Thursday, October 22, 2020

Sebab-sebab memungkin Zahid ceasefire

SUSUPAN PETANG 

SAYA telah memberi pandangan dan pendapat lebih dua kali mengenai usaha pembangkang (PH) untuk mengambil alih kerajaannya yang hilang dengan cuba mencari angka-angka sokongan daripada ahli parlimen di parlimen. Sejak awal usaha ini saya terimanya secara negatif. 

Selalunya saya bercakap mengenai sesuatu perkara itu (berupa nasihat) hanya setakat dua kali sahaja, tidak mengulangi kali ketiga. Saya tidak suka mengulangi perkara yang sama kerana ia membazir dan membuang masa. Pantang bagi saya. 

Setelah saya memberi pendapat dan melarang, kalau mereka yang dinasihati itu tetap meneruskan perangainya, saya akan mengambil sikap sebaliknya, menyuruh dalam arti kata menghalaknya. Saya guna pakai prinsip atau cara orang tua-tua dahulu kalau mereka larang anak cucunya agar jangan berbuat sesuatu tetapi bila tidak dihiraukan, mereka akan menukar "arah" dengan menyuruhnya. Buatlah... dalam pada itu mereka akan memerhati apakah kesudahannya nanti. 

Demikian dengan usaha PH terkhususnya kepada Anwar Ibrahim untuk melakukan rampasan kuasa dengan cara mencari sokongan di parlimen. Saya ada tulis dan melarang supaya jangan bermain dengan angka sebab buruk padahnya. Angka-angka atau nombor ini biasanya dimainkan oleh kaki judi, ia perbuatan syirik, khurafat dan berdosa besar. 

Bayangkan betapa kaki judi nombor sukar tidur malam kerana mengangan-angankan nombor mereka akan "naik" dan mereka akan jadi kaya selepas itu. Wal hasil balik asal bukan kaya yang jadinya kayak. 

Saya lebih "proper" kalau PH menumpukan kepada memperkuatkan ikatan sesama sendiri, menyusun organisasi masing-masing dan memperkasakan semula PH selepas ianya rosak apabila Bersatu telah bertindak meninggalkannya. Sejajar itu PH perlu bergerak sederap untuk mempengaruhi rakyat agar menjadi yakin kepada mereka pada pilihan raya akan datang. PH kena memberi tahu rakyat yang mereka dikhianati dan cuba menebus kembali kehilangan itu. 

Cara itu lebih praktikal dan menyakinkan. Tetapi nampaknya mereka (orang politik) senantiasa optimis walaupun apa diyakini itu kosong. Usaha untuk memperkasakan PH nampaknya tidak serlah dilakukan sebaliknya ghairah berpolemik mengenai angka-angka dan menunggu harapan bulan jatuh ke riba dengan menyusun kabinet baru yang tidak tentu. 

Ia berlaku kerana ada sikap semacam terhimbau kepada keseronokan dan keindahan semasa menjadi kerajaan. Dalam istilah lain mereka jadi macam ayam gilakan sangkak. Walaupun telur sudah dirampas atau dimakan biawak tetapi si ayam gila ini tetap mengeram, berada atas sangkak membayangkan akan telurnya masih ada. 

Untuk kesekian kalinya.

Kini sekali lagi permainan dengan angka itu gagal untuk kesekian kalinya. Gagal melambung kata orang. Permainan angka kali kedua ini mula tercetus apabila tiba-tiba Anwar Ibrahim mengumumkan dalam sidang akhbar beliau mempunyai angka mencukupi untuk jadi PM dan dengan sokongan itu kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh. Anwar telah pun isytiharkan Muhyiddin tumbang. Pengisytiharan itu sungguh mengejutkan dan satu perbuatan cukup berani.

Ia sampai ke kemuncak nak jadi apabila Anwar dibenarkan Yang diPertuan Agong mengadap. Kebenaran itu didendangkan sebagai lagi mengasyikan yang Anwar sudah hampir menjadi PM. 

Bagi mereka yang belum cukup umur dalam politik dan cetek mengenai seninya, pengumuman Anwar itu kemudian perkembangan selepasnya telah menyakinkan mereka, ia seolah-olah satu kebenaran berupa wahyu. Mereka membuat kesimpulan kalau apa dinyatakan Anwar itu tidak benar, masakan Anwar sanggup mengaitkan nama Agong.

Keyakinan kepada apa disebut Anwar itu ditambah pula oleh kenyataan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan beliau  ada mendapat maklumat ramai ahli parlimen Umno menyokong Anwar dan beliau sendiri mengakui tidak dapat mengawalnya. Kenyataan Zahid itu dikapuhkan dengan kenyataan Anwar itu menjadi kosmetik menyebabkan ia sangat mempesonakan mata memandang dan indah telinga mendengar. 

Rentetan ini bagi saya ia adalah satu strategi dari dalam Umno untuk sokong Anwar bermata dua. Yang orang tidak fikir kenapa tiba-tiba Zahid membuat kenyataan itu semacam sejalur dengan kenyataan media Anwar ataupun memang ada gerakan itu? Situasi dan kondisi ini perlu difahami terlebih dahulu baru dapat mengetahui hujung jatuh permainan atau game berkenaan sebelum mendodoikannya. Tetapi bagi mereka yang merindui kepada kerajaan gagal untuk menghitung dan membaca sifir ini. Kerana terlalu gembira bersorak lupa kain sudah terlondeh "benda tu" terjolor. 

Sebelum menerima dan berbuat apa-apa, sepatutnya semua orang menyedari latar belakang hubungan Umno dengan Bersatu serta kedudukan Zahid dan beberapa yang lain dalam kerajaan PN. Zahid dan yang lain-lain tidak bergembira dengan tingkah lakukan kerajaan PN. Umno tidak senang dengan Muhyiddin bahkan Bersatu dianggap ular Lidi itu cuba hendak menelan Umno sebagai Naga. Menyedari itu Zahid tentu perlu berbuat sesuatu untuk menyelamatkan partinya dan dirinya sendiri jadi tidak perlu mudah terpesona dengan Zahid. 

Walaupun Zahid boleh dianggap bodoh dalam berpolitik, tetapi ada juga sudut-sudut kecerdikannya di sini. Untuk melepaskan dirinya daripada lebih 80 pertuduhan di mahkamah dia kena cerdik dan sanggup memanipulasikan apa sahaja. Dia sebagai orang lemas akan menggapai apa sahaja untuk selamatkan diri, hatta terpaksa bergayut di belakang buaya sekalipun. 

Bertolak dari sinilah kalau pun ada gerakan dalam Umno atas nawaitu untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri. Saya membaca dalam hal ini tentu ada orang yang menjadi perunding mengenai hal ini. Ada individu atau team yang bertindak menjadi perunding menasihati Anwar menerima pelan mereka? Wal hasilnya yang kantoi Anwar sendiri.  

Jika benar ada gerakan dan agenda itu, Zahid tentu bersetuju dan kerjasama dengan Anwar itu kerana ia memberi faedah buat dirinya. Setidak-tidaknya kalau dia tidak bersama dalam kerajaan tetapi beban asmara ditanggungnya boleh diringankan. Sejarah masa lampau Zahid yang pernah menjadi khadam Anwar dijadikan alasan perkara itu sebagai real. 

Sebenarnya dari bacaan saya kerjasama dan agenda hendak nobatkan Anwar jadi PM itu telah dijadikan alat oleh Zahid untuk mengugut Muhyiddin Yassin yang dilihat tidak menghiraukan nasibnya. Dan Muhyiddin yang menyedari kedudukannya bagaikan "gelas di bucu meja berlantaikan  marmar" tahu akan bahayanya. Bodohlah kalau Muhyiddin tidak berbuat sesuatu. 

Maka demi mengelak malu menimpanya kalau tiba-tiba kerajaannya runtuh, maka Muhyiddin sanggup buat apa termasuk memenuhi kehendak dan tuntutan Zahid dan Umno. Cerita kenapa Zahid buat gencatan senjata itu mungkin kerana Muhyiddin telah menyetujui untuk memenuhi beberapa tuntutan Zahid dan Umno. Boleh jadi juga Zahid membuat gencatan itu kerana mendapat tekanan dalam partinya.

Dalam Umno sendiri pun berkecamukan. Wujud suasana dibentuk oleh sekurang-kurang dua puak dalam Umno. Satu kelompok hendak menyelamatkan Umno dan satu lagi hendak menyelamatkan diri sendiri. Satu puak lagi berada di tengah-tengah. Bagi mereka yang mahu selamatkan Umno tidak bersetuju dengan tindakan Zahid untuk melepaskan dirinya. Mereka ini berfikir kalau Zahid menyetujui bersama Anwar ia boleh menyebabkan parti itu semakin parah dan perjuangan politik mereka juga musnah. Kerana itu mereka menentang Zahid. 

Sementara yang satu puak lagi berada ditengah-tengah akan melihat dan memberi sokongan kepada yang menguntungkan mereka secara peribadi. Peranan puak ketiga ini mencukup korum yang diharapkan. Disebabkan kecamukan inilah maka angka-angka yang mulanya dihitung cukup untuk membawa Anwar ke Putrajaya menjadi kurang dengan tiba-tiba. 

Situasi atau konflik ini menjadikan Zahid delima dan akhirnya tidak ada pilihan lain lagi terpaksa membuat u-turn semula setidak-tidaknya buat sementara. Zahid tidak peduli apakah dia akan dikeji atau apa kerana melakukan u-turn adalah kegemarannya.

Soalnya apakah ceasefire untuk selamatkan dirinya dan Umno itu berjaya? Ia akan terjawab juga akhirnya nanti. Sekiranya dalam masa sehari dua ini Muhyiddin sedia membawa masuk Zahid ke dalam kabinet ia menampakkan berjaya. Tetapi kalau tidak, sekali lagi Zahid dijadikan toys oleh Muhyiddin. Kegagalan itu menunjukkan golongan yang ingin menguasai Umno berjaya dan dalam masa sama Zahid terus terpinggir dan mengecut.

Menyimpul kepada semua itu, kerja menggunakan Zahid untuk jadi PM, adalah kerja seperti mengharap kepada budak-budak. Seperti berjanji dengan budak yang tidak tahu erti prinsip, menilai masa dan membaca kesan dan implikasi. Zahid umpama budak dalam politik yang tidak tahu berpegang kepada janji. 

Dalam falsafah hidup saya ada tiga golongan yang tidak boleh dibuat kawan, pertama budak, kedua orang sedang bercinta dan ketiga orang tua. Apa alasannya? (Nak tahu call saya?) 

Dan gempuran Anwar hendak jadi PM menerusi agenda itu juga hanya seperti fatamorgana yang boleh di pandang tetapi tidak boleh menghilangkan haus. Anwar atau pihak yang jadi perunding hanya memberi fatamorgana kepada orang ramai bukannya memberi air. Maka kehausanlah orang ramai di tengah sahara sangsara selagi hujan musim sejuk belum turun.  

Usaha dan kerja mencari nombor untuk membolehkan Anwar jadi PM itu umpama kerana menimba telaga buta yang disangka banyak ikan, padahal tiada apa-apa pun. Telaga yang dalam dan luas sudah ditimba, kering dan peluh sudah banyak terbuang, airnya sudah kering tetapi ikan tidak kelihatan. 

Harapan yang diberikan itu samalah mengharap betik jantan untuk mengeluarkan buah.  Bunga berjuntai-juntai tetapi buahnya tidak ada. Tindakan terbaik betik itu kena ditebang sahaja.  Habis cerita tamat riwayat. Orang politik sangat optimistik tetapi mereka juga banyak berkhayal. [wm.kl. 3:34 pm 22/10/2020]

Glossori:

Menghala = menyocok, mencabar. 

Kayak = papa kedana.


No comments: