Monday, August 27, 2007

Kaca di Perjalanan

Negara Kita Memang Tidak Selamat!

MSO

KETIKA berucap pada pertemuan dengan para ‘penyanyi karaoke, atau ‘si pondan’ dan ‘monyet’ alias Blogger (nama-nama dan istilah yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin, Muhammad Mohd Taib dan Zainuddin Maidin kepada blogger) baru-baru ini Mahathir Mohamad melahirkan rasa bimbangnya mengenai kejadian jenayah di negara ini yang semakin meningkat.

Menurutnya indeks jenayah yang ketara dewasa ini menyebabkan setengah orang merasakan tidak selamat untuk berada di luar rumah. Kejadian-kejadian pecah rumah, ragut, rompak, rogol dan bunuh berlaku hampir setiap minit.

Bekas PM itu bukan saja-saja meluahkan kebimbangan itu atas tujuan hendak memperlecehkan negara yang sedang ditadbir oleh Abdullah Ahmad Badawi. Tidak seharusnya isu jenayah dijadikan isu politik! Tanggungjawab membenteras jenayah adalah tanggungjawab bersama tanpa mengira kaum dan anutan ideologi politik. Beliau tentu ada maklumat tepat dan benar mengenai kejadian itu.

Aspirasi

Mungkin juga beliau mengeluarkan mauduk itu setelah memerhati pertelingkahan antara Ketua Polis Negara (KPN) dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri seperti mana yang dibangkitkan oleh bekas KPN telah memberi aspirasi kepada beliau.

Bekas KPN Tun Hanif Omar dalam sebuah artikelnya dalam akhbar membangkitkan isu perbalahan KPN Musa Hassan dengan Timbalan Menteri Johari Baharum dan menyifatkan pasukan polis hari ini terbahagi kepada dua puak. Satu puak yang berpihak kepada Musa Hassan dan satu pihak lagi kepada Johari Baharum.

Dari satu sudut, pendedahan Hanif itu tidak berapa elok kerana ia boleh menjejaskan imej pasukan polis dan juga nama baik negara. Tetapi mungkin kerana ia perkara yang tidak dapat diselindungi lagi beliau terpaksa juga menjadikan perkara yang buruk itu sebagai bahan penulisannya.

Apakah kerana perpecahan itu telah membuka ruang kepada penjenayah untuk terus proaktif melakukan jenayah. Mereka (para penjenayah) lebih mudah dan senang melakukan jenayah kerana polis yang sepatutnya mengawasi dan mengawal keadaan mereka sedang dalam pergelutan sesama sendiri!

Bagaimana pun di sini saya tidak mahu mengulas panjang pandangan Mahathir itu. Mungkin beliau sengaja menyebut itu untuk memperlecehkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang dipegang sendiri oleh Abdullah Ahmad Badawi?

Tetapi apa yang hendak didedahkan di sini bagaimana kata-kata Mahathir itu benar dan betul serta suatu realiti. Bahawa keadaan negara kita kini tidak selamat, berbagai jenayah berlaku setiap hari tanpa mengira tempat dan suasana, siang atau malam.

Jamnapari

Mungkin melampau kalau dikatakan ia berlaku di hadapan mata seperti kambing jamnapari meragut pucuk kayu di dalam kandang ataupun lembu memakan padi di batasan. Mungkin tuduhan itu sangat emosional.

Tetapi apa yang berlaku kira-kira jam 3.00 petang tadi (27 Ogos 2008) di sebatang jalan kecil masuk ke Jalan Pahang, Kuala Lumpur berhampiran stesen minyak berdekatan hotel Grand Season tadi adalah kebenaran kata-kata Mahathir itu. Bagaimana seorang perempuan Cina yang memandu kereta jenis Vios berwarna hitam dipaksa berhenti dan disamun beg tangannya.

Saya bersama seorang rakan sedang melalui jalan berkenaan sungguh tidak percaya kalau apa yang berlaku di hadapan mata itu satu kejadian jenayah yang boleh meragut nyawa manusia. Suasana di jalan itu juga tidak munasabah untuk menjadi lokasi berlakunya jenayah kerana ia terbuka. Ini menunjukkan penjenayah sangat berani.

Perempuan Cina itu terpaksa menghentikan keretanya kerana ia dihimpit. Kebetulan terdapat sebuah kereta lain berhampirannya. Jalan itu cukup-cukup untuk dua buah kereta sahaja berselisih. Saya bersama kawan yang kebetulan melalui jalan itu terpaksa berhenti di hadapan.

“Samun...samun!”.... laung kawan saya yang memandu kereta, biasa saja tanpa menunjukkan reaksi mengejutkan. Kerana itu saya ingat ia hanya gurauan. Saya melihat dua lelaki India sedang menarik sesuatu daripada perempuan Cina berkenaan. Berdekatan kereta itu terdapat sebuah motosikal yang dikawal oleh seorang pemuda India lain, rakannya.

Beberapa orang yang lalu lalang memerhati kejadian itu. Saya tidak mendesak kawan agar memberhentikan dan turun dari kereta. Sekejap kemudian dua lelaki India berkenaan memecut motosikalnya dengan diikuti sebuah lagi motosikal yang juga membawa seorang pembonceng yang memakai topi keledar.

Kejadian itu berlaku dalam sekelip matanya sahaja. Anihnya mereka yang lalu lalang di situ hanya melihat sahaja. Hatta pemandu sebuah kereta yang benar-benar berhampiran kereta perempuan Cina berkenaan tidak melakukan apa-apa dan cuma memerhati. Mungkin mereka menganggap apa yang berlaku itu sebagai perbalahan biasa.

Memecut

Saya pula menyedari ianya satu jenayah, apabila kedua motosikal itu memecut laju dan salah seorangnya memegang beg tangan yang diragut daripada perempuan Cina tadi.. Sesudah itu barulah kawan saya cuba memecut kereta – sebenarnya mahu melihat ke arah mana dua motosikal berkenaan menghilangkan diri.

Kejadian petang tadi adalah seribu kejadian seumpama itu yang mungkin berlaku hari ini. Ia menjelaskan bahawa jenayah ada di mana-mana sahaja, di negara ni. Tidak kira malam atau siang. Ia akan datang bila-bila masa sahaja, bagaikan maut datang menyerang kita.

Sewaktu saya melewati kereta perempuan Cina itu saya nampak, perempuan itu dalam keadaan ketakutan. Mukanya pucat dan menggeletar. Ia tidak boleh berbuat apa-apa. Kaku. Serpihan cermin berlambakan, rupa-rupanya sebelum menarik beg lelaki India berumuran 20-an itu bertindak memecah cermin kereta hadapan.

Dan sewaktu melarikan diri itu juga saya sempat nampak senjata sejenis golok terpegang di tangan salah seorangnya. Bermakna kalau perempuan Cina tadi enggan menyerahkan begnya, atau ada sesiapa yang ingin membantunya, senjata itu mungkin bukan saja setakat untuk menakut-nakutkan tetapi boleh bertindak menjadi senjata pembunuh.

Demikianlah keadaan negara kita yang sama-sama kita akui sebagai maju merdeka! Nyawa manusia dalam sebuah negara maju boleh melayang bila-bila masa sahaja! Apakah kemajuan seperti ini yang kita ingini? Entahlah!

Sedikit tip! Peragut mungkin lebih merasa mudah dan berminat kepada pemandu perempuan. Jadi kepada pemandu perempuan bolehlah mematuhi beberapa tip berikut:

  1. Jangan memandu bersendirian dan melalui mana-mana jalan sempit atau agak terasing.
  2. Jangan letakkan beg atau telefon bimbit dalam keadaan yang mudah dilihat dari luar khasnya atas deshboard.
  3. Senantiasa pastikan semua pintu berkunci.
  4. Kalau ada sebarang motosikal mencurigai mengekori dari belakang, hendaklah awas dan melakukan sesuatu tindakan.
  5. Bunyikan hon sekuat mungkin kalau menyedari peragut sudah mula memfokus ke arah anda.
  6. Jangan parking kereta ditempat sunyi dan asing.
  7. Senantiasa mengingatkan jenayah berada di sekeliling kita di mana sahaja.
  8. Sebelum memandu bacalah surah Al-Fatihah! [kl.jln phg 27/08/07]

No comments: