Tuesday, August 21, 2018

Abdullah Sani perlu jelaskan kekeliruannya kepada Dr Mahathir

ULASAN 

Abdullah Sani Abdul Hamid.
ANWAR Ibrahim menafikan ada halangan terhadapnya untuk menjadi perdana menteri mengganti Dr Mahathir Mohamad, seperti mana yang dikonsensuskan. Katanya, beliau tidak ada maklumat mengenai perkara itu. Cerita kononnya ada halangan untuk Anwar jadi Perdana Menteri ditimbulkan oleh ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid dalam satu ceramah kempen team Rafizi Ramli di Seremban baru-baru ini.

Abdullah mendakwa orang yang menjadi dalang di sebalik penghalangan itu ialah Daim Zainuddin. Kenyataan Abdullah Sani itu menjadi kontroversi dan menimbulkan rasa kurang senang apabila beliau turut sama menyebut nama Dr Mahathir. Jika hanya nama Daim diungkit mungkin ia tidak menjadi masalah. 

Daim bukan menjadi idola rakyat seperti Dr Mahathir. Daim hanya menumpang tuah Dr Mahathir sahaja dalam politik hari ini dan cuba menunjukkan dialah mastermind politik Malaysia baharu.
Ekoran itu berlaku tembak menembak di antara sebahagian orang PKR dengan orang Bersatu. Pihak musuh Umno dan Pas apa lagi tidak tertangguh seminit pun untuk melambungkan isu berkenaan untuk kelabaan mereka.

Dr Mahathir tersinggung dengan dakwaan Abdullah Sani itu sehingga beliau secara tidak langsung meminta “orang” menuduh hal itu (Abdullah Sani) mengemukakan bukti. Sebagai seorang yang berfikir dan bertindak secara praktikal Dr Mahathir mengharap bukti untuk beliau ketahui dan bertindak. Abdullah bagaimana pun tidak mendedahkan bukti sebalik berselindung dengan bersimpang kata Dr Mahathir tahu bukti itu kerana dirinya adalah sebahagian bukti.

Jauh kahsyaf Abdullah Sani membaca makrifat Dr Mahathir. Sikap awal Abdullah Sani itu semacam dia konsiten dengan tuduhannya tanpa menghiraukan balunan daripada pihak lain.

Selebihnya Abdullah Sani memberi hujah, sejarah politik atau chemistery politik di antara Dr Mahathir, Daim dan Anwar, sebahagian daripada bukti apa yang ditunding itu. Apa yang hendak dimaksudkan Abdullah Sani, dakwaan beliau itu berdasarkan kepada sejarah lampau dengan menyedari bahawa segmen dan episod dalam politik sering kali berubah. Memang chemisteri di antara ketiga tokoh itu senantiasa bermain dalam kepala khalayak.

Memang sejarahnya begitu. Dunia semua tahu peristiwa pemecatan Anwar tahun 1998 yang merupakan satu konspirasi politik. Dan orang tahu siapa konspiratornya ketika itu, Daim dan Dr Mahathir disebut. Malahan dalam kasus dan tragedi menimpa Anwar itu nama Daim disebut banyak kali. Bahkan Daim dikatakan orang yang meminta Anwar berundur secara terhormat sebelum Dr Mahathir merekayasa tuduhan untuk menyingkirkan Anwar dengan kasus liwat.

Jadi berdasarkan chemistry itulah Abdullah Sani membuat kenyataan berandaian, ada orang hendak halang Anwar. Kerana tawarih itu juga maka apabila Abdullah menyebut nama Daim dan Dr Mahathir ia cepat tersaul dek akal umum.

Apabila kita menyelam ke dasar politik dalam PKR sekarang ini, nama Daim dan Dr Mahathir itu hanya sengaja dibabitkan sahaja. Yang hendak dituduh dan diserang Abdullah Sani adalah sosok lain. Dia adalah Azmin Ali sebab itu Rafizi diangkat untuk menjadi timbalan presiden. Inilah sasarannya. Daim dan Dr Mahathir hanya watak sampingan sahaja. Azmin ialah yang sebenarnya dimaksudkan oleh Abdullah Sani. Bagi Abdullah Sani, Azmin dilihat menjadi alat atau sedia menjadi alat bagi menghalang perjalanan Anwar. Hakikat itu ditengok dan diukurkan kepada pemanggungan Azmin dalam mercu koridor politik Dr Mahathir sangat tinggi. Itu.

Ada beberapa perkara “kenasibaikan” diterima Azmin yang tidak disenangi dan dicemburui. Antara perkara yang tidak disenangi dan ia bukan atas kehendak Azmin, ialah pelantikan beliau menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Untuk apa Azmin menerima pelantikan itu sedangkan beliau sudah menjadi MB Selangor. Kesediaan Azmin itulah disuluh sebagai sengaja untuk menggangu emosi Anwar. Tidak cukup dengan dilantik menjadi menteri dilantik pula menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam Khazanah Nasional. Azmin kini dilihat orang rapat dan berada di bawah dagu Dr Mahathir.

Sementara dalam masa sama, dan ini mengelirukan, umum tidak mengetahui apakah pelantikan Azmin ke jawatan-jawatan itu dirujuk kepada parti atau mendapat restu Anwar Ibrahim selaku Penasihat Umum PKR. Anwar sendiri pula tidak menjelaskan dengan nyata perkara itu. Mustahil kalau Azmin tidak memberi tahu sepatah kepada Anwar hatta dengan pesanan ringkas. Jika tidak ia sangatlah tidak beradab. Orang boleh menganggap Azmin kini sudah berkiblatkan kepada Dr Mahathir dan merusukkan Anwar.

Apabila tidak ada penjelasan daripada Azmin dan Anwar sendiri maka ia menimbulkan keraguan dan kesangsian. Bertolak dari itulah menyebabkan ada prasangka yang Azmin dijadikan benteng untuk halang Anwar seperti tohmahan Abdullah Sani. Kesalahan dalam hal ini bukan kepada orang yang berprasangka seperti Abdullah Sani itu tetapi Azmin dan Anwar sendiri.

Anwar telah pun meminta Abdullah Sani menulis surat kepada Dr Mahathir, agar menjelaskan keterlanjurannya demi menjernihkan suasana. Cadangan itu sangat baik dan perlu disegerakan. Abdullah Sani tidak perlu menjadi “tengin” untuk mengakui kesilapan. Jelas kenyataan dan dakwaanya itu menimbulkan kesan buruk kepada keharmonian kerajaan PH. Ia dijadikan sumber dan bahan untuk musuh menyerang dan melihat kerajaan Harapan dalam bahaya.

Saya yakin jika Abdullah Sani menulis surat kepada Dr Mahathir menjelaskan kedudukan sebenar atas kekhilafannya, ia diterima oleh Dr Mahathir. PM seorang yang terbuka dan sedia memaafkan atas perkara yang tidak menyentuh prinsipnya. Tahap kesalahan Abdullah Sani dengan apa dilakukan itu tidak seteruk kesalahan dan tahap Najib Razak dengan skandal 1MDB itu yang tidak boleh dimaafkan Dr Mahathir.

Mana tahu selepas Abdullah Sani akan jadi sahabat atau pun ahli parlimen mendapat pujian Dr Mahathir kerana keberaniannya dalam membela sang ketuanya. Dalam suasana Anwar diwara-warakan terancam, hanya Abdullah Sani yang bangkit membela dan mempertahankan Anwar sehingga beliau kini dikutir dan dicubik termasuk oleh Perdana Menteri sendiri. Yang lain sebelum ini senada dengan ahli parlimen Kapar itu sudah mulai menikus dan menyembunyi kepala dengan menjolorkan ekor.

Semoga selepas ini tidak timbul lagi persepi boleh merosakan keadaan apa lagi menyakiti hati Dr Mahathir yang perlu disokong untuk membina negara. Dan Dr Mahathir juga sesekali perlulah membayangkan beliau sedia akur dengan konsensus majlis presiden untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar dalam masa yang telah ditentukan.

Begitu juga Azmin yang dijadikan umpan untuk memencilkan Anwar dengan Dr Mahathir perlu juga bersikap tegas dan menyatakan pendirian. Azmin perlu lebih menunjukkan concern nya kepada hasrat Anwar yang menjadi hasrat rakyat itu. Walaupun Azmin ada menyimpan benih untuk jadi PM tetapi beliau harus sedar dia kena menerusi Anwar. Anwar adalah junjung kepala Azmin yang tidak akan ke mana kalau Azmin tidak menuruti junjung. Azmin adalah “creeper” (tumbuhan menjalar) dalam politik, manakala Anwar adalah teras atau junjungnya.

Manakala Anwar pula diharap bersabar dan terus berdoa. Tidak akan lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia. Mengejar lembu tempang untuk korban meletihkan kita kerna sesudah ia terjatuh lembu itu tidak afdal lagi untuk dikorbankan kerana cacat. Kita mahukan Anwar jadi PM walaupun hanya satu hari. [wm.kl.11:24 am 21/08/18]

No comments: