Saturday, February 4, 2017

Nautica Alyia sedang melayarkan impian Pas dan Umno

SUARA SABTU

Saat ini kapal Nautica Alyia yang melayarkan Misi Kemanusiaan - Food Flotilla for Myanmar sedang menongkah arus di lautan Andaman membelah gelombang malam menuju ke destinasinya. Arahnya ialah ke pelabuhan Yanggon, Myanmar kemudian ke Teknaf Dhaka, Bangladesh.

Tuan Ibrahim dan Najib bunyikan siren bersama.
Kapal itu membawa 2,200 tan makanan dan keperluan untuk masyarakat Rohingya yang sedang menghadapi musibah dan kini menjadi pelarian di beberapa buah negara termasuk di Malaysia dan Bangladesh.

Misi berkenaan disertai oleh 250 sukarelawan terdiri dari beberapa NGO termasuk dari 13 buah negara luar. Dari jumlah itu, 190 orang sukarelawan daripada negara luar. Dua buah parti politik yang waktu ini sedang bercandarasa (asmara), parti agama (Pas) dan Umno juga mengirim wakil masing-masing untuk ikut sama belayar.

Pelayaran itu dilepaskan bersama oleh Presiden Umno, Najib Razak dan Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mewakili presiden parti agama yang dikatakan tidak dapat hadir kerana keuzuran syarie. Ikut serta mendampingi Tuan Ibrahim dalam upacara itu ialah Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, seorang wakil rakyat yang dikatakan berjiwa Umno.

Pelayaran itu menjadi suatu sejarah dan perlambangan perpaduan, demikian kata Najib. Pasti selepas ini peristiwa itu akan menjadi kenangan penuh nostalgik. Tawarikh bukan sahaja ia menujukkan keperihatinan rakyat negara ini kepada nasib bangsa Rohingya yang menghadapi musibah, yang sebab musababnya belum jelas, tetapi lebih jauh dari itu.

Apabila Najib mengistilahkan peristiwa itu (pelayaran malam) sebagai perlambangan perpaduan, ia membawa signifikan tersendiri. Bagi mereka yang memahami konteks perpaduan sebenarnya tidak akan teruja dengan terjemaah rasa Najib itu kerana parti-parti lain yang juga ada tanggungjawab sosial dalam masalah itu tidak ikut sama menyertainya. Kontasi perpaduan itu senang difahami.

Sekiranya parti-parti lain yang tidak kurang perikemanusiaanya seperti Amanah, DAP dan PKR diundang sama baharulah ia boleh dilihat misi kemanusiaan itu sebagai lambang perpaduan bangsa Malaysia untuk Rohingya sejati. Tetapi kenapa ia hanya berlaku antara Pas dengan Umno sahaja?

Secara peribadi atas nama kemanusiaan saya ucapkan terima kasih kepada misi berkenaan kerana ia menunjukkan keperihatian rakyat negara ini amnya dan kerajaan pimpinan Najib Razak khususnya. Saya menumpang bangga dengan projek ini. Tetapi jika ia diselami dengan motif politik maka misi berkenaan sudah tidak ikhlas lagi.

Sememangnya hidup ini kena saling bantu membantu antara satu sama lain lebih-lebih sesama agama. Yang senang membantu yang susah, yang berada meringankan yang berat. Tidak ada guna berpolitik sepanjang masa sehingga tanpa kesenggangan politik itu ia menerbitkan kemungkaran. Tetapi biarlah ia ikhlas dan telus.

Misi kemanusiaan itu sebenarnya perkara biasa sahaja. Ia adalah tanggungjawab semua mereka yang ada rasa ihsan kepada manusia lain. Bagaimana ia agak unit dan menarik apabila ia disertai sama oleh parti politik. Jika ia tanpa adanya Pas mungkin ia tidak menjadi gah dan misi itu pun tidak menjadi celaan atau ejekan sesetengah pihak.

Sebenarnya pun, tidak perlu misi berkenaan dilihat ada elemen politik di sebaliknya. Tetapi apabila Najib menimbulkan perkara itu, atau tepatnya mengambil kesempatan politik, tidak dapat tidak ia tetap disuluh dari jendela politik.

Mengapa tidak, sejak selepas tahun 1978, apabila Pas ditendang keluar dari BN, penyertaan Pas dalam misi berkenaan adalah pertama kali parti itu duduk bersama Umno yang dimulakan dengan himpunan solidariti Rohingya. Seperti mana yang berlaku himpunan solidariti Rohingya di Taman Tasik Titiwangsa tempoh hari ianya telah dipolitik bagi menggambarkan wujud kerjasama di antara buah parti bertentangan itu.

Justeru bagi Umno dan Pas pelayaran itu bukan sesuatu kebetulan atau bertolak dari keikhlasan tanggungjawab, melainkan ia sebuah projek yang digubah begitu indah sekali untuk menampakkan bahawa wujud persefahaman di antara keduanya. Baik Najib atau Tuan Ibrahim memahami bahawa bukan perkara mudah untuk meletakkan kedua parti itu dalam satu bekas. Maka, kapal Nautica Aliya digunakan untuk menterjemahkan secara simbolik misi kerjasama itu.

Berkali saya katakan bukan tidak setuju Umno dan Pas merapatkan saf, untuk sama-sama membangunkan nusa, bangsa dan agama, tetapi biarlah ia dilakukan secara terus terang. Dengan cara yang dilakukan sekarang, yang boleh disifatkan cuba mencari sesuatu benda dalam gelap menyebabkan ia mengelirukan ahli dan penyokong. Umno dan Pas harus dedahkan maksud mereka yang "sengoti".

Bagi orang yang tahu membaca dan berfikir, misi yang dibawa oleh kapal itu bukan misi kemanusiaan Rohingya sahaja, tetapi misi persefahaman di antara Umno dengan Pas. Seperti mana kata Najib di atas kapal itu orang Umno sama banyak dengan orang Pas. Bagi mereka yang celik politik dan cepat menangkap kilau dalam kilat dapat memahaminya. Hujung pelayaran kapal itu dapat diteka.

Walaupun di atas kapal itu tidak ada pemimpin kanan kedua-dua parti berkenaan, tetapi ia cukup dengan adanya wakil kedua parti itu berlayar membawa misi dan harapan bersama. Ia adalah simbolik. Pelayaran itu bagi memantapkan persefahaman dan saling mengenali hati budi. Mungkin semasa anak buahnya berlayar malam di lautan Andaman, pimpinan tertinggi kedua buah parti sedang merangkakan gagasan persefahaman lebih konkrit lagi.

Jadi apa yang dapat saya tafsirkan dengan misi kemanusiaan Food Flotilla for Myanmar itu mempunyai dua maksud; selain untuk kemanusiaan Rohingya ia juga adalah untuk kedua parti itu. Bolehlah dianggap pelayaran selama 18 hari itu membawa bersama harapan sesetengah pemimpin Pas dan Umno yang merintis haluan untuk Piraum akan datang.

Mudah-mudahan ia berjaya seperti diharapkan. Sama ada pelayaran berkenaan membuahkan hasil dan persefahaman yang lebih padu lagi, kita tengok kepada program Himpunan RUU 355 yang akan diadakan 18 Februari kelak. Himpunan itu akan menjadi testimoni kedua apakah kerjasama Pas Umno kononnya atas dasar kepentingan bangsa dan agama itu akan terheret sama ke dalam kerjasama politik.

Himpunan 18 Februari kelak akan menjadi indikator bagi kedua parti itu menentukan garis akhir untuk Piraum akan datang. Sukacita saya menyeru agar ahli dan penyokong kedua-dua parti berkenaan menunjukkan sokongan mereka terhadap himpunan itu kelak. Himpunan itu bolehlah dianggap sebagai referendum untuk membolehkan pemimpin kedua-duanya khasnya Pas membuat keputusan muktamad.  [wm.kl.6:20 pm 04/01/16]

No comments: