Wednesday, July 15, 2015

Tengku Razaleigh seru henti bertengkar yang tidak berfaedah

PERUTUSAN                                                                                                      

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyeru rakyat Malaysia khasnya mereka yang prihatin dengan masalah negara agar berhenti berbalah serta bermain politik sebaliknya merapatkan saf dan berkerjasama mempertingkatkan keupayaan dan potensi dalam membangun negara.

Tengku Razaleigh Hamzah
Dalam perhatian Tengku Razaleigh, perbalahan dan pertengkaran tidak memberi apa-apa faedah kerana ia tidak dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku. Beliau merujuk kepada beberapa isu kewangan yang melanda negara dan sangat menekan rakyat seperti 1MDB dan GST yang sudah menjadi buah mulut.

Tengku Razalegh membuat seruan itu dalam perutusan khas sempena menyambut Hari Raya Aidifitri 2015 yang dikeluarkan malam ini.

Berhubung dengan kemelut kewangan seperti isu 1MDB, beliau berharap semoga akan ada budiman yang bermaruah untuk memberi keterangan dan penjelasan bersabit isu itu untuk mententeramkan keadaan.

"Kita menaruh penuh harapan agar masih ada lagi maruah di negara tercinta ini. Juga diharapkan akan tampil budiman bermaruah yang mampu memberi keterangan berasaskan fakta berkaitan yang ada pada mereka demi mententeramkan keadaan," ujarnya.

Tambahnya budiman itu hendaklah berpegang teguh kepada prinsip, tanpa berganjak daripada pegangan moral dalam usaha membantu mengatasi masalah tersebut.

Beliau yakin sekiranya ada budiman seumpama itu tidak perlu diadakan soal siasat dan penyiasatan kerana jika fakta diketahui ia akan menjelaskannya.

Berikut perutusan Tengku Razaleigh sepenuhnya. 

MEMENUHI KEUPAYAAN MALAYSIA

Hari ini, 14 Julai 2015 genaplah 40 hari isteri saya pulang ke Rahmatullah. Dalam mengatasi kesedihan ini saya berkesempatan untuk mengimbas kembali apa yang sedang dialami oleh Malaysia pada akhir-akhir ini.

2. Kini kita sedang dibanjiri berita buruk mengenai keadaan tenat kewangan negara. Berbagai kontroversi serta kononnya skandal kewangan besar-besaran yang menjadi buah mulut hangat diperkatakan di media sosial. Rungutan mengenai keadaan buruk ini kedengaran di sana-sini. Kedudukan tersepit syarikat pelaburan negara, 1MDB, tidak kurang diperkatakan.

3. Bagaimanapun apa yang nyata ialah semuanya ini cuma omong kosong yang tidak membawa apa-apa faedah. Hakikatnya rakyat kini terkeliru kerana terdapat terlalu banyak kenyataan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.

4. Kita menaruh penuh harapan agar masih ada lagi maruah di negara tercinta ini. Juga diharapkan akan tampil budiman bermaruah yang mampu memberi keterangan berasaskan fakta berkaitan yang ada pada mereka demi mententeramkan keadaan. Mereka hendaklah berpegang teguh kepada prinsip, tanpa berganjak daripada pegangan moral dalam usaha membantu mengatasi masalah tersebut. Sekiranya inilah keadaannya, sudah tentu kita tidak perlu mengadakan soal siasat dan penyiasatan. Jikalau masalah serta fakta berkaitan diketahui, kenapa tidak berterus terang?

5. Tindakan sebegini akan membolehkan negara membaiki dan memulih imej serta maruah kita yang remuk-redam di mata dunia. Kita perlu melaksanakan perkara ini dalam usaha mengembalikan keyakinan yang dibina dengan begitu cermat oleh pengasas negara kita.

6. Paling penting sekali ialah kita semestinya memberi perhatian penuh kepada kegundahan rakyat jelata yang terjebak dengan kegawatan ekonomi dan kewangan akibat kejatuhan nilai Ringgit serta gaji dan upahan bersih yang tidak seberapa. Dan kita perlu sedar bahawa keadaan ini diburukkan lagi oleh kenaikan harga barangan keperluan asas seperti minyak petrol dan bebanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Memandangkan kita tenat dilanda krisis, amatlah munasabah GST ditangguhkan, oleh kerana kesan negatifnya ke atas rakyat jelata. Demi meringankan kesan kekurangan pendapatan akibat penangguhan ini kita bolehlah memperkenalkan percukaian lain yang tidak membebankan rakyat. Kita perlu mengatasi kesusahan rakyat jelata dalam usaha mereka menyambung hidup seharian di samping mencari penyelesaian terhadap kos sara hidup yang kian melambung.

7. Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar rakyat terpaksa bergelut setiap hari untuk terus hidup. Mereka risau akan masa depan anak cucu mereka. Mereka gelisah tentang mutu kehidupan yang semakin merosot. Sesungguhnya mereka berhak menikmati kehidupan yang lebih baik. Salah satu masalah sosio-ekonomi yang merunsingkan rakyat ialah tiadanya jaringan keselamatan kewangan untuk menjamin keselesaan ekonomi para pesara.

8. Kerisauan tentang graduan yang tidak dapat diambil bekerja pasti menghalakan pandangan kita kepada pendidikan yang diberikan kepada generasi muda kita. Nyata sekali pendidikan ini gagal menyediakan mereka untuk pekerjaan. Apakah yang harus kita lakukan? Mungkin kita perlu dasar pendidikan kebangsaan yang tahan diuji zaman.

9. Maka itu kita hendaklah berhenti daripada berbalah, bertengkar dan bermain politik. Kita perlu rapatkan saf dan berkerjasama untuk memenuhi keupayaan serta potensi kita. Kita juga harus menimbang pembaikan pulih menyeluruh akan sistem ini.

Dengan ini saya ucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan selamat bercuti kepada semua.

Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Kuala Lumpur,
14 Julai 2015 bersamaan
27 Ramadhan 1436H.
[wm.kl.1:07 am 15/07/15]


No comments: