Wednesday, February 1, 2017

Annuar Musa perlu diasingkan dari Umno Kelantan?

PANDANGAN PAGI

Mustapa perlu tegas dan berani.
Tindakan ahli Majlis Mara mengambil keputusan sebulat suara untuk menggantungkan tugas Annuar Musa sebagai pengerusi Mara dan juga pengerusi Syarikat Pelaburan Mara sedikit sebanyak menjejaskan reputasi Umno Kelantan yang waktu ini dilihat berkaca di mata rakyat Kelantan.

Walaupun tindakan majlis Mara itu tidak bermakna Annuar sudah bersalah melakukan salah guna kuasa atau rasuah menerusi kedudukkan sebagai pengerusi Mara dan Presiden Kafa, tetapi "insiden" tersebut sudah pasti ia menimbulkan persepsi buruk kepada batang tubuh ahli Parlimen Ketereh itu.

Walaupun selepas ini mungkin tiada siasatan lanjut oleh SPRM ke atas Annuar misalnya memanggil beliau ke ibu pejabat SPRM sampai direman, tetapi dengan apa yang berlaku telah memberi kesan buruk kepada Ketua Umno bahagian Ketereh itu yang ikut sama mencemarkan suasana baik Umno Kelantan pada masa ini.

Pihak SPRM telah mengesahkan akan menyiasat Annuar berkaitan isu penajaan bola sepak Kelantan (Red Warriors) menerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) UniKel milik Mara. Siasatan itu menurut kenyataan SPRM akan menumpukan kepada hasil siasatan audit dalaman Mara.

Tanggapan umum kepada Annuar telah menjadi buruk dengan apa yang berlaku itu. Apa lagi banyak kes-kes melibatkan orang kenamaan baik dalam kes rasuah atau jenayah boleh "dikarpetkan" begitu sahaja. Contoh terbaik ialah kes penyonglapan dana RM 2.6 juta oleh Najib Razak, ia berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

Peguam Negara juga telah membesihkan nama Najib.

Namun walaupun begitu, kalaupun seribu kali nama Najib disamak dan disucikan dengan tujuh air mutlak tetapi persepsi umum tentang beliau menjadi buruk. Di mana-mana sahaja orang bercerita mengenai RM2.6 juta dan dikaitan dengan wang 1MDB. Kalau pun Najib tidak mengambilnya, tetapi tanggapan umum terhadapnya berlaku begitu selagi Najib tidak ikhlas menjelaskannya.

Orang mungkin mendiamkan diri apabila berjumpa Najib tetapi bila paling punggung orang tetap menjebeh mulut kepadanya mengenai perkara itu.

Nah, begitu juga nasib Annuar Musa dalam kes di Mara itu. Kalau pun selepas ini dia tidak diapa-apakan, penggantungan sementara jawatan pengerusi itu dipulihkan, tetapi persepsi orang ramai kepadanya tetap hamis. Orang akan menganggap Annuar seperti mana Najib sebab Annuar adalah Ketua Umno Bahagian, ahli MT Umno dan Ketua Penerangan Umno Malaysia.

Melihat kepada cara Malaysia menangan jenayah oreang besar mungkin Annuar selamat dengan apa yang berlaku. Tetapi sesuatu yang tidak dpat dilupai, kejadian itu telah memberi kesan buruk kepada Umno, khasnya Umno Kelatan. Persepsi buruk itu menyebabkan Umno Kelantan akan tercemar. Noda Annuar akan terleset kepada Umno Kelantan.

Apa lagi hal yang sebegitu pernah berlaku sebelum ini di mana ia terbukti memberi kesan kepada Umno Kelantan. Batang tubuh Annuar telah dijadikan isu dalam setiap kali pilihan raya di Kelantan. Tidak lama dahulu apabila Annuar dikaitkan dengan penyelewengan wang PPRT, ia menjadi isu yang sukar untuk ditepis oleh Umno. Gara-gara nilai setitik itu menyebabkan sebelanga susu Umno rosak.

Oleh yang demikian adalah elok kalau Umno khasnya Umno Kelantan memikir sesuatu untuk membersihkan diri partinya ekoran kejadian menimpa Annuar itu. Tindakan paling afdal sekali dengan tidak memberi peluang kepada Annuar untuk terus terlibat dalam pilihan raya akan datang, baik sebagai calon maupun sebagai jurucakap parti, tukang kempen.

Sekiranya Annuar diberi peluang bertanding ia akan menjejaskan reputasi calon-calon lain. Pihak musuh Umno akan menggunakan isu Annuar itu bagi menggambarkan keburukan Umno di Kelantan. Umno Kelantan perlu sedar kekalahan Annuar Musa dan kegagakan Umno Kelantan dalam dua Piraum 1990 dan 1999 antara lain disebabkan isu-isu peribadi yang dihadapi Annuar.

Pasti kali ini isu peribadi Pengerusi Mara itu akan diungkit lagi. Dalam kempen kelak keretan-keratan akhbar berita mengenai Annuar itu tentu akan diperbesarkan dan dipasang di dinding di seluruh negeri Kelantan.

Kejayaan Annuar memimpin bola sepak Kelantan sehingga memenangi tiga piala untuk satu musim tidak lagi membantu beliau dan Umno Kelantan. Insiden yang berlaku kini memadamkan rekod berkenaan. Budak-budak yang duduk-duduk melepak tepi parit akan mula bersunggut, patutlah Red Warrior menang kerana guna duit Mara?

Justeru adalah elok kalau Pengerusi Umno Kelantan Mustapa Mohamed wajar awal-awal lagi cuba mengasingkan nama Annuar Musa di Ketereh sebagai calon dalam Piraum akan datang dan carilah nama-nama baharu penggantinya yang lebih bersih.

Jangan disebabkan nilai setitik (dengan kejadian menimpa Annuart itu) menyebabkan rosak susu bernama Umno sebelanga.

Dalam hal ini Mustapa harus berani dan tidak berkompromi melakukan sesutau untuk menyelamatkan maruah Umno daripada kes berkenaan jikalau Umno mahu merampas Kelantan dalam Piraum 14 nanti.

Jangan hendaknya keadaan Umno Kelantan yang kini sedang menuju ke garis pemenang, tiba-tiba menjadi kusut di tengah jalan. Mustapa perlu sanggup bersuara dan menegaskan agar Annuar tidak menjadi calon dan terlibat dalam Piraum akan datang. Soalnya beranikah Mustapa? Tindakan ini perlu mendapat sokongan ketua-ketua bahagian lain juga sekiranya semua pihak mahu melihat Umno memerintah Kelantan. [wm.kl.7:22 am 01/02/17]

2 comments:

Unknown said...

Setuju dgn pandangan tuan...tapi hal keberanian tu....entah...

Ariff said...

Munasabah juga...