Monday, August 6, 2018

Semangat ditunjuki William Leong perlu dicontohi

SOROTAN

AHLI parlimen Selayang daripada PKR William Leong Jee Keen dilaporkan bersedia untuk
William Leong Jee Keen
mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim membolehkan bakal Presiden PKR itu memasuki ke parlimen jika ia diminta berbuat demikian.

Menurut William beliau percaya ke semua 51 ahli parlimen PKR sedia mengosongkan kerusi untuk Anwar kalau diminta berbuat demikian, termasuk dirinya.

Walaupun perkara ini adalah khabar angin namun pernyataan William itu menggambarkan penghormatan beliau kepada Anwar sebagai pemimpin sangat tinggi. Seharusnya bukan sahaja William bersedia berbuat demikian tetapi ahli parlimen lain juga termasuk isteri Anwar, Dr Wan Azizah dan anaknya sendiri Nurul Izzah.

Khasnya ahli parlimen lain yang kurang menyerlah, lebih sesuai untuk mengosongkan kerusi dan mereka boleh bebuat demikian kerana pertukaran dengan Anwar kelak akan memberi makna dan erti besar kepada rakyat di sesuatu kawasan yang diwakili wakil rakyat itu. Tentu sekali bagi Anwar tindakan itu amat dihargainya.

Walau pun dari segi semangat demokrasi, tindakan mengosongkan kerusi untuk memberi peluang kepada seseorang itu dilihat tidak begitu elok, tetapi ia boleh dipertimbangkan untuk Anwar yang telah disepakati untuk mengganti Dr Mahathir sebagai PM ke 8 selepas ini.

Seharusnya Anwar perlu berada dalam parlimen sebagai persediaan awal kerana kalau ditunggu sehingga habis penggal parlimen ke 14 ini ia masih lama lagi.

Keperluan lain juga ada untuk Anwar berada dalam parlimen khususnya untuk membantu kerajaan pimpinan Dr Mahathir. Ada kepincangan dan kelompongan dalam kerajaan hari ini khasnya yang terpamer oleh beberapa anggota kabinet yang kebanyakan kurang pengalaman. Kekurangan itu tentu dapat dipenuhi oleh Anwar yang berpengalaman sebagai anggota kebinet di era Dr Mahathir.

Walaupun kemasukan Anwar ke dalam parlimen nanti tidak semestinya beliau terus mengambil alih kerusi TPM yang kini disandang oleh isterinya, tetapi ruang parlimen, kesempatan untuk beliau berbahas akan membantu kerajaan dan juga Dr Mahathir sendiri. Kehadiran Anwar nanti membawa signifikan tersendiri.

Sebelum ini Anwar menolak cadangan dilantik ke kabinet atas sebab-sebab tertentu dengan alasan beliau mahu berihat dalam tempoh perjanjian dua tahun sebelum jawatan itu diserahkan kepadanya. Namun kerana menyedari ada keperluan untuk beliau lebih hampir dengan Dr Mahathir dan kerajaan, maka elok kalau beliau memulakan langkah memasuki parlimen.

Kemasukan segera Anwar ke dalam parlimen juga boleh mengendurkan berbagai spekulasi yang timbul di antara beliau dengan Dr Mahathir di mana ada spekulasi itu boleh meretakkan perpaduan dalam Pakatan Harapan sendiri. Sebenarnya fenomena ini yang perlu dilihat untuk mempercepatkan Anwar berada dalam kabinet dan parlimen.

Berbalik kepada laluan bakal diberikan oleh William Leong itu ia sesuatu pengorbanan besar dan perlu dihormati. Seharusnya kesemua 51 wakil rakyat PKR mempunyai semangat dan ketulusan seperti ahli parlimen Selayang itu. Mereka perlu meletakkan agenda perjuangan dan parti di hadapan bukan menjadikan jawatan dan kedudukan untuk diri sendiri.

Semua pihak harus menyedari keadaan kerajaan kini memerlukan paduan kepimpinan Dr Mahathir bersama Anwar. Rakyat merindui paduan mereka sebelum ini ketika mana Anwar menjadi TPM pada tahun 1993 sehingga beliau dipecat tahun 1998. Dalam keadaan negara perlu disusun semula akibat dirobek-renyokkan oleh regim Najib penyatuan kedua tenaga dan buah fikiran tokoh itu sangat diperlukan. 

Kita yakin kalau Dr Mahathir kembali berganding dengan Anwar seperti 20 tahun lalu negara berada dalam landasan terbaik dan kepincangan dan kerobekan negara yang berlaku kini akan segera dapat diatasi. Mereka tidak perlu kepada persefahaman baharu cuma mengembalikan nostalgia dan kecemerlangan yang mereka catat bersama sebelum ini. 

Kedua mereka perlu meletakkan impian dan aspirasi rakyat diurutan teratas. Tidak dinafikan rakyat berharap gandingan mereka berdua dapat menyelamatkan negara daripada terus ditekan dengan pelbagai masalah yang ada kini walaupun ia hanya untuk beberapa tahun sahaja.

Mungkin ada yang bertanya bilakah masa sesuai untuk kerusi Selayang atau mana-mana kerusi dikosongkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Pada kita masa terbaik ialah selepas PKR selesai menjalani proses pemilihan pada bulan hadapan. 

Dan sudah tentu kesediaan William Leong mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Anwar itu perlu dibalas sebaik mungkin, balasan terbaik ialah dengan mengangkatnya sebagai salah seorang naib presiden PKR. William merupakan salah seorang calon naib presiden PKR. 

Dalam pada itu dari maklumat lain, saya diberitakan terdapat seorang ahli parlimen bebas telah menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusinya bagi diadakan pilihan raya untuk membolehkan Anwar berada dalam parlimen. Wakil rakyat berkenaan merupakan seorang yang pernah berada dalam satu wadah dengan Anwar, yakni Abim. [wm.kl.7: 19 pm 06/08/18]

Post a Comment