Wednesday, February 15, 2017

Mahathir, Nurul Izzah rasmikan perdamaian demi negara

PERISTIWA RASA

Nurul Izzah dan Dr Mahathir atas pentas berforum.
Kehadiran penasihat Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir Mohamd bersama isteri Siti Hasmah Mohd Ali di majlis makan malam "Jamuan Raih Dana Demi Negara" anjuran Parti keADILan Lembah Pantai malam tadi membawa makna tersendiri dalam genta rasa politik.

Kehadiran Dr Mahathir dalam majlis anjuran Puteri Reformasi, Nurul Izzah Anwar itu adalah pertama kali, ia membawa makna yang tersendiri dalam suasana politik negara waktu ini amnya dan bagi kedua-dua tokoh itu khasnya. Peristiwa lalu yang telah dihadapi dan dirasai mereka (dalam situasi berbeza) menyebabkan pertemuan malam tadi suatu citra baharu bagi mereka.

Walaupun sebelum ini Nurul Izzah pernah bersua muka atau bersalaman dengan Dr Mahathir tetapi peristiwa semalam boleh dianggap "perdamaian" rasmi di antara keluarga Anwar dan Dr Mahathir PM 22 taahun, antara Reformis dengan pemimpin regim yang dianggap memeranakan hidup Anwar.

Majlis malam tadi sungguh indah dan harmonis itu berlangsung di Dewan Persatuan Hainan Selangor dan Wulayah Persekutuan.
Saifuddin, Hannah dan Husam ahli forum.
Kehadiran Dr Mahathir itu bukan sahaja memberi ruang untuk mereka bersemuka, sebaliknya lebih penting untuk disaksikan oleh khalayak politik negara ini.

Keharmonian majlis itu juga akan ditafsirkan oleh rakyat sebagai satu moment penting yang sangat didambakan, bukan sahaja oleh kedua pihak tetapi seluruh rakyat.

Ini kerana pertautan semula hubungan mereka yang terputus sebelum ini, selama hampir dua dekad sangat dinanti-nantikan khasnya oleh mereka mempercayai dan menyakini yang negara ini boleh dipulihkan dari kesakitan hampir nazak di bawah pemerintahnan Najib Razak kini apabila bersatunya Mahathir - Anwar.

Sebahagian yang hadir majlis Makan Malam Raih Dana.
Majlis malam tadi yang saya menterjemahkannya sebagai majlis "tautan kasih" anak beranak yang berpisah kesekian lama turut menghuraikan beberapa ketidakan jelasan atau pun menyapu tanya tanya yang kesekian lama tergalang dalam kepala kedua pihak dan jua orang ramai ekoran tragedi silam.

Dan tidak terlampau kalau saya katakan, majlis berlangsung dalam semangat Tahun Baru Cina itu, yang mana tahun ini jatuh tahun Ayam, membuka suara (kokokan) baharu buat kedua-duanya dan pendokong masing-masing.

Teringat kata terjemah Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memberi makna dan pengertian kepada Tahun Baru Cina kali ini yang jatuh kepada tahun Ayam; katanya Ayam membawa kokokkan yang menandakan akan terbitnya Fajar. Bagi Wan Azizah tahun ini adalah tahun yang dimulai dengan Fajar baharu yang membawa tuah. Dan salah satu tuah itu saya lihat ialah bertemu semulanya antara keluarga Anwar dengan Dr Mahathir.

Lebih bermakna lagi tuah tahun yang dibawa oleh Ayam itu bukan sahaja buat Izzah keluarganya dan Mahathir, tetapi ia ditumpangi seluruh rakyat yang cintakan kedamaian dan mahu melihat negara selamat dari kebobrokan. Tuah inilah yang lebih bermakna. Hidayah yang tersuluh dalam hati Dr Mahathir itu juga satu hadiah besar kepada Anwar kerana ia boleh disifatkan Dr Mahathir telah mengakui kesilapannya (apologetik).

Baik Nurul Izzah maupun Dr Mahathir, apa yang memungkin mereka duduk bersama, bukan kerana lain melainkan kerana negara. Tema majlis malam tadi, "Raih Dana Demi Negara" kebersamaan mereka juga kerana negara. Baik Dr Mahathir maupun Izzah, (Anwar) dan keluarga mereka rela melupai peritiwa silam demi negara. Kesediaan melupai tragedi lepas yang menyayatkan hati itu menunjukkan mereka semua berjiwa besar. Jiwa dan pengorbanan seperti inilah yang diharapkan oleh rakyat untuk membina negara.

Memang tidak dapat dinafikan apa yang sudah berlalu masih terasa dan terdampar di hati. Peristiwa lampau tidak enteng untuk dilupakan begitu sahaja. Penderitaan dihadapi Anwar Ibrahim dan kesan ditanggung oleh kaum keluarganya serta pendokongnya sangat parah sekali. Beliu adalah satu-satu  pemimpin Malasyia yang menerima penderitaan dan keseksaan paling teruk. Sebab itu saya pernah menganologikan Anwar adalah seorang pejuang lakasana Nabi-nabi bergelar Ulu azmin. 

Apa yang berlaku di era Dr Mahathir kepada Anwar dan rakyat menyebabkan orang tidak fikir bahawa Anwar suatu hari akan bersama Dr Mahathir. Kunjungan Dr Mahathir ke mahkamah semasa Anwar hadiri untuk satu perbicaraan 10 Februari lalu adalah kunjungan mencemar duli oleh Dr Mahathir kali kedua.

Bukan sahaja anak-anak dan isteri Anwar pedih dengan kejadian itu, tetapi pendokong Anwar juga masih terasa kesakitannya. Sampai ke saat ini masih ada reformis yang tercalar meninggalkan parut kerana cota polis dalam mempertahan dan membela Anwar. Makanya perdamaian itu tetap tidak bisa melupakan segala-galanya. Bak kata orang jika luka darahnya sudah kering tetapi parut masih ada.

Saya sendiri menyaksikan majlis malam tadi dengan bauran seribu rasa. Saya menganggap majlis malam tadi bukan sekadar meraih dana demi negara,tetapi ia penaka sebuah majlis makan malam sebuah keluarga besar yang lama tidak berjumpa.  Ia juga terjemahan kepada pertemuan 45 minit Dr Mahathir dengan Anwar semasa di bilik saksi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Dipertemuan itu mereka sempat makan bersama bekalan dibawa Azizah. Anwar makan nasi goreng manakala Dr Mahathir makan lepak pisang, kueh kegemaran Anwar.

Kehadiran Dr Mahathir dan Siti Hasmah itu adalah sebuah kepulangan, disambut bagaikan datuk dan nenek oleh sekalian anak-anak dan cucu cucunya. Lebih manis dan bermakna lagi yang turut hadir mengelilingi Dr Mahathir dan Siti Hasmah di meja utama bukan sahaja, Izzah, tetapi turut sama Husam Musa, Saifuddin Nasution Ismail, Hannah Yeoh dan lain-lain. Mereka adalah cucu-cucu atau anak-anak yang pulang dari jauh untuk sama-sama meraikan atuk dan nenek mereka di rumah Nurul Izzah.

Ralik mendengar forum dihoskan Izzah dan Dr M.
Sebenarnya bukan sahaja saya yang yang teroleng dengan perasaan demikian. Sebahaian daripada kira-kira 300 orang yang hadir juga turut saya percaya turut berasakan demikian. Semua teruja dengan kehadiran Dr Mahathir dan Siti Hasmah. Begitu Dr Mahathir dan isterinya itu sampai di perkarangan tempat berlangsung majlis itu orang ramai menyerbu untuk bersalam dan bergambar dengan kedua mereka.

Semasa Dr Mahathir dijemput untuk naik ke pentas bagi melansungkan forum ke dua bertajuk; "Bebaskan Malaysia Daripada Kleptokrasi" laungan slogan keramat Reformasi.. Reformasi.. Reformasi.. bergema memenuhi dewan Thean Hou Temple mengiringi perjalanan Dr Mahathir menuju ke pentas. Laungan itu berakhir setelah Dr Mahathir mengambil tempat duduk di pentas bersama Izzah.

Tatakala mendengar laungan itu hati saya terusik lalu mengembalikan kenangan kepada apa yang berlaku 18 tahun lalu. Laungan Reformasi itu bergema di seganap sudut dan ruang di ibu kota Kuala Lumpur dan ia menjadi acara rasmi di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Setiap Sabtu para demostran memperjuangkan Reformasi akan berkumpul menunjukkan perasaan sambil melaungkan Reformasi. Saat gema itu memecah ruang angkasalah, selalunya Wan Azizah bersama anak-anaknya dengan menaiki kereta yang dibuka bumbungnya akan lalu sambil melambai-labaikan tangan penuh semengat.

Di celah-celah laungan itu juga akan bergema laungan Undur Undur, Mahathir Undur... mendesak agar Dr Mahathir orang bertanggungjawab mengurungkan Anwar dalam penjara agar meninggalkan takhta kekuasaanya sebagai PM. Ratusan sepanduk dan banner dengan kata-kata mengecam dan mengutuk Dr Mahathir diangkat di sepanjang jalan itu.

Untuk beberapa saat tatkala mengimbau laungan Refomasi oleh segenap yang hadir terdiri Melayu, Cina dan India itu saya seakan terbawa semula ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Selepas saya tersedar kenapa laungan Undur Undur Mahathir Undur tidak kedengaran baharu saya tahu bahawa, laungan malam tadi hanya pembangkitan semangat yang mungkin dituju kepada Dr Mahathir bagi mengingati kepadanya peristiwa 18 tahun lepas.

Kerana berada agak jauh di belakang dari temnpat Dr Mahathir berjalan menuju ke pentas, saya tidak dapat melihat mimik wajah Dr Mahathir sepanjang laungan itu bergema. Hanya dalam memberi ulasan pada forum itu, beliau ada menyebut, kata-kata bermaksud;  "kita lupa peristiwa lepas, lupa Reformasi, sebaliknya apa yang penting kita tumpukan kepada usaha untuk menyelamatkan negara, menjatuhkan kerajaan kleptokrasi."

Nurul Izzah pula sebagai menggambarkan dia sedia untuk bersama Dr Mahathir dan sebagai tanda melupai segala kesedihan lalu, memperakui, pertama kali dia mendengar ungkapan Kleptokrasi, adalah daripada mulut Dr Mahathir Mohamad. Suatu situasi yang agak menyebakkan hati yang dan jiwa halus pada malam semalam ialah tersaksinya macam mana Nurul Izzah meenghulurkan segelas air kepada Dr Mahathir apabila Dr Mahathir terbatuk-batuk kecil seakan kekeringan tekak.

"Inilah pertama kali saya menerima huluran air daripada Nurul Izzah," begitulah kata dan balas Dr Mahathir jika saya tidak silap mendengarnya. Kejadian spontan itu menyerlahkan kemesraan antara dua insan seakan sang cucu dengan datuknya yang sedang melepaskan rasa rindu kerana lama berpisah dan berdendam. Iya kalau Izzah dan keluarga besar Anwar boleh melupai kedihan lalu angkara Dr Mahathir kerana demi negara kenapa tidak dengan kita? [wm.kl.5:37 pm 15/02/17]

No comments: