Sunday, July 2, 2017

Harap Ahmad Yakob tidak terlancar projek "Musang Ngenge"

EKSKLUSIF PAGI

Ahmad mengumukan projek Carbon Credit.
Dalam diam-diam kerajaan Kelantan sedang meneroka dimensi baharu dalam perdagangan bertaraf dunia demi rakyat Kelantan apabila merintiskan projek apa dinamakan Carbon Credit. Apa dia carbon credit?

Sumpah, saya pun pertama kali mendengar terma ini. Inilah menunjukkan bahawa kerajaan Kelantan khasnya pimpinan Ahmad Yakob yang dianggap "senyek" (lembab dan tidak berdaya maju) sebenarnya seorang MB yang berpandangan jauh dan ikut sama terbangkit unuk menganyam awan biru di langit.

Beliau mampu membawa perdagangan atau projek yang asing dan mungkin tidak pernah terfikir oleh MB-MB sebelum ini termasuk juga almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apakah dia projek Carbon Credit itu? Secara mudah projek ini adalah untuk menyelamatkan dunia daripada limpahan pencemaran berbagai unsur; kimia, toksid yang mengancam kehidupan. Secara mudah ialah projek pemeliharaan alam sekitar, hutan, tanah tanih, dan menyediakan oksijen kepada dunia. Ia boleh disifatkan projek ini usaha Kelantan untuk menambah oksijen kepada dunia maya.

Sifatnya global kerana projek berkenaan boleh dimanfaatkan bukan sahaja oleh Kelantan; Pengkalan Chepa, Meranti atau Tumpat khasnya, sebaliknya Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan lain-lain negara Asean amnya bahkan di seluruh dunia termasuk Amerika, Russia, Jepun, China, United Kingdom hatta Antartika.

Skop penyelamatan dunia menerusi projek ini menggambarkan globalnya keperihatin Ahmad bersama kepimpinannya bersama barisan Exco, Mohd Amar Nik Abdullah dan juga sdr Sudin Chua Pon serta lain-lain.

Butiran kasar mengenai projek ini didedahkan oleh MB itu sendiri dalam satu ucapan pada 2 Syawal lalu di suatu majlis. Ia mengejutkan dan saya angkat tabik kepadanya, atas kejauhan akal fikirnya mewujudkan projek mega ini.

Seperti mana diumumkan menerusi projek itu ia disamping menjadikan Kelantan sebagai "Malaikat" Atib dan Ratib, penjaga dan mengawal kelestarian dunia, ia juga dapat menyumbangkan kewangan kepada negara. Maksudnya projek berkenaan menjana kewangan untuk Kelantan dalam masa akan datang dalam tempoh 30 tahun. Adapun kadar atau nilai pendapatan itu bergantung kepada kajian sejauh mana nilai korban yang dikeluarkan yang kini katanya dijalankan oleh sebuah syarikat yang tidak disebut namanya.

Disampng Ahmad mengumumkan projek baharu yang menakjubkan itu, beliau juga menafikan tuduhan "mereka-mereka" yang membuat fitnah kononnya projek itu mengorbankan hutan simpan apabila berlaku penebangan balak. Tidak, balak tidak jadi mangsa. Balak yang ada dalam hutan terlibat dengan projek itu akan dikekalkan. Jumlah hutan terlibat dengan projek itu seluas 1 juta hektar. Oh luasnya. Demikian jelasnya.

Menurut Ahmad "mereka-mereka" yang beranggapan projek demikian mengorbankan balak, disifatnya sebagai biadap. Beliau amat kesal dan marah kepada "mereka-mereka" itu. Adapun syarikat yang diberi tanggungjawab mengkaji projek berkenaan bernama Climate Protector. Syarikat ini kepunyaan tiga lelaki Melayu seorang perempuan, seorang berbangsa Umno dan seorang jejaka Cina yang mirip Jho Low.

Namun setelah diamat-amati dan digoogle mengenai projek berkenaan ada sedikit persoalan dan kemusykilan yang bersarang di kepala saya, mungkin juga di benak orang yang belum memahami bidang projek ini. Kemusykilan ini boleh menzuriatkan keraguan sejauh mana kelogikan projek berkenaan.

Kemusykilan ini perlu dijelaskan untuk menentukan apakah projek berkenaan benar-benar wujud dan realisitik ataupun ia hanya sebuah omong kosong sahaja. Atau pun projek ini digempa yang gemanya menjadi sehebat syarikat 1MDB yang ditubuhkan oleh Najib Razak (2009) itu dimana ia hanya sebuah ilustrasi menarik yang tidak bernyawa yang menguntungkannya sahaja. Hari ini projek 1MDB sudah jadi satu skandal memalukan negara. Kita tidak mahu projek Carbon Credit itu terjadi demikian.

Ahmad kena mengambil perhatian atas perkara ini bagi mengelakkan beliau sendiri terjebat dengan idea projek ini yang akhirnya kerugian akan menimpa kerajaan Kelantan. Kita tidak mahu rakyat Kelantan yang dimaklumkan dengan idea projek ini kemudian menjadi burung perkutub yang hari-hari mengatuh dan menjual projek ini sedangkan ia tidak tahu apa. Rakyat Kelantan dilarang menjadi perkutub. (Perkutub panggilan orang Indoneisa kepada burung terkukur baruh). Ohnya Sudin Chua Pon juga dilarang bercakap projek ini.
Sepatutnya apa yang pernah terjadi sebelum dimana sebuah konsertium (kontrektor) yang kononnya mendapat kerjasama sebuah Bank Islam Dunia (IDB) untuk laksanakan projek lebuh raya rakyat di Kelantan, akhirnya terburai begitu sahaja, dan perjanjian yang telah ditanda tangani dimansuhkan setelah menyedari syarikat berkenaan hanya sebuah syarikat kayu mati sahaja.

Antara perkara yang perlu dijelaskan oleh Ahmad Yakob bukan oleh "Sudin Chua Pon", kerana dia pasti dan wajib tidak tahu menahu hal ini, ialah:

1. Apakah status syarikat Climate Protector yang berpejabat di Berek 12 itu benar-benar berdaftar dengan PBB atau sebaliknya. Kurang tersaul dek akal jika sebuah syarikat berdaftar dengan PBB, yang akan mengendalikan perdagangan bertaraf dunia tetapi alamat perniaganya di sebelah pejabat Pas di Berek 12.

2. Sebelum ini pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ada membuat kenyataan bahawa pihaknya tidak pernah meluluskan atau mengetahui apa-apa tentang mana-mana pihak sedang atau mahu atau diberi kelulusan oleh mana-mana kerajaan negeri kepada mana-mana projek untuk mengendali projek Carbon Credit di negara ini. Apakah kenyataan media kementerian itu memberi peringatan kepada kerajaan Kelantan berhubung apa disebut oleh Ahmad Yakob itu.

3. Mengenai keluasan hutan simpan yang diberikan untuk projek berkenaan juga menimbulkan keraguan. Kerajaan patut meyebut dan menyertakan pelan tanah hutan yang hendak diserahkan kepada syarikat berkenaan biar rakyat mengetahui kedudukan dan lokasinya.

a) Apakah hutan dimaksudkan itu hutan Taman Negara disebelah Kelantan atau dimana? Hutan Taman Negara disebelah Kelatan hanya ada seluas 140,000 hektar sahaja, manakala di Pahang 249,000, di manakah kalau dicampur keduanya baru ada 389,000 hektar masih belum mencukupi untuk projek berkenaan memerlukan 1 juta hektar.

Tiga perkara atau kemusykilan ini dulu perlu dijelas oleh pihak kerajaan bagi dipastikan apakah projek berkenaan benar-benar wujud dan realistik atau pun ia akhirnya akan jadi projek Musang Ngenge. Kita tidak mahu Ahmad tersaut sama untuk bermimpi mengayamkan projek Musang Ngegenya dalam tidur apa lagi disenandungkan untuk mengasyikan rakyat Kelantan dengan projek yang khayal.

Persoalan lain akan disambung selepas ini dengan persoalan sejauh mana Ahmad memahami perdagangan carbon credit ini ataupun beliau sekali lagi terpedaya dengan projek mega ini atau pun ada usnur-unsur persubahatan? Kerana dalam siasatan saya ada keraguan mengenai aktiviti syarikat bernama Climate Protector itu. [wm.kl.10:13 am 02/07/17]

No comments: