Thursday, November 29, 2007

Ulasan Berita

Persetankan dakwaan orang
Tidak Perlu Gentar Kalau Kita Benar!

MSO

KALAU kita memahami dan menerima apa yang dikatakan oleh pihak kerajaan Kelantan sebelum ini, bahawa mereka telus dan tidak pernah takut kepada siasatan BPR kerana percaya mereka jujur, tidak menyeleweng wang rakyat dan kerajaan, Pas dan sesiapa juga di Kelantan tidak perlu menggeletar atau berpeluh dingin dengan apa yang dilakukan oleh dua Adun BN semalam.

Laporan mengenai berlaku penyelewengan dan rasuah dalam sembilan isu seperti mana didakwa Adun Bukit Bunga, Adhan Kechik dan Adun Paloh, Nazula Mat Diah tidak perlu dijadikan tulang yang tersangkut di anak lidah oleh kita semua.

Membuat laporan kepada BPR adalah tugas dan tanggungjawab mereka. Laporan itu juga sebahagian dari tektik dan strategi BN dalam rangka merampas Kelantan. Kerja itu lumrah dalam kancah siasah. Bagi BN mereka mengira kalau BPR membuat siasatan ke atas wakil rakyat Pas, ia memberi keuntungan kepada mereka.

Apa yang orang Umno hendak tenguk dan ingin sampaikan kepada rakyat bahawa wakil rakyat Pas juga kena siasat kepada BPR bukan saja di belah mereka. Dalam konteks di Kelantan itu apa yang dapat disuluh anak Musa Umno itu mahu melihat bahawa anak Musa Pas juga turut disiasat BPR dan bukan saja dia.

Orang Pas dan pemimpinnya kena memahami tektik dan strategi ini. Perkara yang perlu diketahui juga ialah bukan bermakna laporan itu menunjukkan seseorang itu ada kes dengan permasalahan yang dilaporkan itu. Samada ada kes atau tidak ialah mahkamah menentukannya.

BPR sendiri tidak dapat menentukan salah atau tidak, benar atau beluk, badan itu sekadar menjalankan siasatan itu pun terbatas kepada peruntukan undang-undang yang ada kepadanya.

Ada kalanya pada pandangan umum seseorang itu benar-benar telah melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, namun kerana bukti tidak dapat ditunjukkan oleh BPR kepada mahkamah, maka orang itu lepas dan dibebaskan. Setiap apa yang dilepaskan oleh mahkamah ia hendaklah diterima sebagai orang yang disyaki itu bersih.

Penyalahgunaan kuasa

Seperti mana dakwaan dua Adun Umno itu penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa telah berlaku dalam sembilan kes atau isu. Kesemuanya nampak terarah kepada Exco Kanan Kerajaan Kelantan bernama Husam Musa.

Dalam sembilan isu itu ada empat isu atau perkara yang hangat dan dibangkitkan sejak kebelakangan ini di Kelantan. Ia sudah pun dijaja ke merata tempat oleh mereka yang tidak mahu melihat Pas terus menguasai Kelantan. Isu itu ialah mengenai Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd, isu ternakan kambing Jamnapari, isu pemberian balak dan isu tanah.

Meneliti dan memahami maksud laporan BN itu ia semacam mahu menyerang Exco berkenaan tanpa mengusik lain-lain Exco. Ini juga tidak sukar untuk difahami kerana orang paling kuat bekerja untuk menjamin Kelantan menang ialah Exco berkenaan sehingga ada setengah kerja-kerja dilakukan tidak masuk akal.

Saya percaya dalam hal ini Exco berkenaan tidak mengelabah dan dapat berkerja dengan baik. Beliau terkenal sebagai seorang yang amanah, tepat pada janji dan bertanggungjawab kepada kerja dan tugasnya, tidak mungkin melakukan itu semua. Quran dan tasbeh senantiasa berada digenggaman.

Beliau juga seorang yang mempertahankan hak dan harta rakyat. Belum ada rekod yang beliau membaham atau mengodam harta rakyat. Bahkan kalau ada sesiapa yang berniat hendak makan harta rakyat dihadapinya dengan penuh kejantanan tidak kira siapa. Beliau juga tidak pernah membantu rakyatnya secara menyalahgunakan kuasa! Tidak pernah membantu adik beradiknya mendapat kawasan balak atau secomping tanah.

Berdasarkan latar hidup beliau itu tuduhan dakwaan seperti mana dua Adun BN lalukan itu tidak tersaul dek akal sama sekali dan ia berbau fitnah.

Bagaimanapun di sini saya tidak mahu mengulas satu persatu mengenai tuduhan seperti dilaporkan itu bimbang menganggu siasatan. Cuma apa yang hendak ditegaskan, BPR adalah badan bebas dan bukan menjalankan kerja menurut telunjuk orang tertentu.

Walaupun MB Kelantan senantisa membuka pintu kerajaannya kepada BPR dan Exco Kelantan mengatakan mereka tidak gentar dengan siasatan, namun itu bukan kesudahannya. BPR tidak akan menyiasat selagi tidak ada bukti-bukti jelas. BPR tidak akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan laporan kering melainkan ada orang tampil memberi maklumat dan bukti tambahan dari masa ke semasa.

Mengenai laporan BN kononnya Exco Kanan itu terlibat dengan penyelewengan kita jangan mudah panik dan mudah pula menolaknya sebagai satu gertakan semata-mata, sebaliknya sama-sama kita tunggu kesudahaanya. Setiap yang bermula itu akan ada kesudahan! Hujan pasti 'serek' (berhenti). Tetapi sebagai seorang mukmin kita dituntut berdoa dan memohon kepada Allah.

Tidak ada manusia yang boleh membantu dan dijadikan pergantungan hidup oleh manusia lain, melainkan ia bergantung kepada Allah semata-mata. Begitu juga manusia tidak boleh menganggap dia sudah besar dan berkuasa dengan kuasa yang dipinjamkan sekejap oleh Ilahi. Maka berdoalah kita sekarang...[wm.kl 9:30 am 29/11/07]

Tuesday, November 27, 2007

Rencana Khas

Hindraf Jangan Melencung Sampai Menyakitkan Melayu

MSO


SEPERTI kita sedang berada di bawah mentari yang sedang naik lama kelamaan kita akan dapat nampak atau melihat kesemua sekali apa yang ada dan bermukim di hadapan kita. Amat susuh untuk melindungi sesuatu apabila mentari sudah tegak di atas kepala.

Bila mentari sudah berdiri tegak 90 darjah bukan saja hal-hal yang nyata dan jelas yang nampak tetapi sesuatu yang bersifat ‘sir’ dan zeni juga akan dijamah mata – dapat dilihat dan ditenguk dengan jelasnya.

Barangkali begitu juga dengan maksud dan tujuan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang telah mengadakan himpunan secara berselerakan di sekitar ibu kota Ahad lalu apabila polis menghalang himpunan mereka. Sesuatu yang mungkin kabur tujuan dan matlamat hari itu menjadi jelas bila masa beredar dan beransur pergi.

Mereka yang seronok dengan aksi-kasi demonstrasi – menjadikan demonstrasi sebagai satu hobby, tanpa banyak menyelidik akan ikut sama dalam tunjuk perasaan demikian dengan penuh bangga. Mungkin setengah beranggapan himpunan Hindraf itu adalah kesenimbungan tulen kepada himpunan 100,000 rakyat 10 November dulu atau sambungan kepada demonstrasi pada tahun 1997 dan 1998 yang wajib dihadiri!

Bentang hujah

Sebelum ini rata-rata banyak orang mengira tujuan Hindraf berhimpun difahami adalah untuk menyerahkan petisyen kepada Ratu Elizabeth II supaya melantik Queen’s Counsel membentangkan hujah bagi saman yang dikemukakan mereka di Britain pada 30 Ogos lalu.

Hindraf mendakwa kerajaan Britain yang bertanggungjawab membawa kaum itu ke negara ini dan telah mengabaikan dan menganiayakannya.

Untuk itu Hindraf menuntut Kerajaan Britain membayar kira-kira 4 trillion Pound kira-kira RM27.7 trillion untuk kaum India di negara ini. Masyarakat India di negara ini 8% daripada jumlah 26 juta orang.

Saya yakin itu saja yang diketahui oleh kebanyakan mereka yang menyokong himpunan berkenaan atau bersimpati dengan himpunan itu. Mereka menyokong bukan sangat berlandaskan apa yang menjadi motif di sebalik himpunan itu tetapi kerana moral politik. Atau pun kalau yang tahu akan maksudnya sengaja memberi sokongan kerana mengharap benefit politik. Banyak orang tidak tahu apakah isi kandungan keseluruhan memorandum berkenaan.

Mungkin kalau perhimpunan itu tujuaannya sekadar untuk menyerahkan memorandum atau petisyen kemudian pulang ke rumah tidak menjadi masalah. Pihak polis tidak wajar menghalangnya sehingga turut sama menyusahkan pengguna jalan raya dan orang awam yang ingin memasuki ibu kota pada hari berkenaan. Mungkin pihak polis sendiri boleh mengiringi kereta yang membawa petisyen itu.

Sebagai manusia kita perlu bersimpati dan sedih atas apa yang berlaku ke atas masyarakat India. Sudah menjadi satu persetiaan antara kaum dan bangsa di negara ini perlu saling bantu membantu antara satu sama lain.

Tetapi dalam pada itu pun ia boleh dipersoalkan akan relevansi tuntutan itu. Kalau alasan itu yang digunakan bukan saja kaum India, tetapi kaum Melayu dan Orang Asli juga berhak membuat tuntutan seperti itu. Ikatan dan tolak ansur dalam mencapai kemerdekaan negara ini oleh bangsa Melayu menyebabkan bangsa Melayu mengalami banyak kerugian dan kepupusan hak-hak mutlaknya.

Secara logiknya kaum India dan Cina sebagai kaum pendatang tentulah tidak mengalami kerugian dan kehilangan kepentingan berbanding dengan bangsa Melayu yang mengorbankan hak dan kepentingan mereka untuk kaum lain sebab mereka datang hanya sehelai sepinggan.

Tetapi bangsa Melayu tidak kreatif untuk berbuat demikian. Bangsa Melayu jujur dan setia kepada ikrar yang dilapazkan demi kesejahteraan negara. Bagi bangsa Melayu setiap perjanjian mereka meteraikan samalah perjanjian Lebar Daun dengan Sang Sepurba di mana selagi ada bulan dan ada bintang selagi itulah perjanjian itu berlaku.

Keenggan bangsa Melayu untuk tidak menuntut itu juga bukan bermakna hidup bangsa Melayu mewah dan kaya raya dan mendapat semua nikmat kemerdekaan! Kaum India sendiri tahu kaum mana yang lebih mewah, gengsi dan memiliki kapal di laut atau gedung di darat di negara ini.

Persoalannya kenapa kaum India tiba-tiba bangkit dan bingkas membuat tuntutan demikian? Kejutan ini perlu diselidiki dan dikaji. Ia tidak terjadi secara nature atau sekadar suka-suka kalau bukan ia dilandaskan kepada sesuatu agenda.

Dijamin perlembagaan

Di sini tanpa menarik balik persepsi saya bahawa sekatan jalan raya yang dikenakan oleh polis untuk Hindraf mengadakan himpunan itu di mana ianya tetap bertentangan dengan semangat demokrasi dan hak-hak dijamin perlembagaan, tujuan dan motif sebenar di sebalik himpunan untuk menyerahkan memorandum itu kenalah dikaji dan dihalusi dari berbagai sudut.

Antara yang perlu dikaji ialah apakah pembangkang telah mengambil kesempatan secara hidup-hidup ke atas tunjuk perasaan itu? Kalau benar begitu ini bermakna himpunan Hindraf itu bukan saja untuk kepentingan kaum India, tetapi jelas ia telah ditangguk oleh pihak tertentu yang tertekan dan kurang nasionalisme.

Kini setelah diselak dan dibelek sana sini nampaknya maksud dan matlamat himpunan Hindraf itu semakin hari semain jelas. Pendedahan isi kandungan yang mereka faxkan kepada Kedutaan Britain (seperti mana didedahkan dalam blog) menjelaskan apa yang terkandung di sebalik himpuan berkenaan.

Ditegaskan, kita tidak akan merasa terkilan kalau tuntutan itu menyentuh kepentingan kaum India negara ini. Itu adalah hak asasinya dan semua kaum perlu menyokongnya. Mungkin munasabah kalau mereka menuntutnya sebagai jalan mudah untuk menjadi senang kalau tuntutan itu berjaya dan dilayani. Itu pun jika difikirkan tidak perlu sampai ke perkarangan Kedutaan Britain tetapi cukuplah diserahkan melalui pemimpin kaum berkenaan saja.

Bagaimana pun beberapa perkara yang terkandung di dalam memorandum itu sedikit sebanyak mengilankan dan menyentuh sensitiviti orang Melayu. Ada mauduk-mauduk yang didedahkan boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu dan tindakan itu seolah mereka (Hindraf) tidak lagi menghormati perasaan orang Melayu yang berlembut sejak kesekian lama.

Salah satu dakwaan dalam memorandum itu yang boleh menyakitkan hati dan memedihkan telinga bangsa Melayu ialah apabila, ia menuduh Kerajaan yang ditulangi Melayu hari ini (Umno) hendak menghapuskan kaum India (ethnic cleasing) dengan merujukkan peristiwa yang berlaku di Kampung Medan tidak lama dulu.

Walaupun kita mengakui banyak kebejatan kerajaan Umno, namun apabila memorandum itu langsung menuduh orang Melayu (Umno) sebagai bertindak demikian ia sudah melampau dan mencabar perasaan tolak ansur Melayu terhadap kaum-kaum lain selama ini.

Bukan itu saja, tuduhan itu juga disusuli dengan beberapa kenyataan yang menggambarkan kezaliman kerajaan terhadap kaum itu; seperti tidak menjaga keselamatan mereka, tidak melayani permintaan mereka, meruntuhkan rumah ibadat mereka, mendakwa kaum India ditahan atau ditangkap pada sepanjang masa dan sebagainya.

Tuduhan-tuduhan itu walaupun tidak dilakukan terus kepada bangsa Melayu tetapi dihalakan kepada pihak polis dan pihak berkuasa lain, namun maksud tersiratnya ia dituju kepada bangsa Melayu kerana Kerajaan kini ditulangi Melayu.

Menyimpulkan apa yang berlaku dan meneliti ke mana hala tuju memorandum berkenaan sebenarnya apa yang digerakkan Hindraf ini bukan lagi berdasarkan atas kepentingan hak asasi manusia (human rights) kaum India di negara ini, tetapi ia jelas melencung kepada motif politik yang cukup sensitif dan bahaya serta boleh mengundangkan konflit kaum.

Adalah wajar kalau Kerajaan biarpun dianggap zalim perlu bertindak tegas dan berani memadamkan api yang dibawa Hindraf itu sebelum ini membesar dan boleh membakar banyak orang! [the mall 8:15 am 27/11/07]

Monday, November 26, 2007

Sebelum Tidur

Ahli Parlimen Dicerai Kerana Berduaan Dengan Ahli Parlimen?

SEWAKTU makan malam dengan beberapa orang rakan sekejap tadi di sebuah restoran Cina di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ada berita yang memeranjatkan terlontar dari mulut seorang rakan bergelar datuk. Berita itu ialah mengenai seorang ahli parlimen perempuan yang baru diceraikan oleh suaminya.

Perkara cerai berai ini tidak pelik sebenarnya, ia sesuatu yang biasa dan berlaku di mana-mana saja di dunia ini.

Tetapi apa yang mengejutkan dan hendak dicitrakan ialah bagaimana perbuatan halal yang dikutuk Allah itu boleh berlaku terhadap ahli parlimen berkenaan. Kalau sebab musabab perceraian itu terjadi secara normal tidak menjadi kemusykilan, tetapi ini berlaku secara mengaibkan.

Percerai itu dikatakan terjadi apabila si suami ahli Parlimen berkenaan tidak boleh menerima perbuatan tidak senonoh isterinya itu yang berada dalam sebuah bilik di hotel dengan seorang lelaki. Kalau kejadian itu berlaku pukul 9:00 atau 10:00 malam tidak menjadi masalah, mungkin mereka ada urusan atau kerja lain yang perlu dibresai bersama. Tetapi yang menimbulkan masalah ianya berlaku jam 4:00 pagi.

Sekali lagi bagi saya keadaan itu tidak pelik dan anih. Biasa hal-hal demikian berlaku dalam dunia politik. Soal berada dalam sebuah bilik di hotel atau tidur di hotel tidak asing. Bahkan ada juga perbuatan yang agak sumbang daripada itu apabila ada wakil rakyat yang sembunyi isteri mudanya di apartement atau hotel.

Lantaran itu sama sekali mengenai ahli parlimen wanita itu berada di dalam sebuah bilik jam 4:00 pagi bersama seorang lelaki lain sedikit pun tidak menghairankan. Namun apa yang menyebabkan saya terkejut ialah apabila datuk berkenaan menceritakan lelaki itu juga ialah seorang ahli parlimen.

Mendengar itu saya nmenggeleng kepala. Minda saya tidak mudah untuk menerimanya kerana ia satu perbuatan yang dikira tidak masuk akal. Apa lagi lelaki ahli parlimen itu saya cukup kenal dengannya. Pernah becakap di lobby parlimen. Memang dia seoraang yang kacak dan makan tilik. Kalau perempuan gatal melihatnya memang terus jatuh hati padanya.

Wajahnya lemah lembut dan mempunyai sepasang mata yang kuyup. Mata seperti itu kalau merenung perempuan boleh menyebabkan hati dan jantung hancur luluh. Kalau benar, ia sungguh tidak sangka, bak kata orang tua silap jangka pada sangka.

Dia ini sudah pun beristeri dan mempunyai beberapa orang anak, Seorang anak lelakinya kalau disebut nama semua orang akan kenal sebab dia pernah muncul dalam rancangan realiti di televisyen tempatan.

Apabila mendengar itu saya tidak puas hati dan menyanyai datuk berkenaan. Beliau terus menegaskan berkali-kali, apa yang diceritakan itu benar.

"Betulkah datuk?" tekan saya.

"Betul... banyak orang dah tahu, mungkin awak sahaja yang lambat atau nak sembunyikan sebab awak kenal dia," kata datuk itu mempertahankan maklumat yang diberikannya.

Selepas beberapa kali inginkan kepastian dan datuk itu tetap dengan ceritanya itu saya hanya diam. Makan malam tadi sedikit terganggu. Sepanjang makan wajah wakil rakyat itu terbayang di ruang mata. Demikian juga wajah ahli parlimen perempuan itu juga datang menyemak dalam ruang mata.

Saya juga pernah bertemu dengan wakil rakyat berkenaan dalam satu majlis pada bulan Muharram lalu di sebuah taman perumahan di Ampang. Memang kalau lihat kepada gaya ahli parlimen itu berpotensi dan ada bakat kalau beliau dikatakan berada dalam sebuah bilik dengan lelaki lain.

Cara dia berpakaian, bercakap dan geletahnya boleh menarik geram mana-mana lelaki sihat. Walaupun sudah tua dan mempunyai sebilangan anak, namun statusnya sebagi wakil rakyat itu sedikit sebanyak boleh membuka selera orang yang berhajat untuk mendekatinya. Minyak wangi yang dipakainya juga sungguh memancung deria bau.

Kesimpulannya sekiranya benar cerita dan maklumat yang diberi tahu oleh rakan saya tadi, maka wajar dan tepatlah kalau suaminya mengambil keputusan memberi taklik cerai kepadanya. Sebagai lelaki dan seorang suami, si suami wakil rakyat itu perlu menjaga maruah diri dan kelelakiannya.

Hai dunia macam-macam boleh berlaku! [wm.kl. 12:05 am 26/11/07]

Ulasan Semasa

Apa Ertinya Semua Ini Kalau Bukan Niat Jahat?

MAHKAMAH Sesyen Klang hari ini telah membebaskan tiga orang pemimpin Hindu Rights ActionForce (Hindraf) daripada tuduhan dibawah Akta Hasutan 1948. Mereka ialah P Uthayakumar, P Waythamoorthy dan V Ganapathy Rao.

Mereka dihadap ke mahkamah itu atas tuduhan di bawah akta hasutan kerana dikatakan menyampaikan ucapan berupa hasutan di Kuala Selangor beberapa hari menjelangnya perhimpunan 10,000 masyarakat India di hadapan Kedutaan British Ahad lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Zunaidah Mohd Idris memerintah mereka dibebaskan tanpa dilepas kerana pendakwaan gagal mengemukakan terjemahan di dalam bahasa Tamil mengenai dakwaan kononnya mereka berucap menghasut orang ramai.

Walaupun ketiga pemimpin Hindraf itu tidak dilepaskan dan boleh didakwa pada bila-bila masa. Namun pembebasan itu memberi tamparan hebat kepada pihak polis dan sekaligus menyerlahkan kelemahan pihak pendakwaan.

Apa yang dapat disimpulkan dengan perintah mahkamah itu bahawa penangkapan dan pendakwaan ke atas ketiga pemimpin Hindraf itu dibuat secara suka-suka dengan tujuan menyusahkan mereka.

Ia juga semakain jelas dan nyata pendakwaan itu dibuat bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat India daripada terus berhimpun kerana ketiga mereka adalah orang penting disebalik perancangan itu. Ketiga mereka juga mulai Ahad lalu dikenali sebagai hero baru kaum India.

Apa yang berlaku itu dakwaan pembangkang sejak kesekian lama bahawa polis sering bertindak diluar batas, menyalahgunakan kuasa dan menjadi perkakas kepada pihak tertentu ada benar dan tepat. Seolah-olah polis hari ini bukan mengawal dan menjaga keselamatan rakyat sebalik menyusah dan menghura-harakan rakyat.

Sekiranya pihak polis dan pendakwaan bertindak atas tangungjawab sebenar, mereka tidak akan buat tindakan melulu dan menyusahkan orang ramai sebaliknya akan bertindak ke atas apa-apa yang boleh memberi kesenangan kepada rakyat. Mahkamah atau pendakwaan pula tidak akan mudah untuk gagal mengemukakan bukti di mahkamah kalau mereka serius untuk menegakkan keadilan.

Apabila sesuatu bukti atau pendakwaan ditolak secara mentah-mentah begitu nyatalah pendakwaan ke atas mereka bertiga itu dibuat kerana arahan pihak tertentu dan bukan bertindak atas landasan undang-undang sebenarnya. Tepatnya pendakwaan itu untuk menyusahkan mereka saja.

Polis di dalam kes ini jelas sekali telah menjadi alat dan perkakas buruk kepada pihak berkenaan. Mengenangkan ini polis jangan merasa marah kalau ada orang mengatakan bahawa mereka kini bukan lagi menjaga keselamatan negara, mengawal kententeraman awam, sebaliknya tanggungjawab dan tugas utama mereka kini ialah menjaga pihak tertentu terutamanya parti yang sedang memerintah.

Kita tidak tahu apakah tujuan dan akta polis diwujud di parlimen dulu termaktub di dalamnya antara tugas dan tanggungjawabnya ialah untuk menjaga keselamatan dan keutuhan kekuasaan parti pemerintah, khususnya Umno. Kalaulah benar dakwaan ini maka kehadiran polis kini tidak ada gunanya lagi dan eloklah dibubarkan sahaja! [vestan.htl 2:00 pm 26/11/07]


Sunday, November 25, 2007

Pemakluman

Sedia Siarkan Repons Anda

BANYAK juga penjenguk blog ini yang memberi respons, ulasan dan kritikan terhadap bahan-bahan atau tulisan diposting di dalam blog ini. Sayangnya komen atau ulasan itu ditulis dengan rakus. Ada juga yang bertanya kenapa saya tidak rancak menyiarkan komen-komen atau ulasan berkenaan seperti blogger lain. Dijelaskan, saya bersedia menyiarkan komen atau ulasan yang beretika dan ditulis dengan bahasa yang kemas serta susunan ayat yang agak sempurna. Komen atau catatan biarlah bermanfaat untuk semua dan menulislah kerana Allah. Mereka yang menyertakan nama benar akan diberikan keutamaan untuk menyiarkan komen atau ulasan mereka. Terima kasih.

Ulasan Peristiwa (2)

Demonstrasi
Keganasan Dapat Dielakkan Kalau Polis Bermurah Hati

MSO

HIMPUNAN kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) sudah pun selesai dengan penuh tragik. Walaupun himpunan itu tidak mencapai matlamatnya - untuk menyerahkan memorandum kepada Kedutaan British, namun perserta himpunan itu yang kebanyakan kaum India sudah boleh berpuas hati.

Hari ini beberapa lokasi di ibu kota terutamanya di sekitar berhampiran kedutaan British khasnya di Jalan Ampang, perkarangan bangunan KLCC dan Batu Cave sepeti berlangsung satu pesta kaum India. Puluhan ribu masyarakat India berhimpun bagi menyampaikan hajat mereka; menuntut pampasan daripada kerajaan British yang didakwa tidak bertanggungjawab ke atas kaum itu.

Masyarakat India boleh berbangga sesama mereka kerana semangat mereka kuat. Walaupun diugut, disekat dan diancam dengan tindakan mahkamah namun mereka tidak peduli, itu semua sedikitpun tidak mengecutkan perut mereka. Apa yang dijamin oleh Perlembagaan nampaknya benar-benar dihayati. Tangkapan bukan senjata ke atas beberapa orang pemuka Hindraf juga bukan senjata menghalang mereka.

Sekatan jalan raya yang dibuat polis di semua jalan menunju masuk ke ibu kota sejak kelmarin lagi (sehingga menyusahkan pengguna lain) semacam menjadi pendorong pula kepada mereka untuk terus berusaha menyusup masuk menghampiri ke destinasi yang dirancangkan.

Semacam himpunan Hindraf hari ini kesenimbungan kepada himpunan 100,000 rakyat 15 hari lalu. Cuma bezanya kebanyakan peserta mengenakan baju putih dan hitam.

Rasa cemas

Bagaimana pun tidak seperti semasa himpunan rakyat yang bertemakan warna kuning itu, demonstrasi Hindraf ini ada sedikit rasa cemns. Melihat kepada gambar-gambar (visual) yang dipamirkan di tv, menunjukkan ada peserta yang luka dan ada darah yang mengalir.

Sedih juga apabila melihat beberapa orang anggota polis terlentang cedera diusung ke ambulan akibat dipukul dan dibaling objek keras oleh peserta tunjuk perasaan. Mungkin mereka tidak berdosa, sebalik hanya menjalankan arahan tuan mereka yang di atas.! Namun saya percaya apa yang berlaku kepada para demonstran mungkin lebih teruk daripada apa yang menimpa polis.

Kalau polis setakat bengkak, penunjuk perasaan pasti luka, kalau polis luka, pasti penunjuk perasaan berdarah. Kalau polis berdarah pasti ada penunjuk yang patah tangan atau kaki atau pecah muka dan pecah lutut. Kalau ada polis yang patah, mungkin ada penunjuk perasaan yang maut!

Logiknya, penunjuk perasaan tidak membawa senjata secanggih polis. Tidak ada penangkis, tidak ada belantan dan tidak ada senjata. Berbeza dengan polis yang serba lengkap dan penuh tektikal pula. Dalam pertempuran itu pasti dalam kelam kabut mempertahankan diri polis akan menggunakan senjata.

Tengkuk apa yang berlaku di Batu Burok, Terengganu bila anggota polis terdesak dan dalam bahaya mereka tidak teragak-agak melepaskan tembakan sehingga ada peserta tunjuk perasaan di Batu Burok itu hampir maut.

Keadaan ini tidak boleh dinafikan. Dalam keadaan kelam kabut dan masing-masing diruapi emosi semuanya boleh berlaku. Inilah bahayanya kalau berlaku sesuatu demonstrasi yang tidak boleh dikawal! Ini juga menyebabkan kita mendesak agar polis memberi permit untuk berhimpun!

Apa yang berlaku hari ini agak merbahaya. Kita tidak mahu tenguk aksi-aksi begitu. Kita tidak mahu tenguk ada darah tumpas di atas jalan raya. Soalnya apakah dengan cara dan tindakan sekarang polis boleh menjamin selepas ini tidak akan ada himpunan lagi?

Jumlah mereka yang ditangkap kira-kira lebih 100 menunjukkan apa yang berlaku di Jalan Ampang, KLCC, Jalan Yap Kwan Seng dan sekitarnya siang tadi tentu panas dan ganas. Sama-sama kita tunggu laporan rasmi daripada pihak rakyat pula berapa mereka yang tercedera parah atau maut.

Turut terjejas

Kesal memang kesal dengan apa yang berlaku. Sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan ketenteraman orang ramai. Para peniaga juga turut terjejas. Mereka yang ingin bersiar-siar dan melepak dan melaram untuk membuang masa di pusat membeli belah juga terganggu.

Secara langsung orang akan marah kepada kumpulan Hindraf itu. Merekalah yang bertanggungjawab. Tetapi apakah tak terfikir bahawa mereka bukan segaja mahu berbuat demikian. Mereka juga tidak mahu kalau berlaku pertempuran sehingga ada yang luka dan berdarah.

Dalam hal ini mereka tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Apa yang perlu disedari himpunan itu menjadi ganas kerana ianya disekat dan dihalang. Diugut dan diancam. Cuba kalau himpunan itu disusun dan dikawal dengan baik, keganasan itu tidak akan berlaku.

Saya penuh yakin kalau mereka dilayan dengan baik, permit himpunan diberi mereka akan berhimpun secara aman. Tidak ada sebab untuk mereka menjadi emosi kalau mereka dibenarkan berhimpun. Dalam hal ini saya rasa polis sudah tidak bertindak betul seperti mana semasa himpunan 100,000 rakyat dulu.

Kalau mereka diberikan permit himpunan itu mungkin tidak akan melarat. Para peserta tidak akan merasa tertekan sehingga memungkinkan mereka membuat persediaan, membawa senjata ringan. Bila mereka sudah diasak sejak awal-awal lagi menyebabkan mereka membuat persediaan menghadapi kemungkinan.

Pihak polis harus sedar bahawa rakyat negara ini semakin berani kerana mereka celit undang-undang. Ugutan, asakan dan halangan tidak akan membawa bekas lagi. Polis perlu menukar tektik untuk masa akan datang melayani mana-mana kumpulan seperti Hindraf itu dengan lunak dan diplomasi.

Lagipun trend menggunakan ugutan, ancaman untuk mendakwa itu sudah tidak berkesan lagi. Trend itu mungkin berkesan semasa kebanyakan rakyat negara ini masih buta huruf dan jahil murakab mengenai undang-undang. Trend itu mungkin masih berkesan untuk menghadapi orang kampung.

Maka dimasa akan datang polis boleh mencuba melayan dengan baik mana-mana pihak yang ingin berhimpunan. Izin dan berikan permit kepada mereka. Lagi pun hak berhimpun itu dibenarkan Perlembagaan dibawah Bahagian Ke 2 Perkara 10 mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan! (Foto Bernama) [wm.kl. 9:30 am 25/11/07]

Ulasan Peristiwa

Ribuan Masyarakat India Dilapor Keluar Untuk Berhimpun di Kedutaan British
Orang Tidak Endah dan Hormat Lagi Larangan Polis

MSO

PAGI ini saya tidak berada di mana-mana lokasi untuk melihat atau menyertai himpunan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang dirancangkan akan diadakan di hadapan kedutaan Bristish. Kesihatan sejak malam tadi tidak berapa mengizinkan. Namun atas sifat penulis dan wartawan saya memantau dari sumber-sumber tertentu dan menghubungi rakan-rakan penulis wartawan lain yang turun ke lokasi.

Sesuatu yang mengejutkan juga pagi ini bila mana himpunan yang dihalang dan dilarang pihak polis begitu rupa berjaya juga diadakan. Walaupun matlamatnya untuk menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan British tidak kesampaian, namun pihak yang mendalangi himpunan itu boleh berbangga kerana panggilan mereka tetap juga disahut.

Walaupun polis sejak semalam lagi telah membuat kerja yang menyusahkan pengguna jalan raya dan rakyat yang hendak masuk ke Kuala Lumpur dengan 'menyempitkan' jalan menuju ke ibu kota, namun himpunan itu tetap juga berlaku. Kebanyakan jalan menuju ke ibu kota disempitkan menjadi satu atau dua lorong saja.

Laporan beberapa protal berita internet seperti Harakahdaily menyatakan matlamat untuk mensasarkan 10,000 masyarakat Hindu di ibu kota pagi ini berjaya. Mereka datang awal-awal pagi dengan berbagai cara dan sanggup berjalan kaki apabila disekat dan dihalang memasuki jalan terutamanya menunju ke kedutaan Bristish.

Dua tempat dilaporkan menjadi lokasi perhimpunan, di perkarangan bangunan KLCC dan juga di Batu Cave, Selangor. Sekitar Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak (Pekiling) di mana kedutaan Bristish ditempatkan dikawal rapi. Polis dan SB berkubu di situ sejak kelmarin lagi.

Dipetik dari laporan berita NTV7 jam 1:30 petang seramai 200 orang telah ditangkap berhubung himpunan berkenaan.

Persoalan ini timbul kini apakah sudah jadi dengan polis? Polis telah mengarahkan supaya jangan adakan himpunan, nampaknya larangan itu tidak diedahkan. Kelmarin untuk mengagalkan himpunan berkenaan polis telah mengambil tindakan dengan menangkap dan mendakwa sekurang-kurang tiga orang pemimpin Hindraf.

Tiga yang ditangkap ialah Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy, penasihat undang-undang Hidraf P Uthayakumar dan V.S. Ganapathi Rao.

Jelas tangkapan itu tidak menakutkan orang ramai untuk datang berhimpun malah masyarakat India menjadi semakin bersemangat lagi.

Apa yang berlaku semasa himpunan 100,000 lalu nampaknya berulang pada pagi ini. Orang ramai jelas tidak gerun dengan gertakan polis. Bahkan gertakan dan larangan itu disambut dengan rasa penuh semangat dan semakin gila untuk menghadiri himpunan berkenaan.

Sudah sampai masanya pihak polis menyemak tindakan dan cara mereka untuk menangani himpunan seperti itu. Mungkin cara gertak, ugut dan melepaskan gas pemedih mata atau menyembur water cannon tidak ditakuti lagi. Ketua Polis Negara Musa Hassan mungkin perlu mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku ke atas pasukan polis itu. Bahawa kedudukan pasukan polis di mata umum kini begitu buruk sekali.

Mungkin juga rakyat negara ini terutama bagi mereka yang gemar berdemonstrasi sudah mangli dengan segala senjata klasik itu. Fenomena ini membimbangkan lama kelamaan demonstrasi jalanan sudah menjadi budaya dan tradisi pula di negara ini, seperti mana di Jakarta. Di Jakarta demonstrasi diadakan hampir setiap hari.

Justeru untuk memastikan perkara itu tidak menjadi realiti tindakan awal hendaklah diambil. Paling afdal ialah pihak polis jangan terlalu kedekut atau prejudis sangat untuk mengeluarkan permit untuk berhimpun. Kepada Abdullah Ahmad Badawi pula tidak seharusnya mendiamkan diri dan perlu berbuat sesuatu sebelum para demonstran turun ke jalan raya mendesak agar beliau undur! [wm.kl 12:30 t/h 25/11/07]

Saturday, November 24, 2007

Koreksi

Senda Khairy Ada Juga Benarnya!

RAMAI yang kecewa dan marah apabila mendengar komentar Khairy Jamaluddin yang mengajak rakyat Kelantan membandingkan antara Koridor Depu dengan plan Wilayah Pembanguna Ekonomi Pantai Timur (Ecer) yang dilancarkan oleh bapa mertuanya baru-baru ini.

Sudah pasti apa yang menarik perhatian Naib Ketua Pemuda Umno sehingga beliau membuat ajakan itu ialah apabila melihat papan tanda gergasi Koridor Depu yang terpasang di beberapa tempat strategik di sekitar Kota Bharu.

Khairy nampaknya menyinis dan menyindir projek penanam debu berkenaan. Katanya rakyat Kelantan boleh memilih sama ada hendak menjaga pohon debu ataupun plan Ecer yang boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan.


Dalam soal ini saya tidak mahu duduk di belah sesiapa; baik di belah Khairy ataupun di sebelah orang yang mengilhamkan projek pohon kayu hutan berkenaan. Sebenarnya kedua projek itu, depu dan Ecer sama-sama bertujuan baik untuk membantu rakyat.

Matlamat yang sama

Kerajaan Pusat buat Ecer untuk pandu dan kembangkan ekonomi orang Pantai Timur termasuk Kelantan. Begitu juga dengan projek penanam pohon depu atau karas itu juga bertujuanan dan matlamat yang sama, membela dan memperbaiki ekonomi rakyat.

Bagi rakyat Kelantan antara depu dan Ecer sama sahaja. Keduanya projek politik dan ia perkara baru. Walaupun depu sebelum ini sudah lama wujud namun tidak dikomersilkan. Rakyat Kelantan kena berterima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana telah mengkomersilkan depu sekurang-kurang satu lagi mata pencarian rakyat Kelantan bertambah.

Pemimpin yang kreatif akan mampu mengolahkan sampah untuk menjadi wang. Dan dalam keadaan Kelantan dianaktirikan pemimpin demikian diperlukan! Masih banyak lagi ‘sampah’ dan barangan terbuang lain untuk diolah menjadi dinar di Kelantan.

Kedua projek dan plan itu masih belum membawa hasil kepada rakyat. Depu memakan masa lima hinga 10 tahun untuk matang dan memberikan hasil. Manakaa Ecer pula memakan masa 12 tahun. Dari segi jangka masa, depu lebih cepat mengeluarkan hasilnya berbanding dengan Ecer.

Cuma apabila memperkatakan soal depu ini, apa yang sedikit merujakan dan membingungkan ialah untuk apa papan tanda gergasi itu dipasang. Apakah keperluan papan tanda berkenaan ditebingkan di sekitar Kota Bharu. Apakah sebenarnya yang hendak dipamirkan?

Memanglah kita tahu ia adalah untuk propaganda politik, di mana sifatnya untuk menarik perhatian rakyat. Papan tanda itu pun dipasang menjelang pelancaran Ecer. Namun begitu biarlah kalau boleh ianya rasional dan munasabah. Tidak baik menipu rakyat dengan cakap-cakap kosong!

Kalau niatnya hendak melawan Ecer kerja itu samalah seperti gelagat kancil yang cuba bertewas dengan gajah. Gajah berak besar kancil pun nak berak besar juga. Kancil terlupa dia punyai dubur yang kecil. Hendak tak hendak terpaksalah kancil berak atas pusu ...

Seperkara lagi kenapa papan tanda itu memapangkan gambar Tok Guru Nik Aziz? Tindakan ini rasanya tidak wajar. Nampak semacam ada niat tidak baik di sebalik pemasangan gambar Tok Guru bersama pohon depu itu.

Mungkin niat orang yang mengilhamkan projek itu hendak menterjemahkan sayangnya kepada Tok Guru. Tetapi bagi saya cara itu salah sebab ia memberi kesan tidak elok kepada Tok Guru. Orang boleh beranggapan dan menyindir Tok Guru dengan papan tanda murahan itu dengan mengatakan apakah selama 17 tahun mentadbir Kelantan Nik Aziz hanya mampu membina papan tanda Koridor Depu? Lainlah kalau tujuan signboard itu untuk membodek Tok Guru dan Raja Perempuan!

Pada saya sepatutnya kalau hendak berterima kasih dan menyanjungi Tok Guru kenapa tidak pasang papan tanda Koridor Islam? Tunjukkan ciri-ciri atau signifiken Kelantan dengan pentadbiran Islam. Ataupun boleh dipasangkan madah-madah dan nasihat Tok Guru di papan-papan tanda untuk dijadikan iktibar dan panduan.

Pemerintah minyak attar?

Macam-macam orang akan tafsirkan terhadap Tok Guru dengan papan signboard korido depu itu. Apakah kerana depu itu akan menghasilkan minya wangi, maka papan tanda itu ingin mendedahkan bahawa pemerintah Tok Guru selama 17 tahun lalu adalah pemerintahan minyak attar?

Secara peribadi saya tidak setuju dengan papan tanda berkenaan. Bukan bermakna ia tidak wajar dan salah atau memedih mata merenungnya, tetapi cata persembahannya kurang tepat dan tidak profesional.

Bagi saya adalah lebih baik kalau papan tanda itu menjelaskan mengenai projek berkenaan secara sepintas lalu. Misalnya mengenai tarikh pelancarannya, berapa keluasan projek itu, berapa ramai melibatkan rakyat dan apakah manfaat yang bakal diperolehi rakyat Kelantan dengan korido pohon kayu itu.

Dengan memaparkan papan tanda kosong begitu, orang akan mengira ia lebih kurang sama saja dengan apa yang dilakukan oleh nelayan yang suka melindungi mata joran dengan cacing kemudian mereka lempar ke laut bagi mengelirukan ikan. Kalau sebelum ini pemimpin Pas menempelak orang BN yang suka memacak signboard berbunyi “Ini Satu Lagi Projek Barisan Nasional”, apalah kurangnya dengan papan tanda gergasi itu.

Sebenarnya sudah banyak projek-projek murahan dan segera diwujudkan di Kelantan sejak akhir-akhir ini. Kalau hendak bilang lengguh juga jari. Sayang kebanyakan projek berkenaan hanya gah di telinga sahaja atau indah atas kertas, sedangkan hakikatnya hidup segan mati tidak mahu, seperti projek TvPas Kelantan, Darul IT, animasi, kambing dan lain-lain.

Jadi kalau papan tanda itu tidak mahu diubah, saya cadangkan turunkan saja. Lebih afdal taruhlah gambar orang yang mengilhamkan projek berkenaan. Kenapa tidak berani untuk tanpil ke hadapan dan bertanggungjawab? Seorang yang bercita-cita hendak jadi pemimpin seharusnya tidak bersifat dan bersikap demikian, berani buat beranilah memanggungnya dan tidak mengecerkan risikonya kepada orang lain. [wm.kl 7:00 24/11/07]

Ulasan Semasa

Heboh Kamaruddin Jaaffar Akan Turun Ke DUN

MSO

BEBERAPA kali saya ditanya mengenai desas desus kononnya ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaaffar (KJ) dikatakan akan dibawah bertanding di kerusi DUN Pasir Pekan pada pilihan raya umum akan datang. Pertanyaan itu datang bukan saja dari kalangan Umno, pemerhati dan penulis tetapi juga ada di kalangan Pas sendiri. Mulanya saya mengabaikan saja persoalan itu kerana saya kira saya lebih banyak tahu apa yang berlaku Kelantan.

Tetapi apabila kerap sangat ia muncul dan menyinggahi telinga saya, elok rasanya kalau saya memberi respons atau pun merisik keadaan sebenarnya. Setidak-tidaknya pandangan dan jawaban ini memberi kelegaan atau sebaliknya kepada orang-orang terbabit dengan isu ini.

Ada logik dan ketepatannya kalau Setiausaha Agung Pas itu dibawa turun ke DUN. Ia juga bukan sesuatu yang menghairankan, kerana lama sebelum ini saya pernah mencadangkan namanya agar dibawah turun ke DUN.

Dalam buku saya "Debaran Pilihan Raya ke-11 terbitan Tinta Merah, Kuala Lumpur, 2004 ada saya menyebut antara nama-nama (pemimpin baru Pas) yang perlu dibawa turun ke DUN bagi membantu pentadbiran Tok Guruku Nik Aziz ialah Kamaruddin Jaaffar, (foto) Mohd Amar Abdullah dan Husam Musa. Mereka perlu dibawa turun bagi memenuhi kekosongan dan juga menyelesaikan gangguan oleh kumpulan Tiga Abdul ke atas Nik Aziz.

Seorang lagi nama yang saya turut menyebut ialah nama bekas ahli Parlimen Jeli, Nasir@Apandi Mohmmad.

Saya ada hujah dan alasan sendiri kenapa saya menyebut (sebenarnya mencadang kepada Pesuruhjaya Pas) agar menurunkan nama-nama itu. Misalnya nama Kamarudin sebab saya melihat watak dan juga track recordnya sebagai Setisuasaha Agung Abim sebelum ini. Lebih dari itu ialah mengenai
hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim serta latar belakang beliau dalam pentadbiran sebagai ahli Diplomatik dan bekas Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba.

Saya mengira pengalaman luas beliau itu sedikit sebanyak akan dapat memberi suntikan semangat dan maklumat kepada Nik Aziz sebagai MB. Kegemaran KJ suka membaca dan tidak suka memakai baju belang atau baju merah petak-petak juga amat seusai kalau beliau menjadi pembantu Tok Guru kerana ia tidak begitu nampak kontras dengan pakaian Nik Aziz.

Menyinggungkan orang

Ini ditambah dengan karektor dan keperibadiannya yang lemah lembut mudah tersenyum walaupun kadang-kadang boleh tersasau mengeluarkan ucapan menyinggungkan orang, dikira amatlah cocok. KJ dianggap sebagai tokoh mini korporat yang berjiwa rakyat dan mudah menghulurkan tangan dan seorang mesra alam.

Bagaimana pun daripada empat nama yang saya kemukakan itu, hanya dua nama sahaja yang terpilih dan dua lagi tercicir. Salah satunya nama KJ. Kurang pasti pula saya apakah itu atas kehendak KJ sendiri atau tidak, kerana kita sedia maklum perangai KJ yang tidak suka menonjol dan lebih insaf kepada dirinya sendiri. Khabarnya untuk beliau menerima lantikan sebagai Setiausaha Agung Pas itu pun difikir banyak kali.

Husam sendiri pada mulanya keberatan untuk dibawa turun bertanding di DUN. Beliau lebih seronok dan lebih berperanan berada di Parlimen. Nanum selepas diyakinkan dan beliau sendiri meminta jaminan (daripada saya) kalau diturun ke negeri nanti beliau akan diberi tugas yang setanding ahli Parlimen baru beliau bersetuju. Saya tidak hendak mendabik dada sedikit sebanyak saya turut memainkan peranan untuk meletakkan Husam di tempat yang be
liau sandarkan hari ini.

Berbalik kepada desas desus tadi, apakah ianya masih berakar umbi kepada cadangan saya dulu ataupun memang suatu agenda baru mengenainya, walahualam! Ataupun mungkin juga orang yang dilantik menjadi pembantu kepada MB kini tidak dapat berfungsi dengan baik? Atau mereka tidak dapat menjejaki ciri-ciri dan sifat Tok Guru selaku pemimpin yang warak dan zuhud?

Cuma di sini apa yang boleh dikatakan (sebagai menjawab dan memberi ulasan berhubung persoalan ini) bahawa KJ masih relevan kalau diturunkan ke DUN untuk menjadi pembantu kepada Menteri Besar Kelantan. Bahkan kedudukan serta keampuhannya di dalam Pas selaku Setiausaha Agung lebih melayakkan lagi. Jika dilihat kepada undi yang diperolehi di kalangan perwakilan muktamar dari Kelantan dalam pemilihan parti tahun 2005 dulu KJ ternyata mendahului calon-calon lain di Kelantan termasuk Husam sendiri.

Harus difaham di Kelantan pada masa ini, Pas memerlukan seorang pemimpin bukan saja tahu lebih kurang mengenai ekonomi tetapi yang penting pandai mengambil hati rakyat. Bukan saja yang arif mencipta populariti tetapi mestilah juga yang berkata benar dan tahu menghormati orang lain. Rakyat Kelantan tidak mudah terpesona dengan layangan kertas bertanda ringgit, tetapi rakyat Kelantan akan
terkulai layu dalam jabatan salam mesra pemimpin.

Sekiranya KJ benar akan diturunkan ke tempat Ahmad Yaacob ia tidak menjadi masalah. Ahmad Yaacob yang menjadi TMB boleh menerima perubahan kerusi itu. Sikap rendah diri KJ di Tumpat sendiri tidak akan mengilankan Ahmad Yaaocb kalau persalinan itu dibuat.

Saya juga boleh memberi jaminan cadangan itu akan mendapat sokongan semua lapisan ahli dan penyokong Pas di Kelantan.

Bagaimana pun saya yakin kalau ini menjadi cadangan, KJ tidak mudah untuk menerimanya. Beliau akan memberi seribu alasan untuk menolaknya. Beliau mungkin tidak sedia untuk mencederakan hati mereka yang sedang mengimpikan untuk menjadi pembantu Tok Guru di masa akan datang.

Bagaiamana pun suatu perkara yang KJ kena faham apabila beliau sudah mencecah kaki ke medan perjuangan, sebahagian dirinya adalah hak rakyat dan parti. Kalau parti membuat pilihan dan mengarahkannya beliau tidak ada sebab dan alasan lagi untuk menolaknya.

Kepada mereka yang sering menanyai persoalan mengenai KJ ini harap berpuas hati dengan ulasan dan huraian saya ini! [wm.kl. 10:30 24/11/07]

Friday, November 23, 2007

AnalisaTerbuka

11 Orang Yang Merosak Imej dan Menyusahkan Abdullah Selaku PM

MSO

MUNGKIN disebabkan terlalu sibuk maka Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat hendak membuat penilaian dan pemerhatian sendiri secara jujur dan tepat mengenai orang-orang yang boleh merosakkan kerjaya politiknya dan memburukan imej pentadbirannya selaku Perana Menteri.

Sedangkan beliau tidak dapat menolak hakikat bahawa di sekelilingnya kini terdapat berbagai manusia yang boleh dan telah mecemarkan imejnya dan menyusahkan beliau sebagai perdana menteri. Gara-gara orang atau tokoh berkenaan yang comoti dan pelbagai masalah maka cemarnya terkena juga ke atasnya.

Hari ini seharian kerana kebetulan tidak ada urusan yang mendesak dan hal lain lebih penting saya cuba membuat kajian ringkas mengenai tokoh-tokoh yang menjadi liabiliti kepada Abdullah. Menghimpun komen dan kritikan orang ramai dari berbagai sumber, hasilnya terdapat sekurang-kurangnya 11 orang atau individu utama yang telah menjadi sokong membawa rebah ataupun menjadi setitik nila yang merosakan susu sebelanga dalam pentadbiran Abdullah selaku PM.

Di bawah ini disenaraikan menurut markah (ranking) paling tinggi mereka yang boleh merosak dan membawa imej buruk kepada Abdullah sebagai perdana menteri.

No: 1. Khairy Jamaluddin - Menantu lelaki sulong Abdullah. Tentang Khairy orang melihat beliau telah menggunakan kedudukan dan pengaruh Abdullah untuk kepentingan dirinya mendapat peluang perniagaan dan kontrek Kerajaan.

Imej bersih Abdullah ini juga tercalar kerana imej Khairy yang ego dan sombong terutamanya ketika mengeluarkan ulasan dan serangan balas politik.

No: 2. Zainuddin Maidin - Menteri Penerangan. Serangan beliau kepada pembangkang menerusi media massa pro kerajaan, pemanipulasi berita untuk kepentingan dirinya serta membela Abdullah dalam kes-kes tertentu yang dilakukan dengan penuh kesombongan dan bersikap dialah yang bijak menyebabkan orang ramai meluat dengan gelagat itu dan kesannya terheret kepada Abdullah.

No: 3. Abdul Rashid Abdul Rahman - Pengerusi SPR. Kenyataan, sikap dolak dalih serta mulut celuparnya yang mencabar pihak-pihak yang mendakwa beliau (SPR) menipu agar kemukakan bukti menyebabkan orang marah kepada Rashid. Cara beliau mempertahankan dirinya dan SPR seolah beliau turut sama bersubahat membentengi kerajaan BN. Apa lagi Abdullah tidak pernah memberi jaminan untuk memperbetulkan perjalanan pilihan raya yang diurus tadbirkan oleh Rashid.

No: 4. Musa Hassan - Ketua Polis Negara. Pergeseran beliau dengan Ketua Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman, Ramli Yusuf sehingga membawa kepada pendakwaan Ramli menjadikan orang meragui akan tugas dan tindakan Musa selaku orang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara. Tuduhan mengatakan beliau menerima rasuah juga menjadikan orang meragui akan integritinya selaku ketua poilis negara.

Abdullah menerima kesan itu apabila menyambung kontrek Musa selama setahun lagi.

No: 5. Ahmad Firuz Abdul Halim - Ketua Hakim Negara, pendedahan klik vido percakapan VK Linggam yang didakwa kononnya dengan beliau telah menimbulkan rasa kurang percaya orang ramai kepada tugas beliau sebagai Ketua Hakim Negara.

No: 6. S Samy Vellu - Menteri Kerja Raya, kenyataan-kenyataannya berhubung masalah dalam JKR yang sering ditunding kepada pihak lain dan enggan bertanggungjawab, menjadikan orang ramai merasakan dia seorang menteri yang lucu (babok). Kenaikan konsesi tol setiap tahun dilihat kegagalan beliau selaku menteri yang tidak berusaha membantu rakyat. Abdullah menerima tempias ini kerana tidak menukar kedudukan Samy Vellu sebagai menteri JKR.

No: 7. Jeanne Abdullah - Isteri Abdullah. Kemesraan melampau dan berlebihan yang ditunjuki oleh Jeanne yang selalu mengekori Abdullah ke majlis-mahlis Kerajaan dan beberapa kali kerap ke luar negeri dan penampilannya sering berpakaian sedondong dengan Abdullah, menyebabkan orang merasakan Jeanne mengada-ngada dan lebih teruk berbanding dengan Allahyarhmah Endon. Jeanne juga mula diperkatakan telah cuba menggunakan kedudukannya untuk kepentingan keluarganya.

No: 8. Kalimullah Hassan - Bekas Ketua Pengarang NST, hubungannya dengan Khairy dan membentuk rangkaian perniagaan dengan menantu PM itu dilihat sebagai orang yang mengatur dan menguruskan Khairy dalam politik dan menjadi dalang kepada agenda politik peribadi Abdullah. Tindakan itu secara langsung menjadikan orang menuduh Kalimullah Hassan sebagai agen yang ingin menjualkan Malaysia kepada Singapura.

No: 9. Ahmad Zahid Hamidi - Timbalan Menteri Penerangan, dakwaan beliau terlibat dalam memukul dan membelasah duda dari Kelantan Amir Bazli sehinggakan penyek dahi, pecah tengkorak dan kabur mata mencemarkan imej Abdullah dan orang beranggapan Kabinet Abdullah memiliki seorang kaki pukul nombor wahid yang berselindung di sebalik wataknya sebagai ahli politik yang berakhlak dan beragama.

No: 10 Mohamad Khir Toyo - MB Selangor, layanannya kepada setinggan, melarang masjid dari mengadakan tazkirah di bulan Ramadhan menyebabkan beliau dilihat sebagai anti agama. Hadiah penyapu kepada PBT yang gagal mencapai prestasi menunjukkan beliau tidak tahu menghormati orang lain dan seorang menteri besar di era Abdullah yang tidak memiliki sahsiah keMelayuan tulen.

No: 11 Mohamad Nazri Aziz - Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kononnya lulusan undang-undang dan arif mengenai Perlembagaan negara tetapi kadang kala menunjukkan sikap jahilnya mengenai hal itu. Lagak dan sifatnya yang pongah ataupun berkuasa menyebabkan orang ramai meluat dan sering geram dengan kenyataan yang dikeluarkannya. Kesan sikap menteri yang berwajah kassanova itu ialah kepada Perdana Menteri yang lemah lembut.

Itulah 11 indivdu atau tokoh yang pada masa ini memberi damage kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri. Orang atau individu ini sangat dibenci oleh pembangkang pada waktu ini, kebencian itu pula melarat kepada Abdullah. [wm.kl. 7:30 pm 24/11/07]

Thursday, November 22, 2007

Ulasan Kejadian

Cerita Polis dan Anjing

SAYU dan sedih membaca laporan bagaimana sekumpulan 15 wartawan telah diherdikkan sebagai anjing oleh seorang pegawai polis semasa mereka sedang menjalankan tugas masing-masing. Kejadian itu berlaku ketika kumpulan wartawan itu mengerumuni tempat penemuan dua mayat lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Hijau, Kedah.

Kumpulan wartawan yang merasakan terhina dengan kejadian itu telah membuat laporan polis.

Pegawai kanan polis yang berada di tempat kejadian itu dikatakan telah menghalang kumpulan wartawan berkenaan daripada mendekati dan merakam tempat kejadian dengan menyebut; “anjing jangan masuk,” di samping meminta agar anjing dilepaskan untuk mengertak kumpulan wartawan berkenaan.

Memang tidak dinafikan ada kalanya gelagat dan keghairahan wartawan dalam menjalankan tugas boleh menganggu tugas-tugas pihak lain termasuk polis. Ada setengah mereka kurang peka dan mempunyai perasaan sensitiviti kerana terlalu menekankan kepada profesionalisme mereka. Seharusnya semua pihak faham dan mengerti tugas seorang wartawan. Pantas, cergas, kurang beradab dan suka mendesak adalah wartawan!

Kalau mereka tidak berbuat begitu mungkin mereka tidak akan mendapat maklumat atau merakam gambar dengan tepat. Jadi untuk memastikan mereka mendapat sesuatu yang terbaik, lengkap dan cantik (berkualiti) menyebabkan mereka kadang kala bersikap agresif dan melewati sempadan sepatutnya.

Serigala atau sekawan babi

Pun begitu apabila polis mengeluarkan kata-kata itu, (anjing) (yang ianya lebih teruk dari hadiah penyapu seperti mana digunakan Khir Toyo), apa lagi dilepaskan anjing untuk menghalau wartawan, jadilah kumpulan wartawan itu seolah-olah seperti serigala atau sekawan babi. Betapa hina dan rendahnya martabat kumpulan wartawan itu.

Lebih malang lagi tidak cukup diherdik dan dianjingkan, maka anjing yang hidup yang selalu digunakan untuk mengesan pengganas dan penjenayah pula digunakan. Tindakan itu samalah lagaknya wartawan itu seperti serigala yang kena dihalau pakai anjing.

Kita faham apa yang berlaku itu bukan menggambarkan sikap polis keseluruhannya. Tidak dinafikan ada polis yang baik dan saling memahami tugas masing-masing. Namun kes berkenaan ia tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil. Pihak atasan polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan jika dakwaan itu berlaku. Tidak sewajarnya seorang pegawai polis bersikap biadap begitu.

Apa lagi kejadian itu berlaku dengan wartawan di mana entiti yang sangat-sangat diperlukan oleh pihak polis dalam membantunya menjaga keselamatan negara. Seharusnya kejadian yang keji dan buruk itu tidak patut berlaku. Mereka sepatutnya bekerjasama.

Polis yang menggunakan slogan, tepat dan betul dan senantiasa berkhidmat itu seharusnya menunjukkan suri tauladan yang baik. Akhlak dan diplomasi polis seharusnya melebihi daripada akhlak dan diplomasi orang lain.

Sedikit sebanyak sikap pegawai polis menggunakan anjing itu memberi implikasi buruk kepada pasukan polis. Kerana tindakan pegawai polis itu menyebabkan orang yang sudah terkilan dengan sesetengah tindakan polis sebelum ini menjadi lebih marah lagi kepada polis. Dengan kelakuan biadap polis itu orang boleh menerima atau menganggap kejadian itu sebagai itulah sikap dan budaya sebenar polis.

Kalau di tempat terbuka di hadapan khayalak polis tergamak menyumpah dan mencaci orang begitu rupa, bagaimana kalau di dalam bilik siasatan atau tahanan? Tentu bahasanya lebih kesat dan kasar lagi. Jadi tidak hairanlah kalau ada cerita atau pengalaman orang ditahan polis menceritakan mereka kena tumbuk, kena pukul, dilondehkan seluar dan sebagainya.

Kata Malek Hussein, yang ditahan di bawah akta Keselamatana Dalam Negeri (ISA) air kencing pun disuruh minum oleh polis. Berdebah, kata Malek!

Adalah elok kalau Polis di-Raja Malaysia (PDRM) menghantar mana-mana anggota atau pegawainya yang kurang memiliki sifat perikemanusiaan dan berlebihan pula sifat kebinatangan untuk mengikuti kurus sivik di Biro Tata Negara (BTN), ataupun kurus keperibadian sebagai seorang insan kamil di Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

Tidak terlupa juga Jawatankuasa Pembakaian Perkhdimatan Polis yang ditubuhkan tidak lama dulu seharusnya meneliti sama kes-kes dan kejadian pegawai polis yang ‘gila’ seperti itu. Dan mungkin juga perlu bagi pasukan polis terus menghantar anggota-anggota yang sudah jelas mereng dibuat uji kaji mental di mana-mana hospital bahagia! [wm.kl. 10:00 22/11/07]

Wednesday, November 21, 2007

Benang Basah Tidak Akan Tegak

Tiada komisen
Suatu Pembohong Kering


BENANG kalau sudah basah atau terkena air sukar untuk ditegangkan. Walaupun usaha untuk menegangkannya dilakukan dengan segala upaya, namun kendurnya tetap akan ada. Sesudah kering kalau pun boleh ditegangkan namun kesan kendurnya masih ada. Selalunya benang basah tegang dan tegak sekejap saja, kemudian mengelendur semula.

Demikian apa yang dapat diibaratkan terhadap kata-kata dan jawaban Timbalan Menteri Pertahanan Zainal Abidin Zin berhubung pembelian peralatan senjata negara seperti pesawat udara ATM tidak ada komisen dalam pembeliannya?

Dalam sidang parlimen semalam beliau menjelaskan Kerajaan tidak pernah mengambil sebarang komisen berhubung pembelian sebaliknya pembelian itu dibuat berdasarkan keputusan Kabinet dan antara pembeli dengan penjual.

Cara Zainal menjelas dan menghuraikan perkara itu lebih cerdik sedikit daripada Pak Pandir isteri Mak Andir yang kematian anak akibat diselam dalam air panas kerana anaknya dikatakan suka air panas.

Sesiapa pun tidak berkata dan menuduh kerajaan mengambil komisen atas apa-apa pembelian peralatan yang membabitkan kegunaan kerajaan dan rakyat. Adalah tidak sihat kalau kerajaan mengambil keuntungan menerusi pembelian seperti itu.

Jadi tidak usahlah menjelaskan sesuatu yang sudah difahami oleh umum. Apa yang dipertikaikan dan tidak dijawab oleh timbalan menteri itu ialah mengenai komisen yang diperolehi orang tertentu yang bertanggungjawab memberi kelulusan pembelian itu.

Misalnya apakah menteri atau timbalan menteri atau borad director yang terlibat dengan meluluskan sesuatu pembelian senjata tentera seperti pesawat udara ATM itu kepada mana-mana syarikat atau perundingnya tidak mendapat komisen atau wang sogok yang dinamakan juga wang kopi.

Apakah pihak yang meluluskan dan syarikat yang berhak menjadi perunding itu tidak ada apa-apa kaitan langsung?

Budaya hari ini tidak mengenang budilah syarikat atau pihak perunding itu kalau tidak memberi apa-apa kepada pihak yang meluluskan pembelian itu sebagai imbuhan atau pun sebagai bayaran (sogokan) atau apa-apa yang diputuskan itu. Kalau ini tidak berlaku bolehlah diberi tapik sepuluh kopi.

Tindakan melobi menteri, ketua setiausaha kementerian menerusi berbagai saluran, broker dan agen apakah ianya tidak dibayar? Kalau seorang broker kelas Setiausaha Politik atau Setiausaha Akhbar untuk mempertemukan seseorang dengan menteri pun dimintakena bayar antara RM5,000 hingga RM10,000 tidaklah mustahil orang yang meluluskan sesuatu pembelian itu turut sama diberikan wang oleh syarikat atau perundingan pembelian itu.

Semestinya dalam hal berkenana kerajaan tidak menerima apa-apa imbuhan. Kerja dan tanggungjawab kerajaan ialah mengeluarkan peruntukan untuk kepentinagn rakyat dan negara. Apa yang berlaku selepas kelulusan itu atau dengan perundingan pembelian itu semuanya adalah wang...wang.

Zaina patut menjawab tentang hal itu dan bukannya cuba melindungi kejadian yang busuk yang sudah membudaya itu. Kerajaan memang tidak mengambil komisen, apa guna kerajaan menipu kerajaan, tetapi yang ambil komisen ialah orang yang terlibat meluluskan pembelian itu.

Tentang berlaku komisen atau imbuhan ini tidak payah diunakan mesin canggih daripada Barat untuk mengesannya. Untuk pastikan ini senang sahaja. Tenguk kepada gaya hidup menteri, timbalan menteri, ataupun broker-broker politiknya yang mewah dan kaya raya.

Dari mana mereka dapat wang itu semua? Sudah lama diketahui nilai harta benda dan gaya hidup seorang menteri, isteri dan anak-anaknya jauh daripada mencukupi berbanding dengan apa yang mereka perolehi. Sekali lagi diajukan dari mana mereka memperolehi awang itu semua?

Apakah menteri berkenaan tidak pernah terdengar cerita 10%, 20% dan 30% yang diminta oleh para broker dan juga pihak bertangungjawab meluluskan sesuatu projek. Kalau beliau tidak pernah dengar disarankan supaya menonton semula filem "Tiga Abdul" arahan P Ramlee mengenai babak bagaimana peguam yang dilakukan oleh Salleh Kamil yang meminta komisen sebanyak 20% setiap kerja jahat yang dilakukan.

Bahkan apa yang berlaku di luar hari ini para broker bukan lagi meminta komisen sebanyak 20% bahkah lebih daripada itu. Disebabkan kerana nak menanggung komisen yang tinggi itulah maka harga sesuatu projek atau pembelian itu dinaikkan berlipat kali ganda.

Pembelian kapal selama dan kapal perang tidak lama dulu dikatakan melibatkan komisen ratusan juta. Untuk pembelian kapal perang Sukhoi komisennya sebanyak RM500 juta semehtaa komisen utuk kapal selama sebanyak RM400 juta.

Apakah dakwaan itu juga cuba menegakkan benang basah? Sehingga ke hari ini dakwana itu gagal dijawab dan dijelaskan oleh kerajaan. Dan dipercayai jawaban tebaru Zainal Abidin Zin itu juga berhubung dengan pemberian dan perolehan komisen penjualan peralatan senjata-senjata perang berkenaan.

Kepada Zainal jangan cuba buat bohong kering dan cuba menegakkan benang yang sudah basah dan menggelendur. [wm.kl 12:00 21/11/07]

Susupan Pagi

Sedikit perihal anak Musa Umno dan anak Musa Pas
Jangan janji tapi buktika
n

MANIFESTO dalam definasi mudahnya ialah janji-janji politik. Setiap pilihan raya parti politik akan mengeluarkan manifesto masing-masing. Manifesto inilah akan dibaca dan dikaji oleh rakyat apa-apa yang akan hendak dilaksana ataupun dirancang oleh sesebuah parti politik terhadap kerajaan yang bakal diterajuinya kelak.

Sebagai manifesto atau janji ia tertentulah bersifat muluk-muluk atau yang indah-indah. Sememangnya tidak ada parti politik akan menjanjikan – menghidangkan manifesto yang sesuatu yang akan ditolak atau dibenci oleh rakyat.

Misalnya, tidak ada parti yang berkata; kalau parti saya menang saya akan naikkan harga barangan keperluan sepuluh kali ganda, akan naikkan minyak sehingga RM5 satu liter, akan menarik balik segala kemudahan asas untuk rakyat. Ataupun akan mengenakan cukai pintu atau cukai tanah yang tinggi.

Tidak ada parti politik yang akan menjanjikan begitu kepada rakyat. Sebaliknya apa yang mereka akan janjikan yang indah dan menarik atau ada kalanya sesutau yang tidak terfikir oleh akal budi rakyat. Seperti berusaha menurunkan harga barangan keperluan, mengurangkan cukai, menyediakan kemudahan asas ataupun menghapuskan cukai-cukai klasik yang konversional dan menggantikan dengan kaedah baru yang lebih kondusif.

Justeru kerana demikian sifat dan sikap manifesto maka orang ramai (rakyat) kena faham. Mereka jangan mudah terpedaya dengan apa yang dibentangkan itu. Rakyat kena ingat apa yang dihidangkan itu sebagai sebuah hidangan indah yang lazak seperti 'janji-janji' (tamsilan) yang dibuat di dalam Syurga.

Rakyat juga kena ingat janji di dunia ini tidak tepat dan sebenar janji di dalam syurga. Belum tentu apa yang dijanjikan di dunia ini akan dilaksanakan, berbeza dengan apa yang dijanjikan di syugra, kerana ia janji daripada Allah. Hakikat ini boleh dilihat kepada janji-janji si pemenang dalam pilihan raya lalu setengah masih tidak ditunaikan lagi!

Jangan lupa

Jangan mudah terpesona dan sebelum menerimanya kena kaji sejauh mana kemampuan parti berkenaan, rasional di sebalik janji itu. Jangan lupa tenguk juga kepada sejarah apakah yang telah dijanjikan dan telah dibuat sebelumnya. Rakyat harus cerdik setelah melalui 11 kali pilihan raya.

Bila bercakap soal janji atau manifesto ini, hari ini orang politik mula membuat janji-janji peribadi masing-masing. Waktu ini diumpamakan sudah tiba musim membajak; di mana kalau petani mereka sudah mula menabur benih, tetapi orang politik mula menabur janji.

Mereka yang bergelar pemimpin dan berpotensi menjadi pemimpin mula bercakap yang lunak dan manis. Masing-masing bercakap ke arah untuk membawa sesuatu yang baik kepada rakyat. Tidak cukup itu mereka juga mula menampilkan sahsiah yang menarik dan boleh mengelirukan orang ramai.

Misalnya Pengerusi Umno Kelantan, Annuar Musa semasa merasmikan Liga Sukan Komuniti Peringkat Negeri Kelantan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Panji telah berjanji untuk membina kompleks sukan bernilai RM500 juga sekiranya partinya menang dan menjadi kerajaan kelak.

Tidak mustahil janji itu akan dilaksanakan sekiranya BN menang. BN cukup keupayaan untuk melaksanakannya. Dan apa yang dijanjikan itu juga sangat diperlukan oleh rakyat Kelantan terutamanya untuk memajukan bidang sukan.

Bagaimana pun ia perlu diteliti dengan penuh menghalusi apakah janji itu akan terlaksana sekiranya BN memang. Apakah ia merupakan suatu keperluan mendesak untuk rakyat Kelantan.

Kita tidak menolak janji itu boleh dan mampu dilaksanakan memandangkan track rekod pemerintahan kerajaan BN di negara ini. Projek atau kompleks suka lebih besar daripada itu pun mampu dilaksanakannya seperti stadium Bukit Jalil, Litar Lumba Sepang dan sebagainya.

Annuar sendiri pun ada track rekod dan jasa dalam bidang sukan. Beberapa projek pembangunan dan prasarana sukan dibina semasa beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan. Kejayaan paling besar ialah sukan Aisa (Sea Game) dan pembinaan kompleks stadium Bukit Jalil itu sendiri adalah idea dan semasa beliau menjadi menteri berkenaan.

Apabila beliau melemparkan janji untuk membina kompleks sukan yang lengkap dengan kolam renang dan stadium tertutup ia sesuatu yang idea yang hebat. Persoalannya di saat ekonomi negara meleset dan sukan pula tidak termasuk sebagai salah satu pembangunan yang difokus dalam Ecer bolehkah ianya dilaksanakan?

Pada saya janji itu terlalu besar dan sukar untuk direalisasikan. Rasanya lebih baik kalau hari ini Annuar Musa yang baru menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi tumpuan kepada bidang berkenaan dulu. Beliau harus buktikan kemampuanya mentadbir dan mengembalikan era kegemilangan Kafa khasnya sukan bola sepak yang pernah dicatat sebelum ini.

Hari ini Annuar sudah menjadi Presiden Kafa. Adalah elok kalau beliau memberi tumpuan lebih dan memanfaatkan budaya kerja rajin dan kerja bersungguh yang diamalnya untuk memajukan sukan berkenaan. Beliau boleh menjadikan Kafa sebebagai projek khasnya dalam hasrat beliau hendak mewarnakan semula politik beliau dan menunjukkan ideanya di Kelantan.

Saya cukup yakin kalau Kafa melalui era perubahan, dalam tempoh terdekat ini orang akan nampak sejauh mana kemampuan dan komitmen Annuar. Orang akan menilai tahap pencapaian dan kemampuannya di situ. Kejayaan pasukan bola sepak Kelantan dalam apa juga tournament, ia akan dilihat sebagai kejayaan dan kepantasan politik Annuar Musa.

Kalau anak Musa Pas menggunakan atau menampilkan berbagai projek ringkas untuk menawan rakyat dan menunjukkan kebolehannya seperti projek pohon depu, barang kali tidak salah kalau anak Musa Umno itu menjadikan bola sepak yang sebenarnya merupakan satu produk atau industri kepada sesebuah negara ia boleh digunakan bagi menunjukkan kehebatannya kepada rakyat Kelantan.

Kalau keduanya berjaya, iaitu pohon depu dan bola sepak ia akan lebih menguntungkan lagi rakyat Kelantan. Pohon depu rendang akan menjadi tempat nyaman untuk rakyat Kelantan bermain bola sepak. Namun bagi saya secara peribadi tidak suka bola sepak dan tidak ingin berteduh di bawah bayangan depu. [wm.kl. 9:00 21/11/07]

Monday, November 19, 2007

Di Perjalanan

Tok Guruku Nik Aziz Dari Kaca Mata Siva Subramaniam

MSO

DARI jauh saya sudah nampak dia berjalan ke arah saya. Dia tersenyum. Dalam hati terfikir, mesti dia kenal aku? Mati-mati saya ingat dia tokoh DAP. P Patto atau V David? Itulah dua nama yang terlintas dalam fikiran. Wajahnya familiar sekali selalu muncul di skrin tv. Siapa?

"Apa khabar Datuk?" tembak saya. "Nak balik Penang ke?" acah memancing nak tahu ke mana dan siapa dia sebenarnya.

Dia terus duduk dekat dengan saya kemudian ketika di atas ekspres ERL dudu berhadapan pula. Semacam juga dia mengenali saya. "Ya..." dia jawab. Jawaban yang saya tidak pasti ke mana dan siapa dia sebenarnya. Dalam kepala terus mencari dan menanyai diri sendiri. Ah.. alangkah bodohnya aku, orang sehebat itu tidak dikenali.

Fikiran memang gelap. Agenda di Kota Bharu menenggelamkan akal fikir. Sebenarnya petang semalam (18 November) saya tergesa-gesa pulang ke Kota Bharu kerana sesuatu urusan yang perlu disegerakan!

"Macam mana Penang?" saya terus memancing untuk mengenalinya. "Saya ingat Penang akan dapat kali ini?" (Dapat ke DAP).

Menjadi keliru

Dia menggeleng kepala dan tersenyum sinis. Tidak segera menjawab. Saya menjadi keliru dan kesal sendiri, pancingan saya meleset. Siapa dia ini? V David atau P Patto. P Patto sudah meninggal. Jadi ini V David? Tetapi apakah V David bertanding di Penang. Mungkin? Saya bermonolog sendiri.

"Saya rasa kali ini Penang jatuh kepada DAP?" acah saya lebih berterus terang.

"Susah juga. Selalu macam itu, tetapi bila dekat dan saat-saat akhir, BN juga menang. Orang Cina susah nak teka politiknya. Mereka pandai!" katanya sependapat dan sama dengan analisa saya mengenai politik kaum Cina. Kata-kata itu menguatkan saya bahawa dia orang DAP. Namun siapa?

"Nak ke mana?" giliran dia pula menanyai saya.
"Kelantan..." balas saya.
"Selalu ke balik Kelantan?" tanyanya lagi, semacam sudah mengenali saya orang Kelantan.
"Selalu juga, mak ada sana. Sekali sebulan mesti kena balik, tengok mak?"

Saya terus tertanya sendiri. Mahu mengenali siapa dia ini. Dia pula cukup mesra menjadikan saya resah dan serba salah sendiri. Di baju t-shirtnya saya nampak ada sisa kuah kari, mungkin dia baru lepas makan. Sementara di tangkai begnya pula tertambat kain perca warna kuning sebagai penanda, macam orang kampung nak ke Makkah. Gambaran itu menunjukkan dia seorang yang low profail dan humble.

"Kelantan di mana?" tanya dia lagi.

"Rantau Panjang, dekat Golok!" balas saya.

"Saya fikir Kelantan masih lagi Tok Gurulah, susah Umno nak ambil?" tiba-tiba terlucut kata-kata itu daripada mulutnya sebagai melanjutkan persoalan saya mengenai Penang tadi. Dia sudah faham apa yang saya maksudkan tadi.

"Saya fikir kalau lagi Tok Guru ada susah orang Umno nak ambil Kelantan. Tok Guru cukup baik, akhlaknya cukup tinggi. Saya sungguh tertarik kepadanya," sambungnya lagi.

Meremang bulu roma saya bila dia sebut perkataan akhlak dan nama Tok Guruku serta memberi pandangannya Kelantan akan dapat dirangkul oleh Pas lagi. Kata-kata itu menjadi saya makin ingin mengenalinya.

"Saya ada pergi ke Kelantan baru-baru ini, saya tidak sangka Tok Guru mari jumpa saya. Dia sangat humble..." katanya lagi. Kali ini kata-kata itu mengurangkan persoalan saya mengenai dirinya. Tentu dia bukan orang DAP... kerana kalau dia orang DAP masakan dia pergi ke Kelantan untuk jumpa Tok Guruku. Namun siapa gerangannya?

"Memang Tok Guru ada pengaruh peribadi, tetapi .... sayang tidak ramai orang macam dia di Kelantan. Tidak jadi macam dia...," saya menambah sambil menduga akal politiknya.

Tidak tinggal agama

"Iya.... tetapi Tok Guru cukup baik, saya cukup senang dengannya. Dia berfikiran liberal, tidak fantik dan modern. Tetapi dia benar-benar berpegang kepada agamanya. Dia berpolitik tetapi tidak tinggal agama. Saya sangat suka caranya," ulasnya serius.

Bulu roma saya terus meremang mendengar itu. Dia memuji Menteri Besar Kelantan itu seperti penyokong fanatik Pas dari Kuala Krai atau Jeli.

"Kita tidak boleh main politik ikut sentimen. Kita kena terima realiti. Sebab itu saya selalu ingatkan orang agar kita kena terima realiti," dia mengalih kepada topik dan mendedahkan pemikiran politiknya.

"Itu hari himpunan rakyat saya rasa tidak bagus, tidak elok....orang jadi takut dan lihat negara kita sebagai ganas," katanya. Teka teki saya mulai hampir terjawab dan sekaligus terasa 'ugah' dengan kata-kata itu. Kalau dia orang DAP atau parti pembangkang dia tidak akan berkata begitu. Teringat saya semasa penyerahan memorandum kepada wakil Yang di-Pertuan Agong saya ternampak sama muka Lim Kit Siang. Bermakna himpunan itu disokong oleh DAP. Jadi masakan si tokoh ini orang DAP?

"Masa himpunan hari itu saya ada di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Depan mata saya sendiri, ada yang jerit marahkan polis, itu tidak boleh...," katanya. "Polis cukup timbang rasa hari itu," sambungnya menjadikan saya semakin yakin yang dia bukan orang parti.

"Tapi Pak Lah patut beri permit!" kata saya mahu memancingnya lagi.
Dia terdiam dan sedikit tergaman sekejap, terasa semacam kurang enak dengan kata-kata saya itu. "Apa Pak Lah perlu takut," kata saya.

Um....um... dia hanya mengangguk tidak mahu menjawab atau mengomen kata-kata saya itu.
"Tetapi saya ingat pilihan raya akan cepat diadakan, Pak Lah tidak berani tunggu lama-lama kerana boleh membahayakan kepada dia," setelah berberapa detik jadi diam, dia menyuarakan ramalan itu.

"Ini kes klik video Linggam sungguh menekan Pak Lah. Jadi dia kena cepatkan sikit. Lagipun kalau tunggu lama-lama Anwar akan bebas (boleh bertanding) lagi teruk Pak Lah," sambungnya lagi. Kata-kata ini menyebabkan saya keliru dengan tokoh ini. Tetapi yang sudah jelas dia bukan orang DAP.

Ketika ekspress ERL hampir sampai ke stesen saya tidak dapat mengagak siapa dia, cuma merasakan dia bukan orang tokoh parti politik. Setelah ekspres yang membawa kami benar-benar hendak berhenti di KLIA, barulah teka teki siapa dia terjawab apabila dia menghulurkan kad namanya kepada saya. Segera itu juga wajah dan nama yang pernah saya tulis dan kenal itu bangun dalam diri saya dan saya begitu terkilan kerana sepanjang bercakap dengannya selama hampir 30 minit saya tidak kenalnya secara pasti. Ah tololnya aku.

Pun saya merasa bangga ketika berjabat tangan denganya; pertama, kerana dia melayani dan mengenali saya serta membaca buku tulisan saya. Kedua kerana dia memahami dan memuji cara Tok Guru Nik Aziz berpolitik. Tokoh atau dia yang ku temui itu ialah Datuk Siva Subramanian a/l Nagaratnam, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) (foto atas). [wm.kl. 11"45 pm 19/11/07]

Sunday, November 18, 2007

Berita Lewat

Umno Berperang Kerana Merebut Kekayaan

MSO

PENGERUSI Gerak, Mohamad Ezam Mohd Noor (foto bawah) melontarkan pandangannya, pertembungan merebut kuasa dalam kancah politik orang Melayu terutamanya Umno ialah kerana merebut kekayaan dan bukannya ikhlas untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Hakikat ini katanya berlaku selepas negara mengorak langkah ke arah kemajuan terutamanya setelah penemuan dan penghasilan minyak dan gas.

Sebelum daripada itu katanya, tepatnya sebelum tahun 1987, politik orang Melayu berada dalam keadaan aman dan tidak ada perebutan kuasa di dalam parti.

Bercakap pada majlis baca puisi dan cakap politik di perkarangan rumah Kamal Amir Kamal Hijar di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur malam tadi, katanya, pertembungan itu jelas kerana masing-masing hendak merebut kekayaan negara dan bukan ikhlas kerana perjuangan membela orang Melayu.

"Jika diperhatikan orang Umno mula bertembung sesama sendiri selepas negara menghasilkan minyak di mana masing-masing cuba hendak menguasai kekayaan negara selepas penghasilan bahan berkenaan," katanya.

Beliau lantas secara terus terang menyebut perbalahan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 yang dikenali dengan nama team A dan team B adalah detik mula perbalahan kerana kebendaan (kekayaan) dan bukan sangat kerana perjuangan untuk bangsa.

Begitu juga tambahnya dengan pertembungan tahun 1987 antara bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Dr Mahathir Mohamad juga berlandaskan kebendana dan bukan kerana perjuangan.

Analisa yang dibuat oleh Ezam itu menarik dan suatu kebenaran berpandukan kepada pengalamannya kerana dalam pertembungan Mahathir - Anwar pada 1987 beliau bersama Anwar.

Tegas Ezam sebelum itu tidak ada perbalahan seteruk itu. "Saya bukan mengatakan pentadbiran Tuanku Abdul Rahaman baik, namun yang jelasnya pertembungan untuk menguasai negara tidak separah selepasnya," tambahnya.


Ezam yang kini tidak menyertai mana-mana parti politik menjelaskan beliau tidak hairan dengan apa yang berlaku itu kerana pemikir Islam terkenal Ibnu Khaldum pernah menjelaskan didalam bukunya (Muqadimah), saat keruntuhan sesebuah tamadun (kekuasaan) itu ialah apabila pemimpin dan rakyat negara itu mulai merebut kekayaan.

Justeru katanya untuk tidak melihat negara terus porak peranda adalah baik kalau semua pemimpin dan rakyat kembali kepada matlamat asal iaitu berjuang untuk agama, bangsa dan tanahair.

Ezam yang baru selesai membaca buku biografi Tun Dr Ismail - "Bukan Kerana Pangkat" menyarankan semua pemimpin terutamanya generasi baru mengambil sikap dan semangat perjuangan bekas TPM itu yang padanya sungguh mengkagumkan.

Lebih kurang 26 hadir pada majlis berkenaan terdiri daripada penulis blog, penyair dan orang politik. Antara mereka, Raja Petra Kamarudin, Rahman Othman, Yahaya Ismail, Dramala NS, Mansor Abdullah dan lain-lain. [klia 2:55 pm 18/11/07]