Monday, August 5, 2013

Apakah Umno Kelantan Tidak Berminat Taja Calon Naib Presiden?

MEMUSING PETANG                                                                          

Sebelum menyentuh mengenai gelora perebutan jawatan dalam Pas pada muktamar November ini, terlebih dahulu saya ingin menyorot sedikit perihal yang sama dalam Umno. Umno akan mengadakan perhimpunan agung sekitar tarikh hampir sama dengan Pas untuk memilih pimpinan parti tersebut. Kali bterakhir Umno membuat pilihan pemimpin ialah kira-kira empat tahun lepas.

Musatafa Mohamed
Menerusi catatan ini saya bataskan sorotan hanya untuk Kelantan saja. Mencari dan menilik siapakah tokoh Umno Kelantan yang boleh diletakkan di hirearki kepimpinan pusat ke jawatan paling tinggi setidak-tidaknya Naib Presiden. Buat masa ini Kelantan menghantarkan dua tokoh mereka untuk menjawat jawatan Majlis Tertinggi Umno, Mustapa Mohamed dan Awang Adek Hussin.

Tidak ramai tokoh-tokoh yang 'masam kepala' di dalam Umno Kelantan ke belakangan ini. Selepas awal tahun 90-an Kelantan mengalami kepupusan mereka yang gah dan boleh dicanangkan sebagai pemimpin dan tokoh. Kalau boleh disebut mereka yang sebelum ini dianggap wira Umno Kelantan ialah Tengku Razaleigh Hamzah, Tengku Ahmad Ritahuddin Ismail, Hussein Ahmad dan Muhammad Yaacob.


Selepas tahun tahun 2000 baru menyerlahkan orang-orang seperti Annuar Musa, Musatapa Mohamed dan Awang Adek Hussein. Mereka boleh dikatakan sebagai hero atau orang ternama berdasarkan jawatan yang mereka pegang sebagai menteri atau timbalan menteri. Walaupun sebelum mereka ada beberapa nama lain seperti Dr Nik Hussein, Harun Hassan, tetapi kewibawaan mereka ini tidak sebaris dan sehebat Annuar Musa atau Mustapa Mohamed. Kehebatan ini pastilah juga berpandukan kepada jawatan mereka dalam parti di Kelantan.

Mustapa Mohamed kini merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan. Jawatan itu pernah juga dipegang oleh Annuar Musa. Selepas pengerusi perhubungan ditinggalkan oleh Muhammad Yaacob (apabila Umno tewas teruk 1990) ia diambil alih oleh Mahathir Mohamad, hanya tiga orang saja berpeluang memegang jawatan pengerusi, Annuar Musa, Tengku Razaleigh dan Mustapa hingga kini.

Tengku Razaleigh Hamzah
Begitu juga yang memegang jawatan menteri. Bagaimana pun kini hanya Mustapa seorang saja yang memegang jawatan menteri. Awang Adek Hussein kalah dalam dua pilihan raya menyebabkan hilang jawatan menteri. Dan kekalahan itu mengelapkan langit politiknya. Cita-cita Awang Adek Hussein untuk menjadi menteri kewangan sebagai menyamai rekod Tengku Razaleigh mungkin sudah tidak akan tercapai.

Manakala rekod Annuar Musa pula pernah menjadi menteri selama 12 tahun. Hilang jawatan apabila kalah dalam pilihan raya 1999. Kekalahan itu meletakkan nasib politik Annuar seperti telor di hujung tanduk atau menteri di senja hari. Jika diukur prestasi dari kalah menang pilihan raya menunjukkan Mustapa merupakan tokoh yang terhebat selepas Tengku Razaleigh. Tengku Razaleigh tidak pernah kalah, bagaimana pun Mustapa pernah kalah sekali di kerusi parlimen Jeli tahun 1999. Berbanding dengan Annuar dan Awang Adek Hussein kalah lebih dari dua kali.

Meneliti pencapaian dan pretasi tokoh-tokoh Umno Kelantan itu yang munasabah kalau untuk Umno Kelantan mengangkat salah seorang dari mereka ialah Mustapa Mohamed. Kedudukannya kini sebagai menteri MITI, satu kementerian kanan menjadikan beliau tokoh yang berkedudukan dan berprestaj. Beliau juga adalah pengerusi perhubungan Umno Kelantan. Keadaan itu ditambah lagi dengan kedudukannya sebagai ahli majlis tertinggi Umno yang mendapat undi paling banyak.

Walaupun dari segi pengalaman dan kepakaran dalam bidang ekonomi maupun politik serta jasa-jasa kepada Umno Kelantan Tengku Razaleigh mengatasi Mustapa, tetapi jawatan setidak-tidaknya sebagai Naib Presiden sudah tidak sesuai untuk beliau (Tengku Razaleigh). Tengku Razaleigh pernah menduduki jawatan itu lama sebelum ini. Jadi tidak ada challenging beliau merebut semula jawatan itu ini memberi peluang atau kesesuaian bagi Mustapa sangat luas.

Jawatan yang sesuai dan tepat untuk Tengku Razaleigh ialah Presiden. Lagipun beliau sudah dua kali mencuba untuk merebut jawatan itu, manakala percubaannya pertamanya hampir-hampir berjaya apabila kalah dalam keadaan kontroversi dengan kekurangan 52 undi ditangan Mahathir tahun 1987.

Tanpa memperhitungkan jawatan presiden, post paling sesuai untuk direbut oleh tiga tokoh Umno Kelantan kini, Mustapa, Annuar dan Awnag Adek Husein ialah Naib Presiden. Mustapa pernah mencuba sekali tetapi tewas. Percubaan pertama itu boleh dianggap sebagai mencari pengalaman untuk beliau mengulangi sekali lagi. Lagi pun masa dan usianya sudah penghujung untuk beliau menunggu lebih lama lagi. Pemilihan kali ini adalah terbaik.

Begitu juga dengan Annuar. Kemenangannya dalam pilihan raya lalu memberi semangat dan kekuatan kepadanya untuk mencuba jawatan berkenaan. Apa lagi imej beliau waktu ini dalam keadaan baik dan beliau dipuji kerana berjaya membawa pasukan bola sepak Kelantan ke mercu kejayaan. Telahan umum mengatakan beliau menggunakan bola sepak untuk mengubat kesakitan dunia politiknya ternyata benar dan beliau berjaya.

Annuar Musa
Tidak ada masalah dan tidak salah kalau Annuar juga mahu mencuba jawatan tertinggi paling tidak sebagai Naib Presiden. Beliau ada kewibawaan dan ketokohan tersendiri. Track rekodnya selama menjadi menteri dahulu masih boleh dipakai. Tentunya kejayan pasukan Red Warriors  akan dijadikan kayu ukur akan kehebatannya. Red Warriors akan membantu beliau mencapai pucuk politik.

Khabarnya Annnuar ada mengumumkan beliau akan bertanding merebut kerusi Majlis Tertinggi untuk membolehkan beliau berada di peringkat membuat dasar dalam parti. Mungkin pengumuman itu sebagai test merket sahaja tanpa menutup pintu untuk mencuba jawatan lebih tinggi dari itu. Annuar tidak perlu merasa rendah diri sebaliknya beliau kena menyedari yang beliau jauh atau lebih awal popular berbanding dengan Mustapa Mohamed atau Awang Adek Hussein. Dengan kelebihan itu Annuar boleh kalau ingin mencuba jawatan paling tinggi setidak-tidak Naib Presiden. Bagi Annuar juga walaupun umurnya lebih muda dari Mustapa tetapi usia politiknya sudah agak tua.

Apapun bukan mudah untuk Umno Kelantan mengangkat tokoh mereka ke jawatan setidak-tidaknya Naib Presiden. Perangai politik Umno Kelantan dikenali dengan budaya 'cas kenting' masih hidup dan mewarnai politik Umno Kelantan. Hanya satu jalan saja untuk memungkinkan Kelantan dan Pantai Timur memiliki seorang Naib Presiden kali ini, Umno Kelantan harus sepakat dan sehati sejiwa.

Mereka kena tentukan siapa yang patut berada di kerusi Naib Presiden. Konsesus dan kompromi yang jelas hendaklah diambil. Tanpa konsesus sesiapa pun yang akan diangkat bertanding tidak mudah akan menang. Dalam konteks hari ini adalah molek kalau Umno Kelantan cuba menaja Mustapa Mohamed untuk merebut kerusi Naib Presiden sekali lagi manakala Annuar sebagai ahli MT sebagai mengganti tempat Awang Adek yang nampaknya sudah semakin terpinggir dan hanyut dalam arena politik Kelantan dan juga pusat.

Dan sekiranya Mustapa kurang berminat Umno Kelantan boleh menolak Annuar Musa. Manakala tokoh-tokoh lain yang senior seperti Md Alwi Che Ahmat dan Ramzi Abdul Rahman boleh dicalonkan untuk kerebut jawatan kerusi Majlis Tertinggi. Mereka ini juga ada dalam kamus Umno Kelantan berpandukan kepada prestasi dalam pilihan raya dan kepercayaan diberikan kepada mereka mengawal agensi kerajaan Kesedar dan Kada.

Lebih afdal dan seronok lagi kalau Umno Kelantan berani membuat maufakat mencalonkan Tengku Razaleigh untuk merebut jawatan Presiden parti untuk kali terakhir. Tetapi saya tidak fikir Umno Kelantan dimana para pemimpinnya seakan terikat dengan hegemoni kepresidenan bersedia untuk berbuat begitu. [mw.kl.3:46 pm 05/08/13]
Post a Comment