Monday, April 3, 2017

Sabah di bawah Umno tidak banyak berubah?

CATATAN SABAH (1)

Bersama Ustaz Halim Abbas "Pengembara Dakwah".
Agak lama juga saya tidak ke Sabah. Rasanya sudah lebih dua tahun. Kali terakhir saya ke Negeri Bawah Bayu itu ialah pada tahun 2015. Paling kerap saya turun naik ke Sabah ialah tahun 2013, sebelum Piraum ke 13. Paling lama saya ke Sabah dan menjelajah beberapa daerah ialah semasa kejadian pencerobohan di Lahad Datu, beberapa bulan sebelum itu.

Dalam kunjungan itu saya memulakan perjalanan dari Kota Kinabalu, Papar, Beaufort. membawa ke Kudat, Sandakan, Semporna dan titik di Tawau.

Selalunya kunjungan saya ke sana berbeza dengan kunjungan orang lain. Selalunya orang ke Sabah untuk berihat dan melancung. Menikmati alam semula jadinya yang masih utuh dan indah terdapat di negeri berkenaan. Kundasang atau Gunung Kinabalu atau perairan di Timur Sabah adalah tempat yang menjadi tumpuan. Sungai, bukit bukau serta gunung menjadi idaman orang untuk merasai dan memelukinya.

Selain untuk meyatukan diri dengan alam semula jadi, berselfie dengan Oran Utan, Mawas dan sebagainya, kunjungan ke Sabah juga untuk menikmati makanan laut sepuas-puasnya. Di Sabah kaya dengan pelbagai makan laut; ikan, undang ketam, segala macam rumput rumpai dan sebagainya. Harganya murah dan kita memperolehi makanan yang segar, yang sukar untuk didapati di Semenanjung. Tentang elergik dan gout lupakan sahaja...

Selalunya kalau saya ke Sabah membawa dua misi yang tidak dapat dipisahkan dengan hidup saya. Melihat dan meninjau perkembangan umat Islam di sana serta kemajuannya, dan kedua melihat perkembangan suasana dan senario politik. Dalam meninjau keadaan umat Islam sudah pastilah akan menziarahi ke penempatan atau perkampungan pendatang tanpa izin (Pati) Filipina yang berselerakan di Sabah yang jumlahnya sudah di luar hitungan umum.  Ada seloka mengatakan mereka sama ramai dengan penduduk asal Sabah?

Apa lagi di saat-saat Piraum ke-14 di ambang ini saya berasakan perlu untuk saya menjejaki kaki sendiri di sana melihat dengan seluruh indera diri dan nafas. Perkembangan terkini politik Sabah dan dawkaan akan berlaku kejutan dan perubahan di Sabah dalam Piraum ini merujakan lagi untuk saya ke Sabah. Kewujudan parti-parti baharu seperti Warisan pimpina Shafei Afdal, Parti Cinta Sabah dan lain menambahkan lagi rasa ingin ke sana.

Bagi saya politik di Sabah sesuatu yang unik dan tersendiri di mana ia tidak ada kedapatan di negeri-negeri lain. Dari satu sisi di sebalik kerencaman politik Sabah yang penuh dengan lenggang lengguk dan sepak terajang kemunafikannya, ia ada beberapa kelebihan yang boleh dipelajari. Politik di Sabah itu sendiri banyak dibentuk dan dipengaruhi oleh geografi alam semulajadinya. Bagaimana perbezaan muka alam Sabah dengan negeri-negeri lain di Semenanjung begitulah juga kelainan rentak dan irama politiknya.

Maka walaupun ia dilihat sebagai kurang moral (tidak boleh dipercayai) jika direnung dari sudut kamus siasah Islam, tetapi ada elemen-elemen yang boleh dipelajari terutamanya dari aspek keberanian dan kesanggupan masyarakat Sabah melakukan perubahan secara drastik.

Kepelikan juga walaupun masyarakat Sabah ada ratusan suku ethnik tetapi mereka mampu untuk menyatukan diri melakukan perubahan atas matlamat bersama. Mereka tidak suka kepada penindasan, penganiayaan dan diskriminasi melampau. Sempadan ethnik akan dilanggari kalau hak-hak asasi kemanusiaan mereka dicerobohi.

Perkara paling menarik ialah macam mana politik di Sabah bergelora (secara puratanya) setiap 10 tahun sekali. Kerajaan akan bertukar silih berganti dan tidak salah kalau dikatakan Sabahlah negeri yang kerap melakukan pertukaran kerajaan dan pemimpin di Malaysia ini. Negeri yang politiknya seperti misterius dan agresif. Kali ini katanya giliran Umno akan diubah.
 
Perkembangan Islam atau gerakan dakwah di Sabah ini berkembang selari dengan suasana dan wajah politiknya. Dari satu sisi ia semacam ada kesenimbungan atau berhubung kait pula di antara satu sama lain. Ini memahamkan kita bahawa politik Sabah turut memainkan peranan penting dalam arena dakwah dan pengembangan sosio budaya dan sisio agamanya. Soalnya sejauh mana politik dimanfaatkan untuk memajukan umat Islam dan rakyat Sabah.

30 tahun lalu.

Datu Mustapa Datu Harun
Saya masih ingat pertama kali saya berkelana di Sabah tahun 1986, kira-kira 30 tahun lepas. Pemusafiran saya itu mahu melihat perkembangan Islam dan nasib umatnya. Ketika itu pemerintahan Sabah baharu bertukar tangan dari sebuah kerajaan dipimpin oleh pemuka Islam (Berjaya) kepada pemuka Kristian (PBS).

Peralihan ini sangat kontradik dan memilukan. PBS yang merupakan parti dominan Kadazan-Duzun berjaya mengambil alih kerajaan Berjaya dibawa pimpinan Allahyarham Fuad Stephens dan Haris Salleh yang sebelum itu berjaya menumbangkan kerajaan pimpinan Datu Mustapha Datu Harun.

Walaupun sebelum itu kerajaan USNO pimpinan Datu Mustapa tumbang tetapi penggatinya Berjaya masih dilihat kerajaan Sabah didominasi orang Islam, kerana pemimpin utamanya beragama Islam. Ramai mengira Berjaya akan meneruskan perjuangan USNO dalam konteks Islamnya. Ironisnya selepas tumbangnya Berjaya (1985) ke tangan PBS ia dilihat satu kemalangan kepada perkembangan Islam di negeri itu.

Satu tanggapan sangat negatif perubahan kerajaaan Sabah dari Berjaya kepada PBS, sebagai nasib malang buat umat Islam dan perkembangan Islam di negeri itu. Tabir Islam menjadi hitam selepas PBS berkuasa. PBS yang dipimpin oleh Jespoh Pairin Ketingan yang kemudian menjadi Ketua Menteri dilihat parti dominasi Kadzan-Dusun yang menekan atau menghalang kemajuan Islam di Sabah.

Apa lagi kedudukan Pairin dikatakan sebagai salah seorang ahli Majlis Gereja peringkat dunia (Pasifik) menjadikan prejudis itu semakin melebar. Kerajaan Pairin didakwa telah menyekat kegiatan Islam dan memberi ruang begitu luas kepada pengembangan Kristinisasi di Sabah.

Dari kacamata umat Islam pula baik di Sabah maupun di luar, kehilanagn Datu Mustapa yang ditumpaskan oleh Berjaya sebagai kemalangan ngeri buat Islam. Kebetulan beliau adalah tokoh Islam dan penggerak Islam nombor satu di Sabah. Kehilangan itu memberi kesan besar dan kejayaan PBS itu mengacam kemajuan Islam menyebabkan sedikit sebanyak timbul rasa kesal atas tindakan Haris Salleh dan Berjaya.

Bertolak dari situasi itu sambil penerimaan maklumat Islam ditekan dan Krisitan semakin meluas, mengundang atau membuka minat saya untuk melihat sendiri keadaan di Sabah kira-kira 30 tahun lepas.

Hasil pemergian dan tinjauan saya itu saya membuat laporan bersiri dalam akhbar tabloid Mingguan Islam. Kalau tidak salah ingatan selama dua bulan berturut-turut laporan itu dimuatkan. Laporan saya itu tidak disenangi oleh sesetengah pihak menyebabkan akhbar berkenaan turut diancam. Saya sendiri pernah menerima kiriman Bible.

Untuk mendapat maklumat mengenai perkembangan Islam serta tekanan yang mula dirasai apabila Sabah diambil oleh PBS, saya menemui beberapa orang ahli politik Sabah dan juga mereka yang diberi tanggungjawab mengendalikan Majlis Islam Sabah (MUIS). Antaranya ialah Dzuklifi Ahmad yang mesra dipanggil Datuk Zul yang ketika itu menjadi pengerusi MUIS, kalau tidak silap.

Selain itu beberapa orang penggerak Islam di peringkat kawasan juga saya temui dan mendapat maklumat daripada mereka. Beberapa orang imam atau pendakwah asli Sabah serta peniaga juga sempat saya tinjau pemikirannya.

Signboard menuju gereja lebih besar dari singbord pondok.
Tidak lupa juga saya menemui pemimpin masyarakat Islam lain termasuk mualaf dan masyarakat China Islam asal yang bermastautin di Sabah. Begitu juga dengan beberapa orang pelarian Filipina yang berketrampilan dalam bidang agama dan dakwah.

Pondok "Transit Hidayah" di Kiulu.
Memang apa yang tersaksi oleh saya waktu itu keadaan Islam di Sabah menyedihkan, berbanding dengan perkembangan Kristian. Baik dari segi kebajikan dan juga prasarana seperti pembinaan surau, masjid jika dibanding dengan gereja. Aktiviti kebajikan dilakukan Kristian jauh lebih baik berbanding dengan kebajikan Islam.

Para Mubaligh Kristian bergerak agresif dan jauh ke pedalaman, menurun bukit dan mendaki gunung menyeberangi sungai untuk memberi didikan dan menyebar agama Kristian kepada penduduk di sana. Kemudahan juga disediakan.

Kepesatan pengembangan agama Kristian ini berlaku bukan kerana kemudahan diberikan kepada pihak Kristian tetapi ia juga disebabkan kelemahan umat Islam itu sendiri yang pasif atau pun tidak pernah mengubahkan pendekatan untuk memahamkan masyarakat Sabah dengan Islam dengan baik.

Tentulah sebagai seorang Islam terasa dengana apa yang berlaku di Sabah ketika itu. Mungkin kedhaifan  umat Islam sudah pun berlaku sejak lama dulu, tetapi apabila kerajaan USNO pimpinan Datu Mustapa ranap ia lebih menampakkan akan kedhaifan itu sementara tanggapan Islam ditekan nampak makin jelas.

Atas perasaan itu jugalah kejatuhan kerajaan PBS pada tahun 1994 dilihat satu pembelaan dan suatu kemujuran. Ia disambut dengan takbir Allahuakbar. Kehadiran Umno ke Sabah (1991) untuk mengganti USNO juga sebagai membantu umat Islam di Sabah sekaligus memperbetulkan kepincangan politik demorkasi pimpinan Jesoph Pairin Ketingan. Strategi halus dan menyalahi demokrasi dilakukan Umno tidak dianggap sebagai satu dosa kerana ia meletakkan maslahat lebih penting dari itu.

Tetapi malangnya peluang terbuka diberikan kepada Umno dengan Musa Aman menjadi Ketua Menteri kini, tidak banyak perubahan besar dilakukan untuk memajukan Islam dan mengubah nasib umatnya terutama pembelaan kepada mualaf. Dalam erti kata lain kerajaan Umno-BN di Sabah masih tidak berjaya meloloskan diri untuk memperjuangkan kepentingan Islam di Sabah mengikut skla sepatutnya.

Ini semacam pengorbanan besar Semenanjung ketika itu Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim untuk menumbangkan PBS tidak dihargai atau diambil kesempatan sebaik mungkin. Lebih malang lagi usaha dan pengorbanan Dr Mahathir dan Anwar itu dikecam ke belakangan ini hanya kerana untuk dijadikan modal politik murahan.

Kelemahan paling besar Musa dan ini rata-rata diperkatakan oleh rakyat Sabah, khasnya pemerhati politik beliau lebih mementingkan perniagaan daripada pentadbiran negeri. Beberapa orang tokoh politik Sabah yang sempat saya temui memperihalkan perkara sama. "Musa membina empayar kekuasaan bisnesnya bukan membina empayar kemakmuran Sabah", demikian ulas seorang pemerhati. "Musa mahu menjadi Taib Mahmud seperti di Sarawak," celah yang lain pula.

Tidak berubah

Apabila saya sampai ke Sabah bersama isteri sebagai pembantu 30 Mac lalu dan memasuki ke beberapa kawasan pendalaman di daerah Tuaran, Tamparuli, Kota Belud dan meninjau ke perkampungan Kiulu, Pukak nampak perkembangan Islam di sana masih lembab dan tidak banyak berubah berbanding masa 30 tahun lampau.

Hari ini walaupun Sabah diperintah oleh Umno, setelah mengambil alih daripada PBS tahun 1994 namun kepesatan Islam masih sama belum dapat dibanggakan. Sosio agam masih ditakah lama. Seperkara lagi kehadiran parti agama (Pas) ke Sabah sejak pertengahan tahun 2000 tidak banyak memberi sumbangan kepada kepesatan dakwah di Sabah. Cara parti itu berpolitik membawa budaya Semenanjung, khasnya Kelantan dan Terengganu menyebabkan Pas hanya membiak dalam kelompok yang sama.

"Saya lihat Pas hanya mengajar pakai juban dan kopiah sahaja kepada orang Sabah," demikian tutur seorang ahlinya yang kini berhijrah kepada Parti Amanah Negara kerana berbulu dengan politik ikan keli dalam besen Hadi Awang.

Justeru perkembangan dan kemajuan Kristian lebih ketara dan menyerlah. Dilihat dari segi syiar pembinaan gereja (sebenarnya papan tanda) berbanding dengan surau dan masjid jauh ketinggalan. Perjalanan dari bandar Tuaran, Tamparuri ke Kota Belud memanjat bukit bukau memasuki ke beberapa kampung di Kiulu, Pukak dan lain-lain menjelaskan akan kemajuan penyebaran syair Kristian. Di sepanjang perjalanan kiri kanan kita dapat menyaksikan pampangan papan tanda (signboard) menunjukkan arah gereja.

Setiap setengah kilometer perjalanan akan ternampak papantanda gereja. Pemasangan papan tanda itu menjelaskan kepesatan dakwah Kristian. Keseragamannya juga mencerminkan bahawa misi dakwah Kristian di Sabah dibuat secara sistemetik. Gereja hanya kecil sahaja, tetapi papantandan sebesar gergasi.

Ia berbeza dengan papan tanda masjid atau surau yang jelas sekali tidak sekata dan ini memberi gambaran ianya tidak dilakukan secara sistemetik. Selepas mata disoroti dengan puluhan papan tanda gereja baru ternampak tulisan kecil menunjuk arah masjid. Atau baharu ternampak menara atau bumbung masjid.

Dalam hitungan saya, nisbah atau kedudukan gereja dengan masjid di beberapa buah kampung yang sempat saya masuki ialah 8 : 2. maksudnya lapan buah gerja baharu ada dua surau. Keadaan ini lebih menyayukan lagi apabila saya diberitahu ada kalanya surau wujud, sewujud-wujudnya sahaja tetapi tidak ada jemaah. Masjid hanya dibuka pada hari Jumaat, itu pun jemaahnya kadang kala tidak mencukupi korum.

Sebuah surau di Pukak hanya didatangi oleh dua orang jemaah sahaja. Kadang-kadang kalau seorang uzur hanya seorang jemaah sahaja, yang seorang itulah tukang azan kemudian menjadi imamnya. Keadaan ini boleh dikatakan berlaku di mana-mana sahaja terutamanya di kawasan pedalaman. Dari gambaran ini tampak sekali surau dan masjid tidak diimarakkan.

Apabila menyedari ini timbul perasaan kesal yang menampakkan dimanakah peranan agensi dan badan-badan kerajaan dalam menyebarkan dakwah dan menghidupkan agama? Kegiatan agama lebih ditumpukan di kawasan bandar-bandar sahaja, tetapi kawasan luar bandar tertinggal langsung. Kelemahan ini juga dikaitkan dengan peranan kerajan khusunya Ketua Menteri yang ada sekarang ini. Khabarnya jarang sekali ketua menteri turun menyertai atau menganjurkan apa-apa aktiviti dakwah di pedalaman.

Kedaifan atau kemuraman dakwah dan kemajuan Islam di Sabah ini juga yang telah menarik dan merangsang para penda'i dari Semenanjung untuk datang berjihad di Sabah. Atas tanggungjawab Islam itu harus dibangunkan bersama, maka akhir-akhir ini telah datang ramai pendakwa ke Sabah. Mereka datang memberi bantuan ilmu dan kewangan dan setenganya berusaha membuka pondok dan kelas-kelas pengajian agama. Sasaran para pendakwah dari Semenanjung ialah di kawasan pendalaman yang setengah masyarakatnya masih belum dicambahi dengan tauhid.

Peranan Darul Arqam

Perlu disebut di sini, misi dakwah ke Sabah ini dimulai oleh Jemaah Darul Arqam yang ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad. Orang pertama yang dihantar ke Sabah oleh Arqam ialah Ustaz Abdul Halim Abbas. Semasa pertama kali saya ke Sabah dahulu Ustaz Halimlah dikenalkan kepada saya sebagai pendakwa Arqam yang terawal menjelajahi ke segenap pelusuk Sabah. Di bawah tangannya wujud markaz Arqam di Petagas yang menjadi pusat dakwah terbesar dan berjaya.

Mengejutkan saya setelah Arqam diharamkan oleh regim Dr Mahathir lebih 20 tahun, Abdul Halim masih meneruskan misi dakwahnya di Sabah. Beliau tidak pernah berputus asa meneruskan misi hidup dan tanggungjawabnya sebagai umat Islam. Bagi Abdul Halim sesiapa pun tidak bisa memancungkan jiwa Islam dan memadamkan api dakwahnya. Bagi saya beliau adalah sang Pengembara Dakwah.

Di rumah salah seorang pemuka Dakwah di Kiulu.
Dalam kunjungan kali ini saya sempat berjumpa dengannya dan meninjau ke beberapa pusat dakwah berupa pondok yang diusahakan olehnya. Mulanya saya fikir beliau berdakwah secara berekspidisi tanpa ada setesen, tetapi jangkaan saya meleset. Diam-diam dalam tanpa sedar saya dia berjaya menumbuhkan beberapa setesen atau pusat pengajian (pondo).

Sebahagian pelajar di Tarbiyatun Nissa.
Salah satu pusat ialah di Tuaran di mana dibuka pusat pengajian khasnya untuk kaum wanita yang dinamakan Tarbiayun Nissa terletak di Jalan Marabahai Tambalang II, Tuaran.

Saya memberi motivasi kepada pelajar Transit Hidayah.
Pusat yang dibangunkan dua tahun lepas itu hari ini menempatkan 20 orang pelajar semua perempuan terdiri dari saudara baharu atau pun mereka yang tidak peranah mengenali alam pendidikan, sekolah. Perasanan pusat ini bukan sahaja mendalamkan pelajar dengan ilmu (tauhid) Islam tetapi mereka juga diajar ilmu kehidupan untuk berdikari sebagai manusia.

Selain daripada pusat ini, beliau juga bersama beberapa orang kawan membuka sebuah pondok yang pengajian dan penempatan "Transit Hidayah" yang terletak dipinggir sebatang sungai di Nowai di Kiulu.

Sama seperti matlamat penubuhan pusat Tarbiyatun Nissa, pondok ini juga memberi peluang kepada anak-anak yang tidak berpendidikan untuk mengikut pendidikan Islam kemudian dilatih dan diasuh untuk terjun ke lapangan dakwah. Mereka datang dari berbagai daerah pendalaman termausk juga dari Filipina. Pengajian secara percuma. Apa diharapkan pelajar yang keluar dari Transit Hidayah ini akan menjadi penda'i untuk masyarakatnya suatu hari nanti.

InsyaAllah saya akan buat catatan khas atas usaha Ustaz Abdul Halim bersama isterinya Rosnani Untol, anak-anaknya dan rakan-rakannya itu dalam catatan lain.

Demikian perkembangan Islam dan kedudukan umat Islam di beberapa kampung dan kawasan pendalaman di Sabah masih belum membanggakan. Kemunculan Umno di Sabah sejak lebih 20 tahun tidak banyak merubah muka bumi Islam dan umatnya di negeri itu. Keadaan ini tentulah mengilankan kita. [wm.kl.10:40 am 03/04/17]

1 comment:

Mali Bin Muyung said...

Kami d Sabah panggil Musa Aman Vacuum Cleaner.
Memang betul apa yg d tulis. Dia x berminat untuk majukan Sabah.
Ada lah ironik sekali Sabah yg punya banyak natural resources tapi d kira negeri termiskin d Msia.
It just does not make sense at all.