Wednesday, June 3, 2020

Bukti dan dalil baru jelaskan hakikat yang berlaku

JELANG DHUHA

Gambar ini mencerita dan mendedahkan seribu makna.
DENGAN tersembur atau terdedahnya beberapa maklumat baru dari sumber atau dalil akli yang dapat disaksikan, menyebabkan kita perlu menilai semula setiap apa yang ditanggap dan dirumuskan sebelum ini berhubung peristiwa kudeta ke atas kerajaan PH tempoh hari.

Sekurang-kurang ada tiga sumber maklumat atau dalil baru yang boleh dijadikan asas untuk dinilai semula ke atas kejadian itu, mencari kebenaran dan mengurangkan ketersasaran tanggapan sebelum ini.

Sumber atau maklumat berkenaan ialah pendedahan rakaman audio mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari, kedua, rakaman audio yang membabitkan mesyuarat MPT, Parti Peribumi Bersatu (PPBM) yang berlangsung pada 23 Februari, dan satu lagi sekeping gambar yang dikira eksklusif memaparkan pertemuan presiden parti politik pembangkang dengan Dr Mahathir Mohamad. Sumber dan maklumat baru ini penting.

Ketiga-tiga sumber atau bahan bukti ini terdedah selepas lebih sebulan kerajaan PH tumbang dan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri. Mungkin kalau maklumat atau sumber ini terdedah awal, tidak begitu luas jurang kesasaran dalam mentafsir dan membuat andaian berhubung kejadian itu. "Sayang cik Minah bulu ketiak panjang (haha)."

Sebelum munculnya tiga sumber atau bukti itu, menyebabkan berlaku berbagai andaian dan telahan berkaitan peristiwa berkenaan, khasnya mengenai punca kenapa berlaku rampasan kuasa tempoh hari. Rata-rata sebelum ini dengan berlakunya tragedi rampasan kuasa tersebut minda umum diajak meletakkan faktornya kerana sikap Dr Mahathir Mohamad yang berdegil untuk tidak menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim. 

Ada orang berhujah secara simplistik, kalau Dr Mahathir tetapkan tarikh ia tidak akan mengheret hingga jatuhnya kerajaan PH. Tetapi kalau memahami dan mengetahui bahawa gerakan itu dimulakan secara bersepadu sejak awal lagi, jelas tanggapan simplistik itu tidak tepat. Tidak siapa menduga perancangan secara bersama itu mampu menjatuhkan kerajaan PH. Kerana bersikap "tak pa" dan acuh tidak acuh, itulah maka akhirnya ia membedal diri. Seorang menteri masih berkerja pada hari kerajaanya tumbang.

Ada orang menyalahkan kepada bekas PM itu kerana bertindak melepaskan jawatan PM tanpa berunding terlebih dahulu dengan komponen PH. Secara munasabahnya memang benar begitu, beliau sepatutnya rujuk kepada PH, atas alasan persetujuannya menjadi PM hasil konsensus PH.

Tetapi kalau memahami perasaan dan dirinya yang tertekan pada masa itu, menyebabkan apa dilakukan Dr Mahathir itu wajar. Sesiapa pun yang berada di tempatnya ketika itu, ditekan dan diasak, dan sebagai seorang lelaki berusia hampir 94 tahun akan goyah dan hilang timbangratanya. Simpulan bahasa berbunyi "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga."

Apa lagi di sudut hatinya memang ada perasaan was-was dan tidak ikhlas untuk memberikan laluan itu kepada Anwar seperti diucapnya. Kenyataanya selepas dijatuhkan secara jahat membuktikan perkara ini, apabila beliau masih memperkecilkan Anwar, kononnya Anwar tidak layak jadi perdana menteri, tidak pandai mentadbir dan kuat bermain politik. Kenyataan itu membuktikan bahawa Dr Mahathir tidak dapat melindungi kecacatan hasrat hatinya.

Selain itu, ada tuduhan lebih keras kepada Dr Mahathir kononnya beliau bersuhabat dalam menjatuhkan kerajaan PH itu. Kononnya beliau hanya bersandiwara sahaja, bermuafakat dengan Muhyiddin penuh tektikal. Ada kebenaran mengenai andaian itu, tetapi dengan penemuan sumber dan maklumat baru serta perkembangan dalam parti PPBM ketika ini menyebabkan tuduhan itu boleh ditinjau semula kalau pun tidak ditarik balik.

Timbul saat krisis.

Berhubung sumber dan maklumat baru itu, khususnya rakaman audio mesyuarat dan gambar, ia muncul apabila krisis kepercayaan di antara Muhyuddin dan Mahathir berlaku. Sekiranya kedua mereka tidak bergaduh merebut kekuasaan dalam PPBM, sampai aksi pecat memecat, pasti dua sumber dan dalil itu tidak akan muncul. Maka kita perlu berterima kasih atas sengketa kedua mereka sehingga mendedahkan rahsia kejahatan kedua-duanya.

Dan dari aspek sunatullah, sumber itu muncul dengan sendiri kerana sudah menjadi lumrah sesuatu yang tidak baik itu tetap juga akan muncul di kemudian hari. Kebatilan itu akan lenyap apabila kebenaran itu muncul.

Dan kesimpulan ke atas segala kesimpulan berhubung kehilangan kerajaan itu, asasnya tidak dapat dielakkan kerana Mahathir tidak mahu melepaskan jawatan itu kepada Anwar. Sikap dolak dalihnya itulah membuka peluang kepada musuh untuk mencuri kerajaan berkenaan.

Sebaliknya pula, kalau dianalisa bahawa apabila beliau menyebut peralihan akan berlaku selepas APEC (November) menyebabkan musuh-musuh dalam selimut makin giat menjalankan usaha mengagalkan Anwar jadi PM. Mereka sangat bimbang dengan janji Dr Mahathir itu apabila ia dilaksanakan, maka peluang dan cita-cita mereka terlepas. Mungkin mereka menyedari mengenai prinsip Mahathir bila berjanji, cuma masa sahaja tidak pasti. Ia pernah berlaku semasa beliau berjanji untuk meletakkan jawatan PM semasa dalam Umno dahulu. Ironisnya janji Dr Mahathir itu pula disangsi oleh pihak Anwar.

Dilihat dari sisi lain proses rampasan kuasa secara terdesak itu berlaku secepat itu apabila Dr Mahathir telah berjanji untuk melepaskan jawatan itu selepas persidangan APEC. Pengakuan Dr Mahathir dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Febnruari, (atas desakan pimpinan PH kemudian dinyatakan dalam sidang akhbar selepas itu), menjadi garis asas untuk musuh dan mereka yang dengki kepada Anwar bertindak agresif.

Pernyataan Mahathir itu disambut berbelah bagi oleh penyokong Anwar, gembira dan ragu, sebaliknya diterima dengan pahit dan satu ancaman oleh musuh yang mengatur perang dalam selimut.

Apapun  individu yang perlu bertanggungjawab, tidak lain adalah Mahathir. Tetapi siapakah yang menyambung kejahatan Dr Mahathir itu sehingga ia memburai sampai menjadi masalah kepada rakyat dan negara serta menajiskan demokasi? Ini yang perlu dicari bagi mengelakkan kesalahan itu ditimbun dan dihumbankan keseluruhannya ke atas Dr Mahathir.

Dengan ada maklumat baru yang disebut tadi, ia sudah nampak jelas siapakan dalang atau mastermind di sebalik rampasan kuasa itu, kita sudah dapat mengenali siapakah pengkhianat yang sebenarnya.

Mesyuarat Majlis Presiden PH.

Dalam rakaman audio dalam mesyuarat majlis presiden PH itu, jelas suara siapa yang gila-gila mempertahankan Dr Mahathir bertujuan menghalang Anwar, dan suara siapa yang mahukan Dr Matahthir melakukan peralihan kuasa berdasarkan prinsip dan konsesnus PH?

Ia juga menjelaskan sikap dan pendirian Dr Mahathir ketika itu dalam menghadapi situasi yang agak tegang berhubung isu peralihan kuasa itu. Semua orang sudah mendengar segala butir perbincangan, ledakan emosi dan sebagainya dalam mesyuarat itu menerusi rakaman audio tersebut. Anda boleh merujuknya dan cuba menghalusinya sendiri dengan tenang tanpa berganung kepada ulasan bebas.

Bagi saya rakaman mesyuarat itu menjelaskan bahawa pengkhianatan menjatuhkan kerajaan PH itu bermula daripada dalam, dan ia dijayakan dengan adanya persekongkolan daripada luar, daripada musuh-musuh PH, terutamanya Umno dan Pas. Dalam soal ini Umno, Pas dan GPS hanya memiliki saham jahat tidak sampai 40 peratus pun.

Rakaman audio mesyuarat MPT PPBM.

Rakaman audio ini pula menjelaskan siapa menjadi juara menimbulkan masalah dalam PPBM dan secara langsung mengasak Dr Mahathir. Cuba dengar baik-baik suara siapa yang menyarakan memberi tawaran jawatan atau ghanimah kepada Umno dan Pas menyertai kerajaan "baru" itu.  Dengar elok-elok. Dalam mesyuarat itu tidak ada kedengaran keputusan yang Dr Mahathir bersetuju dengan cadangan untuk menubuhkan kerajaan baru yang juga dipimpin oleh Mahathir tanpa DAP itu.

Bahkan Dr Mahathir menafi dan mencabar agar rakaman mesyuarat itu disiarkan sepenuhnya.

Kenyataan-kenyataan selepas itu berhubung apa yang berlaku dalam mesyuarat pada 23 Februari itu menunjukkan Dr Mahathir tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan baru itu. Alasan yang beliau berikan kerana tidak mahu mengkhianati mandat rakyat menerusi PH, tidak sedia bersama penayak dalam Umno dan juga tidak mahu memungkiri janjinya untuk melepaskan jawatan kepada Anwar Ibrahim. 

Dan disimpulkan setelah Dr Mahathir menolak cadangan itulah menyebabkan Muhyiddin menjadi galang ganti sebagai calon perdana menteri dengan sokongan Umno, Pas dan GPS. Muhyiddin disamping PM tidak cukup nombor beliau adalah PM bidan terjun.

Gambar perjumpaan dengan Dr Mahathir. 

Sekeping gambar dimana para presiden parti pembangkang, Zahid Hamidi (Umno), Abang Johari Openg (GPS), Abdul Hadi Awang (Pas), Azmin Ali alias Minrit (seprihan PKR), Mohd Shafei Apdal (Warisan), Muhyiddin Yassin (PPBM), dan seorang lagi tidak cam, menjelaskan apa tindakan mereka seterusnya selepas gagal mendapat persetujuan daripada Dr Mahathir untuk sama-sama melakukan perkhianatan.

Seperti mana dikutip daripada cerita Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kedatangan mereka di rumah Dr Mahathir adalah untuk mengajak Dr Mahathir menghadap Yang Di-Pertuan Agong bagi menubuhkan kerajaan PN dengan Dr Mahathir menjadi PM. Bagaimana pun menurut Syed Saddiq Dr Mahathir tidak bersetuju. Dr Mahathir juga tidak menghadiri ke Sheraton hotel tempat yang dijadikan pengkalan melancarkan serangan.

Bukti-bukti baru ini memberi maklumat tambahan terkini yang boleh memberi kefahaman kepada umum kenapa berlaku kudeta itu dan apakah atau macam mana usaha dijalankan untuk merampas kerajaan PH itu. Bagi mereka yang suka menganalisa dan mengemaskinikan maklumat berhubung peristiwa itu akan terus mendapat penjelasan dan menemui apakah faktor sebenarnya dan menilai sejujurnya siapa yang menjadi puncanya.

Apakah selepas ini masih ada bukti-bukti baru berupa rakaman audio dan gambar-gambar yang boleh bercerita dengan seribu makna? Mungkin sudah tidak ada lagi. Tetapi perkembangan terbaharu apa yang berlaku dalam PPBM ada tanda-tanda bahawa episod kudeta itu masih ada rentetan belum lengsai sepenuhnya. Semacam ada tanda-tanda berlaku perkembangan baru yang boleh mengejut orang ramai. [wm.kl.10:07 am 03/06/2020]

No comments: