ULASAN
Satu pose Al Sultan Abdullah dengan Anwar selepas pengadapan di Istana Negara. |
Mereka tidak akan pedulikan kepada hal lain tetapi tetap
obsesi dengan apa dimahuinya. Harta, masa bahkan nyawa sanggup dijadikan
gandaian asalkan matlamat tercapai.
Semalam kes Covid 19 cecah angka 660 ketiga tertinggi dalam tempoh seminggu
dua ini. Angka-angka peningkatan mencanak kes Covid tidak sedikit pun
membimbangkan orang politik. Mereka terus terjah dan menerjah antara satu sama
lain demi kuasa. Mereka bagaikan haiwan dalam jagat rimba yang terbiasa dengan sengketa merebut daulat dan
jajahan menggunakan kuku dan taring kebiadapan.
Mungkin Covid bagi orang politik perkara biasa yang tidak membimbangkan. Atau mereka kebal daripada Corona berkenaan. Atau pun mereka ada alasan dan jawaban sendiri mengenai pandemik ini. Bila ramai orang politik kena Covid dan terpaksa jalan kuarantin kendiri.. padan muka.
Roda politik harus bergerak seperti mana dikehendaki tanpa ada halangan dan sekatan. Kenapa dikatakan begitu, kerana kalau mereka melihat Covid sesuatu yang patut didahulukan, maka orang politik akan menghentikan daripada galak berpolitik. Mereka akan melakukan ceasefire sekejap berehat daripada bergaduh untuk sama-sama mencari solusi mengatasi Covid. Nampaknya tidak dipedulikan. Mereka terus kemaruk dan pelahap.
Agenda politik diteruskan juga. Maka semalam, dunia politik jadi berombak kencang
dan membentangkan polemik perdebatan panjang tanpa belum ada kesudahan apabila
Anwar Ibrahim seperti mana ditetapkan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustapa Billah Shah bagi
menyampaikan maklumat dan menghuraikan kepada Agong dengan apa didakwanya, sambil mengharap pertimbangan mengenai kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai
perdana menteri.
Apa diharap daripada budi bicara baginda apakah dengan perkembangan terkini Muhyiddin Yassin wajar melepas jawatan dan
sesegera mungkin pula dilantik perdana menteri baru. Ramai bersetuju dengan
Covid sedang mengamuk bukan masa kondusif bagi Agong memberi perkenan agar parlimen
dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan. Sebaik-baiknya menerima pekenan melantik PM baru.
Apa berlaku semalam terjawab keraguan sebelum ini, apakah Anwar hanya bercerita mengenai angka dan sokongan terhadapnya apabila beliau mengadap Agong. Pada satu peringkat usaha beliau itu boleh dianggap berjaya dan beliau berpuas hati. Setidak-tidaknya Anwar berjaya masuk ke Istana membawa apa yang hendak dibawanya serta menyampai maksud hati kepada baginda Agong.
Sebelum ini menjadi tanda tanya apakah Agong akan menerimanya mengadap
untuk menyampaikan sesuatu yang dikira dongeng daripada Anwar setelah temu janji pertama dibatalkan kerana Agong gering. Apabila berlaku
pertemuan antara kedua mereka semalam, dongengan itu sudah berakhir. Dongengan
itu kini cuba diterjemahkan menjadi sebuah realiti dan kenyataan.
Namun begitu ia masih belum tuntas sepenuhnya, pergerakan masa akan memuktamadkan segala-galanya. Tidak ada perkara yang tidak akan berakhir. Hatta riwayat hidup seorang manusia meskipun betapa hebatnya dia, ia akan mati juga. Setiap yang hidup itu pasti akan mati.
Diejek.
Sementara itu Anwar masih terus diejek dan dipersedakan. Dituduh dengan pelbagai konotasi menyedihkan. Kesian. Ada yang meminta agar Anwar dihantar ke hospital. Tetapi sinisme itu sedikit pun tidak merubahkan sikap dan semangat Anwar, bahkan ia membatalkan segala tuduhan dan tanggapan liar sebelum ini apabila Agong turut memanggil ketua-ketua parti.
Ertinya Agong sedang proses apa yang diminta dipertimbangkan oleh Anwar itu.
Walaupun ia belum muktamad tetapi pertemuan Anwar dengan Agong telah membawa beberapa kesan sampingan yang besar dan mendebarkan sekaligus boleh merubah pola politik negara.
Antaranya tindakan diambil oleh Umno malam
tadi dianggap sebagai drastik. Umno telah memutuskan untuk mempertimbangkan
semula sokongan mereka kepada kerajaan PN dan Muhyiddin disamping mahu Muafakat Nasional (MN) mereka dengan Pas didaftarkan. Dan sekiranya PN hendak meneruskan kerjasama, Umno mahu kenakan syarat bertulis.
Apakah tindakan dan perubahan sikap Umno itu bakal memberi signifikan
tertentu kepada usaha Anwar itu? Kenapa baru sekarang Umno terfikir secara
serius untuk keluar daripada PN? Yang pastinya kalau Umno keluar
daripada PN, maka hancurlah kerajaan PN. Dan penerimaan mengadap presiden Umno Ahamd Zahid Hamidi (foto bawah)_dijangka esok adalah penting dan bakal memberi penentuan mengejutkan.
Sekiranya Zahid bijak, berani dan berpandangan jauh dalam politik tidak mustahil juga beliau boleh kembali berada di kerusi timbalan perdana menteri. Pintu untuk Zahid khasnya dan Umno mendapat seorang timbalan perdana menteri terbuka luas. Sekarang bergantung kepada kearifan dan kelicitan Zahid berpolitik.
Sebelum itu sebaik sahaja Anwar berjumpa dengan Agong, Dr Mahathir Mohamad alias OT95 pula tergesa-gesa
membuat kenyataan yang beliau tidak menyokong mana-mana pihak hendak jadi PM.
Walaupun Mahathir tidak sebut kenyataan itu dituju kepada Anwar, ia menunjukkan kebimbangan beliau Anwar mengaul namanya sekali dimasukkan dalam senarai yang menyokongnya (Anwar).
Sebenarnya Mahathir tidak perlu membuat kenyataan penjelasan itu. Beliau tidak perlu bimbang kerana Anwar tidak pelahap untuk mengambil kira namanya dan juga beberapa ahli parlimen bersama bekas PM itu. Anwar kini sudah menjadi Anwar baru yang tidak lagi mudah cair dengan bujukan dan sandiwara Dr Mahathir. Jadi kenyataan Mahathir itu tidak memberi apa-apa makna pun melainkan mendedahkan akan keburukan dan kebusukan hati beliau kepada Anwar selama ini. Itu sahaja.
Bagaimana pun yang menjadi kemusykilan yang berlaku semalam, ialah
kehadiran sama Tengku Razaleigh Hamzah ke Istana. Untuk apa beliau dipanggil
menghadap ketika Anwar dan rakyat mahu Yang diPertuan Agong menggunakan budi
bicara dan bidang kuasanya menentukan kedudukan Muhyiddin?
Ada suara-suara gatal yang parau mengatakan ahli parlimen itu hendak
dilantik sebagai PM interim. Perkara itu rasanya di luar logikal? Namun dalam
politik sesuatu yang tidak logik kemudian boleh bertukar menjadi logik. Politik boleh mengejut dan menjadikan orang ramai terheran-heran.
Kehadiran Tengku Razaleigh itu tentu bukan kerana hidung tidak mancung pipi
tersorong-sorong. Tentu beliau dipanggil oleh Agong. Ada mengatakan kedatangan
Razaleigh itu atas kapasiti beliau kerabat di Raja yang mempunyai hubungan baik
dengan Raja. Apakah dalam politik buah macang itu boleh diambil kira sebagai bau kuini? Itu
persoalan juga.
Diharap juga Tengku Razaleigh tidak jadi pengacau daun dalam percaturan hari ini. Beliau seharusnya tidak ikut sama berangan-angan untuk jadi PM sebaliknya memastikan Umno terus unggul dan tidak diperalatkan oleh Muhyiddin untuk mengekalkan kuasa. Betapa malangnya kalau Razaleigh terjungkit kerana ada seseorang yang mengucuk punggungnya?
Menyimpulkan apa yang berlaku semalam, Anwar berjaya sekali lagi meletakkan dirinya sebagai pemain utama, sang activator yang hebat yang boleh ditumpangi sama oleh orang lain. Anwar masih lagi penggerak dan enjin kepada politik Malaysia. Anwar tetap berperanan seperti maksud dan ertinya namanya, cahaya atau bercahaya. Beliau terus memberi cahaya hidup kepada setiap pemain politik. Wah..
Kedua, keputusan baru diambil oleh Umno untuk mengenakan syarat bertulis bagi meneruskan kerjasama dengan PN itu, meletakkan Pas jadi resah dan perlu membuat perubahan politik sama. Pas kini dalam keadaan "selak terkangkang". Dengan syarat diberikan Umno itu ia memaksa Pas menyatakan pendirian apakah ingin "bersuamikan" Umno atau Bersatu? Tindakan Umno itu secara tidak langsung mengajar Pas menjadi seorang perempuan yang baik dan mengelakkan terus jadi betina jalang.
Masa terus berjalan, politik terus berada di pasar dagang. Setakat sore ini belum ada kata penamat, yang sahihnya Muhyiddin Yassin masih lagi perdana menteri. Yang jelasnya Anwar bisa rehat dan tersenyum simpul di balik tabir politik yang absurd? [wm.kl.12:38 pm 14/10/2020]
Glossori:
Selak = pengsan, tidak kabar.
No comments:
Post a Comment