Tuesday, August 21, 2007

Catatan Dini Hari

Politik Kambing Jamnapari di Kelantan

MSO

TIDAK munasabah kalau difikirkan! Tetapi ia sudah menjadi kenyataan. Tidak logik, tetapi ia benar-benar berlaku. Mungkin, inilah bahana kalau manusia sudah dikuasai amarah, dia akan bertindak tanpa memikirkan baik ataupun tidak. Janji ia akan dapat memuaskan hati, dia sanggup lakukan apa saja.

Sebab itulah juga ada orang bertindak membakar kelambu kerana marahkan nyamuk!

Seseorang itu kalau sudah marah boleh melakukan apa saja. Kalau Mustapa Mohamed sewaktu kalah dalam pilihan raya umum tahun 1999, menendang kerusi dan meja di bilik pengiraan undi di Jeli kerana protes dan sebagai lepas geram atas kekalahannya itu, tetapi orang lain ada cara lain pula apabila ia sudah marah. Pokoknya orang sedang marah ini buruk perangainya.

Tidak kira dia siapa. Profesor ke, Doktor ke, Arkitek ke ataupun orang politik, kalau sudah marah dunia boleh terbalik. Segala ilmu dan fatwa nasihat tidak akan didengar lagi. Kalau selama ini dia dilihat profesional, tetapi kalau sudah marah akan jatuh ke tangga bawah daripada amatur. Begitulah kalau sudah marah manusia akan jadi tidak waras lagi.

Manusia kalau sudah marah, perangainya lebih teruk daripada binatang. Kalau kambing marah, ia setakat menanduk dan menyingung busut jantan saja. Begitu juga kalau beruk marah,paling-paling dia akan tungging punggung saja. Tetapi kalau manusia marah ia lebih kejam daripada itu. Manusia tidak kira siapa kalau sudah marah, samada budak ataupun orang tua, dihentam dan dikeronyok sahaja.

Apa yang hendak diceritakan di sini ialah mengenai nasib dialami seorang penternak kambing Ismail Mat Yusuf, 53 (foto) dari kampung Baru Dua Jalan Kuala Krai, Kota Bharu Kelantan. Gara-gara beliau tersalah cakap menyebabkan tiga ekor kambingnya yang diberikan oleh seseorang telah diambil balik.

Pemberian ikhlas

Tiga bulan lalu Ismail diberikan lima ekor kambing oleh orang berkenaan di bawah satu skim yang dipeloporkan oleh orang ternama itu. Ismail tidak minta tetapi orang itu yang menawarkan kepadanya. Tanpa banyak bicara Ismail menerimanya sebagai pemberian ikhlas dan haknya sebagai rakyat miskin.

Maka dipelihara dan dijagalah kambing itu dengan penuh kasih sayang. Kambing yang kurus, kalau jentik pun jatuh itu dijaga dan diberi makan secukupnya hingga gemuk dan sudah menunjukkan tanda-tanda ianya sudah bunting sewaktu dirampas balik.

Ismail ini amat rapat dengan orang berkenaan kerana dia menjaga dan merawat kambing-kambing peliharaan orang berkenaan. Dialah yang mencari rumput rumpai untuk makanan kambing-kambing orang itu. Pendeknya Ismail bolehlah dianggap sebagai kuli orang berkenaan?

Hendak jadikan cerita, suatu hari si Ismail ini telah tersalah cakap berhubung sikap dan perilaku orang berkenaan yang kononnya memesan (order) kira-kira 22 ekor kambing jenis Jamnapari tetapi tidak tahu membayar. Orang itu dikatakan memesan kambing-kambing itu dari saudagar kambing di Kuala Lumpur yang mulanya mengadakan kerjasama dalam ternakan kambing dengan sebuah akademi di Kelantan. Entah kenapa mungkin disebabkan tuntutannya lambat dibuat, pembayarannya lewat dibuat.

Ismail tidak tahu hujung pangkal telah membawa mulut kononnya orang itu tidak membayarkan kambing-kambing itu dan telah menceritakan kepada rakannya yang juga ‘berkerja’dirumah orang itu. Katanya kalau orang itu tidak segera membayar kambing-kambing yang dipesan itu akan diambil balik. Berita itu sampai ke telinga orang berkenaan dan dia sungguh murka.

Kira-kira dua minggu selepas itu seorang Tok Penghulu telah pergi ke rumah Ismail untuk melihat kambing peliharaanya itu. Kedatangan penghulu itu tidak menimbulkan apa-apa kecurigaan bagi Ismail sebaliknya penghlu itu memberi tahunya mungkin pihak kerajaan akan menambah lagi bilangan kambing kepadanya.

Malangnya beberapa hari selepas itu pengulu itu datang lagi ke rumahnya bersama beberapa orang dan dengan dua kereta. Kedatangan orang-orang itu ialah untuk mengambil balik kambing-kambing Ismail itu yang menurut mereka atas arahan orang berkenaan.

Orang miskin

Ismail terkejut dengan tindakan itu. Beliau tidak sedih atas kejadian itu sebaliknya merasa mujur, tetapi tidak sangka orang berkenaan yang dikatakan cerdik, berfikiran jauh dan senantiasa bercakap untuk membantu orang miskin dan galak memperkenalkan berbagai skim bantuan sosial, tetapi tergamak untuk mengambil balik kambing yang diberikan kepadanya.

Moral of the story, begitukah lagak dan sikap orang yang diwar-warkan akan menjadi pemimpin tertinggi di Kelantan? Apakah dengan sedikit kesalahan dilakukan oleh seorang tua yang sudah berumur lebih setengah abad, yang hidupnya mencerut rumput pun diambil kira? Kalau dengan orang seperti Ismail beliau boleh bergaduh, berdendam dan mengambil hati, macam mana beliau hendak memimpin ratusan ribu rakyat Kelantan kelak?

Seorang yang hendak menjadi pemimpin sepatutnya penyabar dan senantiasa berfikiran rasional dan tahu bertanggungjawab. Tidak mudah bertindak sesuka hati dan perlu berfikir panjang dalam apa juga langkah yang hendak dibuat. Antara lain tujuan kita berzikir, berwirid ialah agar menghindarkan kita dari mudah merasa marah dan berdendam!

Apapun saya masih tidak percaya apa yang berlaku itu, hanya kerana itu sebabnya. Mungkin Ismail ada sebab-sebab dan kesalahan lain yang lebih fatal lagi. Mungkin juga tindakan mengambil balik kambing itu kerana kegagalan atau Ismail tidak layak memelihara kambing jenis Jemnapari. Kerana dua daripada lima ekor yang diberikan itu dikatakan mati atau disembelih?

Kalau Ismail sembelih kambing itu maka tidak layaklah beliau memelihara kambing kerana sudah bersikap tidak jujur. Wajar kalau orang itu merampas balik kambingnya kerana dia tidak amanah. Tetapi kalau tindakan itu diambil semata-mata kerana Ismail membawa mulut, memburukkan orang itu, ia amatlah tidak wajar sekali dan keterlaluan!

Tidak sepatutnya seorang yang dianggap berfikiran hebat, terbuka, bijak berpolitik, dengan orang tua seperti Ismail itu pun tergamak untuk mengenakan tindakan politik! Apakah kerana kita berada dalam gelangang politik maka semua tindak tanduk kita harus politik!

Demikianlah cerita kambing yang tidak pernah habis. Dan ia akan muncul dari masa ke semasa selagi kisah kambing terus menjadi isu di Kelantan. Mungkin inilah sebabnya jarang orang ingin terlibat dengan pemeliharaan ternakan Rasulullah ini kerana kalau tidak ikhlas, tidak bertanggungjawab serta bermain politik dengannya, maka tunggulah musibah dan bala daripadanya. – Terima kasih kepada pengirim maklumat ini. [wm. 21/08/07]

No comments: