Wednesday, November 9, 2016

Konvensyen PR 2016 dan penggabungan pembangkang 12 November penting

SESUDAH SUBUH

Parti-parti pembangkang dalam gabungan Pakatan Harapan -- PKR, DAP, Amanah akan mengadakan konvensyen "Pakatan Harapan 2016" tanggal 12 November (lusa) yang akan disertai sama dua parti pembangkang baharu Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Penyertaan PPBM telah pun sahih tetapi Warisan masih belum menyatakan persetujuannya untuk menyertai konvensyen berkenaan.

Bagaimana pun sudah sahih parti agama (Pas) tidak akan menyertainya kerana tidak dijemput. Tanpa menjemput Pas untuk menyertai konvensyen itu adalah satu langkah terbaik bagi tidak menimbulkan "sakit hati", "serabut perut" dan membuang masa dengan ulah parti agama itu.

Konvensyen itu nanti dikira penting ke arah penyatuan semua parti pembangkang dan mencari satu mekanisme untuk menghadapi UBN secara satu lawan satu dalam Piraum akan datang. Konvensyen itu juga menjadi simpulan terakhir mengikatkan parti-parti pembangkang dalam gabungan itu terutamanya dengan kemunculan parti-parti baharu.

Adalah diharap konvensyn itu nanti akan menatijahkan sebuah gabungan pembangkang bersatu yang lebih besar, hebat dan komited berbanding dengan gabungan pembangkang sebelum ini yang dinamakan Pakatan Rakyat. Apa pun pembangkang jelmaan baharu ini adalah penerus kepada pencapaian gabungan pembangkang sebelum ini.

Sudah tentu semangat yang bakal diwajai dalam gabungan itu lebih padu lagi memandangkan gelora dalam politik negara kini yang mempamerkan keadaan UBN yang semakin cemas. Kemelaratan isu-isu yang "memamoh" Najib Razak menjadi pupuk penguat semangat rakyat untuk menyokong pembangkang.

Justeru konvensyen pada 12 Novermber, sangat mustahak dan semoga acara itu tidak akan dipersia-siakan, digunakan sebaik mungkin. Paling penting diharap ia akan menemui formula tuntas untuk mengikat parti-parti pembangkng dalam sebuah gabungan mantap dan kemas.

Apakah mungkin satu nama atau istilah baharu boleh dicapai dalam konvensyen berkenaan bagi mencerminkan wujud semangat baharu di kalangan pembangkang.

Sebelum ini gabungan pembangkang yang menjadi gantian kepada Pakatan Rakyat ditukar kepada Pakatan Harapan -- yang mempunyai tiga buah parti, PKR, DAP dan Amanah.

Dengan penyertaan PBBM dan mungkin parti Warisan Sabah dan mana-mana parti selepas ini, gabungan baharu sebagai pemantap kepada Pakatan Harapan boleh diubah menjadi GABUNGAN PEMBANGKANG MALAYASIA, yang mungkin singkatannya sebagai, (GPM), GEPEMA atau GEMPA atau sebagainya.

Antara isu atau perkara penting yang diperlu dikonsensus dan dimuktamadkan dalam konvensyen itu nanti ialah beberapa perkara berikut:

a) Mengambil persetujuan untuk menggunakan satu lambang sahaja dalam Piraum akan datang bagi menghadapi BN secara satu lawan satu. (Unuk tujuan ini seketarait diberikan tugas menguruskannya. Sekiranya untuk mendaftarkan lambang ini menimbulkan masalah, parti-parti pembangkang perlu bersetuju menerima pakai salah satu lambang dari parti gabungan itu sebagai lambang bersama).

b) Mengambil persetujuan untuk merangka satu manifesto bersama antara parti-parti pembangkang. Tidak ada manifesto lapiran atau khusus untuk mana-mana puak atau golongan.

c) Mencari formula pembahagian kerusi di antara parti-parti pembangkang dan mengelakkan perebutan calon agar tidak bertembung sesama sendiri. Mengenai kerusi ini ia perlu dimuktamadkan awal. Selepas dimuktamadkan semua pihak kena akur dan bekerjasama dan menganggap yang bertandingkan itu adalah parti mereka.

d) Konvensyen itu juga perlu mencari satu slogan atau tagline yang kemas dan gah untuk gabungan pembangkang itu. Tidak perlu kepada macam-macam slogan atau tagline, dan slogan dan tagline itu hendaklah diguna pakai oleh semua parti.

e) Konvensyen juga perlu mempersepakati dan mempraktikan kerjasama khasnya dalam soal logistik. Jentera pilihan raya dari mana-mana parti perlu bergabung secara sepenuh hati tanpa mengambil kira apakah parti atau pihaknya bertanding di sesuatu kerusi itu. Misalnya pakaian atau uniform hendaklah seragam dengan satu warna sahaja.

Itulah perkara-perkara penting yang perlu diputus dan disepakati dalam konvesnyen berkenaan. Perkara atau persetujuan mengenai perkara itu ditunggui rakyat dan ia menjadi takai azimat untuk menerima gabungan pembangkang kali ini lebih kuat, tulus, serius dan berwibawa.

Selain itu juga konvensyen itu perlu meletakkan tekad (slogan) utuh untuk menjatuhkan kerajaan UBN dan kepimpnan Najib Razak dan akan menggantinya dengan kerajaan baharu dibawah pembangkang. Tekad ini hendaklah didahulukan daripada segala macam cita-cita peribadi dan puak.

Sehubungan itu konvensyen itu juga harus bahkan wajib melarang atau mengenepikan penonjolan siapa yang bakal jadi PM sekiranya gabungan itu menguasai Malaysia nanti. Biarlah soal siapa akan dilantik menjadi PM tidak diperhitungkan dahulu dan buat sementara waktu semua pihak hendaklah bersetuju menjadikan Anwar Ibrahim sebagai simbol bakal PM dari pembangkang.

Jangan ada mana-mana parti cuba meletak atau menamakan sesiapa dari kalangan mereka sebagai bakal PM, kerana tindakan itu sudah tentu ia akan menimbulkan persoalan sesama sendiri dan akhirnya isu siapa PM itu akan dijadikan isu oleh UBN. Berbalah dan carilah siapa untuk jadi PM selepas menang, bukan sebelum pertarungan bermula.

Parti-parti juga tidak perlu cuba menunjukkan kehebatan masing-masing atau meletakkan mereka sebagai pemain utama disebabkan pengaruh dan usia. Kesemua pihak yang bergabung harus menganggap mereka sama sahaja lama atau baharu. Sekiranya ada sikap ego demikian pakatan ini boleh menimbulkan masalah. Para pemimpin harus memasakkan hati ahli dan penyokong masing-masing menerima sikap "sama rata sama rasa".

Konvensyen itu nantik juga bukan sahaja perlu menampakan sepakat dan ikhlas, tetapi biarlah ia benar-benar berintegriti, sepadu dan jujur serta semangat yang tinggi. Sejauh mana kemampuan pembangkang dapat menyuntik semangat baharu apa lagi dengan penyertaan bersama PPBM, Warisan dalam gabungan baharu itu akan dinilai oleh rakyat.

Kehadiran Dr Mahathir Mohamad untuk buat pertama kali sedia berkolaborasi dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan UBN perlu disambut dengan penuh syukur.

Sekiranya konvensyen itu mencapai natijah yang baik dan jelas ia akan mendorong keyakinan kepada rakyat. Senario konvensyen itu akan menjadi penyuntik semangat dan tambah menyakinkan rakyat untuk bersama pembangkang bagi menyelamatkan Malaysia dari dibelenggu masalah hari ini.

Selain itu konvenyen itu juga mungkin boleh memutuskan secara tuntas dan muktamad mengenai penglibatan Pas atau sikapnya dalam Piraum akan datang. Mungkin satu konsesnus boleh diambil agar usaha untuk mengajak Pas boleh diserahkan kepada pihak-pihak secara peribadi dan bukan dari konsensus dari konvensyen berkenaan.Mungkin sekretariat boleh diarahkan untuk menguruskan perkara ini.

Konvensyen harus dengan jelas menyatakan sikap (menolak) terhadap Pas agar ia tidak menjadi persoalan menyerabutkan di kalangan ahli parti pembangkang. Cara itu juga ia akan menutupkan percakapan dan dolak dalik Pas yang berbagai-bagainya itu.

Konvensyen itu juga perlu menentukan garis jelas pergerakan pembangkang selepas ini. Dan apabila ia sudah diputus semua kena akur dan tidak cuba memperbaiki atau pun memandai-madai dengan apa-apa idea atau pun teknik yang bercanggah dengan semangat konvensyen.

Semua cadangan-cadangan dan idea dikemukakan parti pembangkang tidak perlu diputuskan secara bersendirian, diumumkan secara bersendirian tetapi ia perlulah diserahkan kepada sekretarait untuk dirumus dan diumumkan.

Setiap kenyataan daripada parti pembangkang, sama ada ia general atau spesifik perlu dikeluarkan oleh sekretrait ataupun secara bersama dengan presiden atau penasihat parti dalam satu sidang media. Kedudukan sekretarit hendaklah dihormati sebagai badan penyelaras gabungan berkenaan. [wm.kl.7:42 am 09/11/16]

No comments: