Monday, July 24, 2017

Ijtima' Kelantan 2017 suatu sejarah yang perlu diertikan

Salah seorang peserta hadir berkerusi roda.
ULAS IJTIM'

Ramai sudah para penulis atau pemerhati yang hadir pada majlis Itjima' Perpaduan Kelantan 2017 membuat ulasan mengenai majlis berkenaan. Kalau diselak media sosial banyak gambar-gambar pelbagai aksi di sekitar acara itu diposkan. Laporan berbentuk berita tentang majlis itu juga termuat dalam media massa cetak. Mungkin juga ada dimuat dalam media eletronik?
Berbagai orang membuat tanggapan dan komenter mengenai majlis berkenaan. Mereka membuat ulasan mengikut kehendak mereka dan selera masing-masing. Kalau mereka condong kepada parti pembangkang, maka ulasannya akan cenderong untuk memberi gambaran negatif. Sebaliknya yang condong kepada parti agama itu, maka mereka akan memberi komen positif dan indah-indah sehingga di luar saul dek akal.

Dalam media sosial banyak yang memberi laporan atau ulasan yang negatif. Misalnya jumlah kehadiran menjadi polimek, ada yang mendakwa ia mencecah 100 ribu manakala ada yang meletak hanya 25 ribu sahaja. 

Di sini saya mahu mengambil jalan tengah tidak mahu turut berpolimek dalam hal-hal kita yang mampu membuat telahan tepat itu, berhubung dengan angka kehadiran itu. Itu tidak mustahak kalau kita melihat kepada kerangka ijtima itu dengan lebih luas. Lagi pun angka bagi saya suatu subjektif apa lagi kalau mengira apa yang diperpakatan bekas presiden Indonesia pertama, Sukarno. Katanya "berikan aku 10 pemuda perkasa aku akan goncang dunia ini". Sukarno tidak mahu kuantiti tetapi mahu kepada kualiti dan meletakkan orang muda sebagai pemancu utama dalam perjuangannya. 

Kehadiran ramai pada ijtima itu bukan perkara pokok yang boleh dibanggakan. Apa lagi jika dibanding dengan kemampuan parti pembangkang seperti PPBM, PKR atau Amanah tidak mampu untuk menghimpun peserta seramai itu. Tidak pelik sebenarnya kalau himpunan itjima' itu ramai kerana ia diuruskan oleh sebuah parti yang memerintah Kelantan dan merupakan parti tertua selepas Umno. Malahan malu dan aiblah kalau himpunan itu tidak berjaya menarik perhatian banyak.

Semestinya parti menjadi kerajaan memiliki kemudahan untuk menghimpun orang ia bukan suatu perkara boleh dibanggakan. Kuasa yang ada kepada kerajaan boleh membuat kerahan dan arahan. Malahan kalau perlu boleh juga memberi upah kepada orang agar hadir. Kejadian dalam parti Umno mengupah dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai hadir bukan perkara pelik lagi.

Pas Kelantan khasnya tidak perlu kecewa dengan jumlah kehadiran walaupun ada pihak yang menggorengnya sebagai tidak sampai 100 ribu. Yang penting majlis berkenaan berjaya diadakan sedemikian rupa. 

Suatu hakikat perlu disedari selamanya lawan kepada sesuatu pihak tidak akan memberi gambaran sebenar melainkan ia akan dimanipulasikan. Itulah politik yang kena difahami. Pun begitu fakta dan sejarah tidak boleh dimanipulasi sebab ia adalah kebenaran. Justeru mencari kebenaran maka saya sedia pulang dan menapak ke stadium untuk melihat apa yang berlaku dengan mata kepala sendiri. 

Kebenaran itu harus dicari dan digali dan diperkatakan walaupun pahit.

Kalau pun parti pembangkang menjadi kerajaan seperti Pas, pasti apa-apa majlis mereka juga akan mendapat sambutan. Di sinilah kelebihan yang ada kepada sesebuah kerajaan. Perkara ini sepatutnya tidak perlu dijadikan isu oleh lawan Pas, dan Pas sendiri tidak perlu menjadikannya sebagai modal untuk mengatakan mereka berjaya. Pas jangan terperangkap dalam pantulan sinar pelangi dengan hal-hal seperti itu.
Kehadiran yang begitu ramai tidak menjamin kemenangan Pas di Kelantan pada pilihan raya akan datang. Banyak air di lautan tetapi ia tidak boleh diminum kalau ia tidak diproses dan melakukan penyulinan dengan betul. Nah di sini kehadiran itu perlu kepada penyulinan.
Seperti umum mengetahui himpunan majlis Pas selalu ramai kerana ia bersifat ilmu dan juga penuh dengan kritikan kepada parti pemerintah (sebelum ini). Begitu juga dengan jumlah kutipan derma sering banyak dipunggut. Banyak sedikit nilai derma itu memberi gambaran tebal nipis imam mereka yang datang. Sehingga kini belum ada pengumuman mengenai jumlah kutipan di ijtima' itu.

Dan dalam apa-apa majlis Pas, orang ramai seronok hadir untuk mendengarnya. Sejak dahulu tak kala mula lagi majlis Pas mendapat sambutan, tetapi hakikatnya sambutan tidak menjadi kemenangan. Senario himpunan semalam tidak boleh dijadikan indikator bebas untuk mengatakan Pas dalam posisi selamat di Kelantan.

Sebaliknya kalau himpunan semalam merupakan himpunan di malam akhir kempen pilihan raya, seperti tahun-tahun 1990 atau 1999, saya boleh memberi jaminan Pas masih berdaya mengekalkan pemerintahan di negeri Tok Janggut itu. Tetapi perlu diingat himpunan semalam bukan himpunan di malam terakhir sebelum mengundi, tetapi himpunan diluar musim kempen rasmi pilihan raya dan ia juga disertai sama oleh peserta dari luar negeri bahkan luar negara yang tidak termasuk dalam korum pilihan raya.

Himpunan semalam adalah pencungkil semangat kepada ahli dan penyokong Pas yang perlu diaruskan lagi dengan kekemasan strategi kalau Pas ingin mengekalkan pemerintahan di Kelantan dalam Piraum akan datang.

Apa yang terbetik dalam kepala saya dengan majlis di stadium Sultan Muhammad ke IV itu ialah, apakah majlis seumpama itu -- menghimpunan para ilmuan dan ulama se Nusantara akan ada sekiranya Kelantan diperintah oleh Umno? Inilah perkara atau pun mesej penting yang perlu disedari. Saya berifkir lain dari kebanyakan orang menilai akan mesej atau pun natijah himpunan itu.
Dalam hemat saya kalau Kelantan diperintah bukan oleh parti Pas, majlis seperti itu sama ada ia bermotif politik atau tidak, ia tidak akan ada. Himpunan seumpama itu yang dianggap sebuah sejarah tidak akan berlaku kalau pada masa ini Kelantan tidak diperintah oleh Pas. Hanya Pas sahaja parti yang mesra dengan majlis-majlis seperti itu. Di sinilah kehebatan Pas sebagai sebuah badan siasah. Kemesraan Pas dengan program Islam itu perlu dikekalkan. 

Demikian juga dengan parti-parti lain yang ingin "bermain" di Kelantan segala program perlu berorentasikan Islam dengan menganjurkan program lebih baik lagi.

Inilah suatu kebanggaan dan rekod yang perlu diraikan. Biarlah kalau pengisian majlis itu atau perjalanannya cacat dari segi teknikal, tetapi satu hal yang kena diterima Itjima semalam dengan mengundang berbagai sosok peringkat dunia di rantau Aisa telah mencatatkan Kelantan sebagai tempat berlangsung event itu. Ia menjadi medan untuk para ulama menyalurkan fikiran, mengumpul kekuatan minda serta melestarikan kebangkitan semangat ummah. Majlis seumpama itu memberi kesenimbungan kepada kewujudan atau jolokan Kelantan sebagai serambi Makkah.

Jika Tokguru masih ada walaupun dia tidak hadir pasti dia seronok dengan himpunan semalam kerana mengesahkan negerinya terus menjadi tapak menyuburkan benih-benih Islam.

Untuk ini saya mengucapkan syabas kepada kerajaan Kelantan atas inisiatif menganjur Ijtima berkenaan dengan harapan ia akan diperbaiki dan diperkemaskan pada masa akan datang. Banyak kelemahan kalau sengaja hendak dicari mengenai perjalanan Ijtima berkenaan bila ia dikelaskan sebagai antarabangsa. Selain seronok dengan kehadiran, program itu juga perlu dikaji dan memantau sejauh mana akan keberkesan mencapai tujuannya.

Jangan sekadar mendapat sokongan ramai tetapi kesan dan nawaitu tujuan itjima itu terabai. Kalau ia tidak mencapai sasaran yang menjadi objektifnya, di sinilah nanti ada kebenarannya kalau orang mengatakan Pas menjaja lebel agama menerusi aktivitinya untuk kepentingan politik. Makanya usaha merealisasikan beberapa resolusi diputuskan itu kena dilaksanakan.

Terdapat 10 resolusi dicapai dalam itjima' itu. Resolusi pertama untuk mewujudkan kesatuan Ulama Asia dan Timur Jauh yang berpusat di Kuala Lumpur, ia sangat menarik dan bagi saya ia menjadi tugas dan tanggungjawab semua umat Islam dan kesatuan ulama di rantau ini untuk menjayakannya.

Objektif ini perlu disegerkan, kewujudannya nanti akan menjadi tanda hati kepada program itu yang akan dikenang dan diingat kewujudan kesatuan itu adalah hasil Itjma' diadakan di Kelantan. Kewujudannya juga bakal menjadi cendemata mata kepada kerajaan Kelantan dibawah pentadbiran Pas amnya dan Ahmad Yakob khasnya.

Lain-lain perkara tidak perlu ditimbul kerana sudah banyak diperkatakan. Pro kontra mengenai ijtima' tersebut harus diterima baik oleh pihak penganjur. Terimalah teguran dan kritikan sebagai penambah baik bukannya dilihat sebagai kritikan dan teguran disengajakan untuk memburukkan usaha yang murni itu. Walahu'alam. [wm.kl.9:45 am 24/07/17]
Post a Comment