Friday, July 24, 2015

Hadi dan Najib sama-sama terdesak untuk pagar diri

SUSUPAN PETANG                                                                                          

Serupa tetapi tidak sama Najib Razak dan Abdul Hadi Awang dalam usaha untuk mengekalkan kedudukan dan menjaga wibawa parti mereka mengambil tindakan tergesa-gesa yang tidak popular. Najib yang terhimpit dengan isu 1MDB sudah terdesak sehingga sanggup menggunakan berberapa akta termasuk Akta Hasutan 1948 untuk menutup kebusukannya dari terus beruap.

Dua buah akhbar The Edge dan The Edge Financial digantung permit penerbitan selama tiga bulan. Sebelum itu SKMM telah bertindak menyekat portal Sarawak Report dan memberi ugutan kepada mana-mana pihak yang menyiarkan maklumat mengenai 1MDB akan dikenakan tindakan.

The Edge dan The Edge Financial Daily
The Edge dan The Edge Financial Daily
The Edge dan The Edge Financial Daily
Beberapa orang (yang sebenarnya) dijadikan kambing hitam disebalik pendedahan penyalahgunaan wang 1MDB juga telah ditangkap dan disiasat dibawah akta hasutan. Mereka juga dihalang untuk bergerak bebas ke dalam negeri dan dan juga diluar negara. Antara mereka yang disekat perjalanan ke luar negeri ialah Pengerusi DAP Selangor Tony Phua dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Bekas ketua pembangkan Anwar Ibrahim lebih awal disekat dengan cara lebih kejam lagi menerusi penjara selama lima tahun.


Najib sudah mengguna semua para hulubalangnya bagi melindungi beliau dan menutup kebusukannya. Sebelum ini para hulubalangnya sekadar membela Najib menerusi air liur, tetapi kini sudah membuat tindakan fizikal apabila tindakan menerusi air liur tidak berkesan. Ahmad Sabery Chik menerusi kuasa SKMM yang ada kepadanya manakala Zahid Hamidi meneuris KDN. Kedua mereka ini bolehlah dianggap sebagai Malik Zabaniah dan Riduan yang menjaga pintu-pintu kerkuasaan Najib.

Zahid pula kelihatan lebih serius membela Najib. Ini berikutan ada ura-ura yang beliau akan diletak di bawah kementerian lain dalam satu rombakan kabinet yang bakal dilakukan Najib. Mungkin bagi menyelamat kedudukannya Zahid mula menunjukan taring dan pembelaanya kepada Najib. Ertinya perang saraf Najib untuk menukar Zahid ke porfolio lain dalam satu rombakan kabinet berjaya.

Bagi mempamerkan lagi kesungguhan membela Najib tidak mustahil Zahid bertindak lebih jauh lagi dengan mengarah polis atau badan-badan keselamatan dibawah kawalannya bertindak lebih rakus, seperti tangkapan dan sebagainya.

Mengenai persamaan Najib dengan Abdul Hadi tadi, kalau Najib menggunakan beberapa akta untuk mengukuhkan kedudukannya, maka berlain pula dengan Abdul Hadi yang menggunakan ayat-ayat Quran, petikan hadith dan sebagainya untuk mengekang ahli Pas agar tidak meninggalkan parti itu dari berhijrah kepada GHB.

Isu bai'ah yakni ikrar politik dilakukan sesetengah calon Pas dijadikan modal untuk mengekang ahli Pas dari meninggal parti berkenaan. GHB rupanya menyerabutkan Abdul Hadi.

Ada seorang pemimpin tertinggi Pas mengeluarkan fatwa haram bagi wakil rakyat Pas menerima dan menikmati elaun dan gaji sekiranya wakil rakyat itu telah menyertai GHB. Entah berdasarkan nas mana pemimpin berkenaan membuat fatwa berkenaan. Saya sudah katakan, dalam politik sekular, ayat-ayat Quran dan hadith tidak terpakai. Quran dan hadith hanya terpakai kepada politik jemaah sahaja.

Fatwa yang dikeluarkan itu hanya untuk mengekang wakil rakyat berkenaan daripada meninggalkan Pas dan sikap pemimpin itu menunjukkan dia sudah terdesak dan panas dengan sambutan yang diberikan kepada GHB.

Berhubung bai'ah itu ingin juga ditanya, macam mana dengan calon Pas bertanding dan angkat ikrar tetapi tewas, apakah talak mereka juga jatuh apabila mereka meninggalkan Pas? Kalau mengikut fatwa pemimpin tertinggi Pas itu yang ingin sangat dikenal sebagai spiritual leader bekas calon itu juga tertakluk dengan ikrar berkenaan. Jika ia tidak jatuh dan hanya jatuh kepada yang menang maka jelas ikrar bai'ah suatu bidaah besar.

Bukankah perbuatan bai'ah itu hanya berlaku pada tahun 2004 dan terbatas di beberapa buah negeri sahaja. Macam mana dengan keadaan Pas pada tahun tahun sebelumnya termasuk di Kelantan. Apakah waktu itu sudah ada ikrar berkenaan atau hanya baru terfikir pada tahun 2004? Kalau begitu ertinya soal bai'ah jatuh talak itu bukan perkara yang wajib dalam Pas melainkan ia hanya satu teknik sahaja bagi menyelamatkan Pas apabila ahli yang mungkir. Tidakkah ini adalah helah politik dan bukan hukum mutlak daripada Allah?

Dan kalaulah benar bai'ah itu menyebabkan talak itu jatuh bererti Pas menjadi agen tidak rasmi di negara ini menggalakkan berlakunya perceraian dan talak itu bertantangan dengan sunah Rasulullah sendiri yang membenci kepada percerian. Talak itu juga tidak pernah dibuat pada zamannya dan hanya direka oleh agamawan yang lebih termakan pallet agama di zaman muasir ini sahaja.

Kesimpulan baik Najib dan Abdul Hadi kedua terdesak dengan apa yang menimpa diri mereka dan parti mereka, sehingga terpaksa menggunakan akta dan Quran untuk dijadikan pagar melindungi mereka. Ayat-ayat jambi tidak akan menambah undi. [wm.kl.3:25 pm 24/07/15]

No comments: