SESUDAH SUBUH
Mereka menjadi tumpuan untuk selesai perang politik hari ini. |
Mungkin melayan perkembangan politik kini seperti mengorek telinga atau mencabut bulu hidung saja. Tersalah cabut terbersin jadinya.
Ada beberapa perkara yang sedang dinanti kesudahannya.
1. Apakah Anwar Ibrahim berjaya mengangkat sumpah menjadi PM setelah beliau dakwa sudah cukup sokongan berbuat demikian?
2. Apakah Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan bagi membolehkan Anwar mengambil alih tempatnya.
3. Apakah kalau Muhyiddin letak jawatan, Yang diPertuan Agong akan menitah memanggil supaya pilihan raya umum ke 15 akan diadakan?
4. Apakah Tengku Razaleigh Hazamah berpeluang untuk menjadi perdana menteri?
5. Atau apakah Muhyiddin terus kekal menjadi perdana menteri?
6. Atau macam mana?
Itulah enam pertanyaan atau persoalan yang berlegar dan menyumbat kepala umum kini. Mari kita baca dan mengagar makrifat untuk menjawab satu persatu persoalan itu.
Anwar mendakwa beliau sudah mendapat angka secukupnya untuk memungkinkan beliau diberi laluan menjadi perdana menteri. Kalau ikut konvensyen, seseorang ahli parlimen yang mendapat sokongan majoriti berhak dan layak untuk diangkat menjadi perdana menteri tanpa dolak dalih lagi. Anwar sudah pun mengadap Yang diPertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menyampaikan apa yang ada kepadanya.
Disebabkan Anwar tidak menjelaskan butiran lanjut, menyebut satu persatu nama-nama ahli Parlimen (MP) yang menyokongnya, menyebabkan ia menjadi polemik dan diperdebatkan apakah benar yang didakwa itu atawapun tidak. Teruk Anwar kena serang dan diperli apabila beliau terus mengunci mulut tentang angka dan nama-nama itu.
Maslahat.
Dengan mengambil kira dan mempercayai kenapa Anwar bersikap begitu kerana helah dan maslahat siasahnya, ia menunjukkan angka dimiliki Anwar itu mencukupi? Mereka mempersoalkan kebenaran Anwar itu sebenarnya tidak perlu gelabah dan hilang punca kerana apa yang penting Yang diPertuan Agong telah memberi reaksi positif.
Seperti mana dijelasnya semasa sidang akhbar selepas mengadap Agong, beliau hanya menyampaikan matan sokongan itu berupa surat-surat sokongan dan jaminan daripada ketua-ketua parti, PKR, DAP, AMANAH terhadapnya, yang mana ketiga-tiga parti itu "solid-molid" menyokongnya berjumlah 92 kerusi MP.
Manakala angka atau jumlah kerusi daripada Umno yang juga merit untuk menyokongnya (walaupun tidak semua), akan diserahkan oleh presidennya sendiri Ahmad Zahid Hamidi tatakala mengadap Agong kelak. Zahid dijangka mengadap semalam tetapi ditunda ke tarikh lain. Pulak?
Bagaimana pun tidak ada pengakuan tegas dan jelas daripada Zahid yang Umno sedia menyokong Anwar. Mungkin Zahid dan Anwar sudah belajar daripada "cak kecipung" politik sebelum ini. Pun begitu gelagat dan kenyataan-kenyataan pemimpin Umno termasuk ingin mengkaji semula hubungan dengan PN (Muhyiddin) memberi tanda-tanda Umno sudah beralih angin sokongan. Apakah reaksi ini memberi indikator mengiyakan apa didakwa Anwar itu?
Dari segi matemetik Anwar memerlukan 20 sokongan sahaja untuk melayakannya. Ini bererti beliau memerlukan sokongan tidak sampai separuh daripada ahli parlimen Umno yang berjumlah 39 orang itu. Beberapa orang MP telah membuat kenyataan menafikan mereka sokong Anwar bahkan ada yang membuat laporan polis. Apabila diambil kira MP yang menafikan sokongan mereka itu, Anwar atau Umno masih lagi boleh membantu Anwar jadi PM.
Yang menariknya selain daripada mendapat ehsan Umno ada juga beberapa orang MP bebas dan juga dari parti politik tertentu menyokong Anwar secara peribadi. Mereka ini difahamkan akan menyerahkan SD (pengakuan) secara bersendiran kepada Agong. Mungkin makrifat politik anda dapat mengagak siapa-siapa peribadi menyokong dan simpati kepada Anwar itu.
Muhyiddin perlu lepas jawatan.
Dengan kondisi itu Muhyiddin secara automatik sudah tidak mendapat sokongan lagi. Pilihan dan tindakan terbaik beliau perlu meletakkan jawatan. Sekiranya status dan kondisi yang didakwa Anwar itu kekal, kalau ada usul undi tidak percaya dibawa ke parlimen terhadap Muhyiddin sudah pasti beliau akan gugur.
Afdal untuk mengelakkan Muhyiddin menjadi perdana menteri pertama digugurkan di parlimen elok beliau mengambil langkah berundur awal. Beliau boleh gunakan alasan-alasan terpilih yang boleh dicari atau dikongsikan dengan keluarga, misalnya alasan kurang sihat ataupun tidak mahu serabut dengan politik "harimau lapar."
Untuk maklumat beberapa orang ahli parlimen telah mengemukakan permohonan (notis persendirian) kepada Yang diPertua Dewan Rakyat agar membawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin. Antara yang mengemukkaan usul berkenaan adalah wakil Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) dan ahli parlimen yang bersama dengannya.
Wakil Gua Musang (Razaleigh Hamzah) dan dipercayai ada beberapa orang wakil lagi membawa usul sama. Menurut laporan bersumberkan pejabat Yang diPertua Dewan Rakyat sebanyak 35 usul dikemukakan oleh 25 orang ahli Parlimen. Difahamkan usul notis itu berupakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin. Jumlah MP yang membawa usul sama itu menunjukkan usul berkenaan sangat kritikal.
Bagi Tengku Razaleigh usul itu penting untuk mengesahkan apakah Muhyiddin sebagai perdana menteri sah atau pun tidak.
Rentetan perkembangan itu semua, sekali lagi saya mohon kepada Muhyiddin meneliti surat terbuka saya kepada beliau.
Tertakdirlah Muhyiddin mendapat taufik dan hidayah lantas dengan penuh hormat MELETAK JAWATAN sebagai perdana menteri, apakah Yang diPertuan Agong akan memberi perkenan untuk melantik perdana menteri baharu atau pun beliau minta parlimen dibubarkan.
Apakah sambil meletak jawatan Muhyiddin akan meminta Agong bubar parlimen seperti mana berlaku di Sabah, bilamana Mohd Shafie Apdal meminta TYT Yang Dipertuan Negeri bubar DUN dan automatik beliau tidak lagi jadi Ketua Menteri?
Keadaan negara waktu ini tidak begitu kondusif untuk diadakan pilihan raya walaupun cara terbaik menyelesaikan kemelut politik hari ini dengan pembubaran Parlimen. Hakikat hari ini tidak ada mana-mana parti atau coalition yang cukup majoriti untuk tubuh kerajaan, melainkan dengan bergabung. Hakikatnya kini parlimen sudah tergantung.
Atas realiti itu tidak mungkin dan tidak munasabah Al Sultan Abdullah memberi pekenan untuk dibubarkan parlimen dan pilihan raya umum diadakan. Sepatah kata OT95 rakyat akan mati kalau diadakan pilihan raya umum. Apa yang berlaku di Sabah pandemik Covid merebak dengan tiba-tiba sesudah berlangsung Pirane Sabah. Piraum sudah tidak kondusif saat ini.
Apakah apa yang terjadi di Sabah itu mahu diheret ke Semenanjung?
Kalau Muhyiddin letak jawatan, dan Malaysia memerlukan seorang perdana menteri baru siapakah mereka? Ada dua calon yang digendangkan kini, Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh. Anwar semestinya calon yang didambakan dan penuh berpotensi. Rakyat sedang menannti dan menadah tangan mengharapnya memimpin negara ini.
Tetapi tiba-tiba pula Tengku Razaleigh menjadi saingannya. Umum kena tahu Tengku Razaleigh juga sudah lama bercita-cita dan bermimpi untuk jadi perdana menteri, bahkan lebih awal dan lebih lama daripada Anwar Ibrahim. Ironisnya beliau juga berlawan dengan Dr Mahathir untuk jadi PM sama seperti Anwar, anehnya mereka tidak pernah sepakat menentang Mahathir. Kerana ingin memenuhi cita-cita lama itu, Tengku Razaleigh tidak pernah berhenti berdoa untuk menjadi PM.
Nama Tengku Razaleigh meledak dan disebut-sebut apabila selepas Anwar mengadap Agong, ahli parlimen Gua Musang itu juga masuk mengadap. Ini sedikit membingungkan, atas kapasiti dan urusan apakah beliau mengadap Agong? Apakah ia dijadikan secalar awan untuk memanggil hujan?
Jika Anwar dipanggil ada logik dan munasabahnya, kalau Razaleigh di luar kemunasabahannya. Beliau bukan ketua parti hanya pengerusi Lembaga Penasihat Umno yang lemah dan tidak dihormati pun. Kenapa dikatakan begitu, kerana walaupun beliau menasihat menteri Umno letak jawatan, seorang pun tidak akur dan mendengarnya.
Ada mengatakan Tengku Raaleigh adalah calon PM intrim? Interim menatang apa? Kononnya Yang diPetuan Agong akan isytiharkan darurat dan Tengku Rzaleigh Hamzah akan dilantik jadi PM kerajaan Seri Paduka Baginda. Ada peruntukan undang-undang dan konvensyen mengenai hal ini, tetapi untuk melaksanakannya sekarang keadaanya samalah dengan masalah di atas tadi, tepat mengadakan pilihan raya, tetapi apakah situasi mengizinkannya?
Bagi saya untuk meletakkan Tengku Razkeuggh di atas cagak kekuasaan (PM) itu hanya angan-angan yang ajaib daripada kumpulan yang tidak mempunyai hak menurut amalan biasa. Ia boleh berlaku sekiranya teori Ashaari Muhammad yang mendakwa akan jadi PM Malaysia secara khawarikul ahdah. Yang nyatanya Ashaari tidak sempat jadi PM.
Kerana tidak ada satu jalan penyelesaian yang tuntas dan boleh memastikan keamanan tercapai, apakah Muhyiddin akan terus berada di kerusi PM sehingga habis tempoh parlimen ini. Dengan memahami seruan dan titah Yang diPertuan Agong meminta semua pihak matang nampak ia ke arah itu. Ada baiknya kalau Muhyiddin kekal menjadi PM bagi penyelsaian kepada kebutuan itu.
Tetapi apakah semua kita bersetuju dan sepakat? Semua komponen parti bersetuju dan sanggup menerima "bahana" kelemahan dan kelonglaian Muhyiddin dalam mentadbir negara ini? Kita rakyat umat penumpang keretapi dalam "gerabak awam" ini mungkin boleh menerimanya. Kita juga muak dengan perjalanan "keretapi" politik kita. Tetapi bagaimana dengan orang politik penumpang di gerabak Di Raja dan Eksklusif? Mereka tidak berfikir seperti penumpang dalam gerabak awam, mereka adalah penjaga gerabak CG yang berada di belakang sana dimana mereka lebih memikirkan barangan mereka. Mereka lebih memikirkan untuk buat diri mereka.
Tuan punya gerabak CG (Comsumer Goods) berada dalam gerabak eksklusif.
Maka sukar untuk memujuk orang politik bersikap tasamuh dan berlapang dada seperti kita. Jadi apakah kesimpulan dan jawaban kepada persoalan tadi? Saya menjawab dengan sebuah pantun:
Ambil jarum terjatuh di kolam,
Di dalam kolam ada buaya;
Buah ranum jangan diperam,
Terlebih peram busuk jadinya.Terbaik semua pihak insaf dan sedar serta bermaufakatlah demi kebaikan negara dan bangsa. Kalau mengikut akal dan nurani saya, jalan penyelesaian pergolakan dan konflit politik hari ini bisa ditenangkan dengan mewujudkan kerajaan bersama yang diketuai oleh Anwar Ibrahim apabila Muhyiddin insaf.
Bukan kerana taksub dan teruja dengan Anwar tetapi kita melihat kepada rekod perjugannya dan bukit bukau gunung ganang dilangkaunnya mengatasi daripada semua sosok lain. Lagipun dari segi perlembagaan ia logik. [wm.kl.7:35 am 17/10/2020].
No comments:
Post a Comment