Wednesday, July 5, 2017

Bahasa Melayu - ketegasan Zahid dihargai

SUSUPAN PETANG

Tindakan melonggarkan syarat lulus Bahasa Melayu peringkat SPM untuk dilantik secara kontrak Pegawai Perubatan Grade 41 yang menjadi polemik sehari dua lalu kini telah selesai apabila Kabinet memutuskan kelonggaran itu ditarik balik hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini mengumumkan perkara itu. Tindakan beliau itu tepat dan sangat dialu-alukan. Tindakan Zahid itu pasti mendapat tepuk sorak kemenangan di kalangan pencinta bahasa Melayu dan pejuangnya. Syabas.
 
Keputusan Kabinet itu juga membuktikan bahawa dalam jiwa TPM itu masih kuat semangat Melayu dan cintakan bahasa ibundanya.

 Tindakan itu adalah tepat untuk meletakkan bahasa Melayu berada di darjatnya sesuai dimaktubkan dalam perlembagaan di bawah Perkara 152 Perlembagaan Negara. Terima kasih juga kepada pihak-pihak yang memberi reaksi segera dan mengecam langkah melonggarkan syarat itu. Mungkin kalau tidak ada reaksi segera yang lantang dan bersepadu syarat itu termansuh terus.

Kelonggaran syarat itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan Dr S.Subramaniam 2 Julai lalu yang disokong oleh Ketua Pengarah Kesihatan Norhisham Abdullah kononnya ia direstui oleh JPA. Kelonggaran itu dilihat dibuat tanpa perbincangan dan tidak peka kepada sensitiviti orang Melayu.

S Subramaniam adalah presiden MIC parti yang menjadi rakan utama kepada Umno dalam BN seharusnya beliau peka dan memahami masalah bakal membara dari keputusannya itu. Manakala Ketua Pengarah Kesihatan  dan Ketua Pengarah JPA perlu lebih peka daripada Subramaniam.

Walaupun polemik dan isu itu sudah boleh dianggap selesai dengan keputusan Kabinet hari ini, tetapi apa yang berlaku itu adalah peristiwa yang perlu diambil iktibar oleh semua pihak dan pastikan jangan berulang lagi. S Subramaniam dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Zainal Seman khasnya perlu lebih berhati-hati. Zainal dengan kedudukannya dilihat sebagai bersubahat dengan kelonggaran itu?

Sepatutnya baik S. Subramaniam dan Zainal lebih berhati-hati untuk membuat perubahan atau kelonggaran sebarang syarat atau pindaan dalam bab-bab sensitif begitu kerana ia boleh menimbulkan masalah dan kemarahan. Isu bahasa Melayu sama dengan kedudukan isu agama Islam yang tidak boleh dipermain-mainkan atau dijadikan bahan percubaan untuk mengusiknya dengan sebarang motif.

Semasa memberi justifikasi kenapa syarat itu dilonggarkan S Subramaniam menjelaskan ia adalah untuk memberi peluang kepada segelintir siswa berkelulusan dalam bidang perubatan yang mendapat pendidikan di luar untuk dilantik secara kontrak. Menurutnya kebanyakan mereka (23 orang) adalah berbangsa Melayu yang mendapat pendidikan di luar negara termasuk anak-anak bekas pegawai diplomatik.

Itu bukan alasan yang boleh diterima. Beliau harus mengerti, (samji) dudukan bahasa Melayu lebih tinggi daripada kedudukan mereka dan seharusnya S Subramaniam mempertahankan bahasa Melayu daripada cuba mengatasi masalah mereka itu tidak seberapa itu.

Jika mereka ingin juga berkhidmat dalam bidang itu, mereka harus mengikuti syarat yang telah ditetapkan sebelum ini. Jangan kerana mereka syarat-syarat yang cukup terhormat itu diubah. Perhatian juga kepada Pengarah JPA Zainal itu agar beliau lebih menunjukkan semangat nasionalisnya kepada bahasa Melayu. Beliau orang Melayu yang diletakkan di situ seharusnya menjadi pembela kepada kedaulatan bahasa Melayu. Jangan hendaknya beliau akan dituduh harapkan pagar, pagar makan padi pula.

Apabila S Subramaniam memberi penjelasan kelonggaran itu untuk membantu 23 orang anak-anak Melayu rasanya ia adalah alasan sahaja. Tanpa prejudis beliau mungkin ada maksud lebih jauh daripada itu. Dengan melonggarkan syarat itu mungkin juga siswa India dan Cina dalam bidang perubatan yang mendapat pendidikan di luar negara turut mendapat manfaatnya?

Mungkinkah begitu?

Bukan niat saya untuk menuduh dan mengata kepada sesiapa dalam hal ini tetapi kemungkinan-kemungkinan kelonggaran syarat itu ada motif terselindung tidak boleh dinafikan.

Sekali lagi tahniah kepada Zahid kerana tegas dalam hal menjaga maruah dan martabat bahasa Melayu ini. Semoga beliau juga akan tegas dalam hal-hal atau aspek lain khasnya keselamatan yang dilihat masih banyak kelemahan dan kelompongannya dimana ia sangat memerlukan keprihatinan dan tindaktegas daripadanya sebagai seorang nombor dua negara. [wm.kl.7:40 pm 05/07/17]

1 comment:

Unknown said...

Saya kesal dgn Kerajaan Negeri Sarawak yang tidak menggunskan Bahasa Melayu untuk acara acara rasmi di negeri berkenaan. Sebaliknya mereka lebih galak menggunakan Bahasa Inggeris untuk sidang media sedangkan tidak pun melibatkan orang luar negara.