Semasa pulang berhari raya di Kelantan saya didatangi oleh beberapa peminat politik kampung dan juga rakan-rakan yang hadir pada majlis almuni Sekolah Menengah Rantau Panjang bertanya mengenai masa depan parti baharu yang bakal dilahirkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB).
Himpunan GHB di Dewan Perniagaan Cina KB, penuh. |
Apa lagi, pada malam raya ketiga ada himpunan GHB yang berlangsung di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu Kelantan. Himpunan itu rupa-rupanya menjadi "viral" dalam kepala sesetengah rakyat Kelantan dan ia dinanti-nanti untuk melihat sejauh mana jaya atau sebaliknya himpunan itu. Kononnya majlis itu akan dijadikan sebagai indikator kepada masa depan GHB dan juga nasib Pas Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.
Majlis itu juga akan dijadikan perbandingan dengan satu majlis anjuran kerajaan negeri di Dewan Majlis Daerah Ketereh pada malam sebelumnya.
Lebih jauh daripada itu bagi sesetengah mereka yang alergik dengan kepimpinan Ahmad Yaakub dan Mohd Amr Nik Abdullah, berharap himpunan itu nanti akan memberi petunjuk malang buat mereka. Mereka berharap himpunan GHB itu memberi tekanan emosi kepada mereka berdua.
Pimpinan yang hadir di GHB, merangkap pengasas GHB Kel. |
Kalau hanya untuk memerhati dan memantaunya, cukup menanti laporan dan lepasan status dan gambar-gambar disekitarnya dalam facebook sahaja mengenai event itu.
Selalu berlaku hebahan dalam media baharu dibuat secara adhoc, tanpa mengetahui siapa penganjurnya, justeru sekelar itu sendiri menjadi konfius. Adalah elok kalau hebahan perkara penting dan besar begitu dibuat secara tertib dan ada penanggungjawabnya kerana itu lebih menyakinkan lagi orang ramai. Unsur-unsur untuk memperdaya dan memerangkap tidak wajar dilakukan dalam politik yang menuntut ketelusan dan sikap gentlemen.
Sudah jangka
Awal-awal lagi saya sudah menjangkan beberapa nama yang dimasukkan dalam banting backdrop majlis berkenaan, tidak akan hadir. Saya kira mereka tidak semudah itu untuk terlibat sama begitu jauh ke dalam gerakan itu sedangkan ia baharu diperingkat tajaan dan mengumpul kekuatan bagi kemungkinan menubuhkan sebuah parti baharu. Kalau mereka sokong pun tentulah secara bersembunyi dan lebih berhemah.
Ternyata jangkaan saya tepat, setengah mereka yang terpampang wajah dalam banting backdrop itu tidak hadir atau pun sedia untuk berada di atas pentas bagi dijadikan denak atau pungguk GHB. Kalau ada yang hadir pun berada jauh dari pagar dewan.
Harus difahami senario di Kelantan berbeza dengan keadaan di Pantai Barat atau pun di bahagian tengah dan selatan. Kelantan dan Terengganu adalah dua buah negeri yang didominasi orang Melayu melebihi 80 peratus dan mereka juga mempunyi sikap dan sifat provincial yang menebal. Bagi mereka hanya ada dua buah parti sahaja yang relevan, Pas dan Umno. Mereka menganuti Pas seperti kepercayaan penganut Kristian, Katolik dan Protestant.
Pun begitu, bukan bermakna mereka tidak hadir, menolak usaha rakan-rakan mereka dalam GHB. Mereka absen kerana mereka masih belum merdeka seperti sesetengah rakan mereka yang menjadi pelopor GHB itu, seperti Mohamad Sabu, Kamaruddin Jaafar, Abdul Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli, Dr Mariah Mahmod, Cikgu Wan Rahim Wan Abdullah dan yang lain-lain yang sudah tidak ada tanggungjawab atau amanah lagi yang diserahkan oleh ahli kepada mereka.
Misalnya Husam Musa, beliau masih menjadi Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, begitu juga dengan Nik Mazian Nik Mohamad, Abdul Latif Abdul Rahman masing-masing adalah Yang Dipertua Pas, Pasir Puteh dan Kuala Krai, sementara Mohd Zaki Ibrahim, (Adun Kelaboran), Mohd Rozi Mohamad (Adun Tendong), Ahmad Bahaqi Atikullah (MP Kubang Kerian) dan lain-lain masih ada tanggungjawab kepada parti dan amanah yang diberikan kepada ahli masih terpanggung di atas bahu jemala mereka. Mereka masih ada kewajiban menjaga maruah partinya.
Jadi kalau mereka tidak hadir, tidak bermakna mereka tidak memberi perhatian kepada GHB. Mereka mengambil sikap berhemah dan cara mereka itu adalah betul.
Apa lagi saya mendapat tahu penggunaan wajah mereka dalam sekelar itu dibuat tanpa mendapat persetujuan atau kebenaran daripada mereka. Mereka katanya tidak dihubungi untuk mendapat persetujuan sebelum wajah mereka ditampilkan. Cara itu tidak baik dan menimbulkan fitnah dan masalah kepada mereka. Tengok bagaimana Rozi terpaksa membuat penjelasan panjang lebar atas implikasi yang berlaku akibat pemasangan gambarnya.
Dalam perjuangan soal komitmen dan tanggungjawab bukan boleh dibuat main-main dan sikap telus diperlukan.
Penbubuhan GHB tergesa-gesa..
Petang sebelum berlangsung majlis di Kota Bharu itu, saya meninjau pendapat beberapa orang khasnya mereka yang excite dengan GHB. Mereka memberi gambaran kepada saya majlis itu akan mendapat sambutan hangat. Tetapi gambaran itu tidak mudah untuk menyakinkan saya. Saya pula ada pandangan tersendiri terhadap himpunan berkenaan khasnya, dan langkah untuk menubuh parti baharu amnya.
Kepada saya gerakan ke arah menubuhkan parti baharu walaupun ia perlu dan satu persiapan awal, tetapi tindakan dibuat itu secara tergesa-gesa. Tindakan untuk menahan luka dipergenitngan satu sifat oportunis yang dibenarkan, tetapi bukan dalam situasi ini. Sepatutnya pimpinan Pas diberikan peluang secukupnya sebelum apa-apa tindakan dibuat terhadap mereka. Dalam hubungan di Kelantan tugas paling utama ialah mengemaskan pentadbiran negeri Kelantan, daripada bergerak ke arah menubuhkan parti baharu.
Usaha bagi mengemaskan kerajaan Kelantan yang kini ralatif lemah di mata rakyat ekoran beberapa isu yang berlaku seharusnya ditangani dahulu. Salah satu cara ialah dengan mendesak Ahmad Yaakub menyusun semula kabinetnya. Mungkin Ahmad Yaakub masih perlu dikekalkan sebagai MB, tetapi para pembantunya perlu ditukar ganti. Muka-muka baharu perlu diberi kepercayaan untuk memegang beberapa porfolio dalam Exco. Sikap kebertanggungjawab dalam kerajaan seharusnya ditekankan.
Kelemahan Pas atau masalah Pas Kelantan dewasa ini untuk mempertahankan kerajaannya, bukan kerana masalah perpaduan dalam Pas, tetapi kelemahan dalam pentadbiran. Paling ketara kelemahan dalam mengurus mangsa banjir dan menyelesaikan beberapa isu pembangunan dan sosial lain. Atas alasan itu bagi saya parti baharu tidak dapat menyelamatkan Pas, tetapi sebaliknya.
Jadi kalau parti baharu untuk menghancurkan kerajaan Pas, ia adalah dosa besar apa lagi kalau parti baharu nanti membawa maksud dan aspirasi sama dengan Pas. Ditegaskan perkara paling afdal dilakukan Kelantan ia memperkemaskan organisasi pentadbiran buka memecah mecilkan Pas sehingga hilang sebuah kerajaan yang menjadi mahkota Pas dan benteng kepada kemungkaran Umno.
Kepada mereka yang excite dengan GHB saya memberi bayangan, sekiranya himpunan di Dewan Perniagaan Cina itu mendapat sambutan, ia bukan bermakna mudah untuk GHB berjaya. Masih banyak lagi liku-liku dan alur yang perlu dilalui ke arah mewujudkan sebuah parti yang cemerlang dan gah dimasa depan.
Seharusnya perkiraan untuk menubuhkan parti baharu tidak dapat dielakkan, ia perlu difikir semasak-masaknya dan ia bukan sahaja bertitik tolak daripada apa yang berlaku kini. Penubuhan parti baharu bukan sekadar untuk melepas geram dan marah, tetapi ia ada komitmen dan tanggungjawab bagi meneruskan jihad Pas. Apakah semua pihak yang bergerak ke arah itu sudah menimbang dan memikirkan hal itu semua?
Perwujudan parti baharu juga bukan sekadar untuk mengajar Pas dalam pilihan raya umum akan datang. Dalam konteks Kelantan untuk menentang Pas. Sebaliknya penubuhan parti baharu mestilah mempunyai cita-cita jauh dari itu dalam kerangka politik sehingga menguasai Kelantan. Justeru dalam hal ini GBH perlu membuat bacaan politik apakah mereka mampu mengambil alih Kelantan, atau ia nanti sekadar menjadi pemusnah kerajaan Pas semata-mata?
Mungkin dalam konteks Kelantan GHB mampu meraih beberapa kerusi dalam pilihan raya akan datang, sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru antara Pas plus Umno (PasUm) melawan parti baharu itu. Tetapi kalau terjadi pertandingan tiga penjuru, sudah pasti GHB akan tersudut. Lainlah nanti berlaku perubahan sikap di kalangan pengundi Kelantan akan meletakkan calon sebagai pilihan dan bukan parti mungkin dua tiga calon dari GHB boleh menang?
Sekiranya Pas masih kekal dengan dirinya sendiri, menghormati amanat Tokguru Nik Aziz agar tidak mudah berkolorasi dengan Umno, menjadi tanggungjawab penggerak GHB di Kelantan memikir kembali tindakan mereka mewujudkan parti baharu. Tugas paling mulia buat mereka ialah mengemaskan ikatan dan persaudaraan dalam Pas, bukannya membuat onar.
Beri isyarat kepada Pas
Mengenai sambutan dan kehadiran pada majlis GHB malam kelmarin, kehadirannya tidak mencecah angka yang saya inginkan. Tetapi walaupun begitu ia cukup memberi isyarat kepada pimpinan Pas. Apa yang menjadi signifiken kepada kehadiran malam itu ialah lebih 60 peratus yang hadir terdiri dari anak Kelantan di rantau yang pulang berhari raya. Mereka ini adalah pengundi luar. Ertinya sikap pengundian luar yang menjadi pemangking kemenangan kepada Pas sudah dapat dianalisa pada pada majlis itu.
Situasi ini hendaklah difaham oleh pimpinan Pas Kelantan. Jangan mudah pandang ringan kepada peranan mereka. Tambahan lagi, hampir 70 peratus yang hadir itu terdiri daripada anak-anak muda yang mempunyai perspektif tersendiri dalam politik. Hakikat ini juga menggambarkan bahawa anak-anak muda, tidak lagi mudah untuk terus beranggapan Pas adalah satu-satu parti yang mampu berdepan dengan Umno, tetapi parti baharu juga ada potensi jika ia ditubuh.
Mungkin untuk pilihan raya umum akan datang, anak-anak mudah masih belum menguasai undi sepenuhnya, tetapi tunggulah lima hingga 10 tahun lagi golongan mereka akan menguasai kuasa undi di negara ini. Saat itu, politik konservetif dan kolok yang dipegang sesetengah pimpinan Pas sudah tidak relevan dan menjadi pilihan mereka lagi dan saat ini sebuah parti baharu seperti digagasakan GHB mengambil alih kekuasaan.
Kesimpulannya, majlis GHB malam kelmarin meskipun bukan satu ancaman dalam konteks Kelantan, tetapi ia tetap perlu diberi perhatian dan usah memandang remeh kepada kewujudnnya. Ingatlah sesuatu yang kecil itu bermula dari sebuah kumpulan kemudian ia akan membentuk gelombang. Yang akan menenggelamkan mana-mana kuasa hatta kerajaan Pas berusia 25 tahun itu ialah gelombang yang mulanya kecil itu kemudian bertukar menjadi besar itu. [wm.kl.12:53 t/hari pm 21/07/15]
No comments:
Post a Comment