Thursday, August 23, 2007

Ulasan Berita

Bersihkan Penyelewengan, Jaga Intergriti Kerajaan.

MSO

KESEDIAAN Tokguruku Nik Abdl Aziz Nik Mat untuk membuka peluang selama 25 jam kepada BPR bagi menyiasat apa-apa penyelewengan yang berlaku di negeri Kelantan dialu-alukan. Kesanggupan berkerja sama itu selain daripada melaksanakan tanggungjawab beliau selaku MB, kenyataan itu bagaimana pun sedikit berbau kasar.

Kita tahu dalam sehari semalam hanya ada 24 jam sahaja. Tetapi Nik Aziz bersedia berkerja sama sehingga 25 jam. Dari mana satu jam lagi beliau hendak kutip? Mungkin apa yang beliau hendak maksudkan ‘kelebihan jam’ berkerja itu bagi menggambarkan betapa beliau komited dalam ibadat membenteras penyelewengan seperti rasuah.

Nik Aziz membuat pengakuan demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan BPR mengambil beberapa dokumen berhubung projek pembinaan loji air di Kelantan yang uruskan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) beberapa hari lalu.

Kesediaan dan peluang yang diberikan oleh MB itu bermakna BPR boleh datang pada bila-bila masa saja untuk menjalankan tugas dan melakukan penyiasatan. Sebenarnya kalaupun Nik Aziz tidak bersedia mencari satu jam lagi untuk membantu BPR, badan itu tetap juga akan berusaha sedaya mungkin membuat penyiasatan mengikut bidang kuasanya.

Harus diingat kenyataan Tok Guru itu kenyataan politik! Jadi mungkin ada yang membuat tafsiran dengan kenyataan itu Kelantan tidak mempunyai kesalahan dan tidak ada berlaku apa-apa penyelewengan yang menjejaskan moral dan integriti kerajaan.

Kalau itulah yang mahu diterjemahkan daripada kenyataan Tok Guru itu, ianya silap. Penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan di Kelantan tetap berlaku sama juga seperti di negeri-ngeri lain cuma bezanya sikit ataupun banyak saja. Nama lagi manusia politik, perilaku dan tindak tanduknya sama saja.

Tidak diberitahu

Banyak halnya di dalam pentadbiran Kelantan yang tidak ada dalam pengetahuan MB itu ataupun ada setengahnya tidak diberitahu kepadanya ataupun kalau beri tahu tidak sepenuh atau seperti mana apa yang berlaku sebenarnya.

Dan Tok Guru sendiri dalam hal ini pula selalu beranggapan (bersangka baik) orang lain sepertinya juga, baik, ikhlas dan jujur kepada kuasa yang dimiliki. Memang pun tidak perlu untuk beliau menyelidiki seorang demi seorang. Beliau sudah ajar dan tarbiahkan, semua itu menjadi benteng dan kubu kepada baik pemimpin politik dan kakitangan kerajaan bagi melindungi diri daripada diserang kejahatan dan kejelekan.

Sebagai seorang bersifat tok guru, Nik Aziz bersangka baik kepada apa yang berlaku. Baginya tidak ada yang tidak baik melainkan semuanya baik belaka. Hakikat itu diukur kepada dirinya selaku pemimpin yang harus baik dan senantiasa takut kepada Allah. Kerana sikap inilah kadang-kadang Tok Guru kurang membuat pemantauan dan menyebabkan kemungkaran terus berlaku walau pun di hadapan matanya.

Di sini saya cuba menyenaraikan beberapa bentuk kesalahaan dan amalan bertentangan dengan sikap dan konsep kerajaan pimpinan Nik Aziz di Kelantan. Perkara ini sudah kerap kali disuarakan malahan ada disebut dalam buku-buku tulisan saya.

1. Bahawa ada orang mengutip wang rakyat kononnya untuk dijadikan deposit tanah bagi diberikan kepada rakyat sedangkan wang itu dibolotnya untuk membeli kereta atapun kahwin seorang lagi.

2. Ada orang yang memohon balak kononnya untuk sesuatu kepentingan umum, buat pondok, masjid dan sebagainya, walhal wang itu digunakan untuk diri sendiri.

3. Ada juga wakil rakyat yang membuka syarikat perniagaan atas nama orang lain (isteri, adik beradik dan kawan) kemudian mendapatkan tander daripada Kerajaan Negeri.

4. Ada kalangan Ahli Majlis Daerah menggunakan kedudukan dan kuasa untuk kepentingan diri yang melampau-lampau.

5. Ada institusi tertentu ataupun badan/syarikat yang ditubukan untuk menjaga kepentingan rakyat tetapi digunakan untuk memprojek politik individu tertentu.

Itu adalah antara kesalahan dan penyelewengan yang sebenarnya tidak boleh ditutup dan sudah menjadi buah mulut dan cakap-cakap di Kelantan. Mungkin hal-hal sebegini yang boleh mencemarkan pentadbiran Tok Guru dan tidak seharusnya dibiarkan terus berlaku.

Sepatutnya kejadian dan perbuatan demikian tidak boleh disenyapkan begitu saja kerana semata-mata untuk memperlihatkan kepada umum kerajaan hari ini bersih, sihat dan bertenaga. Sepatutnya ianya dikawal dan pantau. Apa gunanya kalau menipu diri sendiri.

Kerja-kerja BPR membuat penyiasatan ke atas individu tertentu, atau pun nasihat yang diberikan kepada Tok Guru mengenai kemungkinan ada kalangan Exconya tersalah dan tersasau menyalahgunakan kedudukan seharusnya diterima dengan redha dan sedia untuk membaikinya segera demi masa depan kerajaan sendiri.

Kesalahan dan hukuman

Benar penyelewengan dan penyalahguana kuasa di kalangan pemimpin politik dan kakitangan kerajaan Kelantan jauh lebih rendah berbanding dengan penyelewengan dilakukan pegawai kerajaan dan pemimpin politik kerajaan Pusat. Namun kita kena ingat, nilai kesalahan dan hukum Tuhan itu dibuat bukan berdasarkan besar atau kecil kesalahan itu, tetapi berdasar kepada apa yang dibuat itu. Dalam konteks ini kesalahan mencuri wang RM66,400.00 misalnya sama sahaja dengan kesalahan mencuri wang sebanyak RM660,400.00 juta!

Gejala ini tidak boleh dibiarkan. Nik Aziz selaku Menteri Besar harus memastikan Kelantan sifar dengan kesalahan dan penyelewengan demikian. Mereka yang dikenal pasti menyalahgunakan kuasa, kedudukan atapun ada unsur-unsur rasuah dalam kerjanya hendaklah dinasihat dan dipantau. Mereka hendaklah berhenti segera daripada meneruskan perbuatan munkar itu.

Kita tidak mahu kerana nilai setitik, susu sebelanga rosak.

Di dalam kerajaan Kelantan tidak ada konsep matlamat menghalalkan cara. Bukan bermakna wang yang tidak halal boleh digunakan untuk berbuat kebajikan untuk kepentingan rakyat! Walaupun wang hasil cukai babi atau anjing dan arak boleh disatukan untuk membiayai perbelanjaan lain, namun yang pastinya wang itu tidak boleh digunakan untuk bayaran zakat atapun pembinaan masjid atau sedekah untuk anak-anak yatim.

Menjadi harapan rakyat agar prilaku dan kesalahan itu dapat dihentikan segera. Jangan terus biarkannya kerana ia bakal menjadi bunga kemudian putik dan akhirnya buah yang menghasilkan biji benih di mana kalau ianya jatuh ke tanah besar kemungkinan ia akan tumbuh menjadi pokok yang hijau merimbun. Saat itu ia sudah tidak ada guna lagi sebab kemunkaran demikian sudah bermaharajalela.

Saya cukup bimbang kalau pemimpin yang berkudis, berkerapu turut menempel diri dalam kerajaan akan menjadi penyakit yang akhirnya boleh menyebabkan Pas menjadi lemah dan dilihat tidak lagi bersih. [wm.kl 23/8/07].

No comments: