Tuesday, April 25, 2017

Muktamar Pas kenapa Azmin yang berdebar?

ULASAN 

Siapa berselfie dengan siapa, Hadi ke Azmin.
Mukatamar Pas ke-63 yang akan berlangsung empat hari lagi tidak mendebarkan banyak pihak dalam kalangan Pas terutama pemimpin tertingginya. Walaupun ada pencabar untuk jawatan naib presiden, tetapi ianya bukan suatu yang menarik untuk dinanti-nantikan dan tidak begitu mendebarkan. 

Sama ada berjaya atau tidak ahli Parlimen Temerloh, Nasaruddin Hassan menjadi salah seorang naib presiden, ia bukan perkara yang dinanti-tunggukan.

Begitu juga sama ada ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Selangor (kurang hafal namanya, maaf) salah seorang yang akan tersingkir, ia juga bukan sesuatu yang ingin diketahui. Cerita tersingkirnya sesiapa penyandang kerusi naib presiden kini dengan digantikan oleh Nasaruddin bukan menyeronokkan untuk didengar dan ia bukan cerita box-office di sini. 

Idris Ahmad
Bagi saya, kedudukan Pesuruhjaya Pas Selangor yang menjadi salah seorang naib presiden kini mungkin selamat. Kedudukannya di Selangor yang mana Pas ada menyimpan hajat dan telah membuka "cekandi" nafsunya untuk mengusai Selangor, pastilah naib presiden itu menjadi bakal calon MB daripada parti agama (Pas) itu. Sudah tentu bakal calon MB akan diselamatkan dalam apa juga game dan perlawanan. Kalau bakal calon tidak diselamatkan macam mana dia hendak dilantik menjadi MB.

Kenyataan dikeluarkan yang Pas Selangor akan bertanding 45 dari 56 kerusi DUN di Selangor jelas menggambarkan Pas tidak lagi mengharapkan pihak lain memimpin Selangor sebaliknya mereka mengidamnya sendiri. Sama ada hasrat itu sebagai mimpi di siang hari atau igauan di senja seore, tetapi itulah kenyataanya. Ada bantal dan tilam untuk Pas Selangor tidur dan ia boleh bermimpi.

Idris mungkin tergugat

Kalau pun tergugat ialah Idris Ahmad. Latar belakang pendidikannya bukan berasal dari Timur Tengah, Mesir atau Madinah menjadi faktor untuk beliau ditolak dan diganti dengan golongan Azhar atau Timur Tengah. Pemonopolian "belaka" jawatan Pas di kalangan lepasan Timur Tengah sedang menyala dan dijadikan aset dalam parti itu. Selain itu Idris juga dikatakan kurang disenangi memandangkan kenyataan dan ulasan-ulasan politiknya sama standard dan sekelas dengan kenyataan dan ulasan politik Mohd Amar Nik Abdullah menggunakan metafora Abu Nawas.

Bagaimana pun kedudukan Mohd Amar (Nik Amar) saya percaya beliau selamat kerana beliau akan diselamatkan. Sebagai orang yang bakal mengambil alih teraju MB Kelantan selepas Piruam akan datang Nik Amar akan dikekalkan. Mereka yang suka dengan cara politik "kecek huduh" Nik Amar akan memastikan beliau kekal di kerusi naib presiden di tempat pertama?

Dalam catatan ini saya tidak mahu menyorot mengenai apa yang berlaku dalam Pas, melebih daripada apa yang telah saya sebutkan di atas tadi kerana tidak ada apa-apa penantian mendebarkan dan dramatik lagi. Apa yang ditunggu akan berlaku perubahan kepimpinan bagi meletakkan Pas diatas landasan yang real sudah tidak akan berlaku lagi.

Pas kini sedang mengalami musim luruh dan bertukar musim. Musim ini akan kekal setidak-tidak sehingga Piraum akan datang. Kalau kepimpinan dan suasana Pas akan berubah pun selepas parti itu mengalami kekalahan teruk nanti.

Pas akan tetap kekal seperti sekarang selagi Hadi Awang masih jadi presiden dan Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi timbalan presiden. Tidak banyak beza antara kopiah Hadi dengan kopiah Tuan Ibrahim, sama-sama bulat kalaupun berbeza dari segi warna -- colour sahaja. Perbezaan warna tidak memberi apa-apa nilai dan kesan kepada orang kabur penglihatan atau pun kalau ia dilihat diwaktu malam, tanpa nur.

Kedudukan PKR Selangor

Sebaliknya apa yang hendak dianalisa di sini ialah mengenai muktamar itu ialah menegnai kedudukan PKR khususnya di Selangor dan juga nasib menteri besarnya Azmin Ali. Muktamar Pas kali ini saya percaya bukan sahaja sedang diperhati oleh pemerhati tetapi ia sedang ditunggu hasilnya oleh PKR khasnya oleh timbalan presidennya, Azmin. Azmin adalah Pengerusi PKR Selangor dan juga MB Selangor.

Situasi ini berlaku ekoran adanya suara-suara dalam Pas yang mahu memutuskan hubungan politik parti itu dengan PKR. Beberapa kawasan Pas dan begitu juga dengan Dewan Pemuda Pas telah pun membuat usul agar muktamar memutuskan hubungan dengan PKR. Usul inilah juga yang saya rasakan ditungu-tunggu oleh pemerhati muktamar Pas dan ia menjadi perhatian khas Azmin Ali.

Seandianya muktamar Pas menerima usul berkenaan ia memberi implikasi besar dari berbagai-bagai sudut khasnya kerjasama politik PKR - Pas. Terutamanya ia akan merubah senario politik di Selangor. Penerimaan usul itu nanti akan merubah status atau persefahaman politik kedua-dua parti itu yang terjalin hari ini. Penerimaan usul itu akan meretakkan hubungan di antaranya keduanya yang kini sudah pun ada retak-retak kecil.

Ia boleh menjejaskan kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor itu sendiri dan ia juga menyebabkan Azmin Ali mengarap pelan politik lain kalau usul itu diterima sebulat suara nanti. Inilah yang saya rasakan sesuatu yang menarik dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah itu.

Bagi Azmin tentu beliau tidak seronok dengan cadangan usul berkenaan, dan pasti dia tidak setuju Pas memutuskan hubungan dengan PKR. Kenapa, sebab baginya kewujudan Pas di Selangor sangat penting dalam membantu dan memberi semangat kepadanya. Umum tahu bahawa keberadaan Azmin di kerusi MB itu adalah hasil daripada projek Langkah Kajang yang gagal. Tanpa ada projek LK itu Azmin tidak akan berada di situ.

Azmin pula mendapat bantuan padu daripada Pas untuk membolehkan dia duduk di kerusi MB. Cerita ini tidak perlu saya selak dan buka lagi kerana ia sudah menjadi pengetahuan umum,. Secara peribadi juga saya tahu bagaimana persepakatan Azmin dengan Pas (baca Hadi Awang) yang diuruskan oleh Mustapa Ali. Saya tahu bila dan bagaimana ia bermula.

Sebab itu Azmin dilihat selesa dan serasi dengan Hadi walaupun presiden Pas itu bukan sedikit menyakiti hati presidennya sendiri dan juga Penasihat Mmum partinya, Anwar Ibrahim. Perkara ini mungkin boleh disahkan oleh Saifuddin Nasution Ismail.

Berbalik kepada situasi yang berlaku dalam Pas kini dan juga pengusulan oleh Pas itu, wajar untuk Azmin berasa berdebar menanti keputusan muktamar berkenaan. Muktamar itu memberi signifikan tersendiri kepadanya. Sekiranya muktamar mengambil keputusan tahalul syiasi dengan PKR terputus, secara automatik hubungan Azmin dengan Pas Selangor juga terpenggal. Mala petaka itu berat bagi Azmin.

 Bukan itu sahaja ia juga turut menimbulkan mala petaka kepada Pas. Ketiga-tiga orang Exco dan timbalan Speaker Dun Selangor daripada Pas juga boleh didesak untuk berundur. Demikian juga dengan ratusan penjawat lantik politik. Jika kedudukan penjawat itu kekal maka orang akan lihat aneh dan ganjillah kerajaan pimpinan Azmin.

Secara logiknya Pas tidak akan mengambil keputusan demikian. Mungkin akan ada muslihat kalau pun usul itu diterima dengan mengecualikan kedudukan Pas di Selangor. Ia boleh diubah atau dipindah sedikit, hubungan Pas dengan PKR di Selangor akan putus dari sudut parti tetapi bukan dari sudut kerajaan. Mungkin ini akan berlaku. 

Boleh jadi juga ketetapan dicapai dalam muktamar itu nanti akan dilaksanakan selepas Piraum bukannya sebelum Piraum ke-14? Keistimewaan dan keenakan apabila ada kedudukan dan pangkat tidak siapa berani mengorbankannya dan ia juga perlu dipertimbangkan Pas akan untung dan ruginya. Saya juga yakin untuk meredakan keadaan itu kalau Pas menjemput Azmin hadir pada perasmian mukatamr Pas itu beliau akan hadir degan seselambanya.

Kenapa saya kata Azmin yang berdebar menanti keputusan muktamar Pas itu? Ada beberapa perkara kenapa Azmin berkeadaan demikian. Dia sangat sayang dengan kedudukannya sebagai MB. Jawatan MB bukan sembarangan dan senang untuk diperolehi. Untuk menjadi timbalan presiden PKR lebih mudah daripada menjadi MB Selangor, yang diperolehi melalui pelan Langkah Kajang. Jawatan disandang Azmin itu bolehlah dianggap sebagai bernasib baik sahaja, tersangkut kepadanya.

Apabila pelan Langkah Kajang gagal untuk menggantikan Dr Wan Azizah dengan Khalid Ibrahim, mengikut adat dan pendirian berpolitik, Azmin sepatutnya tidak menerima "tawaran" jawatan MB itu setelah Sultan dikatakan tidak mahu menerima Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti mana dakwa Abdul Hadi Awang. Apa hendak jadi pun, dan betapa dia mahukan jawatan itu Azmin harus menolak demi menjaga maruah dan integriti partinya. Tetapi kenapa apabila namanya dicalonkan beliau "berlari" untuk mengangkat sumpah?

Justeru hari ini Azmin sangat menyayangi jawatan MB dan jawatan itu seakan titik awal dan akhirnya dalam politik. Mengapa tidak dengan jawatan itu beliau bukan saja boleh merancang pembangunan untuk rakyat tetapi ikut sama merancang masa depannya dalam PKR. Tiada puncak yang sedang direnung dan ditinjau sekarang ini melainkan presiden PKR. Beliau boleh dan sedang menggunakan jawatan itu untuk merukas ke atas. Perkara ini lumrah dalam politik.

Lantaran itu melihat cara dia berpolitik, mengguna dan mengeksplotasikan jawatan itu seakan dia lebih mementingkan jawatan itu daripada maruah dan semangat hubungan partinya dengan pembangkang terutamanya DAP di Selangor. Azmin boleh memperlekehkan parti AMANAH tetapi tidak DAP, kerana DAP adalah asas kepada kewujudan kerajaan yang dipanggunginya sekarang.

Apa yang Azmin balas budi kepada dua wakil Amanah dalam DUN Selangor yang bertindak berani tanpa peduli kecaman untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat, yakni Saari Sungip (Adun Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Adun Morid)? Mungkin saya tidak nampak apa yang Azmin laku atau hargai tindakan berani mereka berdua itu?

Seandai muktamar Pas mengambil keputusan sebulat suara memutuskan hubungan dengan PKR apa yang akan Azmin lakukan? Juga apakah akan berlaku kepada nasib kerajaan Selangor kini yang didokong oleh DAP, PAS dan Amanah bersama PKR?

Untuk ini saya tidak mahu membuat spekulasi di sini. Tunggu sehingga muktamar Pas itu lengsai.

Mengenai usul berkenaan ada dua kemungkinan akan berlaku; usul itu diterima tetapi tidak akan dibahaskan, ia akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat Pas. Jika ini berlaku bermakna debaran Azmin akan meredakan sedikit. Kemungkinan akan berlaku kesimpulan-kesimpulan di atas tadi. Bahawa dalam pilihan raya nanti Pas tetap bersama PKR. Kalau formula ini diambil belum tentu lagi kalau Selangor berjaya dikuasai PKR bersama Pas, MBnya adalah Azmin Ali.

Begitu juga kalau wujud kerjasama anih di Selangor di mana Pas masih bersama Pakatan Harapan, melawan BN satu lawan satu, MBnya belum tentu juga Azmin lagi. Sikap playsafe Amin mungkin menyebabkan dia tidak disenangi. Semua kemungkinan mendebarkan Azmin dan jika ia berlaku dan terjadi adalah kerana komplikasinya yang terlahir dari cara playsafe Azmin berpolitik. [wm.kl.1:09 t/hari 25/04/17]

No comments: