Saturday, April 15, 2017

Rafizi tuntut Nasharuddin istyhar semua harta menerusi Akuan Bersumpah

KENYATAAN 

Tembak menembak dan serangan balas terus berlaku di antara Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan bekas Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa. Hari ini Rafizi membuat tuntutan baharu mengasak bekas Timbalan Presiden Pas itu agar membuat kenyataan bersumpah (Akuan Berkanun) mengistyharkan segala harta yang dimilikinya selama ini dan mendedahkan bagaimana pendapatan itu diperolehi serta termasuk yang disalurkan oleh pihak tertentu. 

Rafizi juga menuntut Nasharuddin mengityharkan pendapatan Yayasan Nassar yang dimilikinya sejak ia mula ditubuhkan hingga ke hari ini. 

Desakan Rafizi itu dibuat menerusi satu kenyataan media yang dikirimkan kepada blog ini baharu sekejap tadi. 
Semalam Nasharuddin menafikan tuduhan Rafizi menerusi Akuan Berkanunnya yang mendakwa bekas ahli Parlimen Bachok itu menerima wang dari dana 1MDB menerusi akaun peribadi Najib Razak. Nasharuddin menyifatkan pendedahan Rafizi itu berniat jahat dan berunsur fitnah.

Pendedahan dibuat Rafizi itu mengejutkan banyak pihak dan ia tidak disenangi oleh para pemimpin Pas. Beberapa pemimpin Pas cuba membela Nasharuddin dalam masa sama menafikan Nasharuddin tidak ada kaitan lagi dengan Pas. Bagaimana pun bekas Setiausaha Agung Pas yang kini Pengarah Pilihan Raya Pas Mustapa Ali masih membiru. Dipercayai beliau banyak mengetahui cerita di sebalik cerita?

Disamping menuntut Nasharuddin membuat akuan bersumpah mengistyharkan harta para pemimpinan Pas yang lain juga wajar berbuat demikian. Ketua Pemuda Nik Abdul Nik Aziz, Ketua Penerangan Nasaruddin Hassan, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Khairuddin Aman Razali, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan serta bekas Ketua Muslimat Siti Zailah Yusuf juga perlu membuat akuan bersumpah mengistyharkan harta masing-masing.  

Dengan membuat perngistyharan secara Akuan Bersumpah itu ia boleh meredakan keadaan serta menghilang perasaan syak wasangka kepada pemimpin-pemimpin berkenaan mengenai harta dan kekayaan yang mereka milik selama ini.

Berikut adalah kenyataan penuh dikeluarkan Rafizi:

15 APRIL 2017
NASHARUDDIN PERLU BUAT AKUAN BERKANUN ISYTIHAR HARTA, KHAIRUDDIN PATUT SIASAT LEBIH MENDALAM MAKLUMAT SKANDAL 1MDBSaya telah menjangkakan kesemua reaksi yang bakal diberikan apabila saya mendedahkan mengenai aliran wang dari dana SRC Internasional Sdn Bhd ke akaun peribadi YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, seterusnya sampai ke akaun Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa.

Ada pimpinan terkanan PAS yang menggelarkan saya kaki fitnah, ada yang menyuruh saya bertaubat. Seperti kebiasaannya saya dihukum dengan pelbagai gelaran dan penghinaan. Ada penyokong PAS yang tidak putus-putus menghantar mesej (melalui media sosial atau pesanan Whatsapp) menuduh saya kafir, ejen Yahudi dan pelbagai lagi.

Saya tidak sedikit pun terkesan. Saya pernah melalui semua ini setiap kali saya mendedahkan sesuatu penyelewengan wang rakyat sejak tahun 2011 lagi, iaitu kes-kes yang tidak diambil tindakan atau yang kelihatan dilindungi kerana ia melibatkan Perdana Menteri atau Menteri kanan.

Memang lumrah pihak yang terkena batang hidung akan memaki hamun saya.

Apabila saya mendedahkan mengenai dana rakyat RM250 juta yang sepatutnya digunakan untuk membantu penternak lembu miskin digunakan untuk membeli hartanah mewah oleh keluarga menteri kanan, saya dimaki hamun oleh orang-orang Umno dan seluruh kekuatan jentera media Umno.

Ketika itu, yang paling ghairah mahukan saya di pentas ceramah membawa isu ini ke kampung-kampung adalah pimpinan PAS dan jentera PAS. Permintaan untuk turun membantu kerusi-kerusi mereka membawa isu NFC ini paling banyaknya dari jentera PAS, bukan pun dari jentera KEADILAN kerana KEADILAN banyak bertanding di bandar-bandar.

Hari ini, pimpinan dan jentera PAS yang sama yang mengitar semula alasan Umno mengenai skandal NFC kononnya saya memfitnah NFC, sedangkan mereka jugalah yang paling galak mengulangi pendedahan skandal NFC dahulu. Malah, mereka mengulangi alasan Umno kononnya Dato’ Seri Shahrizat Jalil menang saman terhadap saya mengenai kes NFC, sedangkan keputusan saman itu adalah kes lain yang tidak melibatkan pembelian kondominium mewah One Menerong di Bangsar dan kondominium di Singapura. 


Kes saman itu melibatkan penghakiman yang banyak berkisar mengenai tafsiran perkataan “menyeleweng” yang mengikut hakim “penyelewengan” memberi makna ada niat jahat dan beliau (hakim) tidak bersetuju ada bukti yang keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil berniat jahat dalam pembelian unit-unit hartanah di Ecocity, Bangsar.

Sebab itu saya tidak sedikit pun terkesan dengan sumpah seranah sebegitu kerana itu memang risiko yang perlu saya hadapi sebagai seorang wakil rakyat, jika saya ingin menjalankan amanah saya sebagai seorang wakil rakyat. Saya ingat pesan Dato’ Seri Anwar Ibrahim 19 tahun lalu semasa gerakan reformasi tercetus iaitu “jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan”.
Sebab itu juga saya tidak memilih bulu dalam soal penyelewengan amanah rakyat.

Saya menjadi Setiausaha Agung sebuah parti utama negara yang pertama dalam sejarah negara kita mutakhir ini yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai aduan rasuah di dalam parti saya sendiri. Apabila saya sendiri membuat aduan itu, ramai anggota KEADILAN yang mencemuh saya. Ramai penyokong pembangkang yang mencemuh saya.

Namun, rakyat boleh menilai rekod yang saya tidak berubah-ubah memilih bulu mengenai rasuah. Tangkaplah dan siasatlah sesiapa pun di dalam KEADILAN atau Pakatan Harapan, dari yang di atas sampai di bawah jika ada bukti berlaku salah guna kuasa dan saya tidak akan mempertahankan anggota KEADILAN itu selagi tangkapan itu nampak jujur, telus dan bukan permainan politik.

Oleh sebab itu, saya menyeru semua pimpinan politik supaya menunjukkan keamanahan yang jauh lebih baik dari yang ada sekarang kerana setiap gerak geri kita diperhatikan rakyat dalam dunia serba moden ini.

Maka, saya serahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilai penafian melalui kenyataan akhbar semata-mata oleh Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa. Jika beliau ingin menyaman saya, saya akan menunggu untuk menyoal siasat beliau di dalam kandang saksi kerana orang yang menyaman adalah orang yang pertama yang perlu beri keterangan di dalam kandang saksi. Saya ada beratus-ratus soalan yang akan ditanyakan mengenai penglibatan beliau dalam melobi pimpinan PAS supaya menjadi lunak dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga PAS dilihat tidak lantang memperjuangkan keamanahan Perdana Menteri dalam skandal 1MDB.

Sementara menunggu proses saman yang mungkin memakan masa, saya sarankan beliau mengambil jalan yang lebih mudah dan menunjukkan keyakinan kepada kebenaran yang kita pegang: saya sarankan Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa membuat satu akuan berkanun mengisytiharkan semua harta, pendapatan dan sumbangan kepada beliau secara peribadi serta semua organisasi yang beliau terajui seperti Yayasan Nassar dan mana-mana projek lain. Beliau juga perlu perincikan di dalam akuan berkanun bagaimana harta, pendapatan dan sumbangan ini dibelanjakan dan kepada siapa wang yang disumbangkan kepada beliau dibelanjakan.

Saya sarankan beliau buat akuan berkanun itu bagi setiap tahun dari tahun 2012 ke atas sehingga 2017. Pengisytiharan itu tidaklah susah kerana saya melakukannya setiap tahun, tetapi beliau perlu juga sedar ada beratus akauntan dan peguam yang akan meneliti satu persatu ayat di dalam akuan berkanun itu. Jika ada maklumat yang tidak tepat, akan ada rakyat Malaysia yang membuat laporan polis terhadap beliau dan beliau boleh dipenjara.

