Sunday, October 11, 2020

Apa jadi dengan Amanah Selangor?

CERITA AHAD

SELANGOR adalah negeri yang berpotensi untuk Parti Amanah Negara (Amanah) membiak seterus menjadi Selangor sebagai kubunya khusus di sebelah Pantai Barat. Amanah memang perlu membuka kubunya di sebelah sini kerana begitu naif untuk berkubu di negeri-negeri Pantai Timur apa lagi untuk  menguasai negeri-negeri berkenaan. 

Dalam Piraum lalu Amanah tidak menang sekerat kerusi pun di negeri-negeri tepian lautan China Selatan itu. 
Selangor merupakan negeri kedua terkuat dari ukuran jumlah kerusi di perolehi oleh Amanah dalam pilihan raya lalu selepas Johor. Di Johor Amanah menang sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri, sementara di Selangor lapan diikuti Kedah, lima. 

Di Selangor disamping lapan kerusi Dewan Undangan Negeri, Amanah menang lima (5) kerusi parlimen, terbanyak, kerusi-kerusi itu ialah Kota Raja, Shah Alam, Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Langat. 

Manakala kerusi-kerusi DUN pula; Sabak, Taman Tampelar, Hulu Kelang, Pandan Indah, Sungai Ramal, Seri Serdang, Meru dan Morib. 

Kebetulan juga pemimpin utama Amanah bermukim di Selangor, Mohamad Sabu, Khalid Samad, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Maria Mahmud, Saari Sungip dan lain-lain termasuk pemimpin muda yang bakal jadi pelapis seperti Mohd Sany Hamzah (Tempelar) yang bekas Ketua Pemuda dan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, (Adun Meru) seorang aktivis yang lasak dengan politik era reformasi. 

Dengan kedudukan itu wajar sekali kalau Amanah membina kekuatan dan menjadikan Selangor sebagai kubu partinya. Walaupun Selangor lebih dikenali dengan kubu PKR, tetapi Amanah juga berhak membina kubu kedua PH di negeri itu demi mengukuhkan lagi kedudukan PH di masa-masa akan datang. 
Bahkan peranan Amanah sangat penting dalam konteks Selangor untuk membendung pengaruh Pas bagi menjamin keselesaan PH mengekalkan penerajuan di negeri itu.  

Bagaimana pun pencapaian dan peranan yang boleh diletakkan ke atas bahu Amanah tidak setanding dengan pengagihan jawatan baik dalam kerajaan negeri atau lain-lain sektor. Dalam kerajaan negeri Amanah hanya diperuntukan dua jawatan kerusi Exco, menerusi Adun Seri Serdang Dr Mariah Mahmud dan Adun Pandan Indah Ir. Izham Hashim. Dua jawatan itu dikira tidak mencukupi dengan sumbangan Amanah sebagai parti penyendal kerajaan Selangor. 

Satu lagi jawatan yang boleh dianggap saguhati diberikan kepada Amanah ialah Timbalan Speaker, menerusi Adun Morib Hasnul Baharudin. Jawatan ini pun diberikan selepas berlaku kekosongan apabila Timbalan Speaker sebelum ini Dr Daroyah Alwi (Sementa) diminta berundur kerana bertukar kem. Dengan hanya memperuntukkan tiga jawatan itu seperti PH Selangor semacam melihat Amanah tidak sepenting yang dilihat dan berlaku ketidakadilan?  

Tidak ambil kesempatan.

Seperti diketahui ekoran tumbangnya kerajaan PH Februari lalu, PH Selangor ikut sama bergolak. Pergolakan itu menyebabkan lima orang wakil rakyat PKR dan seorang wakil rakyat PPBM bertindak meninggalkan parti atau mereka dipecat. Sehubungan itu wujud kekosongan beberapa jawatan yang dipangku oleh wakil rakyat yang "celaka" itu.

Secara automatik ada dua jawatan Exco yang kosong dan mewujudkan sekurang-kurang lima jawatan peringkat Dun dan Parlimen sebagai penyelaras. Tetapi sayang kekosongan ini seperti tidak direbut oleh Amanah dan parti itu dilihat sudah selesa dengan keadaan yang ada dan bersifat qa'naah. Tidak ada tuntuan serius oleh pihak Amanah untuk mendapat hak yang terbuka itu. 

Jadi kalau kebanyakan jawatan yang wujud kemudian itu diisi dan disapu oleh PKR ia tidak dapat disalahkan kepada parti itu kerana Amanah sendiri agak pasif dan berpuas hati dengan apa yang ada. Dalam hal ini juga ia menyerlahkan akan kebijaksaaan PKR merebut peluang bagi memperkukuhkan partinya tanpa memberi ehsan kepada yang lain.  

Lima orang wakil rakyat PKR dan satu wakil PPBM terbabit dalam pergolakan itu dan terpaksa mengosongkan jawatan masing-masing, ialah (daripada PKR) Azmin Ali (Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarbangsa), Zuraida Kamaruddin (Parlimen Ampang), Hilman Idham (Dun Gombak Setia), Haliza Talha (Lembah Jaya), Dr Daroyah Alwi (Sementa), manakala daripada PPBM Abdul Rashid  Asri (Selat Kelang). 

Hasil daripada peninggalan wakil rakyat berkenaan, telah wujud dua jawatan Exco dan sekurang-kurangnya dua jawatan penyelaras parlimen, dan empat penyelaras Dun. 

Malangnya kesemua jawatan-jawatan yang wujud itu tidak satu pun disambar oleh Amanah. Misalnya untuk kerusi Exco sepatutnya Amanah mendapat satu kerusi Exco tambahan. Mungkin kerusi ditinggalkan oleh Haliza Talha (Lembah Jaya) selayaknya diberikan kepada PKR kerana Haliza bekas ahli PKR, tetapi kerusi Exco ditinggalkan oleh Abdul Rashid Asri daripada PPBM seharusnya diberikan kepada Amanah atau pun DAP.   

 Amanah lebih berhak memandangkan Rashid adalah mewakili kawasan majoriti Melayu. Namun sayang kedua-dua kerusi jawatan Exco itu diberikan kepada wakil rakyat PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughi (Sg Kandis) dan Borhan Aman Shah (Tanjung Sepat).   

Amanah terus dihimpit dan ditimpa kemalangan lagi lagi apabila, kewujudan jawatan penyelaras di Parlimen Kapar dan di Dun Selat Kelang serta di Ampang dan Gombak semuanya diisi oleh wakil PKR. 

Dalam perkara ini, PKR tidak boleh disalahkan kalau mereka terlupa untuk membahagi ghanimah pesaka jawatan peninggalan itu kepada rakan yang lain. Manusia, biasa akan melupai janji dan bersikap tamak apabila ada peluang mereka sapu begitu sahaja. Mereka akan mementingkan diri mereka dahulu baru orang lain, apa lagi dalam dunia politik yang perlu singgung menyinggung dan soal keikhlasan boleh dipersoalkan.  

Sebaliknya, kemalangan dialami Amanah itu perlu dipersalahkan kepada parti itu sendiri kerana tidak pandai mengambil peluang dan berusaha mengemaskan kedudukan parti dalam situasi yang ada. 

Kesilapan.

Dimana salah dan silapnya Amanah Selangor di sini. Nasib parti itu bukan sahaja tidak mendapat hak dalam pengagihan jawatan dalam kerajaan, tetapi diam-diam parti itu juga bergolak secara senyap. Tanpa banyak diketahui salah seorang Adunnya (Ahmad Mustain Othman Adun Sabak) telah dipecat daripada Amanah baru-baru ini katanya berpunca tidak sehaluan dengan Izham. Sehubungan itu ada ketua Amanah kawasan di Kelang dan cawangan bertindak meninggalkan parti? 

Apa yang berlaku dan menimpa Amanah Selangor ini tidak boleh dibiarkan. Amanah Pusat seharusnya melihat dengan penuh teliti dan menyeluruh mengambil tahu kenapa kemalangan itu terjadi. Punca segala permasalahan itu perlu diangkat ke muka tanpa ada perasaan malu atau pertimbangan yang lain. Apakah ada sesuatu yang tidak lendik diperingkat pengurusan tertinggi parti itu di Selangor? 

Ir Izham Hashim (foto atas) selaku pengerusi Amanah Selangor mungkin ada maklumat lanjut serta fakta-fakta kenapa terjadi demikian. Beliau perlu menyediakan satu laporan berkaitan apa yang berlaku serta menghuraikan kenapa Amanah menerima nasib demikian untuk penelitian dan tindakan Amanah Nasional. Bukan itu sahaja Izham perlu menyelesaikan kekusutan yang berlaku kalau ada. 

Sekiranya beliau gagal, atau lebih bersikap mendiamkan diri kerana beliau sendiri sudah mendapat apa dihajati, wajar kalau Amanah Pusat mengarah dan megkaji dan menyusun semula Amanah Selangor demi kebaikan parti itu dan keutuhan masa depannya. Sekiranya Izham didapati gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Amanah Selangor, kenapa tidak ditukar sahaja kepada mereka yang lebih dan sanggup memikul tugas berkenaan.

Parti perlu bersikap melihat kepentingan parti bukan individu. 

Ada desas desus kedengaran kenapa Amanah tidak dipertimbang atau diberi beberapa jawatan dan kedudukan tambahan, ialah kerana hubungan tidak baik Amanah Selangor dengan pihak PKR yang berkebetulan dianggap sebagai parti big brother di Selangor. Ada benarnya juga, kalau hubungan Amanah dengan PKR mesra dan merasa saling perlu memerlukan antara satu sama lain, pasti Amanah tidak dilupakan begitu sahaja.

Kita tidak fikir ketidakmesraan hubungan itu atas prinsip parti, mungkin ia adalah kerana ulah atau berlaku kerana sikap sesetengan pemimpin Amanah yang tidak sealiran dengan pemimpin utama PKR Selangor khasnya dan pemimpin PKR pusat amnya. Jika ini berlaku wajarlah dengan apa yang terjadi.  

Masa masih ada masa untuk Amanah memperbetulkan kedudukannya menjadi sebagai rakan penyendal kepada PKR untuk memastikan Selangor terus menjadi milik PH dalam Piraum kelak. Dan paling penting Amanah perlu memperkasakan kedudukannya di Selangor serta memastikan Amanah menjadi parti penyedal utama kepada PKR. Amanah harus mempamerkan ia sebagai parti penting di Selangor kalau mahu dihormarti.  

Sekiranya Amanah tidak mempedulikan, melakukan reform di mana-mana bahagiannya, atau menyerahkan kepada pemimpinnya di Selangor saja untuk bertindak menyelesaikan masalah yang ada, dikhawatir parti itu menjadi "rumput gelang sambal" di Selangor seperti mana berlaku di negeri Cik Siti Wan Kembang.  [wm.kl.10: 45 am 11/10/2020] 

No comments: