comments:

aukauk88 said...

salam tuan mso.

terima kasih kerana mengingatkan saya golongan muda berkenaan sejarah politik lompat melompat. bagi saya yang agak kurang faham berkaitan aktiviti lompat melompat ini kekadang keliru dan mashgul tentang perangai-perangai politician yang sebaya ayah dan datuk saya ini.

terima kasih tuan mso.

mike said...

Salam..

baru2 ni presiden pas dan rombongan 20 orang ke gaza untuk menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan..

saya berpendapat ape keperluan 20 orang rombongan?untuk melancong ke..
apakah kos ke sana tanggungan sendiri atau hasil wang derma..
saya musykil...saya berpendapat..tidak perlulah sampai 20 orang ke sana..hanya pandangan anak muda...musykil..harap tuan bincangkan..

PEMUDA PAS KEMAHANG 1 said...

buat mike,

Tuan dok sibuk pimpinan PAS ke sana sampai 20 orang, tapi tuan sendiri macam mana? sekurang-kurangnya mereka ada komitmen utk membantu mangsa kekejaman yahudi laknat itu.

Mereka ke sana serampang dua mata. 1 untuk menyampaikan sumbangan, 2 adalah untuk lawatan kerja. cuba tanya sapa yang mereka jumpa dan apa yang mereka buat di sana? mereka pergi untuk sampaikan bantuan dan derma rakyat malaysia. di samping itu, mereka ke sana untuk bertemu dengan beberapa pimpinan dan pertubuhan Islam yang selama ini giat membantu palestin.

Dan untuk pengetahuan tuan, rombongan PAS biasanya dibiayai dari dua sumber. Samada PAS yang bayar ataupun keluar duit poket sendiri. Kami bukan jenis 'telan duit rakyat'.

www.pemudakemehe1.blogspot.com

cucu atuk said...

Amboi... Agresif tol lah pemudakemehe ni... Org cuma nak tanya pendapat je...Jawab tak hikmah langsung...

fryshadow said...

MIke,
tabung nstp tu hang tak ragu2 ke ?

Setiap cawangan PAS tak kira dimana jua ada dana mereka sendiri dan setiap aktiviti adalah dari pungutan dana tersebut khas untuk aktiviti yang nak dijalankan, dan ini adalah sumbangan dan bukan paksaan.

Dan untuk ke Gaza sudah pasti ada dana untuk aktiviti itu sendiri :)

untuk mike sebagai penjelasan, nak tahu lebih lanjut sila dekati AJK Pas kawasan dan cawangan macam mana Pas conduct aktiviti

Pas Muar