Thursday, September 11, 2008

Dari Juring Mata

Kenapa Mahathir Bukan Tengku Razaleigh?

PRESIDEN Umno Abdullah Ahmad Badawi hanya mengulas ringkas apabila ditanya mengenai hasrat Mahathir Mohamad untuk kembali semula ke dalam Umno dengan berkata; kita bincang hal Ahmad Ismail saja", apabila ditanya mengenai hal itu oleh wartawan selepas mesyuarat MT kelmarin.

Jawaban ringkas itu memberi tafsiran bahawa beliau mungkin tidak setuju dengan cadangan dikemukakan oleh Muhyiddin Yassin itu yang meminta Mahathir kembali ke dalam Umno.

Mudah saja untuk difahami kenapa kalau Abdullah tidak setuju kerana Mahathir menjadi masalah kepadanya.Jadi cadangan Muhyiddin itu menyenakkan ulu hati Abdullah maka eloklah kalau beliau tidak melayaninya!

Muhyiddin pula tentu ada motif tersendiri kenapa beliau mengajak Mahathir agar kembali dalam Umno? Alasan yang beliau berikan Mahathir dapat memperkuatkan Umno dan BN. Secara tidak langsung alasan Muhyiddin itu Umno kini berada dalam keadaan lemah dan tidak ada siapa boleh mengubatinya lagi sehingga terpaksa memanggil bekas pemimpinnya.

Kalau dalam hikayat wayang kulit bila pengasuh tua (Pak Dogol) dipanggil kembali agar pulang semula ke negeri yang dinyahkan itu bermakna negeri itu berada dalam keaadaan kucar kacir dan di ambang kemusnahan.

Begitu juga dengan Umno kini. Kalau sampai Mahahtir diminta kembali semula ia menggambarkan Umno dalam keadaan teruk kalau pun tidak nazak.

Apakah Mahathir mampu berbuat sesuatu kepada Umno? Apakah beliau ada kuasa jin dapat memperbaiki keadaan Umno hari ini yang semakin tersisih dan di ketepikan rakyat?

Sepatutnya Muhyiddin tidak mengemukakan cadangan demikian dan beliau perlu arif dengan realiti yang berlaku disebabkan Mahathir. Beliau mungkin tahu kemusanahan Umno sebagai wadah perjuangan Melayu bermula ditangan Mahathir. Kenapa beliau tetap berminat dengan Mahathir, mungkin Muhyiddin ada agenda lain yang agak personal.

Antara penyebab kenapa Umno berada dalam keadaan dibenci kini ialah kerana Mahathir juga. Stail, dasar dan sikap liberal beliau dalam menguruskan parti berkenaan sehingga menyebabkan semangat Melayu tulen terhakis dari kerajaan yang dibentuk oleh parti berkenaan.

Jadi apabila orang berpenyakit diajak menyertai Umno semula pasti Umno akan jadi bertambah sakit dan ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang semakin meruncing itu.

Cadangan Muhyiddin itu tidak masuk akal sama sekali melainkan ia dilihat kerana menyelitkan motif tertentu yang mudah untuk diteka. Umno harus diberi dan diserahkan kepada orang lain yang masih belum ada rekod mengkhianati perjuangan orang Melayu itu.

Untuk tujuan ini kenapa Umno begitu liat untuk mencari seseorang yang lain sebagai pengganti kedua mereka itu - Mahathir dan Abdullah? Dalam hal ini Tengku Razaleigh Hamzah nampaknya relevan dan boleh dijadikan penyelamat kepada Umno.

Tengku Razaleigh mampu menjadi nakhoda bagi menyelamat kapal bernama Umno yang semakin senget dan retak di sana sini itu. Dalam keadaan Umno kini sudah kehilangan semangat Melayu adalah sangat elok kalau ianya diserahkan kepada anak raja itu yang kelihatan mempunyai semangat Melayu yang tinggi.Beliau boleh dan mampu menyuntik semula nasionalisme dalam Umno.

Selain daripada itu kepakaran beliau dalam bidang pengurusan kewangan dan ekonomi terbukti menjadi apabila terbangunnya beberapa institusi kewangan dan ekonomi semasa beliau menjadi Menteri Kewangan dulu.

Nama-nama seperti Petronas, Pernas, Bank Bumiputeran, pembinaan lebuh raya adalah antara institusi ekonomi, kewangan dan idea prasarana negara yang senonim dengan beliau. Kita percaya kalau beliau diberi peluang, Tengku Razaleigh mampu berbuat sesuatu yang lebih daripada itu.Kalau dengan hanya sedikit kuasa beliau dapat melakukan sesuatu yang kini mengkagumkan kita apa lagi kalau diberikan kuasa yang lebih besar.

Umno harus berani membuat perubahan dan mencuba khidmat seorang pakar baru untuk membina semula partinya. Tidak ada guna kalau terus menggunakan pakar atau arkitek yang ternyata tidak dapat menyegarkan jiwa Umno seperti mana diharapkan. Kedegilan ahli Umno untuk melakukan anjakan paradigma ia akan memusnahkan parti berkenaan.

Dalam hal ini ahli Umno sepatutnya tidak terikat dengan stigma atau pun label yang telah dilemparkan kepada Tengku Razaleigh oleh seseorang yang menilainya dengan hasad dengki dan dendam kerana cara penilaian itu amat tidak adil.

Apa kata kalau ahli Umno ramai-ramai sepakat untuk mencuba khidmat Tengku Razaleigh bagi memperbaiki keadaan Umno dengan memberikan ruang untuknya mengadu nasib sebagai Presiden Umno pada Disember nanti! [wm.kl 6:15 am 11/09/08]

6 comments:

asalbayu said...

Salam tuan,

Mengikut adat dan kebiasaan bagi orang-orang Melayu dan sudah tentulah bersandarkan syarak bila seseorang gadis dirisik, ibu dan bapanya minta tangguh barang sehari dua untuk bertanya anak gadisnya; tuan empunya tubuh sama ada bersetuju atau sebaliknya. Begitu juga ketika hendak diijabkabulkan sekalipun kedua-dua bakal mempelai itu diketahui sudah saling cinta mencintai.

Dalam kes ini si empunya tubuh tidak bersuara, tapi orang lain pula yang riuh-rendah menyalak di media. Memanglah diam tanda setuju. Tapi dalam hal ini (politik) ada macam-macam kemungkinan.

Anonymous said...

Salam Ramadan,
Bagi saya, kemasukkan semula Dr Mahathir ke dalam UMNO masih tidak dapat menyelesaikan masalah, malah ia dilihat hanya akan menambahkan lagi perpecahan di dalam UMNO kepada beberapa puak. Dr Mahathir hanya manusia biasa. Jika kemasukkan semula beliau boleh menyelamatkan UMNO, saya rasa itu adalah suatu yang mustahil kerana pada zaman Dr Mahathir, UMNO tetap juga ada masalah. Politik wang masih juga diamalkan sesetengah pemimpin dalam UMNO semasa Dr Mahathir masih dalam UMNO. Jadi bagi saya kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam UMNO tidak akan memberi apa-apa kesan melainkan menyumbang kepada perpecahan dalam UMNO...

Anonymous said...

"Umno harus berani membuat perubahan"

Saya amat bersetuju dengan ayat diatas. UMNO perlu di 'revamp' demi untuk memastikan survival parti. Jika kita asyik berpusing-pusing di tempat yang sama maka kita cuma akan mendapat hasil yang sama.
Tindakan Muhyiddin untuk membawa Tun M kembali ke dalam UMNO, tidak dapat dinafikan mungkin politically motivated.
Jadi UMNO harus mengelak daripada perkara ni terus berlaku, kerana kepentingan parti perlu dihadapan.

Anonymous said...

Iya lah..
Mahathir nak masuk UMNO sebab nak bagi sokongan pada Ku Li lah.. Ku Li lawan Pak Lah.

Dia sokong anak dia Mukhriz.. lawan dengan Khairy.

Dia sokong Muhyidin.. lawan dengan Najib.

Bukan dia yang nak bertanding.

CERPANA said...

Salam Tn.MSO,

Walaupun dilihat kembalinya Tun ke dalam UMNO semula untuk mengubah dan merubah keadaan biarlah satu perubahan dan keadaan yang baik untuk semua, mungkin ada yang berpendapat tujun Tun kembali adalah kerana takutkan DSAI yang telah kembali kedalam Parlimen dan jika tidak bertindak dan dibendung sekarang maka mungkin pelbagai permasalahan lain yang akan timbul lebih-lebih lagi hasrat DSAI yang akan membentuk kerajaan 16 September akan dilihat lebih berbahaya dari menunggu peralihan kuasa Dato seri Abdullah kepada Najib pada 2010 dan mungkin sebelum tempoh tersebut memungkinkan pelbagai kejadian yang lebih tidak diingini akan berlaku lebih-lebih lagi setelah kembalinya DSAI ke Parlimen. Dijemput juga Tn.MSO untuk melawat Blog saya yang baru lagi dibuat.Terbaru ada dinyatakan mengenai Mesej Kebenaran yang mungkin boleh dinilai mengenainya untuk di fikirkan bersama.

http://mdrm-cerpana.blogspot.com

Anonymous said...

Saudara MSO,

Dalam gelombang dan tsunami yg melanda sekarang, kemasukan semula atau tidak TDM ke dalam UMNO tidak akan meredakan kehendak rakyat untuk melihat perubahan yg besar-besaran kepada pucuk pimpinan negara.

Kalau kita tanya rakyat Amerika sekalipun, mereka masih kagum dan mahu kepimpinan JFK, Jimmy Carter dan sebagainya..tapi apakah relevan lagikah mereka dalam keadaan dan generasi yang ada sekarang? Mereka adalah pemimpin yg baik pada waktu itu..dan andainya JFK hidup lagi, kemungkinan beliau merupakan pemimpin yg lebih teruk lagi berbanding dgn Bush!

Begitu halnya dgn TDM..tapi sebagai menghormati bekas pemimpin yg lama, tidak salah kalau kita menerima pakai cadangan-cadangan dan buah fikiran beliau yg mana masih dan sgt relevan pada waktu ini. Tetapi untuk meminta beliau kembali memimpin parti dan negara ini semula, sesuatu yg agak melucukan dan tidak pernah dibuat oleh negara lain.

Jadi, apa gunanya org seperti Muhyidin nak bising-bising buat cadangan tersebut melainkan ada sesuatu yg ingin disampaikan oleh beliau kepada pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Apa yg lebih baik dibuat oleh beliau atau sesiapa saja pada waktu ini ialah kejutkan Pak Lah yg sedang nyenyak tidur dari lamunan mimpi!

Wassallam.