ULASAN SABTU
Sedikit ruang tersudut dan harapan yang ada untuk melihat hubungan Pas dan DAP dipulihkan demi mengekalkan semangat Pakatan Rakyat sudah berakhir semalam apabila Majlis Syura Ulama (MSU) telah membuat ketatapan menerima usul Dewan Ulama dan Pas kawasan Tumpat yang mencadangkan Pas memutuskan hubungan kerjasama politik dengan DAP.
MSU menerusi kenyataan dibuat Setiausahanya Nik Muhammad Zawawi Salleh membatalkan tahalul syiasi - kerjasama Pas dengan DAP.
Peristyharan rasmi oleh MSU itu boleh dianggap sebagai, (kalau) perceraian di antara Pas dengan DAP ia sudah pun disahkan dengan surat. Sudah ada sijil perceraian. Pas dan DAP masing-masing bebas berkahwin lain dengan sesiapa yang disukai kerana mereka sudah mendapat perlepasan perceraian secara undang-undang.
Untuk satu dekad, kedua mereka tidak mungkin rujuk kembali.
Kini bermulalah suasana dan hidup baru kedua-dua buah parti itu. Pas akan membawa hala tuju dirinya tersendiri dan begitu juga dengan DAP. Mereka harus mensesuaikan dengan suasana baru itu. Namun pemutusan hubungan itu memberi beberapa implikasi politik kepada kedua parti berkenaan, dan natijah paling besar ialah kepada Pakatan Rakyat dan juga rakan mereka PKR (Keadilan).
Walaupun mereka berpisah, tetapi masing-masing tidak memutuskan hubungan dengan PKR. DAP masih berhubung dan bekerjasama dengan PKR dan begitu juga Pas. Dalam suasana ini kedua mereka Pas dan DAP sepertilah cenderawasih jantan yang akan mempamerkan kehebatan dan kejantanan masing-masing untuk memikat PKR sebagai cenderwasih bertina.
Kepada siapa PKR akan terpesona dan tertarik nanti dan seterusnya menyerahkan "potetnya" - kepada DAP atau pun PAS? Kedua parti itu pula sangat memerlukan kepada PKR. Inilah antara implikasi dan kesan yang akan terlihat dengan apa yang berlaku.
Sudah pasti keputusan MSU itu diberi perhatian serius oleh DAP. Harapan kecil yang diluahkan oleh Lim Kit Siang yang DAP tidak putus langsung dengan Pas beberapa hari lalu, tampaknya tidak mendapat reaksi baik daripada PAS. Pancingan Kit Siang itu tidak pun disilau jeling oleh Pas. Pas "bugis" dalam soal ini. Sebaliknya dengan apa yang berlaku DAP akan lebih terasa dan akan bertindak.
Tindakan yang akan dibuat nanti ialah terhadap PKR khasnya di Selangor. PKRlah yang menjadi kancil yang terjempit di antara perbalahan dua rakan itu. DAP sudah tentu akan menanti perkembangan dan kata putus daripada PKR Selangor khasnya Mohamed Azmin Ali. Sebelum ini DAP sudah memberi bayangan mereka akan mengambil satu ketetapan dengan PKR Selangor ekoran terputusannya hubungan dengan Pas yang diistilahkan sebagai Pakatan Rakyat sudah mati.
Apakah akan berlaku kelak? Kalau DAP yang kini tersindir dengan keputusan MSU itu dan melakukan sesuatu ia membahayakan Selangor. Paling meresahkan ialah Azmin Ali sebagai MB. Azmin akan menjadi seperti diluah mata bapak ditelan mati emak, dalam menghadap takdir yang menimpa Pas dan DAP itu. Sebagai MB Azmin sangat memerlukan kepada sokongan padu untuk meletakkan kerajaanya dalam keadaan stabil dan kekal sekurang-kurang sehingga tamat penggal parlimen ke-13.
Apakah DAP akan desak PKR agar memutuskan hubungan dengan Pas, dan jika tidak ia sendiri akan bertindak meninggalkan PKR? Kalau ini terjadi macam mana dengan kedudukan kerajaan Slangor dibawah pimpinan Azmin. Apakah Azmin atau PKR berkemampuan kalau hanya berkolobrasi dengan Pas? Tentu tidak. Di sini timbul ura-ura Umno akan dipanggil untuk membantu mengukuhkan kerajaan Selangor itu?
PKR boleh mengambil sikap dan pendirian demikian. Tetapi tidak semua Adun PKR bersetuju dengan tindakan itu. Walhasil nanti PKR juga akan berpecah sesama sendiri? Persoalan ini masih menjadi tanda tanya dan ia perlu dilihat kepada sejauh mana agresifnya DAP Selangor yang dibawah pimpinan Tony Phua.
Sebaliknya kalau PKR akur kepada tekanan DAP agar memutuskan hubungan
dengan Pas, PKR berhadapan masalah besar. Tindakan itu turut memberi
kesan kepada bukan sahaja kerjasama PKR - DAP di Selangor tetapi
dinegeri-negeri lain juga. Struktur politik PKR - Pas akan turut berubah keseluruhannya.
Situasi ini sekali lagi meletakkan Azmin dalam keadaan kurang selesa
dan suasana ini menjadi satu lagi ujian kepada kepimpinannya. Ilmu
politik ianya akan teruji, ilmu siasah dan kemanusianya akan diuji.
Sekiranya Azmin berjaya menyelamatkan keadaan dalam suasana genting ini,
beliau perlu diberi tabik hormat, dan satu lagi kertas ujian untuk
mengikhtirafkan dia sebagai MB berjaya dilalui. Kelulusan itu juga bakal
meletakkan Azmin sebagai pemimpin utama dalam PKR.
Implikasi lain daripada keputusan MSU ialah, menyebabkan kumpulan yang kalah yang sedang menyusun kekuatan untuk membentuk wadah baharu, menjadi tambah terluka. Sesetengah mereka masih berharap Pas mengekalkan tahalul syiasi dengan DAP. Namun keputusan semalam menambahkan lagi kekecewaan mereka. Pemutusan dibuat MSU itu juga seolah sengaja untuk mempercepatkan tertubuhnya sebuah wadah baharu.
Kalau sesetengah dari mereka masih berharap kerjasama Pas - DAP pulih seterusnya Pakatan Rakyat yang juga diistilahkan sebagai pengsan, sedar kembali, tetapi keputusan MSU itu sudah melenyapkan segala impi dan harapan. Kasih sayang Pas dan DAP sudah putus.
Dalam pada itu kita tidak boleh membaca takdir dimasa akan datang dalam melihat pergolakan dan percaturan politik. Atas sifat politik itu serba mungkin, tidak mustahil kedua parti itu akan bergabung kembali. Sebelum ini pun mereka bukan tidak pernah bergaduh. Mungkin untuk sedekad ini mereka sedia berpisah atas beberapa prinsip tidak sejalur, tetapi setelah bersalin kepimpinan, ketika itu pimpinan baharu ada pandangan dan prinsip lain pula. Politik itu sendiri hidup, dikala itu mereka akan bersatu lagi.
Dalam kehidupan lain manusia, ada pasangan yang bercerai dimasa muda, ada yang telah mendapat anak setengah dozen, tetapi tiba-tiba bercerai kerana tidak wujud persefahaman. Tetapi ada yang dihujung usia bertemu dan berkahwin kembali. Jadi kemungkinan itu juga tidak boleh dianggap tidak berlaku dalam melihat genta rasa politik DAP dan Pas atau mana-mana parti sekali pun.
Buat sementara ini pemutusan hubungan itu kena dihormati oleh semua orang. Dan kepada ahli Pas, walaupun sakit dan pedih dengan keputusan MSU itu ia perlu dihormati kerana itulah kehendak ramai. Kita selalu mengatakan, sesuatu kebenaran itu bukan dinilai daripada ramai sedikit sokongan, tetapi dalam politik kita menerima, yang majoriti itu adalah pihak yang menang. Haq dan batil dalam politik bukan sesuatu yang mustahak. Politik itu sendiri bertompok dengan elemen yang kotor. 4C adalah rencah istimewa dalam politik.[wm.kl.1:16 t/hari 11/07/15]
No comments:
Post a Comment