Saturday, August 4, 2007

Isu Semasa

Majlis Pecah Tanah Muram Tanpa Nik Aziz

MSO

HASRAT Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak menyisihkan Kelantan daripada arus pembangunan walaupun Kelantan diperintah oleh Pas sangat dialu-alukan oleh rakyat negeri berkenaan.

Langkah itu menggambarkan betapa Perdana Menteri itu tidak suka kepada politik diskriminasi atau benci membenci antara satu sama lain yang diamalkan oleh Umno di Kelantan selama ini.

Dalam beberapa hal Kelantan dinafikan untuk menerima pembangunan seperti mana diperuntukan Perlembagaan kerana negeri itu diperintah oleh Pas (pembangkang). Kerajaan Persekutuan di bawah Umno tidak menghiraukan apa yang ditermaktub dalam Perlembagaan berkenaan. Peruntukan menerusi geran perkapital yang layak diterima Kelantan sering kali dinafikan.

Disebabkan amalan itulah beberapa aspek pembangunan sosial dan ekonomi yang harus dinikmati oleh kira-kira 1.6 juta rakyat Kelantan ternafi.

Pendekatan lunak

Peruntukan sebanyak RM7.6 billion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk Kelantan akan bakal membawa perubahan kepada negeri Kelantan. Secara tidak langsung, langkah Abdullah itu juga dilihat sebagai pendekatan yang lunak yang diambil oleh parti itu.

Walaupun ada beberapa pihak dalam Umno tidak setuju dengan tindakan Abdullah itu, namun beliau tidak peduli. Mungkin kelainan itulah yang hendak dimulakan oleh Abdullah dalam strategi untuk menjinakkan hati rakyat Kelantan dengan Umno.

Dua hari lepas 2 dan 3 Ogos, Abdullah telah mengunjungi Kelantan untuk meninjau beberapa projek di bawah RMK-9 yang sudah bermula. Dalam kesempatan beliau turut menghadiri beberapa majlis pecah tanah dan melawati ke beberapa tapak projek. Antaranya ialah majlis pecah tanah projek pembesaran jambatan Sultan Yahya Petra.

Rakyat Kelantan gembira dengan kunjungan dan kenyataan Abdullah yang tetap akan membangunkan Kelantan meskipun Kelantan negeri di perintah Pas.

Bagaimana pun pada majlis pecah tanah itu ada sesutau yang dikira tidak kena dan kurang beradab apabila Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dijemput sama menghadiri majlis berkenaan.

Sangat tidak patut sekali Nik Aziz sebagai ketua Kerajaan Kelantan tidak diundang sama ke majlis berkenaan. Walaupun Nik Aziz MB dari Pas, namun beliau tidak seharusnya diasing dan ditinggalkan kerana majlis pecah tanah itu berlaku di negeri yang diterajui oleh kerajaan yang dipimpin olehnnya.

Tidak untung

Tidak banyak yang menguntungkan Umno bila mana Nik Aziz tidak dijemput. Kesannya menyebabkan majlis itu tidak dihadiri ramai orang. Khabarnya khemah untuk dikhaskan kepada orang ramai kosong dan lenggang. Tindakan Umno Kelantan tidak menjemput Nik Aziz itu dilihat bertentangan dengan hasrat dan keinginan Abdullah sendiri. Apakah Umno Kelantan yang dibawah pimpinan Annuar Musa terus mahu mengamalkan politik ‘perkauman’ (assobiyah) di Kelantan?

Sepatutnya Nik Aziz dan para Exco lain dijemput sama. Majlis itu adalah untuk kepentingan rakyat Kelantan seluruhnya. Tidak wajar kalau MB dan Exco diketepikan daripada menghadirinya. Kalau pun Umno merasa geli dan alergik untuk menjemput Exco, mungkin seorang Exco sahaja yang dilihat begitu gila-gila mencincang dan mengejek Abdullah. Elok kalau Exco berkenaan tidak dijemput.

Tetapi apabila MB dan Exco Kerja Raja turut sama dinafikan kewujudan mereka, ia adalah satu tindakan yang tidak kena dan tidak popular. Langkah itu juga tidak mencerminkan Umno di bawah pimpinan Annuar benar-benar menghayati seruan Abdullah tadi.

Mungkin masalah jemputan itu tidak termasuk dalam perkiraan Abdullah. Beliau hanya menerima (majlis) apa yang sudah disediakan sahaja.

Berbeza

Majlis pemecahan tanah projek pembesaran jambatan itu berbeza dengan majlis perasmian jambatan Salor – Pasir Mas awal tahun 90-an dulu. Di mana Nik Aziz selaku MB Kelantan turut sama dijemput menghadiri majlis yang disempurnakan oleh bekas PM Mahathir Mohamad. Annuar Musa juga turut sama hadir ketika itu.

Jemputan ke atas Nik Aziz ketika itu menandakan Umno Kelantan yang dipengerusikan oleh Mahathir lebih tahu adat dan tatasulisa bila berkunjung ke tempat orang atau memasuki rumah orang. Tetapi apabila Umno Kelantan tidak lagi diketuai oleh orang yang bijak dalam politik seperti Mahathir, maka terjadilah seperti apa yang berlaku hari ini.

Paling menghairankan Perdana Menteri yang bercakap fasal Islam dan menekankan prinsip dan nilai Isalam (Islam Hadhari), ternyata lebih buruk daripada PM yang mengamalkan Islam liberal sebelum ini.

Ketahuilah tidak banyak kebaikan bagi Umno Kelantan dengan meninggalkan Nik Aziz dan para Exconya daripada menghadiri majlis-majlis bersifat untuk kepentingan rakyat. Sebaliknya apa yang disuluh umum, Umno Kelantan masih lagi arrogant, sombong dan mahu mendiskriminasikan orang Kelantan daripada menikmati sesuatu yang mereka memang berhak menikmatinya.[kl.4/7/07]

No comments: