Minggu lepas telah berlangsung majlis angkat sumpah 10 orang Adun yang dilantik menjadi timbalan Exco kerajaan Kelantan. Rasanya Kelantan adalah satu-satunya negeri yang mewujudkan jawatan timbalan Exco. Jawatan timbalan Exco ini tidak mempunyai kuasa dan hak bagi mengganti Exco melainkan hanya membantu tugas-tugas Exco diluar 'kerasmian'.
Ahmad Yacub |
Sebelum diulas mengenai perlantikan Exco dan majlis angkat sumpah di hadapan MB. Ahmad Yakub itu, suka dijelaskan mengenai sejarah atau pun kenapa jawatan Exco ini diwujudkan. Dari kaca mata umum atau secara helah politiknya ia adalah untuk membantu Exco yang kononnya banyak tugas dan urusan.
“Kita tahu bebanan yang ditanggung oleh anggota exco kita terlalu banyak, siang datang ke pejabat, malam pula keluar bertugas lagi untuk berceramah. Kerja sebegini bukan calang-calang orang boleh buat, kadang-kadang kena ziarah kematian, kenduri kendara," demikian ucapan bekas MB Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengumumkan perwujudan jawatan timbalan Exco dipetik.
Alasan itu adalah retorika politik. Hakikat sebenarnya ialah untuk memberi elaun tambahan kepada wakil-wakil rakyat khasnya yang dilantik menjadi timbalan Exco itu. Kalau tidak silap mereka diberi elaun sebanyak RM1,500 sebulan. Denagn wang tambahan itu dapatlah timbalan Exco itu membiayai projek didalam kawasannya bagi menghadapi pilihan raya.
Perwujudan jawatan ini bermula pada tahun 2010. Seramai 10 Adun yang terlibat. Perlantikan dibuat pada bulan Jun 2010 tetapi tarikh berkuatkuasanya di 'backdate'kan pada Januari 2010 untuk membolehkan elaun dibayar mulai Januari tahun 2010. Kenapa berlaku begitu. Bukankah cara itu untuk memberi wang kepada Adun yang menjadi timbalan exco itu?
Kita ambillah cara itu sebagai bijak untuk menambahkan kewangan wakil rakyat bagi menghadapi pilihan raya ke-13 Mei lalu. Tetapi tindakan membekalkan kewangan itu tidak adil kerana bukan semua wakil rakyat yang ada dilantik atau diberikan peruntukan seperti perlantikan itu.
Pada masa perwujudan jawatan itu Pas mempunyai 39 Adun dicampur seorang dari Keadilan. Yang dilantik hanya 10 orang. Ini bermakna masih ada 16 lagi yang tidak dilantik dan mendapat elaun tambahan menerusi perwujudan jawatan itu. Manakala yang selebih lagi 12 Adun adalah sudah memegang jawatan MB, TMB dan Exco.
Hari ini Pas ada 33 Adun campur dengan seorang Adun Keadilan. 12 orang sudah memegang jawatan MB. TM dan Exco. Ditolak dengan 10 Adun yang telah dilantik menjadi timbalan pengerusi Exco ini bermakna masih ada 11 lagi yang tidak dilantik memegang jawatan setaraf dengannya dan ternafi untuk mendapat elaun sebanyak RM1,500 dan kemudahan lain kenderaan dan pejabat.
Kita cukup yakin perwujudan jawatan itu bukan sangat untuk membantu Exco. Apalah sangat tugas Exco Kelantan dan sesibuk manakah mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap rakyat. Untuk melihat sejauh mana kesibukan mereka boleh dicheck dalam buku log perkhidmatan mereka di pejabat. Exco Kelantan sebenarnya lebih sibuk menjalankan aktiviti parti berbanding dengan tugasan kerajaan.
Mereka yang dilantik menjadi timbalan Exco 22 Ogos lalu seperti mana berikut;
1. Azami Mohd Noor (Kadok) dilantik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli.
2. Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Perpaduan Masyarakat.
3, Abdul Rahman Yunus (Demit) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar.
4. Hassan Mahmood (Tawang) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan.
5. Abdul Azziz Kadir (Jelawat) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau.
6. Muhammad Awang (Gual Periuk) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.
7. Dr Md Yusnan Yusof (Melor) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau.
8. Mohd Zaki Ibrahim (Kelaboran) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat.
9. Wan Ubaidah Omar (Kijang) – Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.
10. Mohd Nazlan Mohamad Hasbulah (Limbongan) – Timbalan Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan NGO.
Yang menimbulkan kemusykilan disamping perlantikan timbalan Exco itu ialah, perlantikan Mohd Amar Nik Abdullah yang kini menjadi Timbalan Menteri Besar dinobatkan pula menjadi pengerusi kepada beberapa jawatan kuasa (porfilo) yang dipegang oleh Ahmad Yakub. Perlantikan ini belum pernah berlaku di Kelantan atau mana-mana negeri, kecuali Timbalan Menteri Besar dilantik menjadi pemangku.
Mungkin ramai orang tidak faham dan pelik dengan apa yang berlaku ini. Dalam erti kata lain Mohd Amar mempunyai dua jawatan di samping mempengerusi porfolio yang beliau sudah pegang dia juga menjadi timbalan pengerusi prfolio yang dipegang oleh Ahmad Yakub, iaitu Jawatakuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan. Apakah beliau juga menerima dua elaun?
Apakah perkara ini valid? Apakah semasa Ahmad Yakub mempengerusi jawatankausa diketuainya itu Mohd Amar hadir sama atau apabila Ahmad tiada ia boleh diberikan kepada Mohd Amar?
Nampak sedikit berlaku kekokokan di dalam perlantikan Mohd Amar ini. Kita tahu perlantikan itu untuk membantu Ahmad disebabkan kelemahan-kelemahan ketara Ahmad atau tidak upaya beliau untuk memikul tanggungjawab itu. Kalaulah hakikatnya begitu kenapa tidak diberikan saja portfolio itu kepada Mohd Amar manakala Ahmad Yakub pegang saja portfolio yang rengan seperti kebajikan dan agama atau dakwah? Tidak ada guna kita memegang parang bong kalau kita tidak tahu hendak menentak.
Apabila Ahmad Yakub melantik Mohd Amar menjadi timbalan pengerusi kepada jawatankuasa yang dipegangnya nampaklah yang beliau tidak berkeupayaan. Mungkin ia tidak menjadi masalah dan merupakan satu pengakuan ikhlas, tetapi dalam hirearki politik ia dilihat songsang. Wibawa Ahmad sebagai MB jatuh merudum.
Kesongsangan dan kegajilan seperti ini hendaklah dihentikan kalau tidak orang akan melihat kelemahan dan ketidakupayaan Ahmad Yakub menjadi MB. Di zaman Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu beliau juga tidak pakar dengan beberapa jawatankuasa yang disandangnya tetapi beliau tidak sesekali menunjukkan kelemahannya sebagai seorang memegang jawatan MB.
Nik Aziz bijak memutar serbannya agar tidak nampak cacat dan sumbangnya. Apakah Ahmad tidak boleh belajar dan meniru tektik Tokguruku itu? [wm.kl.11:15 am 24/08/13]
1 comment:
Tak mungkin ke perkara ini akan menjadi salah satu sebab PAS akan kecundang dalam PRU14 nanti?
Bila dah lama pegang kuasa, manusia merasakan ia adalah haknya.... fikir-fikirlah sebelum terlambat.
Post a Comment