Saya yakin dengan kebenaran maklumat yang saya terima dan harta yang saya isytiharkan, sebab itu saya menggunakan kaedah Akuan Berkanun sepanjang masa.

Kalau Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa juga yakin beliau tidak menerima satu sen pun dari mana-mana sumber yang berasal dari SRC Internasional Sdn Bhd, beliau perlu mengisytiharkan pendapatan, harta dan semua sumbangan yang diterima beliau dalam bentuk akuan berkanun dengan segera.

Mengenai reaksi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus yang menghukum saya setelah saya mendedahkan beliau juga ada maklumat yang saya ada (malah lebih awal), saya hairan kenapa setelah menerima maklumat itu beliau menjadi lebih rapat dengan Umno?

Sepanjang saya mengikuti perkembangan aktiviti pelajar Malaysia di United Kingdom, saya tidak pernah tahu ada seorang AJK PAS Pusat yang lain selain dari beliau yang pernah hadir dalam program bersama anjuran Kelab Umno yang turut menampilkan seorang lagi pemimpin Umno. Namun beliau mengejutkan kami (bekas aktivis rakyat Malaysia di United Kingdom) apabila beliau hadir atas jemputan Kelab Umno di United Kingdom baru-baru ini.

Kalau pun beliau merasakan maklumat yang diperolehi mengenai siasatan 1MDB dan keterlibatan Dato’ Seri Najib itu belum sahih, bukankah menjadi tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen untuk menggunakan sepenuh ruang di Parlimen untuk mendapatkan pengesahan dan jawapan lanjut? Bukankah beliau ada ruang di Parlimen untuk mendapat penjelasan secara bersemuka dari Dato’ Seri Najib dan menteri mengenai kesahihan maklumat itu?

Sebaliknya beliau diamkan sahaja dan tidak berusaha untuk menyiasat. Beliau juga mendampingi sebuah parti yang dikhuatiri mendapat manfaat dari wang rakyat yang diselewengkan.

Rakyat bakal menghakimi kita atas perlakuan kita menangani amanah yang mereka galaskan kepada kita.

Lebih menggerunkan, Allah SWT melihat semua ini baik yang nyata dan tidak nyata.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN [wm.kl.10:45 am 15/04/17]

6 comments:

Mali Bin Muyung said...

Salam Sdr Rafizi. I am behind u on this issue. Walau pun sdah berpencen dari perkhidmatan swasta, saya tidak teragak2 menghulur bantuan sekiranya d perlukan kelak.
Mohon Allah melindungi Sdr dari segala kejahatananusia baik yg nyata mau pun tersembunyi.

Unknown said...

Aamiin

Ibrahim said...

Sepatutnya pemimpin parti islam yang lebih berani daripada rafizi tapi sebaliknya ...mereka hilang jati diri dan mencari cari alasan

Ridd said...

hang suruh dia istihar harta...sebelum hang buat report dia dah jadi aziz satar beli peti daaa mcm pilem dalam Ali baba dan 40 penyamun

PokAmid said...

Pemimpin2 parti agama ni, berani maki hamun je baik dlm ceramah, kuliah atau usrah mereka.

Betul la sebagaimana Rafizi cakap, lebai-lebai ni bukan nak tolong rakyat marhein pun! Mereka, terutama sekali mr presideng, senyap dlm isu-isu kebejatan terhadap rakyat.... Maki hamun? Itu nombor wahid!!!

Unknown said...

Salam Tuan MSO,

Kenapa Rafizi perlu mengajar Nasharudin apa yang perlu dilakukan?
Rafizi sudah membuat dakwaan hasil daripada apa yang dia dengar daripada seseorang seperti yang dimaklumkan. Nasharudin bukan tidak tahu berkaitan undang2. Dia adalah bekas pensyarah undang yang bagus dalam di UKM & UIA. Rafizi tunggu apa tindakan yang diambil oleh Nasharudin.
Sebelum mendakwa seseorang ianya perlu mempunyai bukti yang kukuh dan bukti2 tersebut perlu ada dengan orang yg mendakwa.
Dunia akhir zaman...