Sunday, August 26, 2018

Dua perkara perlu disegerakan kerajaan Harapan

SUSUPAN MINGGU

ADA dua perkara besar yang belum dapat diuruskan oleh kerajaan Harapan di mana dua perkara ini sangat mendesak dan jika ia tidak diberi fokus ianya bakal menyusahkan usaha untuk membina Malaysia baharu yang diimpi-impikan.

Pertama, mewujudkan media massa arus perdana baik elektronik atau cetak untuk menjadi agen penyampai maklumat dan jambatan pentambung kerajaan dengan rakyat sekaligus menjadi propagandis kepada kerajaan Harapan.

Walau negara kini mempunyai dua media arus perdana berbahasa Melayu, Utusan Malaysia dan Berita Harian serta media elektronik TV3, tetapi media itu gagal untuk menjadi media arus perdana  apa lagi bertindak menjadi propagandis kepada kerajaan Harapan. Media berkenaan masih berfungsi menjadi media massa yang mendukung kerajaan dahulu dengan menggunakan kebebasan yang dikecapi kini.

Kerajaan tidak pun memberi apa-apa isyarat agar media berkenaan bergerak mengikut arus seperti mana peranan yang dimainkan media berkenaan dalam kerajaan terdahulu, ini menjadikan media berkenaan bergerak bebas tanpa rasa ada sebarang sekatan. Pemberitaan mereka memual dan mencabar kesabaran kerajaan serta rakyat pendukungnya.

Laporan dibuat oleh media berkenaan masih menampakkan kecenderungan dan simpatis mereka kepada kerajaan terdahulu. Apa yang berlaku dan dilakukan media tersebut berbeza kepada semasa kerajaan kini menjadi pembangkang dahulu dengan bekas kerajaan dahulu menjadi pembangkang kini.

Suasana ini tidak kondusif kepada kerajaan kini yang memerlukan alat untuk menyampaikan dasar dan polisi baharu mereka sesuai dengan aspirasi rakyat. Ketiadaan alat ini boleh membantutkan usaha murni kerajaan.

Justeru kerajaan perlu membentuk media massa arus perdananya sendiri sama ada cuba menguasai saham milik individu atau entiti menguasai media massa berkenaan atau pun menubuhkan media massa baharu. Atau pun sekiranya kerajaan tidak ada kewangan dalam mewujudkan media massa arus perdana mereka, mungkin penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang dirancang sejak lama dahulu boleh disegerakan.

Dengan adanya MMM ia dapat mengawal media massa bersikap adil, terbuka dan penuh profesionalisme yang boleh membantu kerajaan mencapai hasrat dan tujuannya.

Perkara kedua pengemasan agensi-agensi kerajaan. Masih banyak agensi kerajaan dibawah kementerian dilihat masih longgar dan menjadikan agensi berkenaan belum mantap sebagai agensi kerajaan sepatutnya. Kerajaan harus mengenal pasti mana-mana agensi disetiap kementerian yang lemah atau masih longgar agar diperkemaskan segera bagi menjamin agenda kerajaan dipenuhi.

Terdapat beberapa agensi tidak menunjukkan komitmen tinggi kepada kerajaan kerana ia masih diterajui oleh "oknum" (individu atau kumpulan) yang simpati dengan kerajaan dahulu. Terdapat jelas ketua-ketua agensi enggan mematuhi atau memenuhi kehendak kerajaan. Setengahnya hadir ke pejabat ala kadar sahaja tanpa menunjukkan sikap sedia untuk bersama kerajaan. Sikap mereka memerhati dan tidak mahu memberi idea satu sikap tidak membantu kerajaan dan boleh dianggap mensebotaj kerajaan.

Mana-mana ketua agensi yang gagal menunjukkan kerjasama baik, apa lagi yang masih bersimpati dengan kerajaan dahulu sehingga menyebabkan agensi di bawah seliaan mereka kaku tidak menunjukkan semangat Malaysia Baharu perlu diambil tindakan segera tanpa banyak berkompromi.

Janji kerajaan untuk tidak menempatkan aktivis — orang parti politik dalam badan-badan tertentu, mengawasi agensi kerajaan atau syarikat berasaskan kerajaan ia baik, tetapi apabila badan itu gagal berfungsi merealisasikan hasrat kerajaan itu perlu diubah.

Apa yang penting ialah segala dasar dan polisi kerajaan berjalan secara berkesan. Tidak ada makna kerajaan memberi kebebasan bersuara, atau tidak mencampurkan urusan pentadbiran dengan politik, kalau ia jelas merugikan kerajaan kerana cara itu mengsia-siakan mandat yang diberi rakyat.

Perubahan dan pembaharuan yang hendak dipraktikkan kerajaan terutamanya, tidak mahu mencampurkan politik dengan pentadbiran — kuasa awam,  harus dipantau agar ia berkesan dan bukan retorik. Apa dibimbangi sikap yang baik dan demokratik itu jangan sampai memakan diri sendiri. [wm.kl.12:28 pm 26/08/18]

No comments: