Friday, August 17, 2007

Resensi Buku

“Bukan Kerana Pangkat – Tun Dr Ismail”.
Ada Konflik Antara Ismail Dengan Razak?

MSO

UNTUK apa kita membaca buku? Jawab mudahnya untuk mengetahui apa yang diceritakan dalam buku berkenaan. Apa yang diharapkan dengan pembacaan (kadang kala meralikkan dan kadang kala menjemukan) itu, kita dapat sesuatu maklumat yang baru yang sebelum ini tidak pernah kita mendengarnya, atau pun kurang jelas mengenai sesuatu dan dapat dijelaskan dalam buku berkenaan.

Bagi mereka yang berfikir kritis, persoalan yang diungkapkan dalam buku itu terus dibahas sebelum dipersetujuinya. Perbahasan itu ke

kadangnya perlu untuk tidak menerima secara hidup-hidup segala fakta yang disajikan di dalam sesebuah buku itu.

Bertolak daripada realiti itulah maka saya mencari dan membaca buku berjudul “Bukan Kerana Pangkat – Tun Dr Ismail” terjemah dari judul asalnya dalam bahasa Inggeris; The Reluctant Politician – Tun Dr Ismail and His Time, yang ditul

is oleh Ooi Kee Beng seorang Fellow di ISEAS dan diterjemahkan oleh Bashir Basalmah.

Buku ini merupakan sebuah biografi Tun Dr Ismail yang ditulis berdasarkan kepada surat-surat, dokumen peribadi dan wawancara dengan tokoh-tokoh tertentu yang mengenali atau pernah bekerja dan berkawan dengan Tun Dr Ismail.

Pejuang kemerdekaan

Penulisan buku ini mendapat kerjasama rapat daripada keluarga Tun Dr Ismail khasnya anak sulung lelakinya Tawfik. Buku ini diterbitkan oleh ISEA dan SIRD, sebuah badan atau penerbitan yang menerbitkan buku-buku biografi tokoh-tokoh kontroversi dan pejuang kemerdekaan Malaya tanpa mengira anutan idealisme atau ideologi politik.

Secara jujur saya jarang membaca buku-buku terbitan badan atau institusi berkenaan tanpa pasti apa sebabnya. Mungkin kerana ketebalan dan sifat akademiknya menjadikan berat tangan untuk membeli dan membacanya, apa lagi setengahnya tersirat motif negatif dalam semangat membangun negara merdeka?

Buku ini agak meluas sebarannya. Tetapi di Malaysia promosinya kurang. Kenapa? Di Indonesia ketika menjenguk masuk ke beberapa toko buku termasuk di Lapangan Terbang Sukarno – Hatta, buku ini ada dipamirkan di tempat yang mudah dilihat di toko buku di situ.

Buku ini adalah buku yang mendalam mencatat mengenai kesusahan Tun Dr Ismail dalam membangun negara dan istimewanya banyak bahan-bahan mengenainya (peribadi) didedahkan dalam buku ini. Mungkin disebabkan pendedahannya eksklusif menyebabkan disepanjang pembacaannya timbul beberapa persoalan kecil di kepala saya yang mungkin remeh bagi orang lain.

Antaranya kenapa buku ini sempat dihasilkan oleh seorang penulis bukan berbangsa Melayu dan seorang tokoh akademi dari negera Temasik? Apakah kerana Ooi Kee Beng seorang Fellow di Institusi Pengajian Melayu maka beliau layak dan diberi kepercayaan menulis biografi tokoh Melayu negara ini?

Apakah tugasan menulis sejarah perjuangan bapa bangsa ini tidak menjadi tanggungjawab penulis dan akademik kita (Melayu)? Atau sememangnya orang Melayu malas untuk melakukan sesuatu kerja berat dan besar? Ataupun para penulis dan cendekiwaian kita terlupa kepada peranan dan jasa Tun Dr Ismail kerana terpesona dengan ketrampilan dan kehebatan tokoh muda seperti Hishamuddin Hussein, Khary Jamaluddin ataupun Azalina Othman Said?

Timbul prejudis

Bukan bermaksud saya ingin prejudis tanpa usul periksa mengenai penulisan buku ini oleh Ooi Bee Keng yang juga lahir di tanah Melayu – Pulau Pinang itu. Tetapi kerana sesiapa pun tidak dapat menolak situasi timbul prejudis apabila ianya ditulis oleh bangsa lain terhadap tokoh bangsa lain, maka ia tidak dapat elak rasa itu turut bermain dalam kepala saya juga.

Buku ini ditulis secara akademi dan penceritaannya mengikuti kronologi – susur galur sejarah kehidupan dan perjuangan Tun Dr Ismail yang mudah difahami. Berlatar belakangkan itu ia tidak mungkin tersasau atau pun ada fakta yang silap. Tetapi harus juga diingat, sesuatu fakta yang ada hubung kait dengan kepentingan bangsa, agama dan tanahair selalunya berlaku dalam buku yang bersifat akademik?

Hatta dalam buku sejarah negara ini sendiri pun yang ditulis oleh bangsa Inggeris banyak faka yang salah atau sengaja diselewengkan dengan motif tertentu. Setengah penyelewengan tersorot sama dalam buku-buku teks di sekolah-sekolah. Mengambil iktibar daripada itulah maka mungkin ada unsur-unsur berkenaan di dalam buku setebal 311 muka surat ini.

Secara umum membaca buku ini akan mengenalkan kita terhadap Tun Dr Ismail. Walaupun beliau sudah tiada 34 tahun, tetapi ia seolah berdiri dan kita mengikuti perjalannya dalam membangun bangsa dan negara tatkala membaca buku ini. Ringkasnya buku ini berjaya merangsang kita membelek sejarah perjuangan Dr Ismail yang bermula pada tahun 1951 sehinggalah ke akhir hayatnya pada 2 Ogos 1973.

Demikian sikap tegas, berani dan panas baran Tun Dr Ismail dilukis dengan jelasnya, sehingga kita merasakan turut sama terkena tempias sikap tegasnya dan tercabar dengan sikap berani yang ditunjukkan dalam membina negara. Bulu roma juga akan merinding apabila membaca mengenai ketegasan dan keberaniannya tanpa kompromi dalam mempertahankan hak bangsa Melayu ataupun sikap tegasnya dalam membuat keputusan demi negara.

Dan suatu elemen yang cukup cermat ditempelkan didalam buku ini, bagaimana Tun Dr Ismail dilukis seorang liberal dan bersungguh untuk menyatupadukan rakyat negara ini khasnya keturunan China. Beberapa kali pengarang menampilkan kemesraan Tun Dr Ismail dengan sahabatnya berbangsa China, hinggakan satu masa beliau pernah menghantar anaknya ke rumah rakannya berbangsa China.

Seperti disebut di atas tadi, sesiapa pun tidak boleh mengasingkan perasaan prejudis apabila membaca buku akademi seperti ini. Saya sungguh teruja apabila membaca para akhir di muka surat 82 mengenai satu faka yang tidak pernah didengari sebelum ini.

Fakta itu ialah disebut Tun Dr Ismail pernah menentang Tun Razak dalam satu pilihan raya (pemilihan) parti pada tahun 1967.

“Dalam pilihan raya parti Umno tahun 1956, Ismail mengambil keputusan demi prinsip demokrasi untuk bertanding melawan Razak bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua. Dia kalah. Tunku sebelum itu pernah menyuarakan hasrat supaya Razak jangan dicabar. Razak dipilihnya sebagai timbalan melebihi Sulaeiman, sahabatnya yang paling akrab. Rupanya Sulaeiman terlalu bercanda orangnya, tak kanah dengan Tunku dari segi minatnya dengan lumba kuda.(Abu Bakar Suleiman wawancara).”

Fakta ini tidak pernah ditemui di dalam mana-mana buku sejarah dan tidak pernah pula dicerita mana-mana ahli politik pasca merdeka. Saya sendiri secara peribadi banyak mendengar kisah kehebatan, ketegasan dan keberanian Tun Dr Ismail daripada bekas Setiausaha Politiknya, Ikhwan Nasir (Allahyarham) – al-Fatihah.

Dunia seni

Ikhwan (Pak Wan) begitu taksub dan terlalu memuja Tun Dr Ismail. Bagi Pak Wan antara pemimpin dan tokoh politik Melayu yang hebat ialah Tun Dr Ismail. Baginya Tun Dr Ismail umpama P Ramlee dalam dunia seni yang hilang tidak mudah berganti.

Di mana-mana kalau kebetulan menyebut dan bercakap mengenai Tun Dr Ismail, Pak Wan tidak akan tinggal nama Tun Dr Ismail. Tun Dr Ismail adalah idolanya sampai ke akhir hayat. Suatu hari kerana geram dengan cara Pak Wan yang terlalu memuja Tun Dr Ismail sampai saya memperlinya dengan berkata; “Pak Wan, Harimau memang hebat dan menakutkan, tetapi kalau ia sudah mati tidak ada apa lagi kehebatannya, sampai budak pun berani menghampirinya,”

Disebabkan keliru dengan fakta yang diberikan oleh Ooi Kee Beng itu saya turut menanyai sasterawan dan ahli politik Dharmala NS (foto) mengenai fakta itu. Tanpa teragak-agak menurut Dharmala, fakta itu tidak betul, seingatnya Tun Dr Ismail tidak pernah menentang Tun Razak untuk merebut jawatan Timbalan Yang Dipertua Umno.

Apa yang berlaku kata Dharmala ialah, Tun Dr Ismail pernah melepas jawatannya selaku menteri kerana tidak sehaluan dengan Tunku terutamanya dalam masalah isu Singapura. Bagaimana pun Tun Dr Ismail menawarkan diri (masuk balik) dalam kabinet menjadi Menteri Dalam Negeri, semata-mata untuk menyelesaikan isu rusuhan 13 Mei.

Persoalannya kenapa fakta itu dimasukkan? Apakah ianya benar dan satu kejadian tidak pernah terungkai ataupun disengajakan?

Jika diamati di beberapa segmen didalam buku ini, hubungan antara Tun Dr Ismail dan Tun Razak digambarkan tidak begitu mesra. Semacam ada masalah antara mereka berdua. Kebetulan pula penulis memberi kredit kepada Tun Dr Ismail berhubung penubuhan agensi pembangunan negara seperti Felda dan Mara. Sedangkan kedua agensi ini selamanya diketahui ia adalah idea Tun Razak yang menjadi sub-agenda kepada DEB..

Ada tedensi (kecenderungan) untuk megariskan hubungan antara kedua tokoh negarawan itu tidak begitu manis dan ada konflik antara satu sama lain. Apakah penulisan buku ini ada kena mengena dengan perkembangan semasa dan senario politik hari ini?

Jika dihalusi terdapat beberapa mesej yang disampaikan itu boleh menyebabkan penyokong kedua tokoh itu berada dalam suasana tidak selesa. Apa yang boleh ditafsirkan buku ini menceritkan legasi kedua pemimpin itu tidak sekata dan mempunyai perbezaan yang amat ketara dengan meletakkan Tun Dr Ismail sebagai hero dalam membawa perpaduan kaum tanpa turut sama menyebut Tun Razak yang dilihat dalam kacamata Melayu sebagai pasangan mendokong pembela bangsa dan nusa. [jkt 9/08/07]

No comments: