Insiden yang berlaku di dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam tadi adalah rentetan-rentetan keanihan atau kemalangan yang menimpa parti agama (Pas) Kelantan yang sekaligus memberi kesan buruk kepada kerajaan negeri peninggalan Tokguru Nik Aziz.
Kehadiran Husam benar benar mengamankan Nasaruddin. |
Pastinya roh Tokguru juga menyaksi apa yang berlaku di dataran stadium malam tadi. Pasti. Dan pasti juga ada murid atau pengikutnya memberi tahu kepada Tokguru dalam doa selepas Subuh tadi; "Tokguru sejak peninggalan Tokguru keadaan negeri dan parti kita menjadi huruhara."
Mungkin mata pendoa itu berkaca dan berair.
Mana yang suka sinikal akan memberi tahu juga kepada Tokguru, secara beranologi sejak Pak Dogol menjadi Raja negeri Kelantan semua berubah sampai ikan kering pun lebih mahal daripada bedil.
Di perkarangan stadium semalam telah berlaku kekecohan di suatu ceramah anjuran Dewan Pemuda Pas Kelantan. Kekecohan malam tadi berpotensi untuk memborak jika kedua-dua pihak terlibat melupai langsung pesanan dan amanat Nik Aziz.
Saya dan Nasaruddin diawal dia jadi YB. |
Sebelum ini baik Pas atau Umno dan terbaharu parti Amanah telah menganjurkan banyak ceramah, tetapi tidak sampai berlaku kekecohan dan keriuhan serupa semalam. Semalam hampir-hampir meletus perbalahan yang boleh mengakibatkan luka dan darah tumpah.
Zaman kecoh dalam ceramah; ceramah orang lain diganggu, ditagor.. dan penceramah bertempik melolong di pentas memaki hamun bersulam ayat Quran dan Hadith, sudah pun berakhir. Politik zaman batu, seperti dekad awal rakyat Kelantan mengenali politik sudah lama berlalu. Memang pada tahun-tahun akhir 50-an membawa ke tahun 70-an, berlaku kekecohan dan perbalahan dalam ceramah.
Kejadiannya sadis sekali. Kekerapan kejadian itu menyebabkan ada orang mengira itulah seni politik. Ada penceramah kena tampar, dihalang untuk datang ke tempat ceramah dengan menumbangkan pokok kayu dan orang ramai juga diugut. Keadaan itu semua sudah pun berlalu. Ia reda dan perlahan-lahan lupus apabila minda politik sudah terbuka dan orang ramai juga diberi kefahaman sebenar mengenai seni perang dalam politik dan tujuan matlamat berpolitik.
Apabila berlaku kekecohan seperti semalam, menyebabkan ia seakan memanggil semula budaya samseng dan kuno dalam berpolitik. Politik rendah akal dan keras "ken" dihidupkan semula. Barang kali inilah juga fenomena yang menimpa parti agama itu apabila orang cerdik pandai dan waras telah tiada dalam parti berkenaan selepas berlaku "penghijrahan penghambatan" tiga tahun lepas. Bagi segolongan yang jahil mereka akan menganggap sesuatu yang jelek mereka lakukan itu, itulah pendidikan politik yang mereka fahami.
Kekecohan semalam boleh dihindari kalau ada kebijaksanaan baik oleh pihak yang menganjur dan pihak yang menjadi mangsa dalam kekecuhan itu, yakni Husam Musa. Ceramah itu akan berjalan dengan baik, kalau ia tidak bersifat provokasi dan memburuk-burukkan Husam. Pemakaian tajuk ceramah itu; HUSAM LARI DARI DEBAT BAI'AH sudah mengundang provokasi yang besar. Ia sudah menandakan sudah ada titik kebencian dalam hati penganjur atau Pas.
Pun begitu ia boleh berjalan dengan selamat tanpa mengundang suasana menyedih dan mengesalkan jiwa kalau Husam mengambil jalan bijak tidak mempedulikan apa yang dicorengkan ke atasnya itu? Tampaknya Husam juga cuba mencari laba politik disebalik ceramah itu untuk melakukan -- mendapat perhatian kepada parti baharunya Amanah.
Persoalan saya, kenapa harus menulis tajuk demikian kalau pun hendak menggambarkan Husam seorang yang tidak bertanggungjawab? Apakah pihak penganjur sudah kering akal fikir untuk meletakkan tajuk yang harmonis sesuai dengan mereka parti memperjuangkan sebuah agama? Di sini, dan keadaan inilah menjadikan saya keliru dengan keagamaan parti berkenaan. Dari kitab agama mana mereka ambil untuk bertindak demikian?
Dari konteks umum, tajuk itu telah damagekan Husam. Dia digambarkan sebagai pengecut dan tidak bertanggungjawab dengan apa yang disanggupinya. Soalnya apakah dakwaan itu benar, bahawa Husam lari? Maka adalah wajar kalau beliau mengambil risiko menghadirinya bagi membuktikan bahawa beliau bukan seorang penakut. Beliau bukan lari sebaliknya "mari".. sedia datang.
Husam boleh sangat tidak hadir dan membiarkan sahaja ceramah menggunakan namanya itu diteruskan. Saya rasa dia pun faham dengan perangai, "gong dan ngor" penceramah utama dalam majlis itu Nasaruddin Daud. Sebelum ini Husam pernah berlaga dengan Nasaruddin dalam DUN Kelantan dan juga di pentas ceramah. Husam dan Nasaruddin sudah menjadi Seri Rama dan Hanuman di Kelantan, pantang bertikam bayang akan bergasak.
Adun Salor itu tahu sangat sejauh mana cerdik bodohnya Adun Meranti itu. Sijil pengaajian siapa lebih panjang dan lebar juga sudah menjadi pengetahuan umum. Apakah pengkhususan diambil Nasaruddin dan Husam juga dimaklumi rakyat. Perbezaan latar belakang dan pendidikan itu menjadikan mereka tidak relevan untuk berdebat dalam bidang apa sekali pun.
Tetapi kenapa Husam hadir juga. Dari jauh saya menasihati Husam agar tidak hadir. Tidak ada guna kalau dia berdepan dengan seorang yang sudah menutup segala inderanya daripada melihat sesuatu itu dengan rasional. Saya awal-awal lagi bimbang kalau Husam hadir ia akan menimbulkan kekeruhan dan ketegangan.
Tetapi seperti dikatakan tadi, beliau hadir atas alasan untuk bertanggungjawab dan menjawab persoalan yang diviralkan. Sebagai seorang manusia apa lagi pemimpin beliau perlu memberi tahu kepada pengikutnya yang beliau bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Kotoran yang dilesetkan ke atas tubuhnya perlu dibersihkan. Maka tanpa menghirau pesanan saya beliau hadir. Mungkin bagi mengelakkan dia dianggap dayus kerana kalau beliau tidak hadir malam tadi, dia akan "ditejal" serata tempat.
Dan kenapa saya bimbang dengan kehadirannya itu, kerana dalam penilaian saya, kedudukan atau minda politik di antara Husam dengan Nasaruddin jauh sangat bezanya. Dalam serbi serbi, baik dalam, kemampuan berfikir sebagai anggota Exco. Bahkan dalam bidang agama sekalipun. Nasaruddin membaca ayat-ayat Quran yang di hafal sahaja, dia tidak mampu mengulasnya dan mengadatpasi dalam kerjaya politiknya seharian.
Bagai mereka yang menganggap kealiman seseorang itu terletak kepada kefasihan membaca Quran sudah mengira dia sebagai alim, dan bakal menjadi pengganti kepada Nik Aziz yang hilang. Sebenarnya tanggapan itu meleset.
Burung lebar -- gembala kerbau, atau tiong emas kalau "dikokok" lidahnya dengan berlian, ia boleh membaca Quran lebih fasih dari imam-imam masjid di Kelantan. Suaranya lebih merdu daripada suara Nasaruddin sendiri. Kemerduan itu bukan bermakna tahap pemahaman Islam si burung itu tinggi. Kemerduan adalah seni yang lain. Seni unuk mengasyikan orang bukan memberi fahaman dan keinsafan.
Pun begitu sebagai seekor haiwan yang tidak penuh akal, yang tidak bersekolah ia tetap juga akan membuang najis merata tanpa mempedulikan apakah najis wangi atau tidak kandatipun lidahnya fasih membaca ayat-ayat Tuhan.
Terbukti, kerana kalau Nasaruddin memahami semua ayat-ayat yang dibaca, dihati penganjaran dalam Quran, mengenai akhlak, tatabudi, pergaulan, perhubungan, berkawan, menjaga negeri, berjuang dia tidak jadi seperti dia jadi sekarang ini. Bercakap mengikut apa yang keluar daripada mulutnya dan terlintas dalam kotak fikiran tanpa mengetahui mauduknya dan mempertahankan sesuatu hujah itu dengan "ken" bukan dalil.
Mana kelembutan dalam Islam. Mana keperibadian Islam. Mana tasamuh dalam Islam. Mana budi perkerti dalam Islam. Mana toleransi dalam Islam? Islam tidak mengajar kita memerli orang berlebih-lebihan. Islam mengingatkan kita melampau batasi itu termasuk dalam golongan munafik. Islam mengajar bersikap adil kepada semua. Kalau sesuatu itu benar kita kata benar dan kalau salah, katakan salah tanpa mengira siapa melakukannya. Dalam Islam tidak ada pilih kasih.
Paling tidak disukai Islam ialah mendabik dada kononnya kita alim. Kita menjadi ulama besar apabila di atas kepala tercotek serban buatan sutera, di dagu kita adik sejemput jangut macam akar bunut atau bulu jagung. Tampaknya simbol-simbol itu dengan mudah orang menggelarkan Nasaruddin atau yang sewaktu dengannya sebagai ulama dan kelatangannya yang membela Islam tersasar dari benar itu dianggap sebagai singa. Maaflah bagi saya kalau begitulah sikap dan ulahnya dia bukan singa tetapi "si Ngor".
Iya, kalau dia tidak ngor, dia tidak akan membenarkan majlis itu menggunakan nama Husam tujuan mengecamnya. Sebagai Exco agama dan bertanggungjawab dalam porfolio penerangan beliau boleh melarangnya, agar membaiki tajuk ceramah itu. Islam tidak larang mengkritik, tetapi ia harus dalam batas-batas dan sempadan dibenarkan.
Selain itu beliau juga naif mengenai pengetahuan undang-undang. Apabila penganjur telah meletakkan nama Husam dengan warna yang buruk dan menggambar jahat, Husam boleh mengambil tindakan undang-undang. Husam boleh saman malu. Apa yang dilakukan itu sudah termasuk dalam kes defamation (Act 1957) atau fitnah.
Kalau pun jahil mengenai undang-undang sivil tetapi undang-undang syariah ada menggariskan hal itu. Apa sudah termamai ke? Begitulah kalau kita membaca dan hafal Quran dan Hadith seperti tiong dan gembala kerbau.
Dengan apa yang berlaku semalam, bersaksikan kepada klik video dan juga catatan di media sosial berhubung kejadian itu, semua akan meletakkan kesalahan itu kepada pihak penganjur dan penceramah utamanya. Hanya mereka yang tidak waras dan taksub kepada sesuatu kepercayaan karut sahaja akan menyalahkan Husam secara "membabi-beruk".
Persoalannya kenapa ceramah seperti itu dibiarkan. Pucuk pimpinan Pas dan pihak keajaan negeri bersubahat sama? Ini sekaligus menunjukkan kenaifan pihak pucuk pimpinan Pas Kelantan. Mereka sepakat membenarkan perkara itu berlaku. Kalau ianya dikendalikan oleh budak-budak, tidak menjadi masalah dan tak menghairankan saya pun kerana akal politik mereka tidak sepanjang mana. Darah mereka sama banyak dengan darah nyamuk sahaja. Mereka tidak arif baik kesan buruk kepada event politik mereka anjurkan itu.
Tetapi majlis itu turut terlibat veteran sendiri. Misalnya Wan Ismail Wan Jusoh juga menjadi penceramah utamanya. Sebagai orang tua, beliau menegur dan tidak membiarkan ceramah begitu diadakan. Pas tidak akan hilang segala keberkatan kalau mereka terus berhemah dan tidak pun menggunakan politik animinsme? Penasihat Undang-undang Pas yang menjadi ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan boleh menegurnya dari sudut implikasi undang-undang. Apakah beliau juga terlibat dalam menganjurkan keburukan?
Apabila ia diteruskan bolehlah disimpulkan Pas kini sudah kepupusan nilai akhlak dan pekerti. Nilai-nilai budi sudah terhakis. Kematangan politik yang dilaung-laungkan juga sudah hilang. Hati mereka juga tidak sebersih jubah dan serban lagi. Mungkin itu semua dibayangi oleh keegoaan kerana mereka kini masih menjadi kerajaan.
Usah terlalu seronok sangat dengan kelebihan itu. Kerajaan yang ada itu dalam keadaan bagaikana telor di hujung tanduk. Kerajaan yang diwarisi oleh Ahmad Yakob adalah kerajaan saki baki atau sisa peninggalan. Hakikat hari ini bukan Pas Kelantan semakin kukuh tetapi semakin menipis pengaruhnya. Hanya orang gila dan ngor sahaja boleh bernaysib bahawa Pas Kelantan kuat. Tanpa riuh randah Umno Kelantan sudah menyusun kabinet bayangan mereka.
Kekesalan saya
Sebagai orang Kelantan saya sungguh kesal atas apa yang berlaku malam tadi. Saya nyatakan di sini saya tidak berpihak membabi buta kepada sesiapa. Saya tidak menyokong sesiapa, baik Nasaruddin maupun Husam secara buta huruf dan kepala panas. Saya menyokong dan memihak kepada yang benar dan haq. Pembelaan saya pula kepada sesiapa yang lemah dan ditekan secara bertubi-tubi. Saya menganologikan saya adalah penolakan kereta mogok yang akan ditinggalkan kereta selepas kereta hidup.
Saya tidak pernah pun kesal apakah saya dapat menaiki kereta itu atau tidak, yang penting kerja saya membantu menghidupkan kereta yang mogok dan orang di atasnya selamat sampai ke destinasinya.
Saya berharap apabila saya mengulas kejadian semalam seperti ini ia dapat difahami, terutamanya oleh Nasaruddin Daud yang saya anggapnya sebagai adik saya. Seawal beliau jadi wakil rakyat saya pernah berpesan kepadanya. Antara kata saya; "Din ana harap enta akan kekal dengan identiti ini, berpakaian sebagai ustaz. Sebab suatu hari nanti enta lah yang akan menjadi pengganti Tokguru apabila beliau tiada atau bersara kelak." Nasihat dan kata-kata memberi makna saya meletakan harapan dan keyakinan besar kepada beliau sebagai penegak syariah Islam dalam Pas.
Saya tidak berhajat memperpanjangkan catatan ini, kerana saya yakin ia tidak akan merubahkan keadaan. Kekecohan semalam tidak akan dilupa, dan tidak mampu mendamaikan keadaan yang telah robek itu. Walaupun Husam mengharap akan diadakan majlis untuk membahas soal Bai'iah ia tidak mungkin akan disambut Nasaruddin.
Menjadi doa dan harapan saya juga semoga akan ada jalur-jalur kebaikan itu dalam politik Kelantan. Saya menjadi terlalu sedih apabila semua yang terlibat itu adalah orang-orang yang saya kenal, orang pernah menjadi teman, tetapi kerana sedikit ketidaksefahaman mungkin disebabkan hasutan syaitan dan iblis
menyebabkan ia merebak menjadi api membakar seluruh ladang persaudaraan.
Janganlah syahadat dan salawat kita ke atas Nabi sirna dari relung jiwa kita.
Kesan kepada yang berlaku semalam, anak-anak muda yang baharu mejuntaikan kaki ke dalam kubang politik beranggapan apa yang berlaku itu adalah sebahagian subjek politik yang mereka harus hafal dan pelajari. Alangkah ruginya sekiranya tanggapan salah itu berlaku.
Apa yang cukup memalukan saya dengan insiden semalam, nama Kelantan yang selama ini wangi dan syahadu sebagai negeri menjadi universiti politik terbuka yang diharap diteladani oleh orang negeri lain tercemar. Mereka bukan lagi mengkagumi siasah Kelantan tetapi akan metertawakannya kerana adanya si ngor dan si berani. [wm.kl.10:43 am 21/02/17]
18 comments:
Saya mulai mengikuti Blog Merah Tinta MSO seawal tahun 2000 atau 2001. Saya menyukai blog ini kerana ulasannya adil dan berpijak pada kebenaran. Tetapi selepas 16 tahun berlalu, pandangan dan ulasan dalam blog ini menjadi semakin kabur serta tidak berpijak pada fakta. Ini mungkin kerana faktor kesihatan dan usia yang membataskan penulis untuk melihat dan merasai sesuatu isu secarang langsung. Semoga Allah mengampuni kesilapan yang kita lakukan.
Salam Sdr. Bagi saya yg jahil agama ni, tidak terfikir PAS yg mendakwa sbg parti Islam rupanya Islam luaran saja. Kalau sungguh Islam tak kan tak reti natijah fitnah.
Agaknya ini lah yg d katakan menjual Agama untuk kepentingan dunia.
Bagi aku blog ni ok je. Kupasan nya penuh dengan hujah yg bernas.
Si Ngor ni jadi gitu sebab dia ada Si Ngor meto sebagai boss dia. Walau pun Si Ngor meto ceramah tak bertempik tapi ayat² dan perkataan² hok dio guno langsung tak mencerminkan peribadi seorang timbalan menteri besar sebuah kerajaan Islam.
Biasalah bila ulasan tidak memihak kepada parti yang kita taksub, ulasan yang adil bernas berfakta pun dikira kabur.
kejadian semalam adalah sejarah hitam politik negeri kelantan. Peristiwa ini adalah titik noktah utk pas sebagai kerajaan di kelantan. Ya Allah, engkau tamatkanlah pemerintahan Pas di negeri kelantan dalam pru14 nanti. Biarkanlah parti mana pun yg akan jadi kerajaan asalkan bukan Pas.
Macai hok buta pikiran ni dia tahu sokong jah. Org bagi nasihat, dituduhnya org fitnah. Ayat dia kira nak sumbat org dlm neraka jer. Tulah mentaliti penyokong.
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Hampir 16 tahun tuan mengikuti blog Tuan MSO, apa yang tuan telah pelajari? Adakah sekadar baca seperti burung gembala kerbau, langsung tidak ada sebarang manfaat dan faedah dalam kehidupan tuan?
Sayang sekali, tuan telah gagal mengutip walau 1 ilmu dari bahan bacaan tuan..hampir 16 tahun tuan telah membuang masa. Rasanya tuan hanya membaca tanpa menggunakan akal dan hati.
Sebagai anak Kelantan di perantauan,saya mengikuti perkembangan politik pembangkang dan kerajaan secara berlapang dada. Jangan sekadar membaca sahaja, berkawanlah dengan semua pihak baik dengan parti yang tuan sokong atau parti yang tuan benci. Berkawanlah dengan ikhlas di atas nama MANUSIA (jika tuan seorang MANUSIA)
Janganlah diputuskan silaturrahim, kerana kita tetap seagama dan sebangsa..cuma sedikit pandangan siasah yang membezakan kita.
Nampaknya Parti islam hanya pada namanya..sifat islam dlm parti tidak di bawa..dlm islam,tak pernah di ajar utk kata mengata..knp Parti islam bole mengata? Klw pun musuh kita ada aib..kita kena tutup aib tu..
Husam tidak salah hadir ceramah Parti Akal Serabut( PAS)walaupun tidak di undang seperti kata budak hingus hijau yg menganjurkan ceramah bodoh ini. Malah bagi aku Husam wajib hadir kerana tajuk itu Ingin DiGunakan Parti Akal Serabut utk memalukan Husam.Itu niat jahat parti yg jual agama.
Lalu kenapa nak marah dgn kehadiran Husam malam itu ? Kalau tajuk itu tidak secara khusus utk memalukan dirinya rasanya memang Husam tak datang.
Debat belum selesai tetapi tajuk awal2 dah kata Husam lari.
Kalau bukan tongung dan bangang apa lagi yg patut kita dilebelkan kepada orang yg bertanggungjawab memilih tajuk itu.
Jika dilihat pada satu titik. Memang nampak macam penganjur salah dan 'party crasher' tu betul.
Tapi kita kena lihat seluruh gambar utk faham ekor pangkal cerita.
Karangan panjang lebar diatas tu hanya membincangkan 1 titik dari berjuta titik yg membentuk 1 gambar.
16 tahun membaca blog mso tetapi pandangan kabur dan tiada fakta. Tuduhan apa ini?
Tuduhan merapu dari pentaksub. Saya juga sudah lama mengikuti blog ini. Pandangan saya, blog ini sentiasa memberi komentar dan kritikan yang padu dan tepat.
Walaupun di akui, ada beberapa komentar yang tidak berkenan di hati tetapi ia tetap ulasan yang baik yang di fikirkan dan teliti pada yang mahu berfikir dengan otak yang waras bukan otak kemetot
Tulisan saudara MSO amat bernas dan tepat. Teruskan usaha anda menegur tidak mengira sesiapa saja walaupun dari parti politik mana sekali pun.
Adios...
Saya pun sudah lama mengenali blog MSO.. satu2nya blog yang saya jenguk hingga ke hari ini... tapi untuk mengatakan pandangan MSO ilmiah.. boleh lah diukur ilmiahnya tetapi disadurkan dengan perasaan bias... MSO bukan lagi free man.... kalau ada rakan mengatakan saya atau mereka yang tak bersetuju dengan MSO sebagai pentaksub PAS.... MSO juga boleh dikatakan taksub kepada mereka yang tak bersama PAS.... salah satu key word yang selalu saya cari dari artikel MSO adalah komennya berkaitan PAS-Parti Agama???... pasti ada sindiran sini secara langsung dan tidak langsung kepada PAS... sudah pasti PAS menjadi subjek untuk diburukan wajahnya.... apakah ini merupakan gambaran hati nurani MSO.... Allah saja yang tahu... Yang benar tetap benar Yang salah tetap salah...
Terbaik tuan teruskan menulis selagi ada hayat..... semoga di rahmati
Terbaik tuan teruskan menulis selagi ada hayat..... semoga di rahmati
Terimalah knyataan Pas skrg sdh buruk, cuma bkn mcm ameno yg buruk dr kepala hingga ke ekor,jadi kembali la kepangkal jln....
Kupasan yg baik
Post a Comment