Thursday, December 4, 2008

Ulasan Parlimen

Mashitah Kena Keronyok di Parlimen!

SAYANG Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang menjaga hel ehwal agama berada di Makkah. Sudah hampir seminggu Zahid berada di Makkah melayan, memantau dan menjaga kira-kira 25,000 jemaah haji dari Malaysia yang sedang mengerjakan fardu Haji.

Tiap malam Zahid muncul dalam tv memberi laporan semasa mengenai perkembangan di Makkah, mengenai kesihatan jemaah dan keadaan cuaca di sana. Visual menunjukkan beliau melawat ke hospital, meraikan jemaah, bersalaman dengan jemaah setiap malam muncul di skrin tv. Bak melayan dan menghormati orang ini tidak terlawan oleh mana-mana menteri lain. Itulah kehebatan dan kelebihan Zahid yang sudah tersebut di mana saja.

Kenapa saya merasakan sedikit terkilan dengan ketiadaan Zahid di Parlimen hari ini, kerana dalam Parlimen hari ini timbalannya Mashitah Ibrahim (foto sebelah) benar-benar diuji kewibawaannya sebagai timbalan menteri yang menjadi pembantu Zahid untuk menjawab soal mengenai kementerian berkenaan.

Kesian juga saya melihat Senator yang berkulit kuning langsat dan putih macam tapai itu dilayak dan dikeronyok oleh ahli Parlimen. Bertubi-tubi ahli Parlimen jantan bangkit untuk menyoal bekas ahli Parlimen Baling itu. Melihat suasana itu saya merasakan seakan ahli Palimen (jantan) sengaja melakukannya begitu!

Nasib baik Mashitah ini sudah pun pernah berada di Parlimen sebelum ini. Jadi pengalaman yang ditimba sedikit sebanyak dulu selaku Setiausaha Parlimen dapat digunakan untuk melepas serangan bertalu-talu itu. Walaupun beliau dipermainkan tetapi digagahi juga untuk menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan oleh anggota Parlimen lain. Adakanya Mashitah menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan dengan senyuman manisnya saja.

Apa yang saya sempat tengok tadi ialah ketika Mashitah menjawab soalan yang diajukan oleh serikandi Rantau Panjang (ahli Parlimen) Siti Zailah Mohd Yusuf yang mahu tahu berapa banyakkah jumlah hotel di negara ini yang menghidangkan makanan halal dan juga mahu memastikan apakah makanan yang disajikan di hotel itu terjamin tahap kesuciannya?

Soalan Siti Zailan itu dikira 'pisik' kata orang Siam, (hebat) juga kerana ia adalah untuk kepentingan umat Islam. Soalan atau isu-isu begitulah yang ingin kita dengar dan memerlukan jawaban dari menteri. Betapa hari ini umat Islam terdedah dengan pelbagai unsur maksiat, subahat dengan pelbagai bentuk dosa dan aktiviti haram termasuk memakan makanan yang haram atau pun meragukan.

Soal makanan halal diambil berat oleh umat Islam. Bagi mereka yang sangat menjaga hati dan keimanan mereka tidak mudah untuk makan di tempat-tempat yang meragukan. Sebab memakan makanan haram atau bersubahat dengan perkara haram misalnya dibeli dengan duit haram, duit rasuah, duit komisyen jambatan, komisyen pembelian kapal selam atau helikopter adalah haram dimakan atau diberikan kepada anak isteri atau suami.

Perkara ini tidak menjadi penting kepada para perasuah atau mereka yang terbiasa memakan makanan haram yang bukan bersifat daging babi itu. Sebaliknya bagi mereka yang mementingkan soal kesucian hahal dan haram akan bangkit mempersoalkannya. Tahniah kepada Siti Zailah.

Arwah datuk saya Othman Yaacob r.h. pernah menyebut dan melarang keras anak buahnya memakan makanan yang bersubahat atau makanan curi hatta sebiji buah rambutan atau buah bachang kerana makanan itu boleh menyebabkan hati si pemakan akan jadi gelap zulmat. Kalau termakan oleh budak-budak menyebabkan mereka akan jadi 'benak' - susah untuk hafal Quran.

Menurut Siti Zailah kenapa beliau menimbulkan persoalan itu kerana timbul keraguan makanan atau sajian yang disediakan di hotel kebanyakannya meragukan atau tidak halal. Kerana itu beliau mahu kerajaan menyenaraikan hotel-hotel yang menyediakan makanan halal agar diketahui oleh orang ramai. Dengan adanya sijil halal atau pemberitahuan itu boleh menghindarkan orang Islam memasuki atau memakan sajian di hotel berkenan.

Dalam penjelasan tadi Mashitah memberi tahu Parlimen daripada 2,360 hotel hanya 18 buah saja yang mendapat sijil halal daripada Perbadanan Kemajuan Islam (HDC). Ini bermakna tidak sampai 1 peratus atau hanya 0.76 peratus saja yang mendapat sijil halal. Bayangkan betapa umat Islam negara ini yang berkunjung ke hotel terdedah dengan memakan makanan yang tidak halal.

Justeru Siti Zailah dan beberapa ahli Parlimen lain turut mempersoalkan kenapa masalah itu tidak dapat diatasi dan ada ahli Parlimen mempersoalkan kenapa kerajaan tidak bertindak tegas dalam soal ini walhal ianya penting.

Jawaban Mashitah ialah kerana ia tidak mendapat kerjasama daripada pihak hotel dan tidak ada akta khas untuk menguatkuasakan hotel mendapat sijil halal dan menyediakan makanan halal. Selain itu katanya adalah rumit bagi hotel menyediakan dua dapur - halal dan haram kerana ia melibatkan pengubahsuaian dan memerlukan perbelanjaan.

Jawaban itu mengecewakan ahli Parlimen kerana ia seolah kerajaan lebih bersimpati dengan hotel daripada menjaga kewajiban menyediakan makanan halal kepada umat Islam.

Bertolak dari jawaban itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen termasuk dari parti kerajaan melaung agar kerajaan menggubal akta untuk menguatkuasakan pensijilan halal itu.

Di sinilah sayangnya saya desahkan... betapa kalau Zahid Hamidi (foto atas) berada di Parlimen dan menjawab dan memberi penjelasan tentu masalah penyajian makanan halal di hotel yang dibangkit itu tidak berkecamukan seperti siang tadi. Tentu Zahid pandai bersilat dan memberi penjelasan atau jaminan yang boleh memuaskan hati ahli Parlimen semua.

Hendaknya sebaik pulang dari Makkah nanti Zahid akan membaca handserd Parlimen meneliti segala perbahasan di Parlimen siang tadi dan segera membuat tindakan dan penjelasan pada sesi akan datang. Sebaik-baiknya Zahid terus menggubalkan akta khas bagi menguatkuasakan pensijilan halal dihotel-hotel, restoran-restoran mewah, restoran makanan segera dan sebagainya yang terdapat di negara ini. Soal makanan adalah penting dan serius bagi umat Islam dan sewajarnya kalau ia diberikan perhatian segera. [wm.kl. 9:45 pm 03/12/08]

3 comments:

Fendy2177 said...

Salam Tn. Haji.

Saya rasa wajar Kerajaan mendahului langkah memboikot hotel-hotel yang gagal memperolehi sijil halal. Satu arahan mudah boleh dikeluarkan agar setiap Majlis Kerajaan hanya dilakukan di hotel-hotel yang mempunyai sijil halal. Jika dahulu kerajaan berlembut dengan menarik balik larangan mengadakan majlis di hotel kerana rayuan pengusahanya, kini kerajaan kena bertegas dalam soal penyediaan makanan halal di hotel-hotel. Mungkin Tn. Haji boleh panjangkan cadangan ini, terima kasih.

Anonymous said...

Tahniah kerana pendedahan ini. Saya sangat setuju dengan saudara dan juga Fendy. Kerajaan perlu guna kuasa yang ada, apa guna ada kuasa kalau tak gunakannya.Ahli parlimen islam sepatutnya sebulat suara mengusulkan dasar ini untuk kebajikan seluruh umat islam Malaysia dan juga pelancong islam.

Anonymous said...

Dulu tanda halal bawah Jakim kemudian bawah HDC.

Ada yg dah dapat tanda halal dari Jakim. Bukan percuma kena bayar dan lalui pemeriksaan.

Lepas tu kena pulak dengan HDC. Nak kena keluar lagi duit dan macam macam prosedur.

Tanda halal ni alat untuk berniaga atau alat untuk menyenangkan semua orang.

Paling senang pada saya kita keluarkan tanda HARAM logo kat mana mana premis dari tanda Halal.

Ini kerana orang akan tengok yg Haram dan mungkin tidak banyak tempat macam tu. Tanda Halal ni banyak kalau tempat di Malaysia dan bila tanda boleh diniagakan ini yg parah.

Jadi keluarkan tanda HARAM dan bukan tanda HALAL.

Nuno