Thursday, August 15, 2013

PAS Enam Dekad: Menilai Era Pemimpin dan Kepimpinan

RENCANA KHAS                                                                                  

Bhg Pertama Dari Dua Bhg.

Allahyarham Mohd Asri dan Yusog Rawa.
Parti Islam Se Malaysia (PAS) kini sudah berusia 62 tahun atau kalau mengikut kiraan dekad usia Pas sudah enam dekad dua tahun. Pas ditubuhkan pada 24 November 1951 di Butterworth, Pulau Pinang. Dalam tempoh itu Pas telah dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua atau presiden. Yang Dipertua Pas pertama ialah, Ahmad Fuad Hassan (1951 – 1953), Abbas Ilias (pangku 1953 – 1956), Dr Burhanuddin Mohd Noor Helmi (1956 – 1969),  Mohd Asri Muda (1969 - 1982), Yusof Abdullah ar-Rawi (1982 – 1989), Fadzil Mohd Noor (1989 -2002), dan kini Abdul Hadi Awang (2002 -....).

Dua orang Yang diPertua atau presiden Pas meninggal ketika memimpin Pas. Mereka Dr Burhanuddin Helmi dan Fadzil Mohd Noor.  Dr Burhanuddin memimpin Pas selama 13 tahun manakala Fadzil juga selama 13 tahun. Seorang presiden Pas tertakdir akhirnya keluar meninggalkan Pas dan menubuh parti baru Hizbul Muslimim Malaysia (Hamim) kemudian menyertai Umno. Beliau ialah Mohd Asri Muda yang memimpin Pas selama 13 tahun.

Musibah menimpa Asri ini sama dengan apa yang dialami oleh Yang DiPertua pertama Umno Onn Jaaffar yang keluar parti itu menubuhkan parti baru IMP (Parti Negara).


Meneliti latar belakang pendidikan dan sosio budaya bekas pemimpin nombor wahid Pas mereka terdiri dari ulamak (ustaz) dan profesional. Ahmad Fuad dan Abdul Hadi Awang boleh digolongkan sebagai ustaz manakala Burhanuddin Hilmi, Yusof Rawa, Fadzil Mohd Noor dan Mohd Asri, profesional agamis dan nasionalis dan juga pedagang. Yusuf Rawa misalnya walaupun dipanggil ustaz tetapi beliau seorang ahli ekonomi dan aktivis gerakan Islam.

Hampir kesemua mereka sebelum aktif dan menjadi pemimpin Pas terlibat dalam gerakan atau badan siasah, kecuali Abdul Hadi Awang. Burhanuddin pernah menjadi anggota Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) manakala Asri menganggotai Angkatan Pemuda Insaf (API). Manakala Fadzil Noor merupakan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) begitu juga dengan Abdul Hadi Awang.

Dr Burhanuddin Hilmi
Hakikat itu menjelaskan tidak benar kalau Pas dipimpin oleh ulamak atau mereka bergelar ustaz semata-mata jauh sekali seorang  hafiz (Quran) dan hafal lebih 1,000 hadith. Telah berlaku pencampuran ‘idealisme’ dan profesyen di dalam Pas sejak lama dahulu lagi tanpa merubahkan dasar dan konsep Pas yang berpegang kepada al-Quran dan al-Hadith. Meletakkan Pas adalah parti berketuakan ulamak adalah ilusi oleh mereka yang picing terhadap realiti sejarah.

Dalam catatan ringkas ini hamba hendak flash back sedikit sejarah pemimpin dan kepimpinan para pemimpin nombor satu Pas itu serta wawasan atau hala tuju yang mereka cuba bawa semasa periode mereka memimpin Pas.

Dalam enam dekad ini hamba bahagi kepada dua bahagian; tiga dekat pertama dan tiga dekad kedua. Tiga dekad pertama ialah dari tahun 1951 hingga 1982 di mana dalam tiga dekad pertama ini Pas dipimpin oleh empat orang pemimpin; Ahmad Fuad, Abbas Ilias, Burhanuddin Helmi dan Mohd Asri Muda.

Yang menonjol dalam tiga dekat pertama ini ialah kepimpinan Burhanuddin dan Asri. Burhanuddin dan Asri dilihat paling berjaya jika diukur dari sudut politik kuasa, kerana mereka mampu membawa kemenangan kepada Pas dalam pilihan raya 1969 menawan dua buah negeri Kelantan dan Terengganu serentak di samping membenihkan Pas di seluruh negara.

Manakala dalam tiga dekad kedua pula Pas dipimpin oleh tiga orang tokoh, Yusuf Rawa, Mohd Fadzil Noor dan Abdul Hadi Awang. Tokoh paling menonjol maksudnya berjaya membawa perubahan dalam Pas menjadi wadah diminati umum dalam tiga dekad ini adalah Fadzil Noor. Pas semasa dibawah kepimpinan Fadzil Noor berjaya meletakan parti itu menjadi sebuah parti alternatif kepada orang Melayu dan kaum lain dari memilih Umno. Umno sebagai parti tunggal memerintah negara ini benar-benar rasa tercabar kepada Pas semasa dibawah kepimpinan Fadzil Mohd Noor. Boleh dianggap kehijauan Pas berlaku di era Fadzil Noor.

Dalam enam dekad itu Pas mengalami pasang surut dan berbagai kerenah sesuai dengan lumrah sebuah perjuangan. Ia juga mengalami pertukaran tektik dan strategi, pendekatan, stail serta tagline dan slogan perjuangan. Sebagai parti yang progresif Pas sering menukar pendekatan dan memenuhi kehendak massa tanpa mengorbankan prinsip dan dasarnya. Pas juga ikut berkembang mengikut arus dan liku-liku perjalanan masa. Tidak kurang juga Pas dibesarkan dengan pengaruh peribadi tokoh yang memimpinnya.

Hamba (insya-Allah) akan cuba menggariskan perubahan atau stail kepimpinan di dalam Pas dalam dekad-dekad berkenaan sesuai dengan kepimpinan Yang Dipertua atau presidennya.

Dalam tiga dekad pertama Pas dilihat mempunyai dua matlamat asasnya. Peringkat awal iaini sebelum merdeka (1951 – 1956) Pas memperjuang hak-hak kepentingan Melayu yang utamanya mengenai kedudukan agamanya, Islam. Dalam masa sama Pas juga berjuang menentang panjajah dan menolak fahaman sekularisme, sosialisme dan komunisme. Dalam kata lain Pas muncul menjadi wadah perjuangan orang Melayu nombor wahid menegakkan Islam di negara. Disamping menjadi badan siasah Pas bertindak sebagai badan dakwah. Politik dan dakwah bergerak berirangan.

Pas Pasca Merdeka
Bagaimana pun sifat atau bentuk kepimpinan Pas pasca merdeka mengalami perubahan sedikit, namun masih utuh dengan idealisme perjuangannya untuk menegakkan Islam. Pas dilihat kontradik dengan Umno sebuah parti berasaskan semangat kebangsaan (nasionalisme) dan dilihat sebagai dua buah parti Melayu yang bertentangan. Pengaruh semangat untuk mencapai atau membentuk Melayu Raya yang diperjuangkan oleh sesetengah pemimpinnya terutama Burhanuddin Hilmi masih terbawa-bawa dalam Pas. Tetapi semangat itu seakan terhenti apabila Malaya mencapai kemerdekaan tahun 1957.

Sehinggalah berlaku peristiwa 13 Mei 1969, kerenggangan Pas dengan Umno yang dibezakan ideologi parti masing-masing dapat dikendurkan, akhirnya disatukan dalam satu barisan bernama Barisan Nasional (BN). Tragedi itu menyedarkan Pas dan Umno betapa peri pentingnya persatuan demi survival Melayu serta menjana pembangunan negara yang masih muda usia kemerdekaanya.

Malangnya penyatuan dan kerjasama Pas dengan Umno menerusi Barisan Nasional (BN) bermula tahun 1971 sehingga pembentukan kerajaan bersama tidak kekal lama apabila tahun 1974 Umno khasnya (BN) menilai semula kehadiran Pas di dalam komponen BN. Umno lebih mementingkan keuntungan peribadinya dari sudut politik dari maslahat ummah. Penenandangan keluar Pas dari BN meninggalkan impak besar kepada kepimpinan Pas masa itu, Mohd Asri Muda dan tentu juga kepada politik orang Melayu.

Kemalangan nasib Pas itu ialah disebabkan terlalu mempercayai dengan kata-kata manis Umno atas dasar kepentingan bersama. Pas lupa bahawa sifat politik itu tidak akan berubah walaupun ia dimamah masa atau berada diceruk mana jua. Ekoran tindakan BN itu Pas kehilangan kerajaan Kelantan yang sudah dipegang selama 18 tahun. Implikasi kekalahan itu menimpa Mohd Asri. Asri diletakkan sebagai orang bertanggungjawab. Lanjutan itu Asri usaha dilakukan bagi mecat Asri sebagai Presiden Pas.

Ledakan revolusi Islam di Iran awal tahun 80-an turut memberi semangat dan obor kepada golongan muda di dalam Pas bagi menukar kepimpinan.  Kekalahan Pas di Kelantan dijadikan kayu ukur kelemahan Asri tanpa menyuluh ke dalam mencari makrifat peristiwa berkenaan. Mereka merencana untuk menumbangkan Asri sebagai presiden. Tektik yang sangat memalu dan melukakan hati Asri dilakuan dalam muktamar tahunan Pas ke 29, di mana dalam muktamar itu Asri dilaungkan dengan ‘marakhabar Asri’ yang membawa maksud ‘mampus Asri’. Ucapan dasar presiden juga ditolak oleh perwakilan dan ia adalah sejarah belum pernah terjadi dalam Pas.

Era Baharu Pas
Pertukaran kepimpinan daripada Asri kepada Yusuf Rawa tahun 1982 membuka era baru kepada Pas. Ahli Pas yang sudah mencemuhi dengan stail politik Asri yang mementingkan kroni serta mengambil pendekatan sedarhana (rasional) dalam politik mengalu-alukan atas apa yang berlaku tanpa pun mengetahui punca terjadi sebenarnya. Golongan muda khasnya dari Dewan Pemuda Pas pula telah memperkenalkan satu semangat dan era baru dalam politik Pas yang dikenali dengan era kepimpinan ulamak. Mereka mendokong Yusuf Rawa sebagai presiden yang baru.

Mungkin bagi mereka mengenali latar belakang presiden baru Pas itu agak konfius bagaimana Yusuf boleh diletak dan diharap memandu kepimpinan ulamak. Sebabnya beliau bukan seorang ulamak atau tok guru besar, sehebat Nik Abdul Aziz hari ini. Yusuf Rawa adalah ahli perniagaan dan seorang aktivis gerakan Islam. Namun kepada mereka yang memahami apa itu politik, dapat memahami (escape)  bahawa penjelamaan kepimpinan ulamak itu sebagai satu peralihan angin dari Pas saja – dari kepimpinan profesional bersifat nasionalis sedarhana oleh Asri kepada kepimpinan yang mahu menjadikan Pas sebagai sebuah gerakan Islam haraki.

Usaha ini dilihat sebagai satu langkah surut ke belakang oleh Pas manakala dalam tilikan pihak musuh Pas pula, Pas mula bersifat revolisional dan ekstremis yang cukup baik diambil kesempatan bagi memburukkan Pas?

Suasana ini dipengaruhi oleh fahaman politik Islam yang berlaku di Timur Tengah khasnya Iran. Seperti dikatakan tadi revolusi Iran yang menjatuhkan kerajaan monarki Shah Iran dan diganti dengan mullah Khomeini turut mempengaruhi ruang dan individu di dalam Pas.

Jika boleh disebut Pas di zaman Asri adalah zaman yang mengerhanakan Pas dan boleh juga dianggap sebagai zaman gelap buat Pas. Pengunduran terhadap Asri secara paksa itu juga menjadikan Pas kegelapan selama enam tahun sehinggalah Pas diambil oleh Fadzil Noor. Apa yang hamba mahu bangkitkan di sini cara ahli Pas menjatuhkan Asri menggambarkan Pas bukan sebuah parti bercirikan Islam yang sepatutnya berakhlak dan berhemah tinggi. Pelemparan Asri dari umbi profesional itu yang mahu diganti dengan mullah satu tragedi buat Pas.

Mengenang peristiwa itu tidak mustahil kalau hal itu akan berulang pada masa akan datang. Ia bisa saja terjadi apabila ada sebahagian ahli sudah mabuk dan tergila-gila kepada bentuk perjuangan yang idealis dan penuh ilusi (Syurga) serta mudah menganggap orang lain tidak Islamik. Timbulnya kecuakan di dalam hati disebabkan perbezaan latar belakang pendidikan memudahkan lagi pertentangan ini berlaku.

Yusuf Rawa tidak membawa banyak perubahan di dalam Pas. Beliau adalah presiden sementara sebelum berlaku transisi sebenar perubahan pimpinan dalam Pas. Yusuf hanya memegang enam tahun saja (1982 – 1989). Ia boleh dianggap masa untuk menenangkan gelora dalam Pas setelah berlaku ‘pengkhianatan’ ke atas Asri.

Tragedi yang menimpa ke atas Asri menyebabkan Pas berpecah, sebahagian besar golongan profesional atau nasionalis dalam Pas keluar parti dan menubuhkan parti baru bernama Hizbul Muslim (Hamim). Tindakan Asri membina wadah baru ini bagi hamba satu luahan rasa atau dendam kekecewaan di atas apa yang berlaku ke atas dirinya, di mana tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah parti yang menggunakan perkataan Islam sebagai namanya. [wm.kl.11:24 am 15/08/13]
Post a Comment