Wednesday, October 4, 2023

Anwar perlu fatanah dalam merombak kabinet

SUSUPAN SUBUH

DALAM buana politik Malaysia apa yang ditunggu dan dinanti-nantikan kini ialah rombakan kabinet.
Perkara ini menjadi sebutan dan perhatian apabila pemerhati memberi gambaran Anwar perlu melakukan rombakan kabinet dan menyusunnya semula. Setelah 10 bulan berkuasa dengan anggota jemaah kabinet hari ini sudah wajar untuk Anwar melakukan semakan dan penyesuaian baru.

Lagi pun rombakan kabinet itu sejajar dengan pengumuman mana-mana ahli parlimen atau tokoh politik PH bagi mengisi tempat dikosongkan oleh Allahyarham Salahuddin Ayub yang meninggal dunia 23 Julai lalu. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup masih kosong.

Disamping mengisi kekosongan itu Anwar, diperkirakan perlu membuat sedikit adjustment terhadap kabinetnya, menukar portfolio beberapa orang menteri yang dilihat gagal atau kurang berfungsi seperti diharapkan. Situasi itu dilihat merugi dan menganggu agenda besarnya untuk membangun negara.

Antaranya ialah Mohamad Sabu yang diberi tanggungjawab menjaga makanan negara di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Fahmi Fadzil menjaga penerangan negara di kementerian Komuniskasi dan Digital. Kedua-dua mereka dilihat tidak begitu proaktif untuk mendepani beberapa isu serius yang dibawah tanggungjawab kementerian mereka. 

Lantaran itu sambirin membetulkan itu Anwar diharap akan memperkemaskan lagi kabinetnya untuk memberi dampak bagi menghadapi masalah negara dan mengurangkan kritikan umum. Dalam pada itu ada juga desas desus dan lobi melobi agar dibawa masuk orang tertentu ke dalam kabinet bagi memantapkan lagi jemaah menteri. Kemasukan mereka itu kononnya ada singnifikan tertentu walaupun ia dikira mustahil dan rumit. 

Mereka disebut dan wajar dibawa masuk ialah ahli parlimen Titiwangsa Johari Ghani, Senator Dr Mujahid Yusuf Rawa. Ada juga nama Husam Musa yang kini memegang jawatan Pengerusi SPNB disebut secara diam-diam wajar dibawa masuk ke dalam kabinet. Husam masih ada sepenggal lagi boleh dilantik menjadi Senator.  Kemasukan mereka itu berdasarkan kepada pengalaman dan track record perkhidmatan mereka sebelum ini.  

Tidak cukup nama-nama itu ada dua ahli lagi parlimen ikut dan diampungkan, ahli parlimen Air Hitam, Wee Kah Siong dan ahli Parlimen Tapah M. Saravanan. Nama mereka disebut atau dicadangkan dibawa masuk ke dalam kabient. Kononnya keperluan bawa masuk Wee Kah Siong untuk menguatkan sokongan Cina kepada kerajaan PH. Manakala Saravanan pula sebagai menghargai sokongan masyarakat India terhadap BN dan PH dalam pilihan raya lalu. 

Alasan untuk bawa masuk Wee Kah Siong itu sedikit tidak logik dan tidak penting kerana DAP sudah ada untuk membendung pengaruh pengundi Cina.

Mengenai cadangan itu masing-masing ada pandangan dan alasan tersendiri. Namun ketentuannya ia menjadi hak prerogatif perdana menteri. Semua nama jemaah menteri tertulis di atas telapak tangan Anwar. Bagi saya, saya tidak nampak Anwar akan akur atau menuruti apa yang dicadangkan itu. Beliau seorang yang tidak mudah termakan dengan lobi melobi serta ada pertimbangan lain.

Setahu yang saya kenal, Anwar, beliau seorang yang autokrasi, akan bertindak sendiri tanpa banyak menerima pandangan orang diluar sana. Amat "rohok" untuk dia menyetujui dengan pandangan orang lain. Walaupun beliau ada berseloroh mengenai rombakan kabinet meminta agar orang menulis surat kepadanya membuat cadangan, saya yakin dan percaya beliau tidak akur dengan apa dicadangkan itu.

Walaupun relatif ada menterinya lemah, tetapi kerana aknum itu merupakan orang kanannya dalam parti, beliau tidak akan mengusiknya. Beliau akan biarkan ia terpendam macam buah busuk yang boleh merosak keadaan. Dalam hal-hal tertentu beliau lebih menjaga keampuhannya dalam parti berbanding dengan rakyat dan negara. 

Kayu serandang dan tongkat keramat tidak akan ditukar ganti. Beliau tidak akan kisah apakah oknum yang dicadangkan itu boleh menyumbangkan kepada pembangunan negara dan rakyat, tetapi yang lebih penting oknum itu boleh mendokong politiknya. Apa dialami Anwar itu ada lumrah dalam kancah politik. 

Makanya jangan harap untuk kita melihat Anwar sedia menurut apa yang kita cadangkan, dan kita akan kecewa kalau sangat mengharap daripada hal itu. 

Semalam beliau memberi tahu tidak ada rombakan kabinet dalam masa terdekat. Beliau menafikan khabar mengatakan beliau menghadap Yang diPertuan Agong sebagai ada kaitan dengan rombakan kabinet Katanya perjumpaan itu adalah amalan rutin sebelum mesyuarat kabinet hari ini.

Apakah boleh diyakini dengan kata-katanya itu? 

Saya rasa beliau tidak akan membuat rombakan kebinet sebelum beliau ke luar negara. Beliau akan ke Dubai dan khabarnya akan menunaikan umrah dalam tempoh terdekat. Keputusan Pirake Pelangai juga akan menjadi indikator dan semangat kepadanya. 

Sebagai orang politik Anwar juga tidak terkalih dengan cara orang politik lain suka menimbulkan suasana suspen dan menggantungkan agenda untuk mendapat perhatian umum. Apa lagi Anwar seorang yang suka kepada publisiti dan dikerumuni ramai maka beliau boleh memperpanjangkan soal rombakan kabinet.

Bagaimana pun dalam hal lain beliau tentu berhati-hati untuk membuat rombakan kabinet termasuk menggugurkan mana-mana yang lemah dan mengganti yang baharu. Ini kerana kedudukannya secara hakikatnya tidak stabil ditambah dengan sifat perdana menteri itu tidak suka menganiaya sesiapa. Beliau sangat bergantung kepada sokongan parti-parti lain DAP, Amanah dan Umno. Untuk itu beliau akan jaga perasaan dan hati parti-parti berkenaan. Beliau tidak mahu dengan rombakan dan tukar ganti boleh menyebabkan ada parti-parti itu tersinggung.

Jadi rombakan atau perpindahan atau pengguguran anggota kabinet itu harus mengambil pertimbangan situasi berkenaan.

Jika beliau tidak bijak menjaga hati parti-parti yang mendokongnya, tidak mustahil boleh berlaku penarikan diri mana-mana komponen parti dalam PH menyokongnya. Kalau ada berbuat demikian maka kerajaan PH akan "bercongik cakdung". Dalam dunia politik langit terbuka ini beliau sangat perlu berhati-hati dan fatah. Bila dan hari apa, dan siapa yang terbabit dalam rombakan itu pasti akan hadir juga. Jadi kita janganlah desak sangat perdana menteri ke-10 itu untuk mengikuti apa yang kita hajatkan. [wm.kl.9:02 am 04/10.2023]

Glossari:

Rohok = sukar, payah, tidak mudah.

No comments: