Halusnya Teguran Nik Aziz
MSO
SEPERTI yang saya rasakan, sasaran (gimik) yang dibuat oleh seorang pemimpin Pas untuk menawan sekurang-kurang 40 kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang sebagai sasaran penakut, Musryidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat juga beranggapan sasaran itu tidak tepat.
Nik Aziz tidak menamakannya sebagai ‘gimik’, tetapi menyebutnya sebagai 'rendah'. Apa mankanya rendah? Dalam konotasi dailek Kelantan rendah itu bermakna, ‘kecil’ ataupun boleh dikatakan sebagai ‘jimat’.
Biasanya perkara rendah ini hanya dilakukan ataupun menjadi mainan budak-budak saja!
Jadi sasaran sebegitu ianya tidak sepadan dengan perjuangan Pas yang bersifat global dan didakwa parti Islam yang lebih Islam daripada parti Islam Hadhari.
Nik Aziz dipetik sebagai berkata, sasaran yang dibuat oleh Datuk **** itu rendah. Bagaimana pun beliau tidak mempertikaikan kerana mungkin pemimpin Pas itu ada alasannya sendiri.
Nik Aziz hanya berkata, **** ini orang yang buat kajian dan memang terkenal dengan banyak kajian.
Orang tua
Jika diselami maksud dan perasaan Nik Aziz dengan keyataan itu beliau seakan memperli pemimpin Pas berkenaan. Sebagai orang tua dan pemimpin veteran beliau tidak emosi atau direct mengecam pemimpin Pas berkenaan seperti saya!
Mungkin juga tidak sesuai kalau beliau hendak mengata, pemimpin Pas itu tidak ‘pot’ (masak) membuat kenyataan (sasaran) itu, kerana beliau kena jaga keharmonian di dalam Pas.
Apa lagi dekat pilhan raya, Pas atau Nik Aziz tidak mahu menimbulkan apa-apa masalah sehinggakan ianya ditangkap oleh musuh – Umno.
Tetapi apabila Nik Aziz berkata sepatutnya orang itu meletakkan sasaran tinggi, kerana orang ramai sudah hendak kepada Pas hari ini, menunjukkan MB itu tidak senang dan tidak setuju dengan sasaran demikian yang padanya memalukan Pas.
Memanglah kalau Pas hanya mensasarkan untuk mendapat 40 kerusi ia memalukan, dan tidak pantas dengan perjuangan Pas. Pas berjuang bukan mahukan kerusi tetapi perjuangan dijadikan satu amanah dan tanggungjawab.
Sudah 56 tahun Pas berjuang hanya menang di dua buah negeri di samping beberapa kerusi di negeri-negeri lain. Pun begitu Pas tidak pernah merasa lemah dan gentar kerana perjuangan Pas bukan berpaksi kepada kuasa dan kerusi tetapi memenuhi tuntutan ad-den.
Tujuan perjuangan
Apabila pemimpin itu mensasarkan 40 kerusi, maka jelas pemimpin berkenaan ingin sangat kepada kuasa dan tidak melihat kepada maksud dan tujuan perjuangan Pas itu sendiri.
Kita faham dalam matemetiknya kenapa beliau membuat sasaran 40 kerusi ala-ala 40 penyamun itu. Realiti politik negara ini, Pas tidak boleh merangkul 2/3 kerusi Parlimen secara bersendirian (lone ranger). Jadi kalau menang 40 kerusi sudah cukup untuk dijadikan kuasa penentu dalam pembentukan kerajaan.
Bahkan kepada orang itu kalau dalam pilihan raya akan datang Pas hanya menang di Kelantan pun tak mengapa kerana kemenangan itu bakal memberi pelung kepadanya untuk menjadi MB!
Saya cukup yakin dia lebih seronok dan bersungguh untuk menangkan Kelantan daripada kemenangan di tempat lain kerana dia berharap kalau Pas menang dia akan dinobatkan menjadi MB!
Dalam pada itu Pas (tepatnya pemimpin itu) berharap rakan-rakan mereka, DAP dan PKR akan mendapat 30 hingga 40 kerusi. Jadi kalau semua dapat 30 - 40 kerusi bermakna pembangkang akan memperolehi 120 kerusi.
Dalam matemetik orang ini dan golongan sejenis dengannya, jumlah ini (120 kerusi) sudah cukup untuk Pas, DAP dan PKR muncul sebagai pembangkang hebat. Begitu pun apa yang diharapkan oleh pemimpin berkenaan, Umno akan memanggil mereka untuk duduk dalam kerajaan.
Itulah yang diharapkan.
Apa yang tersemat daripada ‘matemetik’ dalam ‘bahasa Inggeris’ itu, pemimpin berkenaan teliur untuk menjadi pemerintah. Menjadi menteri seperti mana yang pernah dirasai oleh pemimpin Pas tahun 70-an dulu apabila Pas bergabung dengan Umno menerusi Barisan Nasional.
Nampak terasing
Kalau itulah nawaitu pemimpin berkenaan, maka perjuangan Pas nampak sudah sedikit tergelecah daripada landasan yang awal. Sebab itulah jika diperhatikan concern pemimpin berkenaan terhadap Islam (kovensional) tidak begitu bersungguh. Penglibatannya dalam isu-isu Islam nampak terasing dan setengahnya tidak pun disentuh langsung seperti isu murtad, hudud dan negara Islam. Bahkan perkataan negara Islam sudah pun dipadam dari diary perjuangan orang ini. Malah markaz pun ditukar kepada balai atau dewan Islam!
Berbalik kepada sasaran itu, kita percaya sasaran sebanya 40 kerusi itu dibuat atas pandai pemimpin berbaju petak merah itu sahaja. Dia ini terkenal dengan rajin membuat pembaharuan dan melakukan kerja seperti kucing menimbus tahi. Ini disahkan sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang yang mengatakan dia tidak tahu menahu dengan sasaran 40 kerusi tersebut.
Hal ini juga diakui sendiri Nik Aziz; ‘dia banyak buat kajian’. Mungkin Pas Kelantan khasnya dan Pas Malaysia sangat bernasib baik memiliki pemimpin seperti itu yang suka membuat kajian, membuat percubaan yang boleh dikira mengalahkan pakar-pakar sains seperti Antonio Meucci, Thomas Alva Edison, ataupun Alexander Graham Bell.
Mudah-mudahan sahaja dengan ada pemimpin yang rajin dan suka membawa sesuatu yang baru, Pas akan terus sihat!
Cuma satu yang perlu diingat, janganlah hendaknya Pas dijadikan bahan percubaan untuk melaksanakan idea sendiri. Perjuangan Pas berpaksikan kepada Islam yang setengahnya bersifat qadim dan tidak boleh dirubah mengikut selera dan amarah manusia.
Apa juga tindakan dan keputusan hendaklah dibuat biarlah secara kolektif dan berjemaaah. Jangan sesekali bertindak secara lone ranger kerana apa yang kita fikir baik itu belum tentu baik pada orang lain.[wm.kl 13/8/07]
No comments:
Post a Comment