Saturday, January 25, 2020

Peralihan kuasa bukan untuk kepentingan Anwar?

PANDANGAN

PERALIHAN kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim bukan sahaja untuk kepentingan kedua individu itu tetapi membawa "maslahah" atau faedah dan memberi signifikan besar daripada itu.

Jangan salah anggap ia semata-mata untuk kepentingan Anwar yang dilihat sudah lama menanti untuk menjabat jawatan itu dan beliau didambakannya oleh banyak rakyat.

Memang lama Anwar dan rakyat khasnya penggerak reformasi menanti kerusi itu. Sudah lebih 20 tahun, rakyat menunggu beliau akan berada di kerusi nombor satu negara itu.


Justeru usah melihat Anwar terdesak dengan penantian itu tetapi ada hal lain lagi yang lebih terdesak dan sepatutnya itu diutamakan.

Dan peralihan kuasa itu juga dinanti bukan untuk menyelamatkan Dr Mahathir daripada terus dikecam dengan berbagai kecaman kata-kata sadis; seperti tamak, diktator dan sebagainya, ekoran kelemahan ketara kerajaan PH kini.

Tetapi ia adalah untuk melihat perubahan dalam medium dan landskap politik negara dan senario politik Malaysia di mata dunia seluruhnya.

Selain itu peralihan kuasa itu juga demi membuka era dan dimensi baru Malaysia di mata dunia dengan ketuanya dipimpin oleh tokoh baharu dan bukannya oleh tokoh yang dikitar semula.

Hakikat yang perlu difahami umum, dan juga oleh Dr Mahathir sendiri, beliau adalah PM yang dikitar semua. Dari satu sudut, kualiti PM Malaysia ini adalah orang yang diperbuat dari bahan sama yang mana tidak banyak mempunyai perbezaan dengan PM sebelum ini, Dr Mahathir.

Tidak perlu dipakai atau dicat dengan apa-apa warna pun kepada Dr Mahathir ia tetap hakikat atau tokoh sama. Lantaran orang menanti kemunculan dan juga penanganan oleh seorang perdana menteri yang fresh. Orang mahu melihat dan menanti apakah perubahan dan pembaharuan yang bakal dilakukan oleh Anwar.

Selama tiga dekad beliau menunggu dan memengandungkan idea dan wawasannya untuk dilaksanakan. Sebenarnya segala idea dan wawasan Anwar itu sudah sarat dalam kandungan mindanya, sehingga sudah berlebihan lemak. Dalam istilah lain Anwar mungkin sudah kemandulan kerana lambat menjabat jawatan itu.

Begitu juga peralihan itu bukan atas "penunaian" konsensus yang dijanjikan. Tetapi apa perlu dilakukan dengan tujuan dan maksud lebih besar dan global daripada itu. Konsensus itu adalah kebetulan yang terbentuk daripada persefahaman politik semata-mata.

Apa yang ditunggu daripada peralihan itu kelak, bukan sahaja nama PM itu berubah dan bertukar daripada Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim. Orang bukan setakat mahu mendengar pembaca berita di Tv membaca, "Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim," bla bla, tetapi menanti kesan lebih besar daripada itu. Kehadiran Anwar adalah untuk membuang rasa jengkel dan mual orang ramai yang sudah loya mendengar nama Mahathir dikaitkan dengan jawatan perdana menteri setiap kali muncul dalam media massa atau media sosial.

Apabila Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, beliau akan membentuk kerajaannya sendiri. Beliau tidak sama sekali mengekalkan jemaah menteri yang ada, walaupun berpegang kepada kuota sama mengikut komponen parti-parti yang ada. Kebinat Anwar itulah nanti akan menjadi aset atau pun perubahan yang ditunggu-tunggu ramai dengan penuh keterujaan. Kabinet itulah yang ditunggu-tunggu.

Kerana melihat hakikat itu, maka perubahan kabinet Dr Mahathir sudah tidak pun diperlukan lagi. Walaupun ada desas desus dan desakan agar Dr Mahathir membubar kabinet selepas Tahun Baru Cina ini ia tidak diperlukan lagi. Perubahan dan rombakan kabinet untuk membaiki kelemahan dan kepincangan kerajaan PH tidak merupakan sesuatu yang mendesak lagi. Ia tidak penting lagi.

Kononnya selepas Tahun Baru Cina Dr Mahathir akan melakukan rombakan kabinet. Itulah yang sedang ditabur. Salah satu percakapan umum yang "lacat" kononnya Dr Mahathir akan melantik anaknya Mukhriz sebagai menteri pendidikan. Walaupun ia mungkin ada asas tetapi saya tidak fikir ia berlaku.

Sesungguhnya Dr Mahathir tidak perlu berpaling kepada desakan berbagai pihak dalam PH sebelum ini agar merombak kabinet sebagai tanggungjawab kepada kekalahan PH dalam Piraum khususnya di Tanjung Piai tempoh hari.

Barangkali beliau sendiri tidak yakin rombakan itu dapat memulihkan kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan PH. Lakulah apa-apa pun Dr Mahathir sudah tidak memiliki aura untuk memberi imej kepada kabinetnya.

Maka adalah tidak perlu untuk beliau membuat rombakan kabinet, apa lagi kalau rombakan itu nanti setakat menukar portfolio atau jabatan menteri tertentu. Melainkan menerusi rombakan itu nanti dibawa masuk beberapa orang muka baru yang lebih diyakini kemampuan mereka, barulah rombakan itu membawa sedikit makna.
Sekiranya dalam rombakan itu hanya sekadar menukar portfolio tetapi tidak penjawatnya, ia samalah seperti menukar arak ke dalam botol kicap, dan membubuh kicap ke dalam botol arak. Kicap tidak jadi haram dan arak tidak jadi halal.
Menyedari kebolehan dan ketidakkeberkesanan beberapa menteri yang ada dalam kabinet kini, seharusnya mereka juga turut hanyut bersama Dr Mahathir sebaik perdana menteri 94 tahun itu meninggalkan kabinet Malaysia kelak.

Mereka juga mesti jadi seberani dan seikhlas Mahathir untuk meninggalkan kabinet sekiranya mereka sayang dan bertanggungjawab ke atas kerajaan PH.

Jika mereka juga menumpang untuk jadi liat urat mengaku mereka masih berbisa dan tidak mahu  meninggalkan kabinet maka mereka juga sama seperti Dr Mahathir.

Saya tidak berhajat untuk menyebut satu persatu nama-nama menteri yang dilihat tidak berkeupayaan untuk jadi menteri dan membangun imej kerajaan PH. Mungkin cukup kalau saya menyebutnya beberapa nama, seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Gobind Singh Deo, M Kulasegaran, Mohamaddin Ketapi sebagai contoh bagi menggambarkan keluyuran kabinet Dr Mahathir.

Mereka ini adalah contoh menteri yang tidak berkeupayaan atau pun mendapat keyakinan daripada rakyat di mana keberadaan mereka bukan menguntung tetapi merugikan kerajaan. [manjung. prk. 8:17 pm 25/01/2020]

No comments: