Friday, November 11, 2016

Muhyiddin cuba main "kayu tiga"?

SESUDAH SUBUH

Muhyiddin tidak perlu termenung.
Menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah konvesnyen Pakatan Harapan kali pertama akan berlangsung esok akan membincangkan penubuhan gabungan pembangkang yang besar dan kuat untuk mewujudkan pelawanan 1 lawan 1 antara Pakatan Rakyat dengan BN.

Itulah mauduk ataupun harapan yang diletakkan kepada konvensyen berkenaan dan ia sangat dialu-alu dan dinanti-nantikan. Konvesnyen esok bakal dihadiri lebih 1,000 perwakilan, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.

Konvensyen itu pasti akan menjadi sejarah penting dalam jelumu politik negara dan bakal membentuk landskap baharu politik negara. Kehadiran sama bekas Presiden Umno Dr Mahathir Mohamad sudah pasti akan mengaurakan momentum baharu baharu kepada pembangkang.

Kehadiran Dr Mahathir itu boleh dianggap sesuatu yang ajaib dalam dunia politik kerana sejak berdekad beliau menjadi musuh pembangkang tetapi akhir-akhir ini boleh duduk sepentas dengan pemimpin pembangkang untuk merealisasikan cita-cita bersama demi negara. Dr Mahathir tidak sanggup dan sedia mengadaikan maruah dan martabatnya kalau bukan untuk negara.

Konvensyen yang berlangsung di Shah Alam itu juga akan dihadiri Presiden PKR, Dr Wan Azizan Wan Ismail, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang, Presiden Amanah Mohamad Sabu. Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhyiddin Yassin juga turut hadir sama, dan mereka akan menyampaikan ucapan masing-masing.

Orang ramai khasnya mereka yang mahu melihat kerajaan BN tumbang dalam Piraum akan datang sangat mengharapkan sesuatu yang besar dari konvensyen berkenaan seperti mana dibayangkan Saifuddin. UBN akan berjaya dijatuhkan dengan ada permaufakatan mantap di kalangan pembangkang.

Persoalannya apakah harapan itu nanati akan menjelama atau  tidak. Perkara besar yang dikatakan menjelma esok ialah penanda tangani satu perjanjian persepakatan melibatkan empat buah parti itu; PKR, DAP, Amanah dan PPBM untuk berhadapan dengan BN secara bersama.

Bagaimana pun perkembangan di saat-saat akhir kurang menyenangkan bila mana kedengaran perjanjian maufakat itu tidak mungkin akan ditanda tangani oleh keempat-empat parti itu apabila PPBM khabarnya minta agar ianya ditangguh buat sementara?

Maklumat ini sesuatu yang malang dan kurang sedap bunyinya. Kenapa PPBM mahu menangguhnya? Perubahan sikap PPBM, khas presidennya ini sedikit menghairankan kerana sebelum ini Muhyiddin sudah pun menyatakan persetujuannya? Beliau sudah pun menyemak isi kandungan perjanjian berkenaan. Apakah ada pelesit yang menganggu presiden PPBM itu?

Ada maklumat yang sampai ke telinga saya, kelmarin ada dua pemimpin parti Islam (Pas) berjumpa dengan Muhyiddin. Perjumpaan itu berlangsung di sebuah kelab rekreasi di Kuala Lumpur. Apakah perjumpaan itu telah merombak simpulan Muhyiddin sebelum ini yang bersetuju untuk menandatangani perjanjian maufakat itu.

Khabarnya juga Muhyiddin telah pun memberi tahu Sekretrait Pakatan Harapan tentang penangguhannya itu?

Sekiranya perubahan sikap Muhyiddin itu benar gara-gara pertemuan dengan dua pemimpin tertinggi Pas itu kita sangat memahami sebab musababnya. Sebelum ini Muhyiddin berharap supaya Pas juga bersama dalam gabungan pembangkang. Apa yang diusahakan untuk mewujudkan grand coalition juga melibatkan Pas.

Tetapi disebabkan kerana hal-hal personal dan sentimen, (politik matang) Pas tidak bersedia untuk bersama. Penolakan Pas itu menyebabkan Muhyiddin berasakan grand coalition itu tidak akan mencapai matlamatnya. Mungkin kerana itu maka beliau perlu menangguhkan untuk menanda-tangani maufakat bersama Pakatan Harapan kerana mahu menjaga hati Pas dan terus memujuknya.

Sebenarnya tidak ada masalah kalau Muhyiddin mahu terus berusaha membawa sama Pas. Itulah sebaiknya. Tetapi perkara yang beliau kena fahami, usaha itu bukan mudah. Ia ibarat hendak memasukkan benda empat segi ke dalam lubang bulat.

Masalah yang dibayangi Pas untuk bersama grand coalition bukan sahaja gara-gara adanya Amanah dan DAP, tetapi "perikatan" menerusi istilah ta'awun dengan Umno juga menjadi penghambatnya. Muhyiddin kena memahami perkara ini kerana jalinan Pas dengan Umno suatu masa dulu melibatkan dirinya juga? Cuba cerita berapa kali Muhyiddin berbincang dengan Mustapa Ali?

Sebaik-baiknya Muhyiddin mendapat kata putus daripada Pas agar beliau tidak tertunggu-tunggu. Dan Pas juga perlu berterus terang bahawa beliau juga sudah tidak suci lagi kerana ternoda dengan Umno.

Justeru Muhyiddin atau PBBM tidak perlu menunggu atau mendengar "kecek" daripada Pas untuk tidak menyegerakan pemeteraian permaufakatan esok. Beliau boleh teruskan dengan Pas atas mekanisme yang tersendiri tetapi perjanjian dengan PKR, DAP dan Amanah esok hendaklah dilangsungkan seperti mana yang dirancangkan.

Tindakan atau sikap Muhyiddin itu bolehlah diumpamakan persis lelaki yang sudah bertunang dengan seorang gadis tetapi dalam masa sama mengorat perempuan lain. Tidak menjadi masalah kalau Muhyiddin hendak "berkahwin" lebih daripada satu, tetapi yang mustahakanya ikat atau ijab kabul dulu dengan tunangannya. Perkara wajib perlu dilakukan bagi mengelak dosa.

Kita bimbang dengan cara Muhyiddin bermain kayu tiga itu ia boleh menyebabkan beliau akan senasib dengan Lebai Malang, di hulu terlepas di hilir terpelai.

Sekiranya esok kalau tidak berlaku perjanjian yang diharapkan itu ia akan merosakan reputasi Muhyiddin (PPBM) dan juga Pakatan Harapan. Hendaknya jangan Muhyiddin membikin isu baharu kepada pembangkang. Harap-harap pembentukan gagasan pembangkang besar seperti mana disebut Saifuddin itu menjadi kenyataan.  [wm.kl 7:13 am 11/11/16]

No comments: