ULASAN
Kata Zahid Hamidi perlantikan beliau sebagai pengganti Timbalan Perdana Menteri mengganti Muhyiddin Yassin bukan merupakan satu ghanimah atau pun habuan. Itulah ulasan dan tanggapan Zahid sebaik beliau diumumkan akan menjadi timbalan perdana menteri. Kenapa Zahid memilih ayat dan perkataan itu? Ghanimah.
Dari segi psikologisnya apabila seseorang itu bercakap mengenai sesuatu tajuk dan tema tertentu, bermakna dia bergulat dalam tajuk atau tema tersebut. Kalau dia berada di luar tema dan tajuk itu dia tidak akan bercakap mengenainya. Zahid akan memilih perkataan lain untuk menyanjungi dirinya. Bolehlah difahami bila Zahid menggunakan tajuk dan tema itu dia dibayangi tema dan tajuk itu.
Ghanimah, bererti harta yang diperolehi hasil dari peperangan. Harta musuh yang dirampas. Ia halal untuk dimakan atau pun diguna pakai, tetapi bukan berlebihan. Mereka yang berhak mendapat ghanimah ialah mereka yang terlibat dengan peperangan dalam membela dan mempertahankan sesuatu. Dalam konteks Islam pembelaan dan pertahanan yang dimaksudkan ialah Islam.
Jadi apabila Zahid Hamidi diberi jawatan itu ia tidak dapat menafikan jawatan itu adalah ghanimah kepadanya. Ia adalah habuan atas pembelaan yang diberikan Najib kepadanya. Ini bermakna selama ini, sepanjang krisis antara Najib dengan Muhyuddin, Zahid adalah pembela Najib nombor satu. Zahid sebagai menteri tidak menilai tindakan Muhyiddin dari jalur kebenaran tetapi mengutamakan hubungan personalnya dengan Najib.
Zahid mempunyai merit untuk berbuat demikian. Najib adalah bos sejak di zaman Pemuda Umno lagi sekitar tahun 80an. Zahid juga menjadi setiausaha politik kepada Najib didua kementerian. Bolehlah dianggap Zahid adalah rakan atau boy yang dididik oleh Najib. Banyak cerita ceriti mengenai Zahid dan kesanggupan Zahid sepanjang menjadi boy kepada anak bangsawan bernama Najib.
Politik Zahid bervariasi sebenarnya. Kerencaman politiknya sudah kelihatan dari awal lagi. Mereka yang rapat dengannya akan mengetahui hal ini. Zahid seorang politikus persis chemeleon (Pak Ko). Dia pandai dan bijak mengambil kesempatan. Zahid adalah orang yang mempunyai dua kepala. Dia menahan lukah di dua pergentingan dalam satu masa. Kerencaman politiknya macam gamat yang akan hidup dan bertangkup semula kalau pun dikerat 18.
Orang seperti ini sebenarnya tidak boleh dijadikan ketua kerana ia akan meninggal gelanggang. Jauh sekali untuk menjadi pilot kerana ia akan terjun dahulu sebelum kapal terhempas. Sebelum ini pun Zahid sudah melanggar undang-undang penerbangan? Terjun menyelamatkan diri dan membiarkan penumpang berkecaian.
Dalam berketuakan Najib Razak dia juga berketuakan kepada Anwar Ibrahim. Inilah cara permainan dan politik Zahid. Apabila ada orang-orang Najib meragui akan keikhalasan Zahid kepada Najib, satu masa menyebabkan Zahid membuat kenyataan bahawa dia bukan dari "Kabilah Anwar". Demikian sikap dan fiil Zahid.
Bagaimana pun penafian itu terbatal apabila Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Zahid nanar dan seakan hilang punca seketika. Dia membuat istikharah politik seketika. Akhirnya dia memilih untuk menjelma sekejap dalam kumpulan Anwar. Berada di rumah Anwar untuk menzahirkan simpati kepada Anwar yang dipangil "Imam".
Kebetulan bermula pada hari Anwar dipecat 3 September 1998 saya sendiri berada di rumah Anwar lebih 73 jam saya menyaksikan sendiri Zahid dan isterinya Hamidah Khamis di rumah Anwar. Saya masih ingat Hamidah menangis terisak-isak kerana sedih atas nasib yang menimpa Anwar. Sesiapa ini mengenang peristiwa ini sila bacakan buku saya berjudul "Sumpah dan Airmata - Reformis Bangsa". Kempen sikit!
Beliau tidak bertahan lama untuk bersama Anwar bagi menggerakkan reformasi menurunkan Dr Mahathir Mohamad. Zahidlah orang yang harap akan memegang panji-panji Reformasi. Zahid tidak betah dengan perjuangan dan cabaran yang terpaksa didepaninya. Tribulasi dihadapinya menguji keimanan perjuangannya. Masalah peribadi dikatakan menjadi penyebab maka beliau terpaksa berundur menyelamatkan diri.
Kerana desakan dan kepayahan itu Zahid mengambil keputusan drastik yang mecemarkan maruah diri dan politiknya apabila membuat pengakuan dia diperalatkan oleh Anwar Ibrahim. Pengakuan inilah adalah atas kehendak dan tekanan Dr Mahathir menyebabkan dunia mula nampak akan "kong kalikong" Zahid dalam politik dimana ianya sangat murah nilainya.
Latar itu memberi petunjuk jelas perlantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Najib Razak bukan berasaskan kapasiti dan material sebenar sebagai seorang timbalan, tetapi ia dibuat sebagai bayaran kepada kesetiaan Zahid terhadap Najib. Ia adalah upah (ghanimah) kepada najib sebagai promotor mengangkat Rosmah pada setiap kali perhimpunan agung Umno.
Jadi bagi saya jawatan itu adalah ghanimah buat Zahid dimana ia tidak sepatutnya diterima kerana Zahid adalah seorang pejuang yang mempunyai banyak wajah.
Cerita tentang Zahid akan ada lagi selepas ini. Catatan kenangan saya bersamanya di Makkah. [wm.kl.kb. kel 8:10 am 29/0715]
No comments:
Post a Comment