Wednesday, April 5, 2017

Shafei sedang rintis jalan untuk lakari sejarah

CATATAN SABAH (2) 

Shafei cetus fenomena di Sabah.
Mampukah Mohd Shafei Afdal melakari sejarah yang dicatat oleh Harris Salleh dan Fuad Stephens pada tahun 1975 dan Jesoph Pairin Ketingan pada tahun 1985 yang menggoncangkan dua kerajaan Sabah ketika itu.

Haris dan Fuad menumbangkan kerajaan USNO pimpinan Datu Mustapha Datu Harun 1975 manakala Pairin Ketingan pula tumbangkan kerajaan Berjaya pimpinan Harris Salleh 11 tahun kemudian pada tahun 1986.

Sementara kerajaan PBS pimpinan Pairin Ketingan pula tumbang 10 tahun kemudian ditangan Umno bersama lain-lain parti pada tahun 1994.

Proses menumbangkan ketiga-tiga kerajaan Sabah itu adalah melalui penubuhan parti baharu. Fuad Stephens dan Harris menubuhkan Barisan Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) manakala Pairin menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS). Kejatuhan PBS pula ekoran penubuhan -- pembawaan Umno ke Sabah yang berkolaborasi dengan beberapa parti baharu yang ditubuhkan secara instant.

Tidak perlu dijelas lanjut mengenai kronologi kejadian-kejadian berkenaan yang penuh dramatik. Secara umumnya sesebuah kerajaan di Sabah itu jatuh apabila berlaku perlompatan atau lari dari parti. Dalam konotasi politik ia dianggap sebagai strategi, tetapi dari segi moral dan demokrasi ia sesuatu pengkianatan sesama sendiri. Menariknya juga setiap kali kerajaan Sabah jatuh ia ada kaitan dengan penubuhan parti baharu yang didalangi oleh Kuala Lumpur?

Jadi ingatan

Sejarah dan moment-moment politik di Sabah itu tetap menjadi ingatan dan panduan. Berdasarkan kepada sejarah itulah juga, maka hari ini seluruh mata tertumpu kepada sosok bernama Mohd Shafei Afdal yang kini membangkit semangat baharu di Sabah. Beliau kini sedang bergerak dan menyusun strategi untuk mengambil alih kerajaan Sabah menerusi parti yang baharu diberikan nafas baharu bernama Parti Warisan Sabah (Warisan).

Shafei dan Warisan menjadi fenomena baharu di bumi di Bawah Bayu itu. Mereka yang kurang senang atau muak dengan cara Umno mentadbir Sabah selama 22 tahun menaruh harapan besar Warisan dan Shafei melakukan sesutau di negeri itu.

Untuk melihat sejauh mana kemampuan Shafei, tidak perlu dipersoalkan apakah tindakan beliau itu betul atau sebaliknya. Yang penting belau kini sudah bergerak ke arah itu dengan bersungguh-sungguh. Sebagai seorang pejuang (pahlawan politik) sudah tentu beliau ada cita-cita sendiri. Apabila beliau kecewa dengan Umno, kemudian keluar meninggalkan parti itu sudah tentu beliau perlu ada landasan atau wadah lain untuk meneruskan perjuangan untuk suku kaum dan negerinya. Apa dilakukan Shafei adalah fitrah manusia yang ada jiwa dan roh.

Persoalan kini dan menjadi perhatian umum baik di Sabah maupun di Semenanjung apakah Shafei  dan Warisan mempunyai kekuatan dan pengaruh untuk melakukan kejutan seperti mana dilakukan Haris Salleh, Fuad Stephens, Pairin Katingan atau Sakaran Dandai?

Tentang perkara ini ada pendapat pro dan kontra. Ada yang optimis Shafei dengan partinya itu mampu melakukannya dan mengulangi tiga sejarah lampau itu. Dalam Piraum ke 14 nanti ada pemerhati yakin Warisan bersama parti pembangkang di luar BN akan menenggelamkan Umno-BN di Sabah.

Tempoh peralihan

Jika diperhatikan perubahan kerajaan-kerajaan di Sabah berlaku dalam tempoh satu dekad. Kerajaan USNO bertahan selama lapan tahun sahaja. Kerajaan Berjaya pula sembilan tahun. Manakala kerajaan PBS genap 10 tahun. Umno kini sudah melewati tempoh peralihan itu apabila ia kini sudah berusia 22 tahun. Tempoh dilalui UBN dikira sudah expired jika diamabil pedoman kepada sejarah perubahan itu.

Bagi mereka yang yakin Sabah akan tumbang dan Warisan menjadi parti dominasi kerajaan baharu itu mengira Umno Sabah kini dilanda perpecahan yang teruk. Tertubuhnya Warisan yang diketua Shafei sebelum ini Naib Presiden Umno menjadi modal utamanya. Sebab itu ada pendapat mengatakan Umno akan menerima nasib sama seperti USNO, Berjaya dan PBS.

Pun begitu pendapat dan tanggapan itu ditolak oleh pihak lain. Seorang penulis politik Sabah Musli Oli, (foto) menyanggah pendapat atau hipotesis itu tidak mempunyai fakta. Menurutnya Umno Sabah tidak dalam keadaan kritikal ekoran tindakan Shafei itu. Situasi hari ini katanya berbeza semasa zaman USNO, Berjaya dan PBS duhulu dimana kerajaan dokongan parti-parti itu berkecai apabila berlaku tindakan keluar parti dari kalangan tokoh-tokoh parti tersebut kemudian menubuhkan parti baharu. Bagaimana pun hal itu tidak berlaku dalam Umno Sabah.

Katanya, apa yang berlaku di Sabah berbeza dengan apa dialami ketiga-tiga parti itu kerana yang keluar Umno hanya Shafei seorang sahaja. Tidak ada mana-mana ketua bahagian atau tokoh penting lain bertindak keluar meninggalkan Umno bagai menyokong Shafei. Bagi Musli tindakan Shafei itu tidak memberi impak besar sehingga boleh menggelorakan politik Sabah apa lagi menyebabkan terjunamnya kerajaan UBN.

Pro kontra itu mungkin kita boleh jadikan pandangan untuk merumuskan penilaian sendiri yang lebih liberal dan terbuka. Apa lagi kita orang di luar Sabah sukar untuk membuat penilaian secara hakiki kita tidak hadir sendiri melihat keadaan dan suasananya semasa di Sabah. Apa digambarkan dalam tulisan pasti berbeza apa yang dilihat dan dirasai sendiri.

Jika dilihat kepada beberapa majlis penerangan kewujudan Warisan oleh Shafei mungkin membuat persepsi berbeza daripada apa dihujahkan Musli tadi. Apabila kita melihat dari jauh, jelas sambutan dan program anjuran Shefei memanasi suasana di Sabah kini. Tetapi sdr Musli ada kayu pungkurnya sendiri dan beliau lebih arif dengan kerencaman dan kesenian politik Sabah.

Bagi saya perkembangan yang tidak boleh diketepikan bahawa berlaku satu cetusan ombak perubahan di Sabah mutakhir kini bukan saya tertunjuk kepada sambutan rakyat Sabah kepada Shafei semata-mata tetapi kepada beberapa indikator lain juga. Salah satu ialah kemeriahan dan perang media sosial yang membabitkan orang Sabah. Keterbukaan ruang siber hari ini memberi satu kesan baharu kepada politik di negara ini termasuk di Sabah, dan gejala ini juga mempengaruhi suasana.
Bagi kita yang dari kejauhan untuk merasai kehangatan suasana di Sabah yang dicetuskan Shafei cukup memerhati kepada majlis sambutan kepulangan Shafei selepas beliau dipecat dari kabinet. Puluhan ribu masyarakat Semporna hadir memberi sokongan dan solidariti kepadanya. Jangan dilupa bahawa Shafei merupakan anak saudara kepada tokoh politik Sabah tidak asing iaitu Sakaran Dandi dimana sisa pengaruh Sakaran yang pernah menjadi Ketua Menteri dan Tuan Yang Dipertua, sudah pasti akan memihak kepadanya.


Begitu juga dengan sambutan terhadap beberapa majlis penerangan memperkenalkan Warisan sekaligus agenda baharu Sabah yang diadakan mendapat sambutan hangat terutama di kawasan Sabah Utara. Pusingan awal siri jelajah memperkenalkan Warisan oleh Shafei berakhir di Papar.

Bahawa di Sabah kini sedang berombak perasaan dan semangat untuk menumbangkan kerajaan UBN tidak dapat disangkal. UBN akan kecewa kalau mereka tidak mempedulikan fenomena ini. Apa lagi kalau pandangan Musli itu dijadikan pegangan utama yang akan memberi kesan buruk kepada UBN Sabah. Kini semacam ada persefahaman dan penyatuan di kalangan parti-parti pembangkang. Itulah yang dapat dirasai.

Semasa kunjungan saya ke Sabah dua tiga hari lalu, hari pertemuan dengan beberapa pemain politik utama Sabah mendapati semangat dan kesatuan nampak jelas sekali. Satu perkara kalau Umno tidak berhati-hati parti itu akan terperangkap dalam permainan yang menakutkan seperti terjadi beberapa kali sebelum ini. Dari sudut mata saya tiadak ada kemustahilan ianya akan berlaku.

Setidak-tidaknya ada tiga parti pembangkang yang menunjukkan kesediaan mereka untuk berganding bahu dan duduk bersama bagi menghadapi Umno dalam Piraum akan datang. Parti-parti itu ialah Parti Cinta Sabah (PCS) yang dibawah pimpinan Alfred Bamburing, Parti Star pimpinan Dr Jeferry Ketingan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sebuah parti Cina. Sementara ada beberapa parti kecil lagi menyatakan hasrat bersama.  Parti-parti ini akan bergabung dengan Parti Warisan Sabah.

Walaupun waktu ini tidak wujud ikatan pembangkang yang konkrit di Sabah secara rasmi seperti di Semenanjung -- Pakatan Harapan mengandungi empat buah parti PKR, DAP, Amanah dan PPBM, tetapi jalan ke arah itu nampak jelas. Para pemain utama politik di Sabah di kalangan pembangkang sudah ada perbincangan. Khabarnya mereka sedang mencari formula untuk menuntaskan persepakatan.

Penolakan Shafei untuk tidak menggabungkan Warisan ke dalam Pakatan Harapan sudah tentu ada rahsia besar. Setidak-tidak penolakan itu boleh diterjemahkan bahawa semangat Sabah untuk orang Sabah yang dibawa kini bakal merubahkan keadaan dan slogan itu menjadikan Umno parti dari Semenanjung itu terjempit.

Apa yang diketahui parti-parti pembangkang di Sabah seakan sudah sekata untuk menyerahkan tanggungjawab utama kepada Warisan dibawah Shafei Afdal. Dalam erti kata lain Shafei akan menjadi kapten untuk mengendali armada bagi menenggelamkan UBN Sabah.  Bersambung. [wm.kl.2:13 pm 05/04/17]

2 comments:

Al said...

Anda benar saudaraku, perlu di ingat sekiranya ada keseoaka di antara Muslim, non Muslim dan orang cina utk duduk dlm satu parti inilah resepi utk menumbangkan parti gergasi, seperti umno. Dan kesepakatan itu ada dlm warisan.

Mali Bin Muyung said...

Shafie daro suku Bajau/ Suluk. Dari segi logik tentu pendatang tanpa izin yg d beri paspot untuk mengundi cenderung menyokong SA.
Bila lagi nsk dpt suku sendiri jafi KM.
Betdasarkan senario ini couple with sokongan pafu kaum Bumi Sabah, Insha Allah Sabah akan jatuh.
Enough with umno.