Sunday, August 10, 2008

Fikiran Ahad

Banyak Cakap Jadi Tersalah Cakap

CAKAP-CAKAP oleh dua orang yang berusia lebih 75 tahun ke atas yang dilaporkan oleh akhbar hari ini agak lucu dan menggambarkan betapa orang seperti mereka lebih baik diam daripada bercakap. Kalau mereka diam rasanya harga diri mereka menjadi lebih mahal daripada mereka bercakap. Bila mereka bercakap harga diri mereka juga boleh merudum.

Pepatah pun ada mengatakan kalau kamu merasakan kurang ilmu lebih baik kamu diamkan saja nescaya orang tidak akan sedar akan kelemahan kamu!

Pertama ialah mengenai cakap-cakap bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, (berumur 83 tahun) yang bersedia untuk lari meninggalkan negara ini sekiranya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri 16 September depan.

Walaupun cakap-cakap itu tidak lebih dari cakap politik namun ia memberi gambaran betapa buruknya Anwar sampai Mahathir hendak lari meninggalkan negara ini dan hidup di negara lain. Itu menggambarkan betapa bencinya Mahathir kepada Anwar.

Hanya seseorang yang terlampau membenci seseorang saja tidak mahu bersua, bercakap dan juga bercerita mengenainya. Dan cara Mahathir itu menunjukkan beliau tidak boleh menerima langsung kalau Anwar menjadi pemimpin Malaysia.

Bila mengenangkan cakap-cakap Mahathir itu saya teringat cakap-cakap berversi sama yang pernah dikeluarkan oleh bekas pemimpin Darul Arqam, Ashaari Muhammad. Ashaari di zaman hebatnya dulu pernah mengeluarkan kata-kata untuk menjadi warganegara lain kerana tidak mahu berada dalam sistem pemerintah Mahathir yang dianggap zalim menekan gerakan dakwah.

Kerana itu beliau bercadang untuk memohon kepada Yang di-Pertua Agong untuk menjadi warganegara lain.

Tidaklah pula saya pastikan apakah Ashaari sempat berbuat demikian. Cuma apa yang sangat diingatkan beliau kemudian ditangkap secara borong bersama pengikutnya dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kemudian mengaku pula secara beramai-ramai meninggalkan perjuangan dan ajaran Aurad Muhammadiah yang menjadi pegangan Darul Arqam.

Apabila mendengar Mahathir hendak berhijrah bila Anwar jadi PM, samalah dengan apa yang Ashaari lakukan itu. Jadi di sini boleh disimpulkan, mutu, darjat dan kelas pemikiran politik Mahathir sama sahaja dengan Ashaari Mohammad, tidak sanggup berdepan dengan musah secara gentleman!

Cakap-cakap kedua yang agak lucu dan membuatkan saya terdesah ialah cakap-cakap Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat (kini sudah berusia 77 tahun) yang mengatakan amalan kronisme dibenarkan dalam Islam. Beliau dalam mempertahankan perlantikan menantunya sebagai Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ariff Fahmi Abdul Rahman merujuk kepada perlantikan Khalifah Rasyhidin (sahabat empat Abu Bakar, Omar,Othman dan Ali) yang berunsur kronisme.

Hujah beliau, tidak menjadi masalah dengan perlantikan kroni kalau ianya layak untuk ke jawatan tertinggi atau ke dalam mana-mana organisasi dan syarikat. Beliau membuat pandangan ini ekoran timbul kritikan terhadap perlantikan menantunya ke jawatan itu di mana beliau adalah pengerusinya.

Pastinya Nik Aziz mengeluarkan kenyataan berupa fatwa itu bukan suka-suka tetapi berpegang kepada nas dan sejarah. Jadi mulai hari ini amalan kronisme tidak jadi masalah dalam parti politik termasuk melantik kaum keluarga sebagai pembantu dan sebagainya. Pas juga mulai hari ini kena terima kronisme dan ini pula secara tidak langsung bertentangan dengan perjuangan PKR dan Anwar Ibrahim yang begitu memandang jijik kepada kronisme dan nepotisme.

Ini nampaknya fatwa dan pandangan baru dari Mursyidul Am Pas itu. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin Islam dan ulama yang terbuka dan liberal serta berani mengemukakan pandangan-pandangan yang menimbulkan kontroversi seperti berkawan dengan syaitan dan Tuhan mencarut dan berbagai-bagai lagi.

Sebelum ini masalah kronisme menjadi kritikan dan kebencian Nik Aziz dan juga orang Pas terhadap Abdullah Ahmad Badawi apabila Abdullah melantik menantunya Khairy Jamaluddin menduduki Tingkat Empat. Apakah penentangan itu disebabkan Khairy tidak berlayakan dan berpengalaman seperti Ariff Fahmi? Ataupun kerana kronisme Abdullah itu kronisme Islam Hadhari yang bertentangan dengan kronisme sahabat empat itu?

Dan seperti mana saya teringat kepada apa yang dilakukan kepada Dr Mahathir sama dengan dilakukan Ashaari Muhammad itu, maka begitulah juga saya teringat apa yang pernah dilakukan Nik Abdul Aziz ke atas bekas Presiden Pas, Mohd Asri Muda. Saya masih ingat pada tahun 1980-an kenapa Nik Aziz tidak setuju dan sebulu dengan Asri ialah kerana bekas Presiden Pas itu mengamalkan kronisme dalam parti.

Asri melantik ipar duai dan isterinya memegang jawatan tinggi dalam parti. Salahuddin Abdullah (iparnya kalau tak silap) dilantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, manakala Sakinah Junid, isterinya dilantik menjadi Ketua Muslimat.

Kemuncak penentangan Nik Abdul Aziz ialah apabila Mohd Asri melantik orang-orangnya menjadi calon dalam pilihan raya 1982 dan membelakangkan orang-orangnya. Perbalahan itu bukan saja setakat protes secara senyap tetapi Nik Abdul Aziz memberi kata dua kepada ahli-ahli Pas Kelantan samada memilih beliau ataupun Asri!

Tindakan Nik Abdul Aziz ketika itu disokong oleh kebanyakan ahli Pas. Mereka yang termakan hujah kronisme sebagai huduh ketika itu mengambil tindakan menyokong Nik Aziz. Kumpulan Asri akhirnya tersisih dari Pas yang kemudiannya bertolak dari situ juga bekas pemimpin Pas yang banyak berjasa itu akhirnya keluar meninggalkan Pas.

Dan apakah setelah 26 tahun Asri tidak ada dalam Pas masalah kronisme tidak berbangkit lagi dan ironinya sudah boleh dijadikan amalan oleh Pas? Persoalan ini saya tidak berani menjawab dan menghuraikannya sebaliknya terserahlah kepada kebijaksanaan ahli dan penyokong Pas untuk menimbangkangnya. Cuma di hari minggu ini apa yang nak saya singgungkan ada kalanya orang tua tersalah cakap disebabkan kerana terlalu banyak berakap! [wm.kl 2:15 pm 10/08/08]

Saturday, August 9, 2008

Berita Terkini

Terima Kasih Majlis Peguam Batal Forum

SELURUH umat Islam perlu menyatakan kesyukuran kerana Majlis Peguam akhirnya menghentikan majlis forum bertajuk Memeluk Islam, yang menimbulkan kontroversi dan bantahan dari berbagai pihak pagi ini.

Walaupun Majlis Peguam mulanya berkeras untuk meneruskan forum berkenaan dengan memberi pElbagai alasan dan tidak sedia akur dengan bantahan, tetapi mujurlah mereka bersedia membubarkannya.

Mungkin kalau tidak berlaku bantahan secara fizikal - berhimpun di hadapan pejabat Majlis Peguam pagi ini mungkin forum berkenaan diteruskan dan ia boleh memberi kesan buruk kepada Islam dan perlembagaan sendiri.

Justeru, umat Islam perlu berterima kasih kepada semua pihak yang hadir mengemukakan bantah terutamanya kepada ahli politik Salahudin Ayub, (Ketua Pemuda Pas), Zulkifli Nordin (ahli Parlimen Kulim - Bandar Baru, PKR), Badrul Amin dan Lathafa Koya, PKR.

Dalam isu-isu sebgini ternyata Umno dan DAP tidak menghantarkan wakil. Begitu juga dengan tokoh-tokoh hebat dari parti politik juga tidak tampil. Mereka ini lebih kedepan dalam menyuarakan isu kepentingan bersama seperti masalah ekonomi dan mengkritik kepincangan kerajaan. [kl. 1:15 pm 09/08/08]

Hati Masih di Kota Bharu

Nik Aziz Perlu Jelas Siapa Dengki Kepada Anwar

MENURUT kata Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat ada pihak dalam Pakatan Rakyat dengki kepada Anwar Ibrahim. Pihak itu katanya tidak mahu Anwar menjadi ahli Parlimen dan menang pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos nanti.

"Saya dapati ada orang memang dengki kepada Anwar," begitulah kata Menteri Besar Kelantan dipetik dari laporan sebuah akhbar.

Kata-kata itu sikit mengejutkan. Siapakah dalam Pakatan Rakyat itu yang dimaksudkan ataupun dikenalpasti oleh Nik Aziz yang dengki kepada Penasihat Umum PKR itu.

Rasanya tidak mungkin orang itu dalam PKR. Semua ahli dan penyokong PKR berdoa siang dan malam untuk menobatkan Anwar sebagai ahli Parlimen dan seterusnya mengambil alih peneraju kerajaan Malaysia ini pada 16 September depan. Nik Abdul Aziz juga sampai pejam mata rapat mendoakan kesejahteraan Anwar.

Apakah orang itu dalam DAP? Juga rasanya tidak mungkin! Semua orang ahli DAP termasuk yang masih dalam kandungan ahli-ahli perempuan DAP akan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Anwar. DAP meletakkan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri negara ini dengan harapan membawa wajah dan politik baru Malaysia.

Jadi siapa?

Kerana komponen PR itu hanya ada tiga parti saja, tentulah orang yang dengki kepada Anwar dari PR itu ialah orang Pas sendiri. Orang parti Nik Abdul Aziz. Anak murid Mursyidul Am Pas itu sendiri.

Kalau begitu siapakah mereka? Apakah ianya bekas Setiusaha Akhbar dan Setiausaha Politiknya sendiri yang juga bekas kawan saya, Husam Musa? Rasanya mustahil kalau Husam.

Akhir-akhir ini Husam dengan Anwar bagaikan belangkas berderet ke mana sahaja. Di Mahkamah semasa Anwar didakwa Husam ada, semasa Anwar buat kenyatana akhbar selepas ditahan polis Husam juga ada.

Semasa berceramah di Georgetown baru-baru ini Husam juga ada. Malahan sampai ke Dubai Husam mengejar Anwar. Dan apabila terbunyi cerita Pas Pulau Pinang nak pulau pilihan raya kecil Permatang Pauh, Husamlah yang susah-susah turur ke Permatang Paun untuk menyelesaikan perkara berkenaan. Sampai kena belasah teruk khabarnya si baju petak-petah merah ini.

Jadi tidak mustahil orang yang Nik Abdul Aziz maksudkan itu Husam. Dan sudah pasti apa-apa yang Husam hendak buat itu akan diberi tahu dulu kepada Nik Abdul Aziz sebagai idola dan pemimpinnya. Dia akan minta nasihat dulu daripada Nik Aziz. Masakan Husam pandai-pandai bertindak sendiri tanpa memberi tahu Nik Aziz? Sesuatu yang tidak direstui Nik Abdul Aziz tidak akan dilakukan oleh Husam!

Jadi siapakah orang yang dengki kepada Anwar itu?

Apakah orang yang dimaksudkan itu Abdul Hadi Awang dan Nasarudin Mat Isa. Kedua mereka ialah Presiden dan Timbalan Presiden Pas. Umum sudah tahu wujud pertelingkahan pendapat antara Musyidul Am Pas itu dengan pihak-pihak yang beriya-iya untuk mengadakan muzakarah yang namanya ditukar oleh Nik Abdul Aziz sebagai muqabalah itu, termasuklah Abdul Hadi, Nasaruddin, Haron Din, Mustafa Ali, Harun Taib dan lain-lain.

Nik Aziz harus berterus terang dan jangan main sembunyi-sembunyi. Kalau Abdul Hadi atau Nasarudin orangnya sebutlah terang-terang.

Kalau mereka dengki (saya tidak fikir dengki mungkin hanya setakat tidak suka) rasanya ada sebab-sebabnya yang qatei bagi mereka. Mereka berdua bukan calang-calang orang, mereka adalah pemimpin tertinggi dalam Pas. Dari segi hirerki parti Abdul Hadi ialah orang paling berkuasa selalu presiden.

Saya percaya dari segi maklumat dan sumber Abdul Hadi dan Nasarudin lebih luas berbanding dengan Nik Abdul Aziz di mana penyampai dan sumber amat terhad sekali dan bergantung kepada sumber yang samar saja. Dan paling rewelnya bila beliau menerima maklumat dan nasihat menerusi lubang tikus.

Abdul Hadi lebih tinggi daripada kedudukan Nik Abdul Aziz sendiri. Nik Abdul Aziz atas kapasitinya hanya selaku penasihat sahaja.

Begitu juga Nasarudin. Kedudukanya lebih tinggi daripada penjawat lain, Setiausaha Agung atau pun Bendahari Agung atau pun Ketua Penerangan. Jawatan-jawatan itu adalah lantikan manakala jawatan presiden dan timbalan presiden dipilih dalam muktamar.

Kalau Nik Aziz atau sesiapa faham mengenai berorganisasi mereka kena hormat keputusan presiden atau keputusan parti dan tidak boleh akur kepada pandangan individu. Sekiranya orang-orang itu tidak disukai dan bercanggah dengan pemikiran kita, jangan cakap banyak boleh lawan dan tentang mereka dalam muktamar Pas. Abdul Hadi, Nasarudin dan lain-lain yang dikira tidak menguntungkan politik Pas, boleh ditentang!

Dalam kontesk ini saya melihat kalau Nik Abdul Aziz boleh menjadi penasihat kepada pihak-pihak tertentu untuk menentang Abdul Hadi dan Nasarudin dalam muktamar tahun depan. Untuk menentang Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz boleh tunjuk dan doakan Husam sebagai calonnya. Manakala untuk menentang Nasarudin Mat Isa boleh tunjukkan Mahfuz Omar ataupun Salahudin Ayub.

Naib-naib pula Nik Abdul Aziz boleh minta supaya Ahmad Awang dikekalkan, manakala tempat dikosongkan Husam Musa itu boleh ditunjukkan Kamarudin Jaaffar. Seorang lagi yang boleh diangkat ke jawatan Naib Presiden ialah Dr Moha Hatta Ramli, manakala Muhamma Sabu boleh dikekalkan di kerusinya sekarang kerana beliau tidak berpihak kepada mana-mana. Orang seperti Muhammad Sabu itu perlu dikekalkan.

Kalau Nik Aziz juga tidak senang dengan Muhammad Sabu kerana Mat Sabu pernah menewaskan Ketua Ulama Kelantan, Muhammad Daud Iraqi untuk kerusi Pas Kawasan Kubang Kerian satu masa dulu, mungkin Dr Mariah Mahmood boleh ditunjukkan agar mencuba nasib sekali lagi. Dulu pun Nik Abdul Azizlah yang memberi sokongan kepada Dr Mariah Mahmod.

Tokoh-tokoh dengki kepada Anwar seperti mana dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz nanti tidak perlu dikekalkan kerana ia boleh membantutkan penubuhan kerajaan Malaysia?

Bagaimana pun kenyataan samar itu tidak bijaksana pada hemat saya. Ia boleh menimbulkan kekeruhan sesama sendiri dan dalam parti berkenaan. Apakah sekali lagi dalam hal ini Nik Aziz diberi maklumat salah atau sengaja tidak mahu mengerti hakikat sebenarnya atau membaca Quran mashaf lain daripada setengah ahli Pas baca, maka menyebabkan bunyinya berbeza-beza? [wm.kl 12:15 am 09/008/08]

Friday, August 8, 2008

Hati Di Kota Bharu

Apabila menantu Nik Aziz Disiasat BPR?

MENURUT prinsip undang-undang seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskan ianya bersalah. Bagaimana pun dari segi moral apabila seseorang itu ditangkap dan disiasat ia memberi persepsi yang kurang baik.

Dengan mengira tidak ada sebab polis menyiasat kita atau pegawai BPR mengerumuni rumah kita sekiranya tidak ada sesuatu yang boleh membawa mereka ke situ. Selalunya adalah masalahnya kalau tempua bersarang rendah!

Biasanya baik polis, BPR dan pegawai keselamatan lain akan bertindak, menyiasat, memantau dan menangkap apabila ada laporan dibuat. Itulah prinsip dan amalan dilakukan oleh badan penguasat kuasa (enforce) di negara-negara di seluruh dunia.

Apabila BPR dilaporkan memasuki ke pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ia memberi berbagai tafsiran. Mesti ada sesuatu yang tidak kena berlaku sehingga pegawai BPR bergegas ke sana. Jangan fikir ia sebagai satu strategi untuk memburukkan MB atau kerajaan, tetapi pegawai BPR berkenaan pastinya bertindak berpandukan asas-asas logik baginya.

Menurut laporan akhbar semalam BPR sudah mula menjenguk ke pejabat PMBK yang terletak di bangunan bersebelahan dengan kompleks Kota Darulnaim itu. Beberapa dokumen juga telah diambil. Kedatangan BPR itu ialah ekoran tersebarnya surat layang yang mencerca perbadanan yang dipengerusi oleh Tok Guru Nik Aziz itu. Orang yang menjadi sasaran dalam hal ini ialah menantu MB Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas itu, bernama Ariff Fahmi Abdul Rahman.

Sebenarnya kedatangan pegawai BPR ke pejabat-pejabat kerajaan seperti itu perkara biasa. Tetapi seperti juga dihuraikan tadi pemergian itu akan ditafsirkan dengan berbagai makna dan pengertian prejudis. Kedatangan ke pejabat PMBK itu bukan perkara baru, sebelum ini BPR juga pernah singgah di pejabat salah seorang Exco kanan dan mengambil beberapa fail dan dibawa ke pejabat BPR di Wisama Persekutuan Jalan Bayam.

Sekarang natijah daripada surat layang berkenaan dan kedatangan pegawai BPR ke pejabat PMBK itu umum sudah tahu yang seorang menantu MB Kelantan bekerja di situ. Tidak ada masalah kalau menantu MB bekerja di situ. Menantu Perdana Menteri bernama Khairy Jamaluddin juga bekerja di pejabat di bawah bidang kuasa Abdullah Badawi. Jadi kalau dicongkak dan dikalidharabkan sama saja.

Di sini saya tidak mahu mempersoalkan itu. Menantu MB itu berhak berkerja di mana sahaja mengikut kelayakannya. Dan kedudukan bapa mertuanya sebagai MB dan pengerusi syarikat itu sepatutnya tidak menghalangnya.

Hal sama pernah dikatakan Mahathir Mohamad, “maka sukarlah anak-anak saya untuk cari makan di Malaysia kerana bapanya Perdana Menteri. Ini tidak adil,” begitulah kata Mahathir. Kita faham dan mengerti maksud kata-kata Mahathir itu.

Bagaimana pun hadith Mahathir itu sepatutnya tidak dituruti atau diambil sebagai justifikasi. Mengambil kira kata-kata Mahathir atau apa yang berlaku di sekitar Abdullah itu untuk menjustifikasikan apa yang menimpa kita samalah seperti apa yang berlaku kepada Pak Pandir yang kematian anak dengan mengatakan anak orang lain juga mati walhal mayat yang ditemui dijalanan itu adalah anaknya sendiri yang tercicir dari keranda!

Sebenarnya kebimbangan mengenai akan berlaku konflik interest dalaman hal seperti ini sudah lama diwaspadakan. Pernah satu ketika anak beranak Tok Guru itu dikatakan membuat protes dalaman apabila MB itu bersetuju dengan satu cadangan untuk menggantikan Pengarah Eksekutif Syarikat Air Kelantan, Fauzi Abdullah yang ketika itu menghadapi masalah dengan Ariff Fahmi Abdul Rahman menantunya itu.

Nasib baik kejadian itu disedari anak beranaknya dan mencegah Tok Guru itu agar tidak melantik Ariff Fahmi. Bantahan itu pun katanya disaat-saat akhir di mana ketika Tok Guru sudah melangkah untuk turun rumah menuju ke pejabat dan menghadiri mesyuarat bagi tujuan perlantikan itu.

Katanya dengan berat hati beliau telah memaklumkan semula kepada orang yang mencadangkan nama Ariff Fahmi itu bahawa Ariff Fahmi tidak boleh dilantik mengganti Fauzi kerana dibimbang timbul masalah dikemudian hari.

Ekoran penolakan cadangan itu juga menyebabkan Fauzi Abdullah kekal sampai kini menjadi Pengurus Eksekutif Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd.

Beberapa persoalan timbul di sebalik isu yang boleh dikaji dan seharusnya difahami oleh YAB Menteri besar Kelantan itu. Apakah cadangan perlantikan Airff Fahmi sebagai Ketua Pegawai Operasi PMBK itu adalah atas cadangan orang yang sama mencadangkan agar Ariff Fahmi mengganti Fauzi Abdullah itu dulu?

Apakah cadangan itu mempunyai motif politik tersendiri yang dibuat secara penuh taktikal untuk memburukan imej dan maruah Nik Aziz sebagai MB Kelantan? Kalau anggapan ini benar maka ia kini telah membuahkan hasil. Apa yang berlaku kini sedikit sebanyak mencalarkan peribadi Nik Aziz sebab PMBK berkenaan adalah di bawah bidang kuasanya sepenuhnya. Calaran itu tidak boleh disapukan dengan mengambil sikap seperti Pak Pandir tadi dengan menuduh menantu PM juga bekerja dengan pejabat Perdana Menteri!

Dalam pada itu sudah pasti Nik Aziz tidak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas PMBK itu. Tugasanya yang banyak tidak mungkin beliau dapat memantau perjalanan PMBK berkenaan hanya akan mengambil peduli apa yang penting saja. Dalam hal ini pasti beliau serahkan sepenuhnya kepada penasihatnya.

Yang memusykilkan kini apakah bahana dan kesan perlantikan Ariff Fahmi di situ tidak terfikir oleh para penasihatnya? Nik Aziz sering mengkhabarkan bahawa penasihatnya seorang yang cerdik dan pandai mencari ‘pitis’ untuk Kelantan. Apakah orang pandai juga boleh silap ke? Ataupun memang perlantikan berkenaan adalah agenda dwi penasihat yang dikatakan sering menggunakan lorong tikus ke Pejabat MB itu!

Adalah diharap dalam usia yan sudah lanjut dan sering keuzuran Nik Aziz tidak mudah menerima nasihat daripada sesiapa saja tanpa membuat pemeriksaan serapi mungkin terlebih dulu. Seboleh-boleh janganlah menggunakan dua tiga orang penasihat sahaja atau terus menerima khidmat penasihat lama, sebaliknya carilah seberapa ramai yang boleh.

Yang penting Tok Guru kena ingat kepada pepatah ada sokong yang membawa rebah. Hakikinya kini ada orang yang sudah lama terliur untuk duduk di kerusi yang kerangkanya dibuat dari kayu cengal merah yang terpilih itu! [wm.kl. 9:45 am 08/08/08]

Thursday, August 7, 2008

Enekdot Politik

Sebutir Peluru Hidup dan Ucap Selamat Hari Jadi

ADA dua perkara yang mungkin tidak disedari oleh ribuan mereka yang berhimpun di kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini untuk memberi sokongan moral kepada Anwar Ibrahim dan sekaligus mengecam tindakan pendakwaan ke atasnya berhubung kes liwat yang dilihat sebagai sengaja untuk menganggui prosesnya perjalanannya menunju ke Parlimen.

Dalam keadaan berasakan di kompleks berkenaan berlaku sebaik Anwar keluar dari mahkamah untuk pulang tiba-tiba sebutir peluru (dipercayai pistol) telah terjatuh dekat arah Nurul Izzah dan bergolek menghampiri kaki ibunya Dr Wan Aizzah Ismail yang juga sedang mengiring Anwar untuk keluar.

Kehadiran perluru berkenaan menjadi tanda tanya, apakah ianya sengaja dilempar ataupun tercicir dari mana-mana anggota polis atau mereka yang membawa senjata berkenaan? Kejadian ini turut disedari oleh ahli Parliemn Batu, Tian Chua yang kemudian memaklumkan kepada polis untuk mengambil dan menyiasatnya!

Sementara itu di dalam mahkamah semasa prosiding berlangsung, hakim SM Komathy Suppiah secara tidak sengaja atau sedar telah mengucapkan selamat hari jadi kepada Anwar Ibrahim. Kejadian ini berlaku ketika hakim berkenaan menyemak butiran diri Anwar dan menyedari mengenai hari jadi anwar jatuh pada 10 Ogos. 10 Ogos nanti Anwar genap 61 tahun.

"Selamat hari jadi," begitulah kira-kira lapaz hakim berkenaan kepada Anwar.

Tanpa prejudis kalau sifat hakim berkenaan ia memberi gambaran bahawa beliau seorang yang berpegang kepada fakta dan peka dengan tarikh. Apakah dengan memberi gambaran mesra begitu hakim berkenaan tidak akan melakukan tindakan ataupun aksi-aksi yang pernah berlaku ke atas hakim yang membiarkan Anwar dalam kes seumpama itu sebelum ini?

Dan semasa berarak untuk peluang saya berjumpa dengan seorang peguam senior yang mengenali hakim berkenaan. Peguam ini membuat sedikit ulasan dan memberi pandangannya berdasarkan pengalaman mengenai hakim itu.

Biarlah saya tidak mencatat apa-apa di sini tentang apa yang diucapkan itu bagi mengelakkan timbul prejudis. Tegasnya bagi saya ulasan peguam berkenaan memberikan harapan tinggi bahawa proses perbicaraan kelak (kalau berlaku) ianya tidak akan meributkan! Dan memang menjadi harapan semua agar Anwar mendapat keadilan. Keadilan paling awal ialah dengan membuang atau pun membatalkan pendakwaan berkenaan! [wm.kl 3:00 am 07/08/08]

Berita Langsung

Lebih 3,000 Penyokong Anwar Serbu Kompleks Mahkamah Jalan Duta

DI PERKARANGAN Kompleks Mahkamah Jalan Duta pagi ini seperti suasana di hari penamaan calon apabila lebih 3,000 para penyokong Penasihat PKR, Anwar Ibrahim datang untuk memberi sokongan kepadanya yang dihadapkah ke mahkamah Sesyen di situ atas tuduhan liwat. Seolah apa yang berlaku hari ini adalah gambaran awal yang akan berlaku pada 16 Ogos hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh nanti.

Sokongan moral yang agak luar biasa terhadap seseorang yang didakwa di mahkamah itu ialah ekoran para para penyokong Anwar merasakan tindakan mendakwa itu sebagai satu usaha keji untuk menghalang Anwar daripada turut mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil 26 Ogos depan. Dalam kenyataan reaksinya kepada tindakan itu Anwar menuduh Pejabat Perdana Menteri dan Polis bertanggungjawab ke atas pendakwaan beliau itu.

Para penyokong Anwar dikatakan datang sejak awal pagi lagi menyebabkan keadaan di kompleks mahkamah itu menjadi penuh sesak dan sesekali bergema dengan laungan reformasi.

Suasana tahun 1998 sewaktu Anwar pertama kali dihadap ke mahkamah atas tuduhan sama seolah-olah kembali semula hari ini. Pasukan polis termasuk pasukan simpanan khas (termasuk berkepala merah) dan ratusan yang berpakaian awam turut sama berkawal dari pintu masuk ke kompleks mahkamah berkenaan.

Untuk mengelakkan berlaku kesesakan teruk pihak polis telah menapis kemasukan orang ramai termasuk wartawan di mana hanya seorang wartawan saja untuk satu agensi dibenarkan masuk. Sebahagian para penyokong Anwar terpaksa menanti perkembangan pendakwaan itu di luar bangunan mahkamah dengan penuh sabar dan debaran.

Kira-kira jam 10:30 perkembangan yang ditunggu telah terjawab dan ia melegakan para penyokong Anwar dan orang ramai apabila Anwar tidak di penjara! Mahkamah membenarkan Anwar diikat jamin sementara menunggu tuduhan semula yang ditetapkan pada 10 September depan. Hakim SM Komathy Suppiah membenarkan Anwar diikat jamin dengan jaminan peribadi sebanyak RM20,000.

Menurut kertas pertuduhan Anwar dituduh telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun lalu. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3:01 petang hingga 4:30 petang di Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kauala Lumpur.

Pendakwaan dilakukan oleh Peguamcara Negara, Datuk Idris Haron, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Yusuf Zainal Abiden, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Operasi), Mohd Hanafiah Zakaria dan dibantuk Timbalan Pendakwaraya, Shamsul Sulaiman.

Manakala peguam yang akan membela Anwar pula diketuai Sulaiman Abdullah, R Sivarasa, Lela J Jesuthasan, Sankara Nair, Edmund Bon, Saiful Izham Ramly, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Razlan Jalaluddin.

Perbicaraan itu juga akan turut dihadiri peguam Hak Asassi Manusia, Majlis Peguam sebagai peguam pemerhati.

Manakala peguam pemerhati bagi pihak Mohd Saiful Bukhari, Zamri Idris.

Turut sama kelihatan hadir dan memberi sokongan kepada Anwar, isterinya bekas ahli Parlimen Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Islmail bersama anaknya Nurul Izzah yang juga ahli Perlimen Lembah Pantai, para pemimpin PKR, Pas dan DAP. Antara pemimpin Pas yang pagi-pagi lagi berada di kompleks berkenaan ialah Husam Musa yang mengenakan baju kot putih, Kamarudin Jaafar. Speaker DUN Kelantan Nasaruddin Daud juga kelihatan dicelah-celah himpitan orang orang. Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Azan Ismail ahli Parlimen Indramahkota juga turut sama hadir.

Menjelang tengah hari para penyokong meninggal kompleks mahkamah berkenaan apabila Anwar keluar meninggal mahkamah. Sebelum memasuki keretanya Anwar sempat melambaikan tangan kepada penyokongnya yang berbaris panjang di kiri kanan di jalan dari kompleks mahkamah hingga ke luar pagar mahkamah.

Tidak ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku melainkan tegahan polis kepada wakil penyokong Anwar yang cuba membuat ucapan ringkas di tangga koridor kompleks mahkamah itu bagi menjelaskan perkembangan yang berlaku.

(Tambahan) Sementara itu sewaktu posting ini disiapkan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menelefon membuat penjelasan berhubung posting saya sebelum ini yang mengkritikan tindakan AKM yang dianggap suka membuat gimik yang menghebuhkan kononnya Anwar akan ditangkap semalam.

Menurut Shamsul hebahan yang dibuat AKM itu berdasarkan maklumat yang kukuh. "Saya diminta membuat penjelasan tetapi rasanya baik saya telefon abang direct," katanya sopan dan diplomasi.
Dan ternyata penegasan saya bahawa Anwar tidak ditangkap adalah benar, bahkan bakal calon pilihan kecil Permatang Pauh itu dibebaskan dengan ikat jamin oleh mahkamah sekajap tadi. [wm.kl 1:30 pm 07/08/08]

Wednesday, August 6, 2008

Belasungkawa

Saufi Ayahanda Kembali Kerahmatullah

SAUFI Othman, 65 atau lebih dikenali dengan Saufi Ayahanda telah kembali ke rahmatullah di rumah isteri keduanya di Bunut Payung Kota Bharu.

Menurut anak saudaranya Zakaria, Allahyarham terjatuh selepas makan dan meninggal kira-kira jam 3:30 oetang semalam (Selasa). Beliau yang menghidap strok sejak beberapa tahun lalu bagaimana dalam keadaan sihat dan tidak ada tanda-tanda mempunyai komplikasi lain.

Saufi merupakan seorang aktivis Pas Kelantan yang tidak asing lagi. Beliau mula bergerak aktif dalam Pas dengan menjadi pengerusi di ceramah-ceramah umum Pas sejak tahun 70-an. Selepas Pas Kelantan kehilangan kerajaan tahun 1978 beliau antara penceramah Pas yang terkemuka, bersama Allahyarham Cikgu Musa Salleh, Bunyamin Yaacob dan lain-lain.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Pengulu-Penghulu Kelantan 1978 dan dipecat bersama lebih 400 Penghulu apabila BN mengambil alih kekuasaan Kelantan pada tahun itu. Lain-lain jawatan yang pernah dipegang ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan.

Beliau menghidapi strok sejak dua tahun lepas dan menyebabkan beliau jarang tampil di majlis-majlis ceramah Pas.
Sewaktu sihat beliau adalah antara tetamu Muktamar Pas yang tidak asing. Beliau akan tampil dengan watak dan karektornya sendiri, sambil bertanya khabar, berjumpa kenalan dan menjual buku-buku dan kaset agama dan ceramah pemimpin Pas.

Sepanjang penglibatannya dalam Pas beliau tidak pernah berkesempatan menjadi calon. Allyarham juga seorang yang tidak mengejar kedudukan dan mengambil kesempatan atas kejayaan Pas membentuk kerajaan.

Hasil kejayaan Pas memerintah Kelantan selama 18 tahun (periode kedua) tidak ada apa-apa kemudahan berupa bantuan kewangan ataupun harta benda yang diterimanya seperti mana kebanyakan aktivis Pas lain.

Ketika terakhir kali penulis berjumpanya awal tahun lalu Allahyraham beberapa kali membisikkan walaupun beliau tidak dapat bergerak aktif namun cita-citanya untuk menghidupkan masjid yang dibina berhampiran rumahnya di Kokcelon, Bachok dengan pengajian agama.

"Sebelum ayahanda tutup mata, masjid ini ayahanda nak usahakan biar maju dan dimanfaatkan untuk kepentingan agama dan bangsa. Masjid ini ayahanda bina dengan wang sendiri dan tidak satu sen pun wang kerajaan. Inilah peninggalan ayahanda lain tidak ada apa-apa!" ujarnya dengan linangan air mata.

Allahyarham meninggalkan dua balu dan sembilan orang anak kesemuanya dengan isteri pertama.

Menteri Besar Kelantan antara mereka yang hadir menziarahi jenazah Allayarham. Lain-lain pemimpin ialah Takiyuddin Hassan, Mohd Amar Nik Abdullah, Fatah Mahmood, Omar Mohammad, Nik Mazian Mohammad dan lain-lain.

Semoga Allah mencucuri rohnya dengan wangian setanggi dari syurga! Al Fatihah. Esok catatan peristiwa Allahyarham ditepis tangan oleh pemimpin Pas Kelantan. [jln pahang 3:30 am 06/08/08]

Berita Terkini

Pilihan Raya Permatang Pauh 26 Ogos

TEPAT seperti mana diramalkan Pilihan raya kecil Permatang Pauh akan diadakan pada 26 Ogos depan manakala hari penamaan calon 16 Ogos, 10 hari dari sekarang.

Seperti mana yang saya sebut dalam catatan dalam kolam saya, Antara Kita, diprotal Malaysia Today sebelum ini, apakah Anwar akan berulang alik dari Mahkamah ke Permatang Pauh dalam tempoh itu. Menurut maklumat tidak rasmi Anwar dijangka didakwa kes liwat dalam beberapa hari ini.

Jika beliau didakwa sebelum hari penamaan calon sudah pasti perbicaraanya akan bermula sebaik sahaja saja penamaan calon dan ini sebagai halangan dan gangguan untuk beliau berkempen. Ada tanda-tanda Anwar akan berkempen dari dalam mahkamah.

Sama-sama kita tunggu kesudahannya. Dan saya tidak boleh buat spekulasi lebih-lebih kerana nanti kena marah! [jln.pahang 2:15 pm 06/08/08]

Suara Hati

KDN Perlu Tegas Dengan Majlis Peguam

APA yang disuara dan dibimbangi Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar (foto) mengenai cadangan Majlis Peguam hendak mengadakan forum bertajuk “Memeluk Islam”yang dijangka membicarakan proses pemelukkan Islam dan implikasinya adalah tepat dan semua pihak perlu mencegahnya.

Sebelum ia berlaku wajar kalau ianya dihalang supaya api kecil tidak akan menjadi besar yang boleh membakar rimba ketenangan dan menyusahkan negara.

Persoalannya untuk apa forum berkenaan? Keadilan apakah yang hendak dicari oleh majlis berkenaan menerusi forum itu? Hak memeluk Islam adalah hak seseorang dan tertakluk dalam piagam kebebasan asasi seseorang manusia yang baligh.

Forum berkenaan yang juga dijangka akan menyentuh soal Artikel 121 (1A) berhubung kedudukan dan kuasa mahkamah syariah sesuatu yang diragui tujuannya. Kenapa harus dipersoalkan lagi kuasa berkenaan?

Majlis Peguam seharusnya tahu (dan memang pun tahu) kenapa Artikel 121 (1A) diwujudkan pada tahun 1988 itu. Ia adalah untuk memberi sedikit keadilan kepada umat Islam di negara ini disamping mengelakkan pertindihan kuasa antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah.

Dan adalah kena, tepat, berpatutan kalau hal-hal bersabit Islam dibicarakan di Mahkamah Syariah dan canggung kalau dibicarakan di mahkamah sivil.

Kedudukan artikel berkenaan sendiri sesuai dengan semangat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan negara. Apa guna Islam dicatat sebagai agama Persekutuan kalau hal-hal berkepentingannya tidak ditegakkan. Sesuatu yang dimaktub itu bukan untuk ditontong tetapi untuk diimplimenkan.

Sebelum artikel berkenaan diwujudkan telah timbul berbagai masalah dan merumitkan penyelesaian sesuatu masalah yang timbul. Telah berlaku pertindihan kuasa antara kedua mahkamah yang boleh menjadi masalah dan seterusnya menimbulkan perbalahan. Jadi semangat artikel itu diwujudkan untuk kebaikan bersama.

Adalah dibimbangi kalau forum yang dicadangkan itu akan cuba mengungkitkan kedudukan artikel berkenaan ia akan menimbul kemarahan umat Islam. Isu agama sampai ke bila pun ia sensitif dan perlu ditangani dengan baik dan lunak. Majlis Peguam harus faham ini dan tidak wajar menjadi hakim yang berat sebelah dan buta sejarah!

Majlis Peguam yang menjadi tempat rujukan dan dipandang sebagai badan intelektual dan pakar perundangan seharusnya tidak cuba menimbulkan kekeruhan, pertelingkahan umat dan sebagainya. Apa yang patut majlis berkenaan lakukan berusaha menjernihkan keadaan dan menyedarkan orang ramai kenapa dan atas keperluan apa sesuatu undang-undang itu diwujudkan. Ingat undang-undang diwujudkan bukan kepentingan satu pihak dan dibuat secara suka-suka.

Menteri Dalam Negeri hendaklah jangan teragak-agak dan berlembut dalam soal ini. Sekiranya apa yang hendak dibangkitkan Majlis Peguam itu bakal menimbulkan masalah tindakan tegas perlu diambil demi keharmonian negara. Syed Hamid jangan takut menegakkan yang haq.[wm.kl 9:00 am 06/08/08]

Tuesday, August 5, 2008

Jangan Gimik

Anwar Tidak Akan Ditangkap!

BIRO Angkatan Muda Parti Keadilan (Rakyat?) telah mengirimkan kenyataan menerusi email saya yang menghebuhkan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim akan ditangkap hari ini. Buat masa ini lebih 100 orang berhimpun di rumah Anwar. Maklumat itu diperolehi dari Kelab Penyokong Anwar (AIC).

Saya ucap terima kasih atas kirimkan maklumat berkenaan. Namun saya ingin persoalan sejauh manakah kesahihah mengenai maklumat berkenaan. Kalau ia sekadar andaian dan gimik tidak usahlah diperpanjang dan hebuhkan. Apa lagi kalau tujuannya untuk menarik orang ramai aagr mengerumuni ke rumah Anwar di Bukit Segambut.

Sukar untuk saya nak yakin kalau Polis ingin menangkap Anwar dalam tempoh beberapa hari ini. Pertama, apakah kesalahan Anwar? Beliau tidak melakukan apa-apa jenayah yang memungkinkan beliau ditangkap. Beliau juga tidak melakukan apa-apa provokasi berhubung laporan liwat ke atasnya oleh si pembacuh kopi tempoh hari.

Kedua, beliau tidak menunjukkan ingin menggerakkan massa membuat huruhara. Bahkan Anwar memberi kerjasama baik kepada pihak keselamatan.

Ketiga, pilihan raya kecil Permatang Pauh akan diadakan tidak lama lagi. Menangkap Anwar bermakna rakyat makin marah dan sokongan kepada Anwar akan meningkat. Jika kerajaan berbuat demikian ini bermakna kerajaan tidak bijak dan sengaja menggali kubur untuk menimbus diri sendiri dalam pilihan raya kecil itu.

Keempat, tidak ada tanda-tanda untuk Anwar melarikan diri ke luar negeri. Kenyataannya yang bersedia menjadi calon menunjukkan beliau komited dengan politik Malaysia. Bukankah Anwar seorang yang bernani menghadapi apa saja kemungkinan.

Jadi alasan dan andaian mengatakan beliau akan ditangkap pada saya hanyalah gimik sahaja untuk menarik orang ramai berkhemah di rumah Anwar. Anwar pula membuat telahan demikian sebagai satu daripada tektiknya untuk mendapat simpati lebih sahaja. Untuk apa?

Diharap PKR khasnya Angkatan Mudanya tidak terlalu bermain politik, mudah mempercayai khabar angin dan sesekali biarlah kita rasional dan berpijaklah atas bumi nyata. Kita kita kena ingat Anwar bukan segala-gala bagi kita dan ia hanya sebahagian daripada ikon perjuangan kita untuk negara, bangsa dan agama. Kalau terlalu banyak kita bergimik lama kelamaan kita tidak akan dipercayai selama-lamanya. [wm.kl 6:30 pm 05/08/08]