Friday, July 28, 2017

Rusli seorang setiakawan yang sejati

BELASUNGKAWA

Allahyarham Ahmad Rusli Ibrahim.
Generasi muda hari ini mungkin tidak berapa mengenali Ahmad Rusli Ibrahim bekas Adun Salor selama dua penggal (1990 - 2004) dan juga bekas Senator yang meninggal dunia selepas Asar hari ini (27 Julai 2017). Penglibatannya dalam politik bervariasi dan menarik juga. Sebelum menceburi diri dalam politik Allahyarham merupakan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan (PTN), yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Jajahan (ADO), di Kota Bharu, bahagian pembangunan dan tanah.

Saya mengenali Allahyarham sekitar awal tahun 80an, budi beliau kepada saya, beliau pernah mengesahkan beberapa dokumen saya untuk memohon belajar di luar negeri. Dalam politik kami berkawan dan ada beberapa insiden yang cukup meninggalkan nostalgia.

Sebagai seorang pegawai (PTN) beliau seorang yang mesra dengan orang ramai yang mengunjungi ke pejabatnya untuk berurusan dengannya. Rusli seorang pegwai kerajaan mudah "berkira", tetapi tegas dalam kerjanya. Setiap dokumen yang hendak dipertimbang, disahkan atau mendapat kelulusannya perlu lengkap dan kemas. Jika tidak lengkap beliau akan minta melengkapnya kemudian datang semula besoknya.

Seorang yang tidak lokek dalam memberi tunjuk ajar dan nasihat. Ramah tamah dalam bicara dan suka bergurau. Disebabkan keramahan itulah beliau serasi menjadi wakil rakyat. Selama berkhidmat sebagai wakil rakyat beliau disayangi ramai. Sememangnya seorang wakil rakyat perlu baik dan mesra dengan rakyat.

Allahyarham bersama Anwar Ibrahim di satu majlis.
Beliau meninggalkan perkhidmatan sebagai PTN kerana minat berpolitik. Beliau awalnya anggota Umno bersama beberapa pegawai PTN yang lain seperti Rozali Isohak, arwah Nordin Salleh dan lain-lain, semua menjadi wakil rakyat. Krisis Umno 1987 sehingga tertubuhnya Semangat 46 mengisbabkan beliau meninggalkan Umno dan bersama Semangat 46 parti yang digagaskan oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai menjadi alternatif kepada Umno.

Rusli dilihat penyokong kuat kepada anak Raja Kelantan itu turut mengambil jalan meninggalkan Umno untuk bersama Tengku Razaleigh. Di sini saya melihat bukan sangat soal ideologi kenapa beliau meninggalkan Umno tetapi kerana personaliti Tengku Razaleigh.

Pilihan raya 1990 Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama Pas, dan Berjasa. Beliau diberi peluang bertanding atas tikit Semangat 46 di Dun Salor. Dua kali beliau mewakili rakyat Salor 1990 hingga 2004. Beliau menang kerusi itu mengalahkan Zaleha Hussein ketika itu ketua wanita Umno Kelantan. Pilihan raya 1990 beliau menang dengan majoriti 3,290 apabila mendapat undi sebanyak 6,956 manakala Zaleha 3,666.

Dalam pilihan raya tahun 1995, beliau menang dengan 1,879 apabila mengutip undi sebanyak 6,076 dan Zaleha sebanyak 4,179.

Ketika Semangat 46 yang membentuk APU inilah memberi peluang beliau mengenal hati budi Allahyarham Nik Aziz Nik Mat yang menjadi menteri besar. Beliau mula menghayati dan tertarik dengan pentadbiran Nik Aziz yang mengambil pendekatan Islam. Peluang ini membuka jalan baginya mendekati Tokguru sedekat-dekatnya.

Sayang saat beliau mula "jelira" dengan kepimpinan Tokguru kerajaan APU runtuh apabila Semangat 46 tidak betah lagi dengan Pas. Langkah Tengku Razaleigh membubar Semangat 46 untuk kembali semula kepada Umno menyebabkan Allahyarham terpaksa meninggalkan kerajaan Kelantan. Beliau tidak ada pilihan sebagai seorang setiakawan melain mengikut jejak langkah Tengku Razaleigh.

Semasa Tengku Razaleigh memimpin Umno Kelantan kali kedua (1999 - 2004) beliau dilantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan. Pilihan raya 2004 beliau sekali lagi bertanding kali ini dikerusi parlimen Kubang Kerian berlawan dengan Salahuddin Ayub yang ketika itu ketua pemuda Pas, tetapi tewas. Itulah penyertaan beliau terakhir dalam pilihan raya.

Perlu juga disebut semasa Semangat 46 bermasalah dengan Pas, beliau antara wakil rakyat yang menunjuk minat untuk bersama Pas. Semasa tiga Exco Semangat 46 "dihalau" dari kerajaan negeri beliau adalah nama yang disebut untuk menjadi penggantinya sekiranya beliau bersama Pas. Saya sedikit sebanyak turun melobi untuk membawanya ke dalam Pas.

Tetapi jawatan itu tidak mudah terpanggil baginya untuk menyertai Pas. Setiakawannya kepada Tengku Razaleigh menyebabkan dia mengambil sikap tawakus untuk bersama Tengku Razaleigh.

Mengkagumi Nik Aziz dan Husam

Selain beliau pengkagum Nik Aziz beliau juga mengkagumi kepimpinan Husam Musa. Selepas beliau menyedari Umno Kelantan kian ditolak oleh rakyat, dan kepimpinan Tokguru berwajah ulama dimana Husam adalah antara pendukung utamanya kian jelas dalam jiwanya menyebabkan beliau mendekati Husam, bekerjasama untuk menguatkan kerajaan Tokguru.

Beliau banyak membantu Husam dan hubungan itu akhirnya beliau mengambil keputusan menyertai Pas. Atas komitmen itu beliau dilantik kerajaan Pas Kelantan sebagai Senator untuk satu penggal.

Allahyarham seorang setiakawan yang tidak ada tolak bandingnya. Ini terbukti bukan sahaja dengan Tengku Razaleigh, tetapi dengan orang lain juga, termasuk Ibrahim Ali dan Husam Musa serta Anwar Ibrahim. Kerana setiakawan dengan Tengku Razaleigh beliau melambatkan untuk menyertai Pas. Bersama Ibrahim Ali beliau menggerakan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan mendukung Ibrahim bersama saya semasa si Salentia itu bertanding di pilihan raya kecil Pengkalan Pasir.

Beliau juga pernah memberanikan diri untuk menghadiri suatu majlis meraikan Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur. Dalam pertemuan itu beliau menyatakan kekaguman kepada Anwar dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi walaupun dia tidak menyertai parti Anwar - PKR.

Setiakawan beliau dengan Husam pula terbukti apabila Husam menghadapi "tribulasi" dalam Pas beliau mendampingi Husam yang diasingkan dari Pas. Dan apabila Husam mengambil keputusan menyertai Amanah, beliau juga bersama Amanah.

Jasa dan pengorbanan besar Allahyarham kepada Amanah ialah menyerahkan bangunan yang dijadikan pusat khidmat rakyat ketika beliau menjadi wakil rakyat dahulu yang terletak di Pendek di serahkan kepada Husam untuk dijadikan markaz Amanah Kelantan.

Bangunan yang dimaksudkan itu ialah Wisma Tokguru terletak di kampung Pendek dalam Dun Salor yang kini menjadi pusat pendidikan dan sosial politik Amanah Kelantan.

Dalam menilai sikap setiakawan Allahyarham dalam politik dan juga perpindahan beliau dari Umno kepada Semangat 46, kemudian Umno selepas itu PAS dan akhirnya Amanah,  bukan kerana ideologi atau pun perubahan berlaku dalam parti-parti berkenaan. Tetapi ia adalah kerana personaliti mereka yang memimpin parti ketika itu. Inilah saya katakan Rusli seorang setiakawan sejati.

Sebagai seorang pemain politik Allahyarham handal dengan pidato atau ceramahnya dengan gaya tersendiri. Beliau yang merupakan penceramah hebat baik semasa dalam Umno, Semangat 46, Pas mapun Amanah. Peringkat awal Amanah mula bertapak di Kelantan beliau menjadi penggerak utama dengan menaiki pentas ceramah, menyampaikan ceramah untuk menyakinkan rakyat akan perubahan bakal dibuat Amanah di Kelantan.

Walaupun ketika itu beliau kelihatan sudah uzur, tubuhnya susut tetapi semangatnya masih kental dan ceramahnya masih berbisa. Beliau sedia mengabaikan masalah kesihatan demi untuk memberi penjelasan beberapa isu di sekitar penubuhan Amanah serta tuduhan-tuduhan liar dan buruk kepada Husam.

Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah sewaktu kunjungan Dr Mahathir Mohamad ke Kelantan menghadiri ceramah di Tunjung setelah PBBM baharu ditubuhkan. Beliau yang ikut sama di pentas utama tetapi tidak berpeluang untuk berceramah dengan Dr Mahathir.

Sebagai seorang politik beliau memiliki ketrampilan dan "kebisaan" tersendiri dalam ceramahnya. Rusli terkenal dengan gaya dan cara penyampaianya dalam dialek Kelantan "berencakkan" gaya tok dalang wayang kulit. Beliau suka menggunakan mantik atau gaya kampung dan mengupas isu-isu serta menjawab hujah lawan secara beranologi dan jenaka. Cara ini jarang dikuasai oleh penceramah lain khasnya generasi muda. Cara ceramahnya juga menyebabkan pendengar khasnya golongan tua ralik dan terpengaruh dengan apa disampaikan.

Beliau tidak memaki hamun lawan tanpa tentu fasal. Segala isu dijawab dengan sindiran dan anologi yang cukup berkesan serta disertakan hujah-hujah tersaul dek akal. Sewaktu seorang Exco Kelantan menuduh tanah bangunan pusat khidmatnya yang diberikan kepada Amanah, kononnya tanah itu anugerah kerajaan, beliau menjawab tuduhan itu dengan meminta Exco berkenaan tidak "tebolah" dan mempelajari sedikit seluk pentadbiran tanah. Selepas jawaban itu Exco itu diam tidak terkutik.

Selepas Asar semalam, setelah dimasukan ke Hospital Kota Bharu selama empat hari Rusli mengembuskan nafas terakhir. Allahyarham meninggakan seorang balu. Kesihatannya merosot ke belakangan ini terutamanya selepas kematian anaknya beberapa bulan lepas.

Pemergiannya mengejutkan kawan dan lawan, tentu sekali orang paling rapat dengannya dan terasa dengan hilangan beliau ialah Husam. Beberapa jam sebelum Rusli menghembuskan nafas terakhir, Husam sempat menziarahi arwah di hospital dan membaca ayat-ayat Quran sebagai mendoakannya.

Rusli tetap akan dikenang sebagai seorang ahli politik yang setiakawan. Salahuddin Ayub yang pernah berlawan dengannya mengutuskan coretan dengan menyifatkan, Rusli sebagai seorang rakan politik yang profesional dalam perjuangan dan berfikiran terbuka senantiasa berpolitik rentas sempadan.

Semoga segala jasa dan budinya diperakui Allah s.w.t. dan rohnya dicucuri rahmat. [wm.kl.6:17 am 28/07/17]

No comments